ISTAC & pembekal yang pemurah

Suatu hari Puan bertanya, “Awak tak bosan ke buat kerja yang sama sahaja?”

Saya segera berjujur, bermain dengan data jurnal & bahan bersiri sepanjang hari adakalanya membuat diri hampir tersengguk di depan komputer pada waktu jam biologi cuba merampas kuasa (biasanya sekitar jam tiga).

Komputer

Seronok menganalisa data, tetapi ruang meneroka dunia tetap perlu

Walaupun saya bukan dalam kategori yang mencintai kerja tepu komunikasi interpersonal, kerana personaliti saya menjurus INFP, tetapi peluang melawat ISTAC dan HQ pembekal memang peluang yang jarang dapat dirasai.

Lagi pula semuanya masih berkait buku dan buku!

ISTAC yang kini sebahagian daripada UIAM adalah institusi unik hasil pelaksanaan idea pendeta Syed Naquib al-Attas. Keistimewaan ISTAC bukan sahaja pada binaan yang beliau zahirkan daripada lakaran tangannya sendiri, tetapi berisi simbolisme yang tinggi.

Lakaran Syed Naquib

Syed Naquib Al-Attas melakar sendiri setiap seni bina yang akhirnya dizahirkan di ISTAC

Perpustakaannya juga sangat istimewa kerana memiliki koleksi artifak, manuskrip & peta lama dunia Islam, koleksi nadir dan koleksi sarjana Barat pengkaji Islam yang tidak akan didapati di mana-mana tempat lain. Salah satu koleksi buku nadirnya adalah buku Thomas Frognall Dibdin mengenai bibliofil. Terdapat juga peta Arab tua yang menunjukkan Semenanjung Malaysia dan kewujudan Melaka.

Lebih menarik lagi, sebuah buku berjudul ISTAC Illuminated telah ditulis untuk memberi gambaran jelas satu persatu mengenai makna di sebalik setiap ukiran dan seni bina bangunan itu. Buku itu telah saya buru selepas waktu makan di bankuet yang disifatkan oleh pustakawan dan staf ISTAC sebagai Dewan Harry Potter (memang ada suasananya, kalau dipindahkan lokasi filem Harry Potter ke ISTAC, nescaya filem itu tidak lari temanya!).

Istac Illuminated & Risalah Untuk Kaum Muslimin

Dua buku yang menyebabkan diri hampir ditinggal bas rombongan!

Sambil menunggu resit buku pertama dicetak, saya terlihat buku-buku lain Syed Naquib di rak. Saya terdorong membeli sebuah lagi buku yang semakin sukar dicari iaitu Risalah untuk Kaum Muslimin. Maka bermulalah sesi pujuk-memujuk. Rakan sekerja itu tidak dapat menjual naskhah yang satu-satunya masih berbalut dan dalam keadaan baik, kerana itulah satu-satunya yang ada untuk simpanan ISTAC. Saya reda memilih naskhah yang terkena air pada belikat buku itu di sebelah bawahnya, apatah lagi dengan harga modal sahaja.

Keesokannya, Puan meminta saya menemankan rakan kerja senior ke pejabat pembekal; atas jemputan mereka, supaya kami dapat meninjau sendiri bagaimana proses pengimpotan jurnal dan bahan bersiri lain di buat, sehingga sampai ke pihak perpustakaan.

Memang pengalaman saya julung kali, terutamanya untuk tahu bagaimana sebuah syarikat sebegituberoperasi. Selepas 40 tahun berkecimpung, mereka sudah mampu membeli satu aras bangunan di PJ dan mempunyai unit penerbitan dan penjualan, selain mengimpot dan mengedar buku dan jurnal antarabangsa.

Pengalaman itu bertambah manis lagi bila Tuan M yang sangat pemurah itu telah membawa kami ke stor buku.  Kata pekerjanya, pilih sahaja mana yang mahu. Wah, segan sekali rasanya – apatah lagi tangan saya memang tak dapat menahan daripada menyambar 4 buah buku! Kalau boleh mahu satu kotak, tapi aduh! mana mahu letak muka selepas itu? Saya tawarkan diri untuk membayar, memikirkan tidak manis nafsu saya dibiar bermaharajalela di situ sebebasnya. Tetapi mereka menolak.

Akhirnya saya pulang dengan sekelumit rasa bersalah dan segunung rasa bahagia! Hanya Allah dapat membalas kebaikannya, seorang lelaki lebih separuh abad yang mempunyai wajah yang bersih dan gerak tangan yang hemat & berhalus.

MBRAS books

Buku-buku MBRAS yang sudah lama dicita-citakan.

Hati bibliofil mana yang tidak berbulan bintang apabila melalui dua hari pengalaman dengan buku, buku dan buku, begini? Saya berasa seperti berada di syurga mini!

Alhamdulillahi ‘ala ni’mah.

Mengasuh generasi Qur’ani: pengalaman ibu bapa Hussein Tabtabai

Doktor Cilik dan Paham Al-Qur'an

Pintar Al-Qur'an sejak kecil

Anak itu pintar sekali. Kepintarannya bukan pintar kimia, fizik, atau matematik. Beliau pintar Al-Qur’an. Bukan sekadar menghafaz, malah faham.

Namanya Sayyid Muhammad Hussein Tabtabai. Beliau digelar Mukjizat Abad 20. Saat usianya masih belum baligh, seorang wanita pengagumnya ingin mencium pipinya dalam suatu majlis. Beliau menolak. Orang bertanya kepadanya, “Kenapa harus menolak, sedangkan kamu belum baligh?” Jawabnya, “Saya memang belum baligh lagi, tetapi wanita itu sudah!”

Mungkin banyak yang telah kita dengar mengenai si cilik pintar ini, malah sejak dahulu kisahnya dimuat di TV, apatah lagi di YouTube dan pelbagai laman web. Namun banyak lagi kepintarannya berhujah berdasarkan ayat-ayat Al-Qur’an boleh dibaca dalam buku yang disusun oleh Dina Y. Sulaeman ini, berjudul Doktor Cilik: Hafal dan Paham Al-Qur’an. Gelaran doktor telah diangkat sebagai tajuk buku ini kerana beliau telah dianugerahkan doktor honoris causa oleh pihak Akademi Al-Qur’an di Iran.

Kanak-kanak luar biasa ini telah lahir di Iran dalam keluarga guru Al-Qur’an. Sejak dalam kandungan, ibunya memang berniat untuk melahirkan seorang hafiz – dan beliau sendiri mengamalkan menghafal Al-Qur’an sepanjang kehamilan. Setelah beliau lahir, ibunya sentiasa mengambil wuduk sebelum menyusukannya. Berkat kemurnian niat ayah dan ibunya, serta amalan yang ringkas tetapi memerlukan ketekunan tinggi itu, akhirnya diganjari oleh Allah dengan kepintaran Hussein.

Selain mengisahkan kepintaran kanak-kanak itu, buku susunan Dina Sulaeman turut memuatkan teknik yang digunakan oleh ayah dan ibunya sewaktu mengajar Hussein menghafal. Teknik ini kini diguna pakai di rangkaian sekolah Jamiatul Qur’an yang diasaskan oleh ayah beliau.  Pengarangnya bertuah kerana berkesempatan menempatkan anaknya di sekolah tersebut ketika beliau menjadi penuntut di sana dengan mendapat biasiswa tajaan Kerajaan Iran.

Suasana sekolah tersebut ceria dan berhias indah, sesuai dengan naluri kanak-kanak. Di bahagian hadapan kelas ada barisan kerusi untuk anak-anak duduk. Yang istimewa adalah sebaris kerusi lain di belakang, yang dikhaskan untuk para ibu. Di sekolah ini, para ibu diwajibkan hadir menemani anak-anak supaya tiada rasa bimbang dalam jiwa anak-anak sewaktu belajar. Sekaligus tumpuan mereka tinggi. Kelas yang berjalan 3 jam pada waktu pagi ini mungkin sesuai dengan rentak hidup ibu-ibu di Iran.

Pada awalnya, hanya ayat-ayat pendek yang mudah diamalkan akan diajarkan kepada kanak-kanak, misalnya ayat mengenai kebersihan, perlindungan Allah dan keburukan membazir. Kemudian baharulah dilanjutkan dengan ayat-ayat yang lebih panjang. Pada awalnya, ayat akan diajar dalam bahasa Arab, diikuti dengan bahasa Iran. Sambil ayat diajarkan, kaedah isyarat digunakan untuk meningkatkan ingatan kanak-kanak. Cerita yang bersesuaian dengan ayat akan dikisahkan oleh guru Al-Qur’an, dan aktiviti yang berkaitan dengan ayat akan dilaksanakan bagi menambah kefahaman.

Teknik Jamiatul Qur’an ini telah cuba diterapkan oleh beberapa pihak di Indonesia. Namun kesan yang terhasil tidak begitu memberangsangkan sepertimana di Iran. Pengarang mengatakan faktor luaran banyak mempengaruhi kanak-kanak, begitu juga kesukaran ibu untuk hadir di sekolah bersama anak-anak. Kehadiran ibu, selain memberi ketenangan kepada anak-anak, juga penting supaya hafalan harian itu dapat diulang semula di rumah. Jika ibu tidak menghafal ayat itu, penekanan di rumah akan kurang berjaya.

Sebagai bonus, buku ini turut menyertakan ayat-ayat Al-Qur’an yang dijadikan hafazan peringkat awal oleh anak-anak Jamiatul Qur’an. Jika mempunyai masa dan kesungguhan, teknik ini sebenarnya dapat dilaksanakan di rumah secara persendirian. Buku edisi terbaru turut menyediakan VCD.

—————————————————————————————————-

Blog pengarang buku ini, Dina Y. Sulaeman, boleh dilawati di sini.

Teknik menghafaz Al-Qur’an cara Darwish dan Darwisha pula boleh dilawati di sini.

————————————————–

komen

Kekurangan buku mengenai buku

Enemies of books by William Blades

Foto diculik dari www.rarebook.com

Agak-agak kalau saya terjemahkan buku-buku tua / antik mengenai buku dari Projek Gutenberg, kemudian terbitkan sendiri, ada orang mahu belikah? Saya mahu buka kedai yang jual buku-buku mengenai buku sahaja, tetapi buku begitu tidak banyak dalam bahasa Melayu.

——————————————————————

MUSUH-MUSUH BUKU
oleh William Blades

BAB 1 – API

Banyak unsur alam yang boleh memusnahkan buku, tetapi tenaga pemusnah unsur lain tidak sampai separuh kekuatan tenaga api. Kita tidak akan mampu menyenaraikan sebegitu banyak perpustakaan  dan khazanah bibliografi yang telah dijajah oleh Raja Api ini. Kebakaran akibat kemalangan, pembakaran yang dicetuskan oleh orang fanatik, pembakaran kerana kuat kuasa undang-undang, malah pembakaran dengan api dapur di rumah, perlahan-lahan mengurangkan khazanah dan sekaligus sampah-sarap yang berada di sekitar, sehingga hanya satu perseribu daripada keseluruhan jumlah buku dapat diwarisi oleh kita. Pemusnahan ini bukanlah semata-mata suatu kehilangan, tetapi juga suatu cara  ‘pembersihan’ yang dapat mengalihkan sampah-sarap yang bertimbun di tengah keberadaan kita; jika tidak pastilah satu langkah pemusnahan besar-besaran perlu dilakukan hanya kerana masalah ruang penyimpanan.

Sebelum bermulanya zaman percetakan, buku sangat jarang ditemui; dan menyedari kesukaran untuk mengumpulkan sejumlah setengah juta buku, meskipun setelah pencetak stim digunakan kira-kira setengah abad, kita terpaksa menerima dengan penuh rasa takjub kisah-kisah yang digambarkan oleh para penulis terdahulu mengenai kehebatan perpustakaan-perpustakaan purba.

Gibbon, seorang ahli sejarah yang sangat teliti dalam pelbagai hal lain, menerima tanpa banyak soal dongeng-dongeng yang diperkatakan mengenai perkara ini. Tiada keraguan bahawa koleksi manuskrip yang dikumpulkan generasi demi genarasi oleh keturunan Ptolemy Mesir telah diketahui sebagai yang paling lengkap; dan terkenal seantero dunia kerana mahalnya perhiasan dan pentingnya khazanah perpustakaan tersebut. Dua daripada perpustakaan ini berada di Iskandariah dengan yang lebih besar terletak di kawasan Bruchium. Naskhah-naskhah itu, sepertimana manuskrip zaman awal yang lain, ditulis atas kepingan kulit binatang, memiliki kayu penggulung pada dua hujungnya supaya pembaca hanya perlu membuka gulungan itu sebahagian sahaja pada satu-satu masa. Ketika Perang Iskandariah zaman Caesar pada 48 SM, koleksi yang lebih besar itu telah dimamah api dan sekali lagi dibakar oleh puak Saracens pada 640 M. Satu kehilangan besar kepada kemanusiaan, tetapi apabila disampaikan bahawa 700,000, atau meskipun hanya 500,000 naskhah telah musnah, naluri kita berat mengatakan angka itu telah diperbesar-besarkan. Begitu juga apabila mendengar kisah 500,000 naskhah telah dibakar di Carthage (Rom) beberapa abad kemudian, serta kisah-kisah seumpamanya.

Antara rekod terawal pemusnahan besar-besaran yang diceritakan St. Luke, adalah kisah seusai khutbah Paul, apabila ramai penduduk Ephesus “yang menggunakan pelbagai kesenian misteri membawa bersama buku-buku mereka, dan membakarnya di hadapan semua orang: dan mereka mengira harga buku-buku tersebut, serta mendapati nilainya adalah 50,000 keping perak” (Akta xix, 19). Sudah tentu buku-buku berkenaan peramalan syirik dan alkemi, jampi dan sihir, selayaknya dimusnahkan oleh mereka yang mungkin telah dan akan tercedera secara rohani [disebabkan buku-buku itu]; dan sudah tentu sekiranya buku-buku itu selamat dari api sekalipun, tidak ada satu pun akan sampai ke tangan kita hari ini, [kerana] tiada manuskrip seusia itu masih lagi wujud. Namun demikian, saya harus mengakui tetap berasa sedikit tidak senang dan terganggu fikiran mengingatkan buku-buku bernilai 50,000 denarii [mata wang Rom] – atau, secara kasarnya, lebih kurang L18,750 (1) mengikut nilai mata wang hari ini, telah menjadi unggun api.  Betapa mengusik rasa ingin tahu, segala ilustrasi pagan, penyembahan syaitan, ular, matahari dan segala jenis agama yang telah pupus; pengetahuan astrologi dan kimia yang dicedok dari orang Mesir, Parsi, Greek; betapa banyak pantang-larang khurafat yang kini dipanggil kebudayaan temurun, serta betapa banyak khazanah untuk pelajar filologi terdapat dalam buku-buku itu, dan bagaimana terkenalnya sesebuah perpustakaan yang dapat memiliki hanya beberapa buah daripada buku-buku itu.

(1) Pendapat yang dipersetujui adalah “keping perak” yang disebut itu merupakan mata wang Rom, denarii, yang biasa digunakan di Ephesus waktu itu. Sekiranya kita menimbang denarius berbanding perak moden, nilainya tepat 9 pence, dan 50,000 darab 9 pence menghasilkan L1,875. Memang sukar untuk menentukan satu anggaran tepat nilai relatif sesuatu wang dalam zaman berbeza; tetapi dengan memperhitungkan bahawa mata wang pada zaman dahulu memiliki sekurang-kurangnya 10 kali kuasa beli mata wang zaman kini, kita dapat memutuskan anggaran nilai buku-buku ajaib yang telah dibakar iaitu: L18,750.

————————————————————————————————————————

Cubaan menterjemah di atas adalah cubaan seorang penterjemah amatur, iaitu saya. Mohon teguran membina. Terima kasih.

Meneroka dunia pengumpul buku

Waktu untuk mengumpul buku, dan membaca.

Masa untuk menjadikan mengumpul buku satu hobi

Dunia telah mengenal ramai para pengumpul buku yang hebat sejak berzaman lagi. Antara nama yang tidak asing di dunia Arab Islam adalah Al-Jahiz, yang kematiannya pada satu sisi tragis (maut ditimpa buku-buku), tetapi pada suatu sisi lainnya, bagi saya, romantis (maut di pelukan buku-buku).

Kini semakin ramai orang membeli buku secara berkala (mingguan, bulanan atau tahunan) dan memiliki perpustakaan peribadi masing-masing di rumah atau di tempat kerja.

Namun sejauh manakah mereka (dan kita juga) telah dapat digelar pengumpul buku? Apa yang membezakan pembeli buku biasa-biasa dengan pengumpul buku yang berfokus dan benar-benar tahu mengenai dunia pengumpulan buku?

Saya sedang cuba menggeluti makna dunia pengumpul buku ini, sedang menelaah sekadar daya, dan mencari jejak para pengumpul buku di Malaysia, mudah-mudahan dapat mengutip ilmu dan semangat dalam bidang ini, serta mengenali sejarahnya terutama di Malaysia.

Antara koleksi yang sedang saya bina secara berfokus adalah buku-buku dalam bidang sejarah buku dan buku mengenai buku. Tokoh-tokoh pengumpul buku yang sedang saya uliti buku mereka antaranya John Carter, Jack Matthew, Nicholas A. Basbanes dan Roy Harley Lewis.

Apakah niche atau core koleksi buku rakan-rakan di luar sana? Bidang apa atau pengarang mana yang menjadi tumpuan koleksi?

Jemput berkongsi cerita di ruang komentar, atau sekiranya ada perkara lanjut mengenai bidang ini yang ingin didiskusikan, mohon hubungi saya melalui borang elektronik di sini.

Mimpi kami; 2010 buku sempena 2010

mimpi buku 2010

2010 untuk 2010. Mampukah?

Kami adalah sekumpulan pembaca yang bergabung di Goodreads Malaysia untuk bicara santai seputar hal buku. Di situ kami wujudkan program 50 Buku Setahun, sebagai galakan kepada diri sendiri dan rakan-rakan untuk membaca sebanyak rakyat negara dunia pertama!

Bunyinya menakutkan; 50 Buku Setahun. Tetapi hakikatnya, tiada tekanan untuk menghabiskan 50 buah buku, kerana yang lebih penting siapa yang sudah sampai garis penamat akan dirai, dan yang belum sampai akan disuntik motivasi lagi dan lagi. Andainya belum mampu juga tahun ini, tahun depan azam itu tidak pernah terlambat untuk dikobarkan kembali.

Maka bermulalah cerita mimpi kami tahun 2010; kami sangat mahu membaca 2010 buku secara kumulatif beramai-ramai (idea salah seorang dari kami, Najmudin). Sehingga Mei ini hanya 28 orang mengambil bahagian (dari  jumlah 348 ahli, betul memang agak kecewa) dengan jumlah kumulatif yang sudah dibaca baru 640. Ini bermakna 28 peserta perlu membaca paling kurang 72 buku seorang untuk mencapai sasaran. Seperti mustahil.

Jadi kami fikir salah satu cara mencapai mimpi ini, adalah dengan merekrut pembaca tegar di luar sana yang belum mendengar mengenai 50 Buku Setahun, tetapi bersedia untuk sama-sama menjadikan mimpi ini satu kenyataan.

Anda bukan sahaja dapat menambah kenalan buku dari pelbagai latar belakang (termasuk penulis, blogger, surirumah, usahawan, pelajar, jurutera, pencinta basikal, peminat rempit, pemelihara arnab, penyimpan koleksi katak serta ramai lagi), tetapi juga dapat berdiskusi pelbagai isu mengenai buku dan membaca. Sekali-sekala ada buku percuma yang akan menjadi koleksi terbaru anda.

Kalau anda rasakan andalah orang yang tepat, maka kami sangat mengalu-alukan kehadiran anda di Goodreads Malaysia.

Suka buku + suka fotografi?

naturalist collection

Set yang cantik untuk perpustakaan. Tergiur!

Kalau ya, ada hadiah menarik untuk dimenangi di Book Depository, sempena “Nature Competition” yang berlangsung sepanjang Jun. Peraduan ini terbuka kepada semua termasuk untuk peserta antarabangsa.

Syarat peraduannya sangat mudah; hantarkan foto anda membaca berlatar belakang alam. Bagi orang Khatulistiwa, tentunya tiada masalah untuk cari latar menarik. Kita ada hutan, air terjun, pantai, bukit-bukau. Tinggal lagi, mencanai kreativiti atau daya cipta!

Setahu saya, ramai teman dan kenalan buku di luar sana yang juga penggemar fotografi, sebab itu saya sebar-sebarkan mengenai ini di BukuRia. Mungkin ada yang berminat untuk mencuba.

Bagaimanapun mengenai hadiahnya (bagi yang Muslim), saya tak dapat pastikan kalau isi buku ini ada yang mendokong pandangan Darwin.

Selamat mencuba!

Hari-hari Terakhir Seorang Seniman

Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, Anwar Ridhwan

Pak Hassan, seniman tua

Judul: Hari-hari Terakhir Seorang Seniman
Pengarang: Anwar Ridhwan
Tahun: c1976, 2009
Penerbit: Dewan Bahasa & Pustaka

Lima hari lalu, saya baru pulang dari sebuah kampung permai. Lelaki, wanita dan kanak-kanaknya hidup gotong-royong bergantungkan musim; musim Barat Daya dan Timur Laut. Juga musim bersawah dan musim tak bersawah. Tiada pengaruh konsumerisme yang menyesakkan dada. Mereka bergerak seiring dengan alam. Waktu alam mengizinkan mereka bertanam padi dan menuai, mereka menurut. Waktu alam mendesak mereka berhenti, mereka berehat dengan menjala. Malam-malam mereka diisi sembahyang dan zikir di surau. Pada hari-hari kebesaran Islam mereka sepakat berehat – menghidupkannya dengan majlis kecil tetapi mesra dan erat.

Saya hadiri pengebumian lelaki seniman itu di sana. Tujuh belas tahun sebelum itu, beliau singgah di kampung permai bertiga dengan isteri dan anak, dalam suasana damai. Ketika beliau pergi, hatinya berada di kemuncak sunyi dan hampa, dalam gawat perang. Ini rupanya bahana cintanya memilih rebana bertali tiga, berbanding pusaka tanah sawah. Ini bahana kasihnya menjalani hidup sebagai tukang cerita, tok selampit yang mengalun hikayat bangsa.

Ketika mula-mula berkenalan dengan Pak Hassan, saya mengikuti jejak tuanya berteman tongkat di denai kecil bersemak, menuju kuburan isterinya Selamah. Sudah lama kedua-dua insan penuh cinta itu berpisah hidup. Saya mengupingi rintihnya di sisi kubur, berharap agar beliau dapat melaksanakan wasiat terakhir si isteri, menjaga anak-anaknya Senah dan Mat Junuh sehingga bertemu jalan hidup masing-masing yang manis.

Saya kasihan memikirkan nasib arwah Selamah. Andainya dia hidup pada masa kini, tentu dia sudah dapat dibawa ke hospital dan dibedah supaya selamat. Tetapi itulah acuan hidup masa dahulu, kurang pada kemudahan, lebih pada keikhlasan dan kemurnian. Tautan rasa kasih begitu dalam waktu seluruh kampung menangisi pemergian seorang wanita yang bukan siapa-siapa, cuma isteri tukang cerita yang tak berkerjaya, tak berpendidikan, tak berdatuk atau berdatin.

Kemudian saya singgah ke rumah Pak Hassan. Sambil duduk bersandar pada dinding tua rumah Pak Hassan yang telah dibina gotong-royong oleh orang kampung lama dahulu, saya tumpang seronok mendengar alunan hikayatnya, sesekali berhias lagu syair. Para penduduk kampung permai itu sangat menyenangi kehadiran Pak Hassan kerana cerita-ceritanya itulah.

Entahlah, kalau saya boleh mengajak Pak Hassan datang sebentar ke masa kini, saya tidak pasti, apakah saya akan ada masa untuk bersandar setenang itu ke dinding rumah sendiri, dan mengajak teman-teman mengelilingi Pak Hassan menikmati cerita-cerita lama. Dunia sudah terlalu sibuk dan penuh tuntutan. Jarak yang dekat sudah menjadi jauh, masa yang panjang sudah menjadi singkat. Semuanya harus cepat.

Saya khuatir, kalau Pak Hassan ada di sini sekarang, saya akan menganggap kehadirannya sambil lewa; tetap mengutamakan Facebook, tempat bersua paling ringkas dan santai bagi teman-teman seusia, sekerjaya, seangkatan dan sepunya minat.

Kalau Pak Hassan mahu popular, dia patut muat naik videonya ke YouTube dan pautkan ke dinding Facebook. Saya mungkin tak berkesempatan pun untuk singgah ke terataknya di hujung desa untuk mendengar cerita, melainkan saya seorang sarjana penyelidik berkenaan tukang cerita dan peranannya dalam masyarakat.

Sudah tentu tak mungkin untuk saya mengajak Pak Hassan ke dunia kita, namun saya cuba menghargai watak-watak yang diceritakan Pak Hassan dalam penjelajahan singkat ke dunianya. Watak-watak itu tidak mungkin lagi mengambil tempat di masyarakat hari ini – tetapi jelmaan mereka tetap muncul dan wujud dalam rupa baru.

Dahulu mereka putera-puteri yang mewakili kebaikan dan kejahatan, hidup di istana-istana silam, meredah hutan rimba dan berperang merebut kuasa. Hari ini mereka mungkin memakai baju ahli politik, saintis, pegawai kerajaan, rakyat bawahan dan ramai lagi kelompok manusia baru yang tidak ada pada zaman Melayu purba. Sesungguhnya saripati jiwa manusia tetap abadi, sama seperti kali pertama Allah mencipta!

Namun kedatangan teknologi baru, perang dan Jepun pada tahun-tahun 40-an itu, telah mengasak hidup Pak Hassan, anak-anaknya dan kampung permai itu. Kanak-kanak dan pemuda mula meminggiri dunia tukang cerita. Sebagai ganti, ada radio yang boleh bercerita dan berlagu untuk mereka 24 jam tanpa rehat. Anak-anak Pak Hassan meninggalkannya seorang demi seorang dek kebuasan manusia berhati binatang.

Tak ada impian yang tinggal bagi seorang tua yang hampa dan sunyi sepertinya, kecuali mimpi dari hikayat yang telah diulangnya entah berapa ribu kali sepanjang hidup. Itulah penerus nafasnya sehari-hari. Akhirnya saya terpaksa beredar dari kampung permai, serentak dengan Ramli dan Aziz meninggalkan kuburan; kedua-dua beranak telah banyak berjasa kepada si tukang cerita.

Kalau kalian ada waktu lapang, lawatilah kampung permai itu seketika, jenguklah Pak Hassan, fahamilah perjuangannya, dan hayati hari-hari akhirnya.

Masa sudah beredar, dunia sudah berubah; ada sisi hidup yang menjadi kian baik atau kian buruk, tetapi suasana desa tempat peradaban Melayu bermula, yang tersimpan antara dua helaian kulit novel sasterawan negara ini, akhirnya membenarkan sebuah perjalanan kembali melawat akal budi, akar budaya dan psikologi bangsa. Di sana ada jawapan bagi banyak hal, kalau kita sudi menggali dengan lebih bersungguh-sungguh lagi.

——————————————————————————————————————————–

Saranan aktiviti fizikal berasaskan buku ini:

  1. Jejaki mana-mana tukang cerita yang masih hidup dan habiskan masa selama seminggu (sebulan, setahun – kalau anda sanggup bercuti selama itu) untuk mendengar hikayat-hikayat darinya.
  2. Jika tiada lagi tukang cerita yang masih hidup, boleh tanyakan di perpustakaan-perpustakaan utama jika ada VCD/DVD rakaman tukang cerita mengalun hikayat.
  3. Turun ke sawah padi, atau cuba aktiviti menjala ikan seperti yang dilakukan penduduk kampung permai.
  4. Tinggalkan pengajian/kerjaya seketika, mulakan kembara sebagai tukang cerita :)