Tak berani lagi, santai-santai memelukciummu

Buku berselubung plastik

Manuskrip & buku; terasa seperti menyerahkan 'mereka' ke kebuk gas Hitler

Untuk selama-lamanya, selepas Jumaat 2 April 2010, saya tak berani lagi santai-santai memeluk dan mencium buku-buku di rak belakang seperti dulu.

Sebelum ini saya tidak pernah tahu. ‘Mereka’ semua  wajib menerima antibodi – demi preservasi.

Setahun, sekali. Secara fumigasi.

_____________________________________________________________

Caution - Poisonous Gas

Etelene oksida - boleh menyebabkan barah.

Over the past several decades, ethylene oxide gained such wide acceptance in the library and archival preservation world, that in spite of the risks its usage presents, it has not been easy to replace with another fumigant….Chronic exposure to ethylene oxide can increase the risk of leukemia, brain tumors and other cancers; it can cause chromosome damage and may also affect the reproductive system….It is now generally accepted that several natural, as well as synthetic polymeric materials tend to retain significant amounts of residual ethylene oxide subsequent to a fumigation treatment. The residual ethylene oxide is then gradually released into the environment over an extended period of time….In the case of fumigated library materials, this risk can be extended to unsuspecting and unprepared curators and other personnel who routinely service the fumigated materials. (daripada “Desorption of Residual Ethylene Oxide from Fumigated Library Materials“, Library of Congress).

Cinta, belum berakar jauh

Old Curiosity Shop (Charles Dickens)

Kedai yang diwatakkan Dickens melalui novelnya

Saya membaca ini dari The Duchess of Bloomsbury Street (1974) oleh Helene Hanff:

I mean Dickens is the national household god….every living soul tells you where Mr Pickwick dined and where the Old Curiosity Shop is and Do see the house on Doughty Street where Oliver Twist was written and This is Camden Town, where Bob Cratchit lived and The-porter-will-show-you-where-Dickens-wrote-Great-Expectations.

….The Dickens House is furnished much as it was when he lived in it, and the room at the back of the house where he worked has a complete set of Dickens first editions. Walls of every room are crammed with cases of Dickens memorabilia – letters, drawings, cartoons, theatre programs with his name in the cast list….All the tourists going through the house, mostly from ‘the U.K.’, knew every character and every incident depicted in every drawing and cartoon. Just incredible.

Warna Sukma Usia Muda (Arena Wati)

Siapakah yang bertuah dapat menelusuri pelayaran Abdul Rahim?

ranjau-sepanjang-jalan

Latar bumi mana yang menyimpan cerita Jeha & Lahuma?

Sayangnya, saya tidak pernah ambil tahu di mana Lahuma dan Jeha sebenarnya bersawah tani dalam Ranjau Sepanjang Jalan (1972). Tidak pernah tahu di sudut mana Masjid Negara (atau Masjid Jamek?) A. Samad Said menulis Puisi Al-Aminnya (1999). Tidak pernah terdetik menjejak destinasi perjalanan laut Abdul Rahim dalam Warna Sukma Usia Muda (2005). Tidak pernah.

Cinta saya pada susastera bangsa, sejujurnya belum berakar jauh.

Belum berakar  jauh.

Jauh.

Berakar.

Belum.

Tahun ini, tahun berkabung

Tahun ini tahun berkabung bagi keberanian dan keteguhan saya! Kedua-duanya telah mati! Saya mengucapkan selamat tinggal kepada PBAKL 2010 tanpa menjengahnya. Tidak seperti tahun lepas.

Ingin Jadi Nasrallah

Satu-satunya kenangan PBAKL 2010

Alasan tidak kukuh saya: hujung minggu itu suami bekerja dan saya sendirian harus ke sana dengan si empat tahun. Kakak tidak dapat menemani kerana harus bersedia untuk peperiksaan.

Nanti kita ke Jogja, kata kakak; tanpa menyedari Pesta Buku Jogja sudah pun berakhir sebelum PBAKL lagi*. Kita ke Bangkok, kata saya, cuba mengubat rasa. Dilimpahi sedar bahawa itu hanyalah kata-kata. Gurauan hampa.

Akhirnya, satu-satunya buku saya dari PBAKL tahun ini, adalah buku yang dikirim kepada teman seGoodreads, Faizah Roslaini, yang akhirnya menjadi hadiah pula daripadanya. Terima  kasih, Faizah. Dan terima kasih kepada si penulis yang mencoret nama penuh saya dengan begitu cantik dan menurunkan pesan, “Hanya yang bijak mencerap puisi“.

Tahun ini, tahun berkabung – dan atas nama perkabungan itu, saya isytiharkan pesta sendiri saja. Pesta membaca buku-buku yang masih tertunda.

PS: Rupanya tarikh Pesta Jogja sudah dipinda ke 13-18 Oktober 2010. Menabung, kita menabung!)

Bila Allah Menduga Kita

Kala dugaan itu datang, apakah kita cukup bersedia?

Tajuk: Bila Allah Menduga Kita

Pengarang: Syed Alwi Al-Atas

Penerbit: Mustread Sdn Bhd

Tahun: 2010

Harga: RM19.90

Saya menerima buku Bila Allah Menduga Kita daripada penulisnya, Tuan Syed Alwi Alatas, menjelang makan tengahari hari Khamis 11 Februari 2010, dengan sepotong janji. Beliau minta buku ini diulas di blog, beserta pesannya “tak perlu khawatir, saya akan menerima review yang diberikan, walau banyak kritik sekalipun.” Ini tugas sukar saya kira, bagaimana mengkritik sebuah buku yang telah dihadiahkan oleh penulisnya sendiri? Bagaimana saya dapat membendung kecenderungan biasa dalam hati manusia untuk terhutang budi pada si pemberi?

Namun Allah mempunyai aturannya sendiri. Buku yang saya tatap beberapa halaman pertamanya ketika waktu rehat 11 haribulan itu, rupanya menjadi bekal yang sangat penting menjelang petang dan malam harinya. Sekitar waktu Asar Khamis itu, saya menerima berita dari kakak sulung. Seorang adik sepupu yang sedang menuntut di UiTM Seri Iskandar, telah ditimpa kemalangan jalan raya dalam perjalanan pulang menyiapkan tugasan akademik dengan rakan-rakannya.

Saya bergegas pulang sebaik sahaja tamat waktu kerja, mencongak sama ada perlu ke Hospital Batu Gajah sebaik tiba di rumah, atau menunggu berita terkini keadaannya dari abang-abangnya yang sedang memandu ke sana. Namun dalam perjalanan, berita yang lebih memedihkan akhirnya tiba. Adik sepupu saya, telah dipanggil pulang oleh Allah. Pada usia 20 tahun.

Malam itu sanak-saudara memenuhi perkarangan bilik mayat Hospital Batu Gajah. Kami tiba saat jenazah sedang dimandikan, sempat turut serta mengafan dan mengucupnya sebelum disembahyangkan. Saya lihat wajah tabah ibu saudara saya, tidak ada air mata melinangi pipinya, dan ucapnya pada saya, dia reda. Saya cuba gambarkan diri di tempatnya, bagaimana kalau yang disembahyangkan itu anak saya, apakah saya bersedia?

Itulah sekilas inti buku Bila Allah Menduga Kita, yang sempat saya baca beberapa halaman, muncul semula dalam fikiran saya di sisi jenazah. Apakah saya bersedia jika dugaan Allah menimpa saya waktu itu, saat itu juga? Dan menurut pengarangnya, tidak ada yang lebih penting saat kita menerima dugaan, tidak kira dugaan nikmat atau kesedihan, melainkan persediaan kita. Ini kerana persediaan kita itulah yang akan menentukan, apakah kehidupan ini akan kita akhiri dengan penuh keimanan kepada Allah, atau sebaliknya, Nauzubillah.

Pada saya, buku yang telah saya khatam ini sebenarnya buku yang serba sederhana. Namun usah cepat bingkas, kerana acapkali, kesederhanaan itulah yang lebih menyentuh dan meninggalkan bekas.

Kesederhanaan pertama yang saya temui pada buku ini adalah dari susunan bab-babnya. Hanya ada tiga bab utama saja dalam buku ini, iaitu  ‘Berprasangka Baiklah Pada Tuhanmu’, ‘Iman Terhadap Takdir’ dan ‘Agar Anda Selalu Menang dan Bahagia’. Di dalam setiap bab ada subbahagian yang merupakan tajuk-tajuk kecil yang saling berturutan dan berkaitan, menyoroti setiap topik dengan santun dan tidak gopoh-gapah, dibumbui pelbagai kisah dari zaman Rasulullah s.a.w. sehinggalah apa yang kita sering hadapi pada masa kini. Di sinilah kesederhanaan itu bagi saya bertukar menjadi istimewa, kerana selitan kisah semasa membawa kedekatan masalah kepada kita, dan tidak meninggalkan kita terawang-awang mengenai peristiwa ratusan tahun lampau semata-mata. Dengan jelas, aplikasi ilmu sudah dinampakkan kepada kita secara bersahaja.

Selain itu, pendekatan pengarang yang menulis dengan bahasa yang sederhana, tetapi mengajak dan sesekali sedikit menggesa pembaca menempatkan diri dalam keadaan tertentu, turut memberi saya kesan. Mungkin ada segelintir yang tidak selesa dengan cara penulisan begini yang dianggap menggurui pembaca, tetapi saya tergolong di kalangan yang tidak kisah. Apatah lagi kalau membaca buku agama. Pada saya, kenapa tidak boleh pengarang itu menggurui saya, kalau ternyata saya memang layak menjadi muridnya? Dan bukankah membeli buku agama karangan sesiapapun, bererti kita telah sudi untuk digurui pengarangnya secara tidak langsung?

Dan benar, Syed Alwi Alatas telah banyak menggurui saya melalui buku ini. Saya rasa saya mampu melihat ujian Allah dengan kaca mata baru setelah menyudahkan bacaan. Saya ingat antara pengulangan yang ditekankan oleh pengarang dari sebuah hadis Rasulullah s.a.w., “Raihlah apa yang bermanfaat bagimu”, walaupun ketika itu kita sedang bergelumang dengan ujian. Dua kisah dari riwayat hidup Hasan Al-Banna dan Ummu Sulaim, sudah cukup untuk menjentik hati dan meninggalkan kesan.

Betapa juga, pandangan saya tentang beberapa hal yang saya anggap kecil (tetapi hakikatnya besar) mengenai takdir, selama ini terpendam begitu sahaja dan tidak berani saya terokai, ada jawapannya dalam buku ini. Saya ada kisah peribadi yang sangat berkait Bab 2 (Iman Terhadap Takdir). Sewaktu arwah Ayah saya meninggal di Mekah ketika usia saya 15 tahun selepas waktu haji, lima hari sebelum pulang ke Malaysia, saya sangat tertanya-tanya, kenapa doa dan tangisan saya dalam solat hajat setiap malam, sepanjang beberapa puluh hari arwah di sana (kecuali satu hari saya tertinggal), tidak dikabulkan Allah? Adakah kerana satu hari yang tertinggal itu?

Saya tahu, arwah Ayah sangat uzur ketika bertolak, malah doktor mahu membuat pembedahan pintasan jantung sebelum arwah berlepas, tetapi saya sangat tertanya-tanya, kenapa akhirnya arwah tidak dikurnia usia lebih panjang untuk pulang bertemu saya yang telah berdoa dan berdoa? Meskipun saya telah meredai pemergian arwah lama dahulu, tetapi saya selalu mencari jawapan yang memuaskan, yang dapat memberi ketenangan penuh mengenai masalah takdir ini, dan Alhamdulillah, buku ini menemukan saya dengan jawapannya. Ya, sebuah buku yang sederhana, tetapi menjadi sangat bermakna!

Akhirnya saya memahami, ada dua senjata penting dalam menghadapi kehidupan, tidak kira sewaktu dunia saya sedang bergolak, mahupun ketika dunia saya diempuki nikmat, iaitu sabar dan syukur. Saya berharap saya dapat menggunakan kedua-dua senjata ini pada masa sepatutnya dengan rahmat dan kurnia Allah. Penerangan panjang lebar pengarang dalam Bab 3 mengenai dua keperluan penting ini, akan mampu memberi kejelasan dan ruang lingkup baru pengamalannya.

Siti Aminah Hadawiah

Dirindui, Siti Aminah Hadawiah (20 Februari 1990-11 Februari 2010)

Namun tidak dapat saya nafikan, buku ini mungkin tidak sebermakna seperti yang saya luahkan bagi orang lain, kerana sudut pandang manusia dalam hidup tentulah berbeza-beza. Apatah lagi, buku ini saya baca saat sedang menghadapi dugaan kehilangan, serta desakan pengalaman lampau yang mengesankan jiwa remaja saya 15 tahun lalu. Semua penilaian berbalik kepada diri kita, kerana diri kita semua bukanlah ‘tabula rasa’. Selain itu, mungkin juga pandangan saya yang sangat menyenangkan mengenai buku ini tercipta kerana saya telah terhutang budi menerimanya sebagai hadiah.

Walau bagaimanapun, satu kehampaan yang ingin saya bangkitkan mengenai buku ini, iaitu ayat-ayat Al-Qur’annya hanya ditampilkan dalam bentuk terjemahan sahaja, manakala ayat-ayat yang asli tidak dimasukkan bersama. Penghayatan ayat-ayat Al-Qur’an dalam bentuk asalnya bagi saya adalah penting dalam sesebuah buku agama. Ini sedikit sebanyak mencacatkan, saya kira. Barangkali keputusan pihak penerbit turut memainkan peranan dalam hal ini.

Apapun, tahniah dan terima kasih kepada pengarang buku ini, Tuan Syed Alwi Alatas, yang telah sudi memberi saya peluang membaca bukunya dan membuat resensi. Beliau yang berasal dari Indonesia, setahu saya, adalah Ketua Forum Lingkar Pena (cawangan Malaysia) dan telah lama giat menulis, dengan 18 buah buku atas namanya. Beliau juga boleh ditemui di Goodreads.

Malaysia dan kelab buku dalam talian

kelab buku malaysia

Antara kelab dalam talian yang aktif di dunia maya mahupun realiti

Selalu kita dengar, membaca adalah hobi yang sunyi. Selalu dilakukan sendiri-sendiri. Malah ada persepsi serong yang mengatakan para pencinta buku adalah kera sumbang yang tidak gemar berkawan.

Padahal itu tidak benar. Ulat buku hanyalah orang biasa seperti sesiapa juga, cuma kecintaan terhadap aktiviti membaca sahaja yang lebih tinggi daripada rata-rata orang lain.

Ulat-ulat buku juga menikmati dan menghargai keseronokan berkumpul dengan rakan-rakan, terutamanya para penikmat buku yang dapat bertukar cerita tentang buku-buku yang telah dibaca. Demi mencipta ruang ini, mereka akan menyertai kelab buku atau kumpulan pembaca tertentu.

Menurut sebuah buku berjudul Reading Groups yang mengkaji fenomena kewujudan kelab-kelab buku di negara Barat, kelab buku adalah tidak asing sama sekali, malah wujudnya seiring dengan kewujudan buku.

Seawal penghijrahan dengan jalan laut, telah ada kelompok pembaca di antara oleng gelombang yang saling berbincang isi buku untuk mengisi masa membelah samudera. Atau sewaktu buku masih lagi belum mampu dicetak dalam jumlah besar, ada seorang wanita yang sanggup menyalin karya kegemarannya dengan tangan demi berkongsi cerita dengan jiran yang juga tahu membaca.

Hanya di Malaysia sahaja aktiviti kelab buku boleh dikatakan relatif baru, mungkin kerana tiada pendedahan, ataupun tidak diberi sorotan rasmi. Walau bagaimanapun, pengaruh fenomena ini tetap merebak seiring minat membaca yang kian tinggi, terutama dengan kemunculan beberapa kelab-kelab terbaru dalam talian, termasuk di Facebook.

Di bawah ini adalah senarai beberapa kelab buku dalam talian yang aktif di Malaysia, dinaungi oleh beberapa pihak berbeza:

Bookster Hub – Dinaungi MPH, boleh diakses melalui laman web MPH.

Baca@LRT – Dinaungi PTS, menggunakan Facebook sebagai medium kumpulan. Aktiviti bertumpu di LRT dan stesennya, dengan tujuan menggalakkan rakyat membaca dalam kenderaan awam tersebut.

Goodreads Malaysia – Bebas, tetapi tertakluk kepada syarat pengguna-pengguna Goodreads. Aktiviti menjurus perbincangan mengenai buku-buku dan dikendalikan oleh para peminat buku. Sekali sekala ada ahli akan memberikan buku percuma ataupun mengadakan pertukaran buku/bookswap. Cabaran-cabaran membaca turut diadakan seperti menghabiskan sasaran 50 buku setahun.

BookCrossing Malaysia – Bebas, tetapi tertakluk kepada syarat pengguna-pengguna BookCrossing. Aktiviti melibatkan pembebasan buku-buku untuk dimiliki oleh para peminat secara rawak ataupun secara tangan-ke-tangan. Antara kumpulan yang paling lama bertapak di Malaysia.

Kelab Buku Malaysia – Bebas, menggunakan Facebook sebagai medium. Konsep santai dan tidak fokus kepada apa-apa aktiviti khusus.

Kelab Tidur Dengan Buku – Bebas, baru ditubuhkan pada tahun ini tetapi giat merancang aktiviti-aktiviti yang pelbagai. Menggunakan Facebook sebagai medium. Turut serta dalam aktiviti Kelab Baca@LRT dan lain-lain.

Kewujudan kelab-kelab buku di atas nyata telah memeriahkan lagi dunia buku tanah air. Menjadi ulat buku kini tidak lagi bererti menjadi insan terasing dalam dunia sendiri, tetapi menambah luas lagi pengalaman hidup dan persahabatan, merentas minat, kerjaya dan budaya/agama.

Bengkel proses kreatif bersama Aminah Mokhtar

aku bukan komprador - aminah mokhtar

Salah sebuah buku terbaru Aminah Mokhtar

Tiada yang lebih nikmat setiap bulan, melainkan bengkel sastera yang kecil, erat, mesra. Malah semuanya percuma. Termasuk kopi, kuih, dan makan tengahari.

Itulah kegigihan Dr. Mawar Shafei dan kemurahan hati Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM.

Di situ saya tumpang belajar banyak perkara tentang dunia sastera. Tumpang bersua muka dengan para pengarang, yang selama ini tak termimpikan untuk duduk bersebelahan. Dan saling tertawa.

Dan para pengarang, saya dapati mereka orang-orang yang senang berbagi cerita. Bukan hanya di atas kertas.

Hari ini misalnya, kami bersama Kak Min, atau Aminah Mokhtar, yang menulis dengan jiwa, bermodalkan fikiran dan perasaan, mencanai karya-karya emas. Saya terpaku dari slaid pembentangannya yang pertama.

Tiada kepura-puraan. Dia berbahagi kisah. Betapa cita-cita yang tersasar dari mahu menjadi guru, masuk ke dunia jururawat, bukanlah suatu kekalahan, tetapi sebenarnya jalan yang telah dibentang Tuhan.

Dan sesungguhnya para pengarang, saya dapati mereka orang-orang yang punya kekuatan luar biasa. Bukan sekadar dalam watak cereka yang dihidupkan.

Penderitaan dan kekecewaan mereka tukar menjadi bintang gemerlap di angkasa. Kata Kak Min, mutiara itu di dasar laut tempatnya, bukan calang, di dalam tiram disembunyikan Tuhan. Untuk mencapainya dengan tangan, kita harus pandai menyelam.

Dan lagi, para pengarang, saya dapati mereka orang-orang yang bukan berimaginasi kosong. Mereka cuba menghantar pesan kepada yang sanggup menatap karya-karya.

Ketika fikiran dan perasaan mereka bergolak dengan imaginasi, itu adalah rentetan sensitiviti mereka yang tinggi. Ketika ada blok atau besi penghadang di hadapan, mereka tidak diam. Mereka bersuara dengan tulisan. Ada banyak hal yang ingin mereka jeritkan, membangunkan lengah manusia, membetulkan ketidakadilan.

Sejujurnya saya bukan pengikut setia Aminah Mokhtar, atau staff nurse yang lebih merakyat diri dengan panggilan mesranya Kak Min, tetapi hari ini saya telah mendaftar diri di daftar ghaib peminatnya.

Saya percaya dia orang luhur, yang layak menempati tempatnya kini. Malah layak diraikan lebih-lebih lagi oleh para pembaca. Dia menulis dari jiwa. Dengan rasa gerun kepada Sang Pencipta.

Ah! Bengkel kecil itu – di pusat sumber Pusat Pengajian Bahasa; bukan kopi, kuih atau makan tengahari percuma yang menghangatkannya, tetapi kemabukan menulis, cinta yang tidak putus-putus akan susastera, kata-kata indah yang cuba mengubah dunia. Apa adanya.

Jepun dan cinta dalam Mekar Sakura

Ketika sakura mekar, apa terjadi dengan cinta?

Coret Dato’ Baha Zain di lembaran Dewan Sastera tahun 1972, audiens sastera kita kurang kritis. Saya rasa saya termasuk dalam kelompok yang kurang kritis itu. Selama ini saya banyak memendam perasaan mahu mengkritik, enggan melukai pemilik karya. Saya tahu, mengarang bukan enteng. Dan siapa pula saya mahu menerjah karya orang sesuka hati.

Tetapi sampai bila saya mahu jadi audiens 70-an dalam abad 20-an? Sudah sampai masanya untuk saya lebih skeptikal, tidak menerima dan menelan sahaja. Lagipun tidak semestinya kritikan saya melukai; pada saya sendiri, saya ingin dan mahu kritikan untuk terus mengatur gerak lebih ampuh.

Berbalik kepada buku yang baru saya habisi, karya ini telah memenangi Hadiah Sastera Perdana kategori kumpulan cerpen baru-baru ini (18 Januari 2010). Buah tangan Ilham Hamdani, berjudul Mekar Sakura di Mimbar Cinta. Sewaktu melihat tajuknya mula-mula, ada dua perkara dalam fikiran saya: Jepun, dan cinta.

Saya peminat Jepun, pernah tenggelam dalam episod Ninja, Rin Hanekoma, Oshin, Maero Attack dan Chiaki, serta menikmati komik Doraemon, Kenshin Himura Battohsai Legenda dan Chibi Maruko semasa kanak-kanak dan awal remaja. Cinta? Saya juga tiada isu untuk membantah soal cinta, walaupun sejak berkeluarga buku bertema cinta ala remaja sudah tidak masuk pertimbangan beli. Namun untuk mengatakan anti-buku cinta sepenuhnya, saya tidak. Ada banyak juga pernah saya baca ketika muda.

Ada 13 buah cerpen dalam buku ini. Kebanyakannya bernuansa Islam dan dakwah, dan hampir semuanya mengangkat Jepun sebagai latar utama, sesuai dengan simbolik sakura pada judulnya. Hanya 3 buah cerpen sahaja yang memilih latar selain Jepun.

Salah satu cerpen yang tidak berlatar Jepun berjudul Air Mata Seorang Gigolo, mengangkat sesal perasaan seorang bekas gigolo ketika berada di Tanah Suci. Pengarang berjaya menenggelamkan watak dalam kehinaan dosanya, menyiksa bekas gigolo itu sepuas-puasnya sehingga makam-makam ibadat yang diburu manusia, enggan menerimanya.

Cerpen yang dihidupkan di Taman KLCC pula mengisahkan seorang lelaki kurang siuman turun ke kota pada malam tahun baru, mencari si pembuka kota. Di situ dia bertemu dengan seorang kanak-kanak yang penuh rasa ingin tahu, serta seorang lelaki tua yang misteri. Jukstaposisi pencarian lelaki tersebut dan suasana malam tahun baru yang bobrok, berhasil mengangkat kesan dan pesan ke dalam diri pembaca.

Sebuah cerpen lagi yang mengangkat latar bukan ‘sakura’, adalah cerpen terakhir dalam buku ini, iaitu Wardah Ain Salsabila, yang mengisahkan pengorbanan seorang isteri membiayai rumah tangga kerana ingin suaminya terus berbakti kepada sebuah sekolah agama yang miskin belanja. Permintaan paling hujung sang isteri, membawa cerita kepada klimaksnya. Walaupun ada bayang-bayang konflik, tetapi pada saya ia belum cukup padu. Permintaan paling hujung itu pula sudah agak klise dalam kisah-kisah cinta kebanyakan.

Sepuluh buah cerpen selebihnya, adalah cerpen-cerpen ‘sakura’. Namun sedikit gusar untuk saya nyatakan, meskipun isu yang telah diangkat oleh penulis adalah isu-isu Islam dan dakwah, namun garapannya tidak sebulat yang saya harapkan. Ada yang terlalu rancu dengan hal-hal sampingan yang tidak menjulang konflik utama. Misalnya kisah Kembara Kenangan di Sakura, pertautan antara kenangan puasa di permulaan cerita dengan kenangan di Al-Quds agak kendur oleh segala cerita-cerita kecil di antaranya.

Begitu juga dari segi perwatakan, kerapkali nama watak dan ciri yang sama dihidupkan berulang kali sehingga berasa seperti ia adalah cantuman memoir peribadi, sebuah kenangan indah dan cabaran kehidupan pelajar di Jepun.

Pada akhir pembacaan, banyak antara kisah-kisah di bumi sakura itu tidak dapat saya ingat betul-betul, kerana banyaknya persamaan di antara satu sama lain. Kebanyakan watak adalah gadis atau wanita Jepun, yang pada mulanya tidak berminat kepada Islam, kemudian tertarik dan akhirnya memeluk Islam. Saya sebenarnya berharap jika pengarang mengisi lebih banyak sisi falsafah, atau pandangan hidup Jepun sebagai perbandingan dengan kepercayaan agama kita, untuk menambah inti cerita.

Walau bagaimanapun, antara kisah di Jepun yang agak hidup dan berlainan dari sudut pengolahannya, adalah cerpen Segeralah Merdeka yang mengisahkan ukhuwah antara pelajar Malaysia dan pelajar Palestin di Jepun, mengangkat konflik Palestin-Israel. Sebuah lagi yang agak berbeza dari keseluruhan cerpen lain dalam buku ini, adalah cerpen Pada Awan Langit Chiba, menceritakan konflik seorang bekas pelajar di Jepun yang kini berkerjaya di sana, tetapi diminta pulang oleh ibu bapanya.

Apabila mengingat semula setiap cerpen, dan judul yang dipilih untuk buku ini, ada sisi ironinya pada saya. Ini kerana terbersit dalam fikiran, cerpen-cerpen terkuat Ilham Hamdani bukanlah cerpen-cerpen Jepunnya, tetapi 2 buah cerpen bukan Jepunnya mengenai gigolo dan pembuka kota.

Sudah tentu saya tidak sesal membaca buku ini, ada pengisian dan pengajaran tersendiri boleh dikocekkan untuk hari muka. Semestinya, dalam setiap huruf yang tercatat ada pahala menurut niat pengarangnya, apatah lagi isu-isu yang dibawakan adalah isu-isu dakwah dan Islam.

Apapun sekalung tahniah untuk buku ini yang telah menggondol hadiah. Jangan tanyakan saya buku ini layak menang atau tidak, kerana tidak adil menilainya sendirian tanpa mengetahui calon-calon karya lain yang telah turut serta.