Program Bright Sparks Universiti Malaya

Percik ilmu, terangi gelap

Universiti Malaya membuka program baru untuk merekrut para penyelidik kelas pertama, dikenali sebagai Bright Sparks Program (BSP). Ini seiring dengan rancangan kerajaan untuk menjadikan UM sebagai universiti penyelidikan ulung negara ini.

UM telah lama menyediakan kursus sains maklumat dan perpustakaan pada peringkat sarjana dan PhD. Bagi para pustakawan yang ingin beralih ke bidang akademik, mungkin program ini adalah lebuhraya ke arah cita-cita itu.

Bagi yang telah memiliki sarjana, antara syarat yang perlu dipenuhi adalah memiliki sekurang-kurangnya dua artikel yang telah terbit dalam mana-mana jurnal yang diindeks oleh ISI.

Berikut adalah antara jurnal-jurnal yang diindeks ISI itu:

  1. Library Journal (Academic Source Premier & ProQuest)
  2. Library Collections, Acquistions & Technical Services
  3. Library Quarterly
  4. Library Trends (Proquest, embargo 1 year)
  5. Library & Information Science Research (Science Direct)
  6. Library Resources & Technical Services (Expanded Academic ASAP & Academic Source Premier)
  7. Library Hi-Tech (Emerald Insight)
  8. Library & Information Science
  9. Information Research (open-access)
  10. Information Development
  11. Information Society (Business Source Complete, embargo 1 year)
  12. Book Collector

Selamat menyelidik, menulis dan memburu impian!

Maklumat lebih lanjut mengenai BSP boleh dirujuk di sini.

Things I’ve Been Silent About: Memories (Azar Nafisi)

Nafisi, Things I've Been Silent About

Memoir kedua Nafisi selepas Reading Lolita in Tehran

Judul: Things I’ve Been Silent About: Memories
Pengarang: Azar Nafisi
Penerbit: William Heinemann Ltd
Tahun: 2009
ISBN: 0434014044

Buku ini ada dua kisah selari: pertama, sejarah Iran sekitar 1950-1997 (zaman Shah hingga zaman Revolusi Islam), dan kedua, sejarah keluarga Azar Nafisi.

Azar Nafisi adalah seorang profesor kesusasteraan Inggeris asal Iran. Selepas mengajar di beberapa buah universiti di Iran, akhirnya beliau berhijrah ke Washington, D.C. untuk memenuhi undangan kerusi felo di Universiti John Hopkins.

Buku beliau yang mendapat sambutan sebelum ini adalah Reading Lolita in Tehran.

Tidak dinafikan, Nafisi mampu menulis dengan lenggok bahasa yang cantik. Ini membuatkan saya terbuai dengan kisah hidupnya, meskipun secara peribadi dan prinsip, saya tidaklah terlalu gemar dengan sikap buka-buka cerita peribadi yang mengaibkan, apatah lagi orang yang telah tiada itu adalah ibu dan ayah kita sendiri.

Walau bagaimanapun, banyak yang boleh diambil iktibar dari kehidupan Nafisi dalam keluarga elit pertengahan keturunan raja Qajar yang salah seorang tokoh keluarga adalah Ibnu Nafis, ahli perubatan Islam. Antaranya adalah cara keluarga menjalinkan tali kukuh antara anak dengan kebudayaan bangsa; tak lain tak bukan melalui buku-buku klasik Shahnameh, Vis and Ramin, syair-syair Rumi dan Hafez.

Manakala dari hal sejarah Iran, antara tujuan yang berjaya dipenuhi oleh buku ini, adalah bayangan kehidupan di bawah Republik Islam Iran dari kaca mata Muslim moderat atau liberal (yang menganggap tidak bertudung, minum-minum dan seumpamanya sebagai hak asasi manusia).

Selama ini saya hanya membaca Iran dari kaca mata pendokong revolusi, jadi buku ini sebagai satu kepingan susun suai (jigsaw puzzle) yang melengkapkan lagi gambaran saya tentang Iran selepas Revolusi Iran dan Travelog Iran: Menyingkap Misteri Bumi Ahmadinejad.

Mungkin tidak salah mengatakan begini: apa-apa jenis pemerintahan pun nampaknya tidak dapat lari dari menggunakan penjara dan menumpahkan darah apabila mahu mengukuhkan pemerintahannya, walau sesuci dan semanis mana pun ideologi yang dicanang – jadi pilihan bukan sepatutnya didasarkan pada anti-penjara / anti-darah bila berdepan dengan penentang, tetapi prinsip keadilan sosial yang bakal menunjangi hidup para pendokong dan para simpatisannya selepas dan semasa pemerintahan itu berlangsung?

Masih terlalu banyak falsafah perlu direnung, dan buku ini bukan penamat dan pemuktamad untuk sebuah persoalan sebesar kenegaraan.

Kerjaya di perpustakaan

toronto reference library

Pemandangan Aras 2 hingga 5 Perpustakaan Rujukan Toronto

Seorang teman maya di Goodreads Malaysia bertanya:

By the way, what do you do in the library? Do you just sit behind a computer and catalog books or do you actively help students (you deal mostly with students right?) find the books that they need?

Mulanya saya mahu menjawab mesejnya secara personal, tetapi oleh sebab seringkali mendengar pelbagai pertanyaan senada mengenai kerja di perpustakaan, saya fikir elok juga saya menulis entri khusus untuk sesiapa yang berminat untuk tahu.

Saya mungkin belum lagi  berjaya meraih gelar pustakawan penuh sejak mendapat tauliah kepakaran tersebut dari tempat pengajian, namun sekadar pemerhatian saya sebagai ‘orang dalam’ bolehlah dikongsi.

Bagi bahagian pertama pertanyaan itu;  jawapannya adalah tidak. Seorang yang bekerja di perpustakaan tidak hanya duduk di komputer dan mengkatalog buku walaupun dia seorang pustakawan bahagian katalog di sesebuah perpustakaan akademik. Begitu juga pustakawan khidmat pembaca. Mereka tidak bergelumang dengan pertanyaan pelajar, pensyarah dan pengunjung luar sepanjang masa.

Antara tugas lain yang dipikul pustakawan atau petugas perpustakaan pada zaman kini adalah:

  1. Menjadi pengajar kelas celik maklumat untuk pelajar prasiswazah dan siswazah;
  2. Menjadi pemudah cara lawatan perpustakaan bagi prasiswazah dan siswazah baru serta pelawat luar;
  3. Menguruskan sistem repositori institusi secara usaha sama dengan pihak pentadbir dan fakulti;
  4. Mengagih belanjawan yang diperuntukkan oleh pihak pentadbir untuk perpustakaan;
  5. Merancang perkembangan perpustakaan berdasarkan belanjawan;
  6. Menghadiri seminar mengenai teknologi dan tahap profesionalisme mutakhir dalam bidang mereka;
  7. Melakukan kaji selidik untuk mengetahui tahap perkhidmatan perpustakaan;
  8. Menulis untuk jurnal-jurnal profesional bidang mereka;
  9. Mengadakan pameran berkenaan koleksi dan isu-isu tertentu yang penting;
  10. Menyelaras aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan bahan;
  11. Menghadiri kursus-kursus bina diri dan kemahiran;
  12. Bertemu dengan pihak fakulti atau pentadbiran universiti untuk menyelaraskan keperluan institusi dengan khidmat perpustakaan;
  13. Memastikan kemudahan perpustakaan terutama kemudahan IT berada pada tahap terbaik untuk kegunaan pengunjung;
  14. Ikut serta dalam audit dalaman dan audit luaran perpustakaan dan universiti;
  15. Dihantar oleh pentadbir perpustakaan untuk membuat pemilihan bahan perpustakaan di luar negara mengikut giliran – biasanya di pesta-pesta buku antarabangsa;
  16. Melaksanakan aktiviti promosi perpustakaan; dan
  17. Terlibat dalam proses rundingan pemerolehan manuskrip atau bahan nadir untuk perpustakaan.

Kesemua tugasan tersebut bagaimana pun bergantung kepada jenis institusi atau organisasi tempat berkhidmat.

Hidup dalam dunia ledakan maklumat telah menambah cabang-cabang perkhidmatan yang boleh digeluti oleh mereka yang berpendidikan sains maklumat dan perpustakaan.

Mereka boleh jadi juga bertugas di bahagian rekod hospital, menjadi dokumentalis (document controller) di syarikat-syarikat nasional mahupun multinasional, menjadi pegawai pengurus maklumat di syarikat korporat dan lain-lain.

Bagi  pertanyaan bahagian kedua, hakikatnya bukan hanya buku yang biasanya diperlukan oleh pencari maklumat zaman kini.

Secara ekstensif, petugas perpustakaan biasanya mencari bahan berdasarkan keperluan para penyelidik – misalnya ‘saya mencari bahan mengenai etika kerja’, ‘kami mencari bahan mengenai konfrontasi Malaysia-Indonesia’, ‘saya mencari bahan mengenai pilihan raya Malaysia ke-12′, dan seumpamanya.

Keperluan maklumat mereka paling kurang akan merangkumi bahan-bahan dalam katalog utama dan pangkalan data elektronik, termasuk akhbar, majalah, jurnal, mikrofilem, mikrofiche, multimedia dan lain-lain.

Namun begitu, kepakaran seseorang pustakawan atau mereka yang bekerja di perpustakaan banyak bergantung kepada minat dan tumpuan masing-masing terhadap bidang yang istimewa ini.

Sama seperti seorang pereka laman web yang mencintai bidangnya dapat menghasilkan laman yang tinggi nilai artistik, mudah dilayari serta bagus SEOnya, berbanding pereka laman biasa yang mencedok dari pereka lain untuk memudahkan tugasnya.

Sama seperti seorang pekerja akaun yang tidak kisah menjadi eksekutif akaun sepanjang hayatnya, tanpa perasaan ingin menjadi akauntan bertauliah dengan memiliki ACCA atau CIMA.

Sama seperti seorang doktor yang berasa memadai dengan membuka cawangan demi cawangan klinik tanpa cita-cita menjadi doktor pakar.

Menjadi pustakawan sejati memerlukan kecintaan luar biasa kepada bidang ini; dan hanya dengan itu sahaja mereka dapat menjadi tokoh zaman seperti Magliabechi dan Martin Lings atau melangkaui bidang kepustakawanannya seperti Prof. Ding Choo Ming dan Prof. Shaharom TM Sulaiman.

Artikel Kerjaya Pustakawan: Antara Persepsi Stereotaip dan Realiti oleh Harith Faruqi Sidek, bekas ketua bahagian Koleksi Arkib, Galeri dan Khas, PTSL UKM mungkin boleh menambah jelas lagi mengenai stigma kerjaya pustakawan.

Kumpulan Cerpen: Menanti Buraq

Menanti Buraq Marsli N.O.

Dunia yang dicipta Marsli N.O. mampu menjungkirbalikkan minda

Judul: Kumpulan Cerpen Menanti Buraq
Pengarang: Marsli N.O.
Tahun: c2008, 2009
ISBN: 9789836298096
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Halaman: 279

Sewaktu menerima buku Kumpulan Cerpen: Menanti Buraq awal April lepas, saya memang gembira; malah terlalu. Apa tidaknya, buku ini hadiah dari Marsli N.O. yang sejak remaja saya lekatkan sajaknya ‘Negeri Ini, Anak‘ ke dalam buku catatan peribadi. Walaupun ini hadiah bersyarat kerana perlu meresensi, tetapi perasaan memilikinya berbeza berbanding yang dibeli. Ada sentuhan insaniah. Tautan rasa yang manis terhadap si pengarang yang berbudi.

“Selamat membaca dunia jungkir balik dari pengarang yang selalu ingin melawan”, catat Marsli N.O. di dalam. Bersahaja, tetapi  ada bisa dan mengundang tanda tanya. Blurb di belakang pula menyebut mengenai pendekatan psikoanalisis. Freud ahli psikologi Yahudi itu segera terbayang di depan mata. Saya jadi tidak sabar mahu menikmati 27 buah cerpen dalam Menanti Buraq secepatnya, secepat Bila Allah Menduga Kita. Supaya dengan itu juga hutang resensi saya dengan Pak Marsli dapat segera langsai.

Tetapi telahan ‘membaca secepatnya’ itu kesasar. Sebermula kembara saya menyelami dunia jungkir balik dan psikoanalisis yang dicipta Marsli N.O., saya perlahan-lahan sedar Menanti Buraq bukan buku yang boleh dihadam sekelip mata jika benar-benar mahu menanggapi inti maknanya. Bukan kerana bahasa. Tiada kata-kata bombastik dan sukar sengaja diselit seperti dalam sesetengah karya sastera. Bahasanya sangat santai, straight-forward dan sederhana. Tetapi cabarannya adalah kerana kita harus ikut berjungkir balik dalam segala peristiwa luar biasa dan di luar lojik akal yang dihidangkan. Banyak kali saya terpaksa mendesak realiti agar bubar sebentar untuk merasai apa yang dialami watak-watak.

Gambaran lebih tepat hanya dapat diberikan oleh dunia kata-kata Marsli N.O. sendiri, contohnya dalam cerpen Mahkota (1991):

Juak Kedua mengumpul seluruh tenaganya dan mula mencabut salah satu uban.

“Aduh!” Terdengar dia memekik.

“Dan, pada detik yang sama, darah memancut-mancut keluar daripada liang uban….

Dalam cerpen-cerpen seterusnya, Marsli N.O. terus-terusan bermain dengan gambaran seperti ini, menggegarkan realiti dunia normal kita:

Mulut? Mata? Telinga? Kenapakah kalian berada di sini?

“Kami lari dari mereka.”

“Kenapa?”

“Sebagai tanda protes kami.”

(Sesuatu, 1991)

“Baiklah. Akan segera saya buktikan,” katanya dan mencapai pisau…. Perlahan-lahan dia mulai menghiris-hiris daging pahanya sendiri, sepotong demi sepotong….

(Makan, 1993)

Betapa anehnya dunia yang dihidangkan pengarang ini!

Sejujurnya saya bukanlah penggemar sejati cereka berdarah, ngeri dan absurd (terlalu maskulin!), tetapi setelah makna yang lebih dalam perlahan-lahan  menjelma, saya berasa terhibur dan barangkali boleh juga dikata lega – kerana imej-imej yang dihantar bukanlah semata-mata mahu bercerita, berseni dan berteka-teki dengan pembaca, tetapi menyedarkan mengenai pelbagai situasi tidak adil, bejat, khianat, tanggungjawab moral serta segala macam lagi yang sedang mengganggu-gugat ketenteraman rohani manusia. Oleh sebab pelbagai derita rohani,  watak-watak dalam dunia cereka Marsli N.O. akhirnya berkomunikasi dengan diri sendiri secara bawah sedar; menyatakan perlawanan masing-masing untuk bebas dari beban tanggungan emosi itu. Kebebasan secara luar biasa dan luar jangka inilah yang sangat melegakan dan menghiburkan.

Hampir semua kisah yang dihidangkan dalam Menanti Buraq sangat mengesankan bagi saya, terutama sekali kerana imej-imej yang tercipta dari kata-kata Marsli N.O. adalah imej-imej yang asing, baru, aneh dan menyentak diri. Sesuatu, yang mengisahkan mulut, mata dan telinga lari daripada manusia; Kaki, yang menceritakan mengenai seorang bekas pemimpin yang kehilangan kaki kanan yang akhirnya ditemui semula di suatu tempat yang paling tak terjangka; manusia yang kehilangan otak dalam Dia dan Dia-Dia, suami yang sanggup menggadaikan anggota badannya yang paling mulia bagi orang Melayu demi secebis daging rusa dalam Habuan, atau pemimpin yang mengempis badannya lalu tersadai di lantai akibat dicucuk oleh si bahlul dan si keparat dalam Kosong; semuanya menuntut fikiran bekerja lebih keras mencari jawapan. Adakalanya membaca kisah-kisah itu seperti mengerjakan teka-teki; jika anda penggemar teka-teki, mungkin buku ini akan terasa lebih akrab.

Sampai di akhir juga, saya jadi mengerti, apa yang dimaksudkan dengan Marsli N.O. bahawa beliau adalah seorang ‘penulis yang selalu ingin melawan’. Betapa banyak perlawanan yang diangkat Marsli N.O. dalam watak-watak cerekanya, tidak kira watak itu adalah watak biasa, atau watak absurd yang cuma dapat berkuasa dalam dunia absurd juga. Tetapi benar, saya percaya setiap manusia (dan bukan hanya pengarang) harus kekal menjadi pelawan sepanjang hidup duniawinya. Setiap detik adalah perlawanan; dengan nafsu diri, dengan tekanan sosial, dengan ketidakadilan-rasuah-kebejatan moral-pengkhianatan. Setiap kita harus menjadi pelawan itu. Hingga akhir masa.

Menanti Buraq juga membuat saya teringatkan Kasut Biru Rubina. Jika Kasut Biru Rubina menghidangkan dunia absurd dengan imej-imej Barat seperti unikorn dan lain-lain, dunia absurd Marsli N.O. pula memberikan imej-imej yang lebih berbudaya tempatan atau neutral. Apa yang dulunya saya anggap hidangan di luar kotak daripada Kasut Biru Rubina, rupa-rupanya tidaklah terlalu baru selepas membaca Menanti Buraq (sekurang-kurangnya di Malaysia). Mungkin pakej Kasut Biru Rubina hanya lebih muda, segar dan hedonis, manakala bingkisan Marsli N.O. lebih bernada dewasa, matang dan menasihati.

Ringkas kata, Menanti Buraq sememangnya mengajak pembaca mengunjungi sebuah dunia asing yang tidak mungkin dapat dialami secara realiti – semuanya berada dalam dimensi bawah sedar yang digeluti pengarang bernama Marsli N.O. Sifatnya yang menghibur dengan bahasa yang tidak memberatkan membuatkan kita tidak terasa bahawa cerpen-cerpennya mampu menyedut tenaga fikir kita. Tidak hairan sama sekali kumpulan cerpen ini sudah dicetak ulang kali kedua selepas setahun diterbitkan. Hidangan nikmat teka-teki perlawanan rohani. Ada kepuasan tersendiri.

———————————————————————————————————————————-

Riwayat hidup pengarang dan Menanti Buraq boleh didapati melalui blog Marsli N.O.

Marsli N.O. juga telah mempunyai dua buah buku terbaru iaitu Kumpulan Cerpen Politikus, Badut dan Sebuah Cermin (2009) serta Kumpulan Sajak Di Negeri Mabok (2010).

Apabila anak bertanya mengenai si bayi malang

pemikir_april

Jurnal Pemikir (April-Julai 2010)

Jalan sebak waktu petang sepulang dari kerja sudah perkara biasa. Acapkali saya bunuh rasa bosan menunggu trafik beranjak dengan membaca secara skimming. Hari itu, saya membelek Pemikir (April-Julai 2010).

Pada kulit Pemikir ada foto si bayi malang yang badannya separa hangus terbakar – dan di dalamnya ada sorotan mengenai isu sosial kelahiran luar nikah (atau hakikatnya bagi Muslim; isu zina, isu bunuh, isu dakwah, isu fiqh, isu hudud!), yang disentuh oleh Yohan Kurniawan dengan segala fakta dan statistik yang menggerunkan seorang ibu yang punya anak perempuan seperti saya (moga-moga Allah melindungi kita dan keturunan kita dari ujian seperti itu).

Ketika jujukan kereta kembali bergerak, Pemikir itu saya damparkan atas dashboard hingga sampai di taman asuhan untuk menjemput anak. Betul-betul saya terlupa, sehinggalah tangan kecil anak saya mengambil jurnal itu. Tetapi waktu itu saya sudah terlambat, apatah lagi tangan sedang berjuang dengan stereng.

Bagi anak empat tahun yang baru belajar kenal huruf, fotolah yang lebih cepat mesra di matanya. Bagi anak empat tahun, mungkin ada naluri yang menyentak insaniahnya kala foto ngeri itu dijamah mata.

Terlalu menyayat hati untuk ditatap

“Ummi, gambar apa ni Ummi?” Tanyanya dengan mata bulat ditakungi kerisauan.

Saya terdiam, tergagap mahu menjawab.

Selepas hmmm, hmmm beberapa kali, mencari dalih, saya melihat sekilas anak matanya yang beriak hairan + terkejut.

“Gambar kucing tu.”

“Ini bukan kucing ni Ummi. Ini tangan ni.”

“Yalah, tangan kucinglah tu.”

“Kenapa tangan dia macam tu? Kena apa Ummi?”

“Kucing tu jatuh bumbung.”

Dan dia membuat suara kecil rengekan, sedih dan tidak puas hati. Berkali-kali selepas itu dia masih bertanya, bagaimana itu boleh terjadi.

————————————————————————————————————————————-

Saya masih tidak pasti, apakah itu jawapan terbaik yang patut saya berikan kepada seorang anak yang sedang mengenal dunia. Tetapi saya tidak sanggup memberitahunya hakikat yang telah menimpa si bayi malang; sama seperti ketika dia melihat wajah bayi yang dipenuhi luka gigitan semut di seluruh muka di kaca televisyen suatu malam. Ketika dia cemas dan separuh menjerit bertanya, “Ummi, kenapa baby tu Ummi? Kenapa baby tu Ummi? Kenapa baby tu Ummi?”, berkali-kali, saya hanya mampu memeluk dia sambil menahan air mata.

Apa jawapan terbaik yang kalian berikan kepada seorang anak yang baru mengenal dunia, yang menemui hal-hal yang tak sepatutnya dia hadapi di dalam buku atau media lainnya? Sejauh saya mengawal segala rancangan televisyen dan buku-buku bagaimana yang harus dia baca, ternyata keparahan penyakit masyarakat sudah terlalu merebak, sehingga dia tetap akan menemuinya secara tiba-tiba dan tak terduga.

Bukan hanya jalan yang sebak saban waktu, tetapi saya yakin banyak hati manusia di luar sana juga sebak dengan rentet kehancuran manusiawi zaman kini.

(Takziah juga buat keluarga Allahyarham Aminolrashid Amzah, semoga Allah menunjukkan jalan kepada kita untuk menjernihkan segala yang gelap di hadapan mata)

Ljubljana, Ibu Kota Buku 2010

ljubljana

Ljubljana - dari mata Marko Modic (1958- ), jurufoto dan artis persembahan kelahiran kota Eropah itu

Hari Buku Sedunia diraikan setiap tahun pada 23 April.

Bermula pada tahun 2001, sebuah bandar dipilih oleh UNESCO, IPA, IBF dan IFLA sebagai Ibu Kota Buku Sedunia; dimulai dengan Madrid (2001), Alexandria (2002), New Delhi (2003), Antwerp (2004), Montreal (2005), Turin (2006), Bogotá (2007), Amsterdam (2008) dan Beirut (2009).

Ibu Kota Buku Sedunia 2010 adalah Ljubljana di Slovenia, menewaskan calon-calon kota lain seperti Vienna, Lisbon, St. Petersburg, Riga, Guadalajara dan Wellington. Ibu Kota Buku Sedunia 2011 pula ialah Buenos Aires (Argentina). Manakala pencalonan untuk Ibu Kota Buku Sedunia 2012 telah tamat pada 31 Mac 2010 mengikut waktu Perancis.

Syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh sesebuah bandar untuk dinobatkan sebagai Ibu Kota Buku Sedunia adalah:

  1. Penyerahan senarai program termasuk aktiviti yang akan diadakan oleh bandar tersebut sepanjang setahun penobatannya sebagai Ibu Kota Buku Sedunia; aktiviti-aktiviti tersebut haruslah istimewa dan hanya khusus diadakan untuk mendapatkan penobatan serta bukan aktiviti tahunan yang biasa;
  2. Penglibatan semua tahap pada peringkat perbandaran, wilayah, nasional dan antarabangsa serta ukuran sejauh mana potensi aktiviti yang diadakan boleh memberi impak meluas;
  3. Jumlah dan mutu jalinan kerjasama yang sedang berjalan di bandar tersebut dengan pihak profesional nasional dan antarabangsa yang mewakili penulis, penerbit, penjual buku dan pustakawan.
  4. Jumlah dan mutu pelbagai aktiviti lain yang mempromosikan buku dan budaya membaca.
  5. Memenuhi prinsip kebebasan ekspresi, kebebasan menerbit dan kebebasan menyebar maklumat seperti yang digariskan Perlembagaan UNESCO, Artikel 19 dan 27 Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia dan Perjanjian Florence.

    Kutubkhanah Nasional dan Universiti di tengah Ljubljana - bangunan bersejarah karya arkitek Jože Plecnik (foto oleh Oliver-Bonjoch)

——————————————————————————————————

Pada firasat saya, kota Malaysia kemungkinan besar tak akan pernah menyandang kehormatan ini; dalam keadaan kita hari ini, dalam waktu terdekat ini. Masih banyak yang harus ditinggalkan, lebih banyak pula yang harus dibudayakan.

Pustakawan sejati

perpustakaan tua

Pustakawan - perlu kaya ilmu!

Sekadar renungan, kerana saya dalam pencarian syarat-syarat yang wajar dipenuhi, untuk seorang pustakawan bergelar pustakawan sejati.

  1. Penuh sedar bahawa tanggungjawab utamanya adalah sebagai pemudah cara, pemandu orang ramai meneroka ‘hutan’ maklumat, ‘memimpin’ agar manusia tidak tersesat di dalam ‘hutan’ itu, yang akibatnya adalah kehilangan masa yang sangat berharga, atau mencapai keputusan yang tidak tepat.
  2. Atas kesedarannya itu, seorang pustakawan harus sentiasa peka, sentiasa berusaha, demi  memahami jutaan ‘kerenah’ setiap ‘pohon’ di hutan maklumat. Setiap hari dia wajib mendekatkan diri dengan khazanah ilmu, memperhatikan keperluan maklumat bangsa yang paling terkini dan mendesak mengikut zaman yang sedang dilalui.
  3. Atas kewajipannya mendekatkan diri dengan ilmu, dia bukan hanya harus menjadi pengumpul, tetapi menjadi pembaca dan penilai maklumat, agar apabila seorang pencari ilmu datang kepadanya mencari bahan, dia mampu memberi saranan penyelesaian sekiranya bahan yang dicari tidak ada dalam koleksi jagaannya. Dia juga harus menjadi pemerhati zaman, bukan iseng-iseng melalui waktu tanpa peduli.
  4. Atas keperluannya menjadi pembaca, penilai maklumat dan pemerhati zaman, dia tidak boleh menjadi orang yang hidup terpisah daripada masyarakat. Dia perlu menjadi pembina persahabatan yang mesra dengan kelompok ilmuwan, supaya dia lebih faham dan berpengetahuan mengenai ‘hutan’ ilmu yang diuruskannya, serta zaman  yang sedang dihadapinya.
  5. Hanya apabila dia dapat membantu menjernihkan kekalutan pencari ilmu di ‘hutan’ yang sudah berusia ribuan tahun itu (atau jutaan?), barulah dia berasa wajar meraikan kegembiraan paling besar, melebihi kegembiraan para pencari itu sendiri!