Misi

Alhamdulillah, akhirnya cita-cita saya mahu wujudkan sebuah platform diskusi buku akhirnya bertunas. Sebenarnya bukan tidak ada kelab buku lain di Malaysia, seperti yang pernah saya tuliskan di BukuRia. Kita sudah ada Baca@LRT, Bookster Hub, BookCrossing Malaysia, Kelab Tidur Dengan Buku, Goodreads Malaysia dan banyak lagi.

Tetapi, belum ada yang menjurus kepada diskusi buku, yang selalunya menjadi inti atau tujuan utama penubuhan kelab buku seperti yang difahami oleh kelab lain. Tidak kira yang sangat terkenal seperti Oprah Book Club atau sekecil-kecil kelab persendirian yang tidak pernah diketahui oleh orang luar. Hal ini juga pernah disentuh oleh Tuan Khairusy Syakirin dalam sebuah makalah di akhbar Utusan pada tahun 2008.

Saya percaya banyak manfaat yang boleh didapati daripada sebuah buku apabila kita membaca secara bergandingan. Yang paling nampak dari sudut material, tentulah diskaun yang biasanya boleh dirunding dengan kedai-kedai buku, kerana kita membeli secara pukal. Ini adalah impian GandingBaca, apabila ahli telah ramai kelak saya akan cuba berunding dengan kedai buku supaya dapat berikan harga runtuh kepada ahli-ahli.

Selain itu adalah manfaat yang lebih maknawi. Membaca bergandingan sambil berdiskusi seperti diketahui, dapat meningkatkan daya ingatan kita tentang isi buku, memberi makna baru kepada buku yang kita baca berdasarkan pengalaman pembaca lain, memberi kefahaman yang mendalam mengenai sesebuah buku, serta meningkatkan semangat membaca sambil menambah kenalan.

Sejak dahulu saya tercari-cari sebuah kelab buku yang sebegini di Malaysia, yang mampu menambah nilai dan makna pembacaan saya, tetapi tidak saya temui. Mungkin ada, tetapi lebih menjurus kepada kelompok tertentu dan lebih tertumpu kepada buku-buku Inggeris misalnya. Sudah tentu saya tidak anti buku Inggeris, malah menggemarinya. Namun begitu, saya tidak rela mengkesampingkan buku-buku Melayu.

Inilah sebenarnya tujuan saya mewujudkan kelab buku ini. Aktiviti utamanya adalah membaca bergandingan dan semuanya akan bermula dari titik itu. Membaca bersama-sama, dan kemudian saling berkongsi cerita. Mengayakan pengalaman dengan ramai orang, melalui buku-buku yang akan kita baca bersama.

Saya meraikan semua yang sudi menjadikan projek Ganding Buku sebagai projek bersama. Kita akan sama-sama memilih buku, kemudian membacanya dalam masa sebulan – sambil mendiskusikannya perlahan-lahan, penuh nikmat. Untuk panduan lanjut mengenai cara menjadi ahli, memilih buku dan berdiskusi dengan hangat, sila rujuk di sini.

“Berganding Baca, Berkongsi Cerita”

Moderator GandingBaca,

Najibah A. Bakar