Bagaimana kalau di perpustakaan ada disko….

disco

Menari sambil membaca, boleh?

Dalam sebuah sesi pembentangan di sebuah persidangan mengenai perpustakaan, seorang peserta memberi cadangan:

“Bagaimana kalau kita buka disko dalam perpustakaan…”, ujarnya.

Antara sebanyak-banyak cadangan tentang bagaimana hendak meningkatkan kadar kunjungan ke perpustakaan, inilah antara satu cadangan yang agak di luar norma.

Namun, di sebalik cadangan yang berbaur gurauan itu ada satu isu besar yang mendapat perhatian pengurusan perpustakaan. Kadar kunjungan ke perpustakaan adalah satu isu yang serius, terutama untuk menguji sejauh mana kejayaan sesebuah perpustakaan dan sambutan terhadap perkhidmatannya.

Walaupun pada hari ini bahan perpustakaan ada yang boleh dicapai di dalam talian dan telah ada khidmat pustakawan rujukan ala chatting, tetapi masih banyak bahan perpustakaan terdiri daripada bahan bercetak, boleh pegang dan memerlukan ruang fizikal. Pendek kata, jika inginkan sepenuh manfaat daripada perpustakaan, orang ramai masih perlu mengunjunginya.

Salah satu masalah yang dihadapi oleh perpustakaan seluruh dunia pada hari ini adalah penurunan kadar kunjungan pengguna. Memang benar ada sesetengah perpustakaan yang tidak mengalami penurunan ini, tetapi ia hanyalah sebahagian kecil sahaja.

Kadar penurunan ini berkait rapat dengan lanskap dunia maklumat yang telah banyak berubah. Dalam kehidupan yang sibuk hari ini, lebih ramai orang memilih untuk mencari maklumat dalam talian daripada terpaksa berhempas pulas dengan lalu-lintas untuk menuju ke perpustakaan yang belum pasti dapat memenuhi keperluan maklumat masing-masing.

Pelbagai langkah telah diambil oleh pihak perpustakaan. Antara contoh perubahan yang telah dilakukan adalah mengubah suai bangunan perpustakaan kepada bentuk fizikal yang lebih menarik (contohnya dengan dinding kaca yang bergaya), membina cafe dan ruang untuk francais makanan segera di bangunan perpustakaan itu sendiri, menyediakan jimnasium, khidmat Internet percuma dan tempat pendaftaran perkahwinan tidak ketinggalan.

Ada pula perpustakaan akademik yang menggunakan pendekatan psikologi seperti menggunakan artis dalam pengiklanan perpustakaan, membenarkan para pelajar tidur di dalam perpustakaan asalkan tidak mengganggu orang lain, membenarkan membawa masuk bekas minuman yang dijamin sukar tumpah isinya, dan mengizinkan membawa masuk dan mengecas peralatan elektronik di dalam perpustakaan termasuk mesin pengimbas, telefon selular dan lain-lain (dengan bayaran tambahan untuk caj elektrik).

Pendekatan psikologi itu telah berjaya menarik ramai pelajar berkunjung sehinggakan pihak perpustakaan terpaksa membuka ruangan baru untuk kemudahan pengunjung.

Namun yang lebih utama daripada itu adalah peningkatan kecekapan perkhidmatan perpustakaan itu sendiri dengan layanan pustakawan yang lebih mesra dan profesional, bahan-bahan terkini dan kemudahan mencari bahan yang semudah Google atau Yahoo! tetapi tepat dan bermutu.

Ia adalah cabaran yang sangat besar bagi perpustakaan hari ini dan belum ada satu penyelesaian menyeluruh yang boleh diberikan mana-mana pihak.

Sudah tentu menjadi tanggungjawab pihak perpustakaan untuk berfikir dengan kreatif bagi meningkatkan kadar kunjungan, tetapi pastinya kita tidak perlu pergi sejauh membina disko di dalamnya. Bukan sahaja ia tidak mencerminkan budaya Islam dan Timur (meskipun bagi sesetengah kita disko telah mendarah daging dalam diri), bahkan ia mungkin mengundang penyalahgunaan dan kerosakan kemudahan perpustakaan itu sendiri.

Apabila perpustakaan mendapat kadar kunjungan yang sepatutnya, barulah dunia kepustakawanan dapat mengembalikan kegemilangan era perpustakaan seperti yang telah dipelopori oleh Andrew Carnegie pada abad ke-19 dan menjelmakan manfaat yang sebenar wang hasil percukaian ke dalam masyarakat.

* * * * * * *

Apa pendapat anda tentang masalah ini? Perpustakaan bagaimana yang menjadi impian anda?

Kalau anda seorang pustakawan, apa idea anda untuk menambah bilangan pengunjung?

Mari kita kongsikan di ruangan komentar ini.

Tehran Times: Iran mewujudkan perpustakaan pos percuma sebagai galakan membaca

TEHRAN — Sebuah institut yang sedang mengusahakan satu kajian tentang Al-Qur’an telah mewujudkan satu bahagian penghantaran buku secara percuma melalui pos kepada para pembaca.

Pembaca boleh memilih daripada lebih 5000 judul yang dipaparkan di laman web institut tersebut, www.tafsirejavan.com. Permohonan harus dikirim melalui faks.

Pengarah institut itu, Mohammad Bisotuni memberitahu Agensi Berita Mehr, ia adalah sebahagian program Institut Terjemahan Al-Qur’an Javan yang bertujuan untuk membudayakan membaca di kalangan kanak-kanak dan remaja.

Continue reading

Siapa celik maklumat?: perspektif sains perpustakaan II

Pada siri yang lepas, telah dihuraikan secara ringkas tentang kajian celik maklumat yang dijalankan dalam bidang sains perpustakaan. Melalui kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat, satu standard telah digubal untuk mengukur tahap kecelikan maklumat seseorang individu. Standard itu dinamakan Standard Kelayakan Celik Maklumat bagi Pengajian Tinggi dan telah menjadi asas kepada standard celik maklumat lain di luar Amerika Syarikat.

Melalui standard tersebut, satu tafsiran celik maklumat telah disimpulkan; iaitu satu set keupayaan yang membolehkan seseorang mengenal pasti keadaan apabila maklumat diperlukan dan kemampuan individu itu untuk mencari, menilai dan menggunakan maklumat yang diperlukan dengan tepat dan berkesan.

Continue reading

Siapa celik maklumat?: perspektif sains perpustakaan I

Baby guna laptopCelik maklumat. Satu perkataan yang semakin kerap kita dengar sejak era komputer, Internet dan WWW.

Tetapi adakah celik maklumat ini serupa dengan celik IT, celik ICT atau celik komputer?

Adakah apabila seseorang tahu menggunakan komputer dan melayari Internet, sudah memadai untuk kita mengakuinya sebagai seorang yang celik maklumat?

Continue reading

Generasi Google dan tingkah laku maklumat

Generasi Google dikatakan tidak menggunakan cara dan bahan yang sama dengan generasi lama apabila memerlukan maklumat. Mereka dipercayai menjadikan Google atau enjin carian sebagai rujukan utama sebelum mencari maklumat di tempat lain. Ini berbeza berbanding generasi dahulu yang menjurus kepada buku dan perpustakaan tradisional. Apakah kewujudan generasi Google dengan sifat sebegini suatu mitos, atau kebenaran yang tak tersangkal?

Continue reading

Perpustakaan digital

NZDL

Perpustakaan Digital New Zealand - contoh projek yang dibangun dengan perisian perpustakaan digital Greenstone

[Manuskrip asal yang telah disiarkan oleh Dewan Kosmik]

Bayangkan! Apabila kita mahu meneliti manuskrip Al-Qur’an zaman Kesultanan Barbar; surat yang dikirim sultan Melayu kepada Stamford Raffles di Singapura; Boewulf tertua warisan kesusasteraan Eropah; ataupun Skrol Laut Mati yang bersejarah; semuanya boleh dilayari di dalam talian tanpa perlu ke perpustakaan.

Bayangkan juga jutaan naskhah buku, monograf, tesis, disertasi, bahan teks, audio, video, imej, multimedia malah artifak, dapat ditatap tanpa susah-payah mengharung trafik dan mengatur perjalanan. Tiada lagi pusing keliling menjelajah perpustakaan sebelum sampai ke tempat tersimpannya bahan yang dikehendaki. Tidak perlu lagi menunggu giliran menggunakan bahan atau menghadapi pelbagai peraturan.

Pendek kata semuanya boleh dilihat, dibaca, dihayati dan dikaji secara santai di depan komputer anda atau menggunakan peranti berkeupayaan Internet ­ di rumah, pejabat, Pizza Hut atau Starbuck! Semua ini telah pun menjadi kenyataan dengan kemunculan perpustakaan-perpustakaan digital ­ realiti yang telah diimpikan para saintis berdekad-dekad sebelum kelahirannya.

Seawal tahun 1945, gagasan tentang teknologi perpustakaan digital telah ada dalam pemikiran seorang saintis terkemuka Vannevar Bush. Beliau telah menulis dalam sebuah artikelnya As We May Think tentang suatu peranti mekanikal dipanggil “memex” yang menggunakan teknologi mikrofilem. Dalam artikel ini beliau telah mempunyai idea tentang hypertext dan sistem carian informasi peribadi (personal information retrieval system) yang kini menjadi mercu teknologi digital dan memungkinkan kemunculan perpustakaan dalam talian.

Tidak lama kemudian saintis Theodor Nelson telah menggunakan istilah hypertext untuk kali pertama dalam satu ucapannya di Kolej Vassar dan melaksanakan projek hypertext pertama dikenali sebagai Xanadu. Dua orang lagi yang pernah menggambarkan kewujudan perpustakaan digital ialah J.C.R. Licklider dan F.W. Lancaster. Mereka membayangkan perpustakaan yang seluruhnya berkomputer dan beroperasi tanpa kertas.

Semenjak itu, perkembangan teknologi yang memungkinkan terbinanya perpustakaan-perpustakaan ini menjadi begitu pantas dan tidak terbendung lagi. Antara yang menjadi pemangkin kepada kewujudan perpustakaan digital ialah penurunan kos penyetoran digital sebanyak kira-kira 30 peratus setahun.

Pada tahun 1987, penyimpanan cakera padat adalah lebih menjimatkan daripada menyediakan infrastruktur penyimpanan buku di perpustakaan. Kini menyimpan data di dalam komputer lebih menjimatkan daripada menyimpannya secara fizikal. Jadi lebih banyak institusi mula berminat untuk menyimpan bahan dalam bentuk digital berbanding dahulu.

Selain itu paparan skrin komputer dan peranti elektronik lain juga telah menjadi lebih menarik dan mesra pengguna menyebabkan lebih ramai orang sanggup membaca secara langsung pada skrin. Ini menyebabkan bahan-bahan digital semakin diterima pengguna informasi.

Sementara itu, rangkaian jalur lebar juga telah meluas penggunaannya dan ini membantu mengakses bahan-bahan digital dengan lebih pantas. Sambutan orang ramai terhadap komputer mudah alih seperti komputer riba turut menjadi pemangkin kerana peningkatan keupayaan dan teknologinya telah menyebabkan sambungan ke Internet mudah diperolehi daripada peranti tersebut di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa. Harganya juga sudah semakin murah dan kini menjadi barangan mampu milik.

Teknologi pendigitalan pula telah maju beberapa tapak lagi dengan peranti-peranti baru yang lebih hebat dan berkeupayaan tinggi. Begitu juga dengan adanya perisian perpustakaan digital sama ada yang komersial ataupun diedarkan percuma di bawah pelesenan kreativiti bentuk baru seperti Creative Common Licence.

Oleh sebab populariti dan perkembangan Internet serta World Wide Web (WWW), dua projek inisiatif perpustakaan digital dimulakan di Amerika Syarikat pada pertengahan tahun 1990-an. Projek pertama adalah usahasama antara Yayasan Sains Nasional (NSF), Agensi Projek Kajian Lanjutan Jabatan Pertahanan (ARPA) dan Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Nasional (NASA).

Bermula pada tahun 1994, ia bertujuan menampung pembiayaan projek pembangunan enam buah perpustakaan digital di enam buah institusi akademik. Manakala projek yang kedua adalah penandatanganan Perjanjian Persekutuan Perpustakaan Digital Nasional pada bulan Mei 1995 dikepalai oleh Perpustakaan Kongres serta 14 buah perpustakaan lain yang terlibat dalam pelbagai bidang kajian. Tujuannya adalah untuk mengumpulkan semua bahan digital sama ada bahan itu terdapat di Amerika atau tempat lain untuk akses para pelajar, sarjana dan orang awam tanpa mengira lokasi mereka.

Meskipun perkembangan perpustakaan digital sedang melalui hari-hari gemilang, sehingga kini tidak ada kesepakatan tentang makna istilah “perpustakaan digital” di kalangan para pelopor perpustakaan digital. Keadaan ini menggambarkan perkembangan perpustakaan digital yang belum ranum dan masih tidak sampai ke penghujung.

Ian Witten, seorang sarjana sains komputer yang bertanggungjawab menghasilkan perisian perpustakaan digital Greenstone dan rakannya David Bainbridge mentakrifkannya sebagai “satu koleksi khusus objek digital, termasuk teks, video dan audio; dilengkapi dengan cara mengakses dan menyaring maklumat, memilih, menyusun dan menyelenggara koleksi tersebut”.

Manakala Micheal Lesk mentakrifkan perpustakaan digital sebagai “koleksi teratur maklumat digital” di mana “penstrukturan dan pengumpulan maklumat yang biasa dilakukan oleh perpustakaan tradisional dan arkib digabungkan dengan keupayaan komputer untuk memaparkannya dalam bentuk digital”.

Seorang lagi sarjana, William Arms, memberikan takrif tersendiri yang tidak rasmi. Baginya perpustakaan digital adalah satu koleksi maklumat yang terurus serta dilengkapi dengan perkhidmatan yang berkaitan di mana maklumat tersebut tersimpan dalam bentuk digital dan boleh dicapai melalui satu rangkaian atau jaringan.

Bahagian penting dari takrif ini adalah kenyataan bahawa maklumat itu berada dalam keadaan terurus. Aliran data yang dikirim ke bumi daripada satelit bukanlah satu perpustakaan. Tetapi apabila data itu diurus secara sistematik ia akan menjadi satu koleksi perpustakaan digital. Berdasarkan kesemua takrif di atas, unsur-unsur perpustakaan digital itu jelas terserlah melalui konsep “maklumat digital”, “objek digital” dan “bentuk digital” serta komponen teknologi seperti “komputer” dan “rangkaian atau jaringan”.

Meskipun masih terdapat unsur-unsur perpustakaan tradisional seperti pengurusan maklumat, pemilihan, penyusunan dan lain-lain namun konsep digital dan penggunaan teknologi digital dalam segenap segi pembangunan perpustakaan tidak dapat dielakkan lagi. Inilah yang membezakan perpustakaan tradisional dengan perpustakaan digital yang sedang berkembang pesat sekarang.

Sebenarnya usaha-usaha pengembangan perpustakaan digital ini turut giat dijalankan di negara kita oleh Perpustakaan Negara Malaysia dan perpustakaan-perpustakaan akademik. Misalnya terdapat perpustakaan dalam talian yang sudah beroperasi dan boleh diakses oleh orang ramai seperti Perpustakaan Islam Digital. Manakala perpustakaan-perpustakaan akademik sedang mendigitkan tesis dan disertasi yang dihasilkan pelajar masing-masing untuk capaian awam.

Ini adalah langkah yang sebaik-baiknya sebagai tanda kita sentiasa bersiap siaga menghadapi perubahan dan memanfaatkannya. Sementara para pengkaji dan sarjana dalam bidang sains komputer, teknologi maklumat dan sains perpustakaan sedang giat mempersiapkan segala keperluan untuk mewujudkan perpustakaan digital yang benar-benar dapat memainkan peranan yang dicita-citakan oleh para pengimaginasi dunia sains, kita seharusnya tidak ketinggalan dalam mengorak langkah.

Proses pengisian ilmu dan pengkajian yang halus perlu berkesinambungan di kalangan warga universiti dan golongan terpelajar dalam bidang berkaitan supaya kita turut dapat menyumbang sesuatu untuk pembangunan era digital khususnya perpustakaan dalam talian.