
Alternatif pencinta buku memburu keinginan
Sejak semalam, saya ralit mencuba PayPal yang sudah lama tidak saya gunakan. Rupanya (entah sejak bila), PayPal sudah menyediakan perkhidmatan yang jauh lebih menyeluruh. Kini, tak semestinya memiliki kad kredit lagi, malah boleh ditambah nilai terus dari akaun bank utama Malaysia: Bank Islam, CIMB, RHB, Hong Leong Bank, Maybank dan Public Bank. Macam kad prabayar sahaja.
Servis begini penting bagi pencinta buku yang tidak gemar bertransaksi hutang atau malas memiliki kad kredit. Atau tidak mahu melalui kerenah menelefon pihak kad kredit setiap kali mahu membuat transaksi belian buku dari luar negara (yang hanya akan buka gateway apabila kita menelefon). Memang dari suatu segi, itu ciri keselamatan, tetapi akan agak annoying apabila kita kerap membeli buku dari luar dan mereka akan bertanya perincian diri yang sama setiap kali: siapa nama suami, siapa nama ibu suami, apa alamat anda, dan nombor kad pengenalan anda (masa membaca telah berkurangan di situ sebanyak 10 minit).
Di sini, isu ‘kenapa tidak beli dari dalam negara?’ akan timbul. Kedai buku kita tidaklah terlalu kekurangan, tetapi sesetengah buku yang dicari memang sukar didapati di sini, terutama buku-buku mengenai buku. Sesetengahnya dapat saya beli dari Kinokuniya, namun masih banyak judul lain dalam senarai keinginan, hanya dapat saya lunaskan dengan membeli di luar sana.
Jadi, apabila saya berhasil menambah nilai ke dalam PayPal saya semalam (untuk membeli dari luar negara, jangan lupa tambah nilai dalam bentuk dolar US atau EURO), saya telah cuba membeli dari Thriftbooks (sebuah kedai buku terpakai), dan tempat biasa saya membeli dengan kad kredit iaitu Book Depository. Mulanya saya mahu cuba di AbeBooks, yang terkenal dengan jualan buku terpakai, tetapi saya dapati di Thriftbooks, saya akan dapat menjimatkan sedikit kos pos. Book Depository pula sememangnya tidak mengenakan kos pos langsung.
Maka saya kembali jadi penunggu peti pos; dan buku-buku yang sedang dinanti itu adalah:
(1) The Yellow-Lighted Bookshop: a Memoir, a History (Lewis Buzbee)
(2) Ex Libris: Confessions of a Common Reader (Anne Fadiman)
(3) Sixpence House: Lost in a Town of Books (Paul Collins)
Jika ada yang mahu mencuba menggunakan PayPal untuk membeli buku, langkah-langkah asasnya adalah:
(1) Mendaftar sebagai pengguna PayPal;
(2) Tunggu e-mel pengesahan akaun daripada PayPal;
(3) Tambah nilai (top-up) akaun PayPal dari akaun bank tempatan anda (sediakan nombor akaun terlebih dahulu); jangan lupa tambah nilai dalam dolar US (atau mata wang lain yang digunakan oleh kedai buku pilihan anda);
(4) Membuat pengesahan penerimaan wang yang telah ditambah nilai itu ke dalam akaun PayPal (ada e-mel lain akan dihantar oleh pihak PayPal);
(5) Pastikan nilai yang ditambah itu telah tertera di dalam akaun PayPal anda (biasanya selepas pengesahan penerimaan nilai terus tertera, tetapi jika ada masalah, boleh hubungi pihak PayPal di nombor +60377237155).
(6) Apabila membuat belian di mana-mana kedai buku dalam talian, bolehlah membayar dengan akaun PayPal anda.
(7) Oh ya, PayPal akan mengecaj sebanyak RM2.00 bagi setiap kali tambah nilai yang dilakukan (tetapi masih berbaloi saya rasa – dan kalau duit anda tebal, bolehlah tambah nilai sebanyak mungkin sekaligus!)
Dengan khidmat tambah nilai PayPal ini, urusan pencinta buku yang kurang gemarkan kad kredit dan hutang, namun ingin membina koleksi dalam genre tertentu yang tidak semestinya ada di Malaysia, menjadi enteng dan terbantu.
Cubalah
!
Nota: Bagi yang ingin tahu mengenai belian di Thrift Books, saya akan kemas kini kisah mengenai belian buku dari sana, sama ada puas hati dengan tempoh pos, cara mereka mengepos, keadaan buku dan lain-lain, sebaik sahaja buku-bukunya sampai. Belian melalui Book Depository biasanya tiada masalah.