Pesona Buku Melayu

Panelis  Forum Pesona Buku Melayu
Program Pesona Buku Melayu patut digemilangkan lagi dengan backdrop yang sesuai!

Sebagai mengiringi PBAKL 2009 kembali ke sarangnya sebelum bersua lagi tahun depan, saya kuatkan semangat untuk ke Forum Pesona Buku Melayu Sabtu semalam walaupun terpaksa mengheret anak yang sedang super lasak (usianya genap 3 tahun Jun ini).

Suami tidak dapat membawa saya kerana bekerja, lalu saya lemparkan ‘lasso‘ ala koboi ke arah dua orang teman sekerja yang belum ke sana. Alhamdulillah, mereka sudi ikut serta, malah turut bersusah-payah membantu mengendalikan puteri saya (terima kasih Iela dan Fizah).

Kembali kepada kisah Pesona Buku Melayu, forum anjuran Bukuonline.org ini antara lain menampilkan Sasterawan Negara A Samad Said, Faisal Tehrani dan seorang orang kuat dalam industri buku Melayu (wajahnya mengingatkan saya kepada Hishamuddin Tun Hussien, tapi maaf saya terlupa namanya – maklum menonton bicara forum sambil mengawal anak). Dikendalikan oleh Syed Munawwar, forum memang hangat dan menjadi.

Antara pesan Pak Samad dalam forum singkat ini (12.30 – 1.15 tengahari) adalah supaya menyokong terus industri buku Melayu yang tengah berkembang mekar. Beliau juga mengingatkan pendengar-penonton agar meneruskan bantahan terhadap PPSMI kerana dalam jangkaan lima dekad, arus besar PPSMI akan melanda sehingga mampu menghakis semua institusi bahasa Melayu termasuk DBP dan ITNM.

Ujarnya, beliau merebut segala kesempatan yang datang untuk memperjuang bahasa, tidak kira hingga ke pentas oposisi sekalipun kerana halangan yang wujud di pentas kerajaan sendiri yang enggan membuka pintu kepada kritikan demi kritikan dalam isu ini secara terbuka.

Pak Samad  melayan peminat

Pak Samad dikerumuni peminat setelah tamat forum

Beliau menyarankan bahawa suara bantahan rakyat perlu disampaikan melalui media-media bukan kerajaan supaya sampai ke pengetahuan lebih ramai orang.

Faisal Tehrani pula memetik pesan kenalannya daripadanya China (maaf saya lupa lagi nama dan jawatannya) bahawa untuk menaikkan nama sastera Melayu di persada antarabangsa, tetaplah menulis dalam bahasa ibunda. Biarlah buku itu kemudiannya diterjemahkan, tetapi sesungguhnya tidak ada cara lain selain menulis dalam bahasa ibunda kita.

Beliau yang telah menyertai perarakan bahasa mengiringi memorandum ke tangan YDP Agong turut menceritakan mengenai bukunya 1515 yang dianggap sukar difahami oleh orang Melayu sendiri, tetapi telah diangkat sebagai buku teks oleh pelajar-pelajar Jerman dan dipelajari dalam bahasa kita.

Antara keindahan buku Melayu yang mempesonakan mereka, katanya, adalah wujudnya kosa kata khas yang membezakan keadaan-keadaan yang begitu terperinci, contohnya waktu di ambang terjaga dari tidur, serta waktu di ambang lelap yang dalam. Begitu kehalusan bahasa Melayu yang melambangkan ketinggian peradaban bahasa dan bangsa kita suatu masa dahulu.

Selain itu, perjuangan bahasa yang sedang berlanjut di negara kita, meskipun dipandang sepi dan diperkotak-katikkan oleh media-media arus perdana, diangkat tinggi sebagai perjuangan bangsa dalam akhbar Tehran Times. Berita tentang orang-orang Melayu mengiringi memorandum air mata bahasa sampai ke belahan dunia sebelah Parsi sebagai sebuah nyanyian perjuangan, bukan pengkhianatan.

Panelis terakhir, tokoh industri buku Melayu yang bernilai jutaan ringgit dan disebut-sebut oleh Syed Munawwar mewakili pandangan dari sisi politik, tidak kurang bernas dengan idea-idea yang patut sekali direnungkan. Antara kata-katanya yang melekat di fikiran saya, jika media kerajaan tidak mahu memberi ruang, para pengkritik keadaanlah yang harus bangkit menulis dan terus menulis dengan lebih giat demi melahirkan bantahan dan ketidakpuasan hati – yang secara tidak langsung akan memperkaya khazanah ilmu bangsa juga.

Atas provokasi Syed Munawwar, beliau dengan lantang menyuarakan sokongannya ke atas pemansuhan PPSMI, disambut tepukan gemuruh para pemain industri buku, para aktivis dan orang ramai. Beliau juga menyeru ahli politik untuk lebih giat meraikan pesona buku Melayu, malah menyatakan hasrat untuk melihat Perdana Menteri kita sendiri turun padang merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Begitu antara inti-inti diskusi di Forum Pesona Buku Melayu di PWTC (PDDP) semalam. Berbaloi jugalah saya menahan debar memandu dengan anak dan teman-teman mengharungi trafik dari Shah Alam ke PWTC, melayan kerenah puteri saya yang belum pandai diam-diam di majlis ilmu, serta arus kesesakan manusia seperti bergelombang menerpa ruang-ruang pameran buku.

Bulan Mei nanti, saya akan usahakan menghadiri Forum Pesona Perpustakaan anjuran Bukuonline.org pula, yang saya yakin tidak akan kurang hebatnya!

Kisah di PBAKL 2009

Sudah berhari-hari mahu bercerita tentang kembara beli-belah buku di PBAKL 2009, tetapi akhirnya sempat terbasi juga. Banyak hambatan lain akhir-akhir ini termasuk melekat dengan teman-teman di Malaysians@Goodreads dengan cerita-cerita buku mereka yang menarik.

Saya ke PBAKL pada hari Sabtu 18 April (hari kedua) bersama suami – kami bersedia dengan kereta sorong anak, susu dan sneknya serta sudah tentu, ‘seberkas’ duit (:D alangkah baiknya kalau betul-betul seberkas!). Saya juga bawa buku-buku Faisal Tehrani yang ada dalam simpanan di rumah sewaan kami di Shah Alam, kononnya mahu minta tandatangan untuk semua buku – setibanya di sana niat itu saya urungkan sebab memikirkan buku-buku yang bakal dibeli tangan mana mahu bawa?

Niat yang dipasang sejak dari rumah memang mahu meninjau pelancaran buku terbaru Al-Ameen, kerana salah satunya buku terbaru Faisal Tehrani, Ketupat Cinta [Musim Pertama]. Pada masa sama, juga mahu bertemu penulis yang sudah saya baca sebahagian besar buku-bukunya, untuk kali pertama.

Continue reading

Mengenali buku sederhana tapi menyentuh Asma Nadia

Catatan hati di setiap sujudku Catatan Hati di Setiap Sujudku oleh Asma Nadia


Buku ini dari mata saya:

Ini kali pertama membaca catatan-catatan milik Asma Nadia serta teman-teman penulisnya. Memang sebuah buku yang mantap dengan kisah-kisah menyentuh hati – semuanya seputar doa dan keajaibannya.

Tidak banyak, sedikit pasti tergerak juga hati untuk kembali mendekatkan diri dengan amalan doa yang penuh ikhlas dan tatatertib, yang sebenarnya sangat penting sebagai tanda kerendahan hati seorang hamba Allah. Dalam keseringan sikap alpa insani, memang buku ini hampir total menyedarkan tentang segala yang pernah terlupakan mengenai amalan ringkas tapi indah dan penuh keberkatan: DOA.
Continue reading

Kita perlukan kelompok buku yang membumi….

Entri kali ini adalah seruan kepada rakan-rakan yang selama ini mengunjungi BukuRia, tentang sebuah kelompok pembaca Malaysia di Goodreads.

Kelompok yang menggelar diri “Malaysians” itu, sedang berusaha membina tapak untuk bergiat dengan aktif sebagai kelompok pembaca buku Melayu. Mereka sedang merancang aktiviti-aktiviti buku yang sesuai dengan kemampuan awal seperti Bacaan Bulanan dan lain-lain.

Kelompok ini sama sekali tidak berniat menyaingi BukuOnline misalnya atau kelompok-kelompok lain, tetapi berasa bahawa ada ruang yang masih boleh diisi, pada sudut-sudut yang berbeza. Sekiranya BukuOnline lebih bertumpu kepada perbincangan yang ilmiah dan akademik, Malaysians lebih rencam dan mahu menjadi lebih santai. Mungkin suatu masa depan ada usaha bersama yang boleh digandingkan.

Saya secara khusus, mahu mengajak rakan-rakan memeriahkannya – kerana bagi saya kita perlukan kelompok buku yang membumi yang boleh dinikmati oleh segolongan besar pembaca. Ayuh, cuba dulu baru tahu! Kita sama-sama belajar jadi pengghairah buku sejati yang aktif dan mencintai aktiviti buku. Idea anda semua sangat-sangat diperlukan.

Sila jenguk di www.goodreads.com, dan cari kumpulan Malaysians@Goodreads. Kami menunggu!

Malaysians@Goodreads

Malaysians@Goodreads 81 members

Anak Malaysia yang suka membaca! (Malaysians who LOVE to read!)

Buku apa yang bakal diburu….

Banner Pesta Buku Antarabangsa KL 2009Pesta datang lagi. Sudah nampak kelibatnya di pertengahan bulan April. Suara-suara promosi berkumandang. Acara-acara buku pun sudah mula diisi.

TIdak sabar hati rasanya. Kepala sudah sibuk mencongak berapa banyak aliran wang tunai keluar April nanti, mana yang boleh dijimatkan pada awal bulan supaya ada duit tambahan untuk buku tambahan.

Namun, saya tidak bercadang membeli banyak tahun ini – yang wajib atau yang pasti, saya akan ke gerai ITNM (sebab ada peluang dapat hadiah besar?) dan penerbit-penerbit universiti. Kalau mahu kira senarai buku yang mahu diburu, memang sudah menjangkau ratusan buah, tetapi nafsu buku perlu kawalan juga.

Continue reading

Karbala: sejarah duka umat Islam

Karbala - Faisal Tehrani

Tragedi yang patut digali maknanya...

Merinding bulu roma saya sewaktu membaca kisah pemergian Imam Hussein bin Ali bin Abi Talib ke Rahmatullah di tengah keasingan Karbala. Dalam kehausan tidak jauh dari Sungai Furat, antara rengek anak-anak dan wanita ahlul bayt, diratah senjata dan dipenggal kepalanya yang pernah diciumi Nabi s.a.w.

Turut terkorban adalah dua orang anak Imam Hussein, Ali Akbar dan Ali Asghar. Ramai lagi antara 72 orang ahli rombongan atau menurut sesetengah riwayat, kurang daripada 100 orang para sahabat, turut mempertahankannya dan berakhir dengan kepala masing-masing dijulang di hujung senjata oleh kumpulan askar Yazid bin Muawiyah.

Sekian lama tidak menggauli rentetan sejarah politik Islam yang tragis, Karbala Faisal Tehrani benar-benar menggugah saya untuk melihat dengan lebih dalam dan akrab di mana kita umat Islam sebenarnya berada.

Tragedi Karbala yang selama ini hanya disampaikan kepada kita secara sayup-sayup sahaja, tidak ditekankan di rantau dunia Melayu sehingga sempat diangkat sebagai suatu kesenian drama khusus dipanggil Ta’ziyeh atau Ta’ziyeh Khvani sepertimana di Iran. Namun saya yakin drama ini sebenarnya mampu menyusupkan semangat kebangkitan melawan kezaliman yang bukan sedikit ke dalam hati-hati manusia.

Continue reading

Cuti-cuti bersama buku

Membaca Dengan Auntie Long

Membaca Dengan Auntie Long

Plaza Mayang

Plaza Mayang

Sekadar berkongsi kisah cuti-cuti saya bersama buku, di atas adalah foto-foto puteri saya dengan buku sewaktu membaca di rumah bersama dengan ibu saudara kesayangannya dan menikmati buku di lantai simen Tingkat 1 Plaza Mayang.

Lama sungguh rasanya tidak menyuakan cerita baru di blog tentang buku atau perpustakaan. Roh bercuti telah menguasai saya selama dua minggu. Pertama kerana ibu mertua saya melawat kami sekeluarga, dan kedua kerana saya pulang ke kampung halaman, kali ini menjemput emak pula datang bertandang.

Namun dalam waktu roh bercuti sedang menghantui jasad dan jiwa dengan sungguh-sungguh, sudah semestinya saya tidak melepaskan peluang untuk membeli buku, malah keinginan membeli buku membuak-buak sampai hampir meranapkan belanjawan bulanan saya.

Sebelum tahu tentang adanya Jualan Gudang MPH, saya baru membeli beberapa buah buku seperti Zikir Rindu (Azizi Abdullah), Slumdog Millionaire (Vikas Swarup), The Power of Creative Intelligence (Tony Buzan) dan Tips Menjadi Penulis Bestseller (Zamri Mohamad).

Continue reading