Perpustakaan peribadi seantero dunia

Kata Henry Ward Beecher, buku-buku adalah keperluan hidup, bukannya suatu kemewahan untuk segelintir orang. Oleh sebab itu, menjadi tugas insan untuk memiliki buku-buku. Sudah tentu ada pro dan kontra dalam kata-katanya, termasuk halangan ekonomi terutamanya di negara-negara membangun.

Namun ketinggian nilai buku yang menyampaikan ilmu ke tangan para pencintanya ternyata tidak dapat disangkal lagi. Inilah yang mendorong ramai orang untuk memiliki koleksi buku masing-masing, tidak kira dalam jumlah yang besar atau kecil.

Buku-buku itu akan disimpan serapi dan seindah mungkin di sudut tertentu rumah atau dalam sebuah perpustakaan peribadi, malah ada yang menganggap sebuah rumah tidak akan cukup sifatnya sebagai rumah tanpa sebuah perpustakaan.

Bertitik tolak daripada kecintaan terhadap buku, sebuah idea menarik telah dikongsi bersama-sama para pemblog seluruh dunia oleh seorang ‘komradnya’. Beliau telah mewujudkan Your Shelves, sebuah blog di mana para pemblog boleh menghantar gambar perpustakaan peribadi masing-masing untuk tatapan ramai.

Raikan kecintaan anda terhadap buku dan ilmu dengan menjamu mata seketika dengan foto-foto perpustakaan peribadi di rumah-rumah seantero dunia.

*  *  *  *  *  *  *

Maklumat asal mengenai pautan ke Your Shelves telah diketahui daripada Encik Rahimi di forum BukuOnline.org.

Perpustakaan warisan

Pernahkah anda terfikir untuk mengetahui tentang koleksi buku dalam perpustakaan warisan tokoh-tokoh terkenal, misalnya judul dan jumlah buku dalam perpustakaan Thomas Jefferson atau Ernest Hemingway?

Jika ya, anda sangat bertuah kerana kini perpustakaan warisan kedua-dua mereka serta ramai lagi tokoh-tokoh lain boleh dicapai dalam talian melalui usaha sama rangkaian sosial buku Library Thing dengan beberapa pihak di Amerika Syarikat.

Jefferson, Setiausaha Negara Amerika yang pertama, Presidennya yang ketiga dan orang yang telah menggubal ‘Declaration of American Independence’;  serta Hemingway, seorang pengarang terkenal yang pernah berjaya menggondol Hadiah Pulitzer pada tahun 1953 serta Nobel Sastera pada tahun 1954; kedua-duanya merupakan contoh penggemar dan pengumpul buku yang sangat tekun.

Hemingway pernah berkata dalam salah satu wawancara dengan George Plimpton dalam The Paris Review pada tahun 1958: “Saya tak pernah jeda daripada membaca buku, sebanyak mana yang ada. Saya mencatu pembacaan saya supaya tidak kehabisan bekalan” (I’m always reading books–as many as there are. I ration myself on them so that I’ll always be in supply).

Hasilnya, dalam perpustakaan Hemingway terdapat 7, 411 buah buku dengan fiksyen sahaja mencecah 2,468 buah. Buku-buku dalam perpustakaan beliau kemudiannya telah disenaraikan secara teratur oleh dua orang ahli akademik daripada Universiti McMaster, Dr. James D. Brasch dan Dr. Joseph Sigman dan boleh dicapai dalam talian di Perpustakaan Boston’s John F. Kennedy, di sini. Katalog tersebut kemudiannya disalin oleh pihak Library Thing dan boleh dicapai di sini.

Tema bacaan beliau sangat pelbagai, daripada perihal berlaga ayam (4 buah), ichthyology (kajian tentang ikan) (10 buah), fotografi (49 buah), dekorasi dalaman (11 buah), kapal selam (20 buah), pertanian (29 buah), antropologi (31 buah), perihal bermain ski (11 buah), serta banyak lagi.

Manakala perpustakaan warisan Thomas Jefferson pula jauh lebih besar daripada itu. Buku-bukunya telah dikumpulkan merentasi beberapa peringkat tertentu dalam kerjayanya sebagai ahli politik dan kedudukannya sebagai negarawan.

Sebahagian kecil bukunya yang berjumlah 4,894 telah dihadiahkan kepada Kongres Amerika dan dikatalog oleh Library Thing untuk projek Perpustakaan Warisan, di sini. Antara bahan bacaan beliau yang paling menonjol daripada koleksi Kongres tersebut adalah buku-buku dalam bidang falsafah (2,886 buah), jurispruden (2,201 buah) dan politik (1,250 buah).

Perpustakaan pertama Jefferson adalah perpustakaan yang diwarisi daripada ayahnya di Shadwell, tetapi sayangnya telah musnah dalam satu kebakaran. Koleksi perpustakaan tersebut tidak jelas kepada sesiapa namun ada usaha untuk kembali membina koleksi tersebut berdasarkan buku-buku yang biasa diperkatakan Jefferson.

Perpustakaan kedua adalah koleksi Kongres yang tersebut di atas, disusuli pula oleh perpustakaannya selepas bersara, di mana katalog koleksinya sahaja yang ditulis tangan oleh Jefferson mencecah 83 muka surat. Selain itu satu koleksi lain adalah Perpustakaan Poplar Forest, di mana rumah rehat Jefferson berada. Kisah lanjut mengenai koleksi Thomas Jefferson boleh didapati di Home of Thomas Jefferson, Monticello.

Usaha yang serupa dengan Perpustakaan Warisan yang dijalankan oleh LibraryThing sangat wajar untuk diusahakan di Malaysia – terutamanya untuk mengetahui koleksi para pemimpin yang telah pergi seperti Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Razak dan banyak lagi.

Perpustakaan Negara Malaysia adalah pihak yang paling sesuai untuk mengambil inisiatif ini atas kedudukannya sebagai institusi kebudayaan dan warisan negara. Sudah tentu lebih ramai lagi rakyat Malaysia akan jatuh cinta dengan buku apabila projek sebegini digembar-gemburkan.

Belasungkawa

Hari ini Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan kehilangan tiga pegawai perpustakaan yang sangat sinonim dengan organisasi tersebut. Bagi para penggerak perpustakaan awam negeri, sebut sahaja PPAK, maka Puan Anidah Mohamed dan Puan Nik Farah Suhanniz Nik Bahari Shah bagaikan tulang belakang kepada program-programnya. Manakala Puan Munirah Mohamad, meskipun baru sahaja menyertai barisan petugas perpustakaan tetapi sangat mencintai kerjayanya yang bermula di perpustakaan desa negeri.




Mereka adalah para pegawai dan petugas yang tekun dan berdedikasi, sentiasa menunjukkan wajah riang semasa bertugas, mentor yang baik kepada para petugas junior malah lebih daripada itu, menunjukkan semangat kekeluargaan dan kasih-sayang yang akan sentiasa dirasai oleh para petugas bawahannya yang sama-sama berkecimpung dalam pengurusan perpustakaan.

Al-Fatihah untuk mereka serta takziah untuk ahli keluarga dan warga PPAK yang sentiasa bertungkus-lumus menyediakan perkhidmatan terbaik untuk anak negeri dan pengunjung luar. Kehilangan mereka pasti akan dirindui oleh setiap yang mengenali.

Berita lanjut di Kosmo dan Berita Harian.

Repositori manuskrip Melayu Lama

MyManuskrip Universiti Malaya

Para pengkaji manuskrip Melayu lama atau sesiapa sahaja yang berminat untuk membaca hasil nukilan nenek-moyang kita orang Melayu, mempunyai peluang yang cerah untuk meneliti manuskrip tersebut dalam talian dalam format PDF.

Ia merupakan sebahagian hasil kerja untuk disertasi Sarjana seorang tutor dan pelajar Universiti Malaya Mohd Hilmi Ripin, di bawah penyeliaan Profesor Dr Zainab Awang Ngah.

Manuskrip-manuskrip yang tersimpan di Universiti Malaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, Perpustakaan Negara Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia telah pun didigitalkan dan kini boleh dicapai di repositori tersebut di sini.

Continue reading

Pustakawan ulung; yang masyhur dan kualiti kemasyhuran

Magliabechi

Magliabechi, imej dari buku "Bibliomania; or Book-Madness", karya Thomas Frognall Dibdin

Tugas pertama seorang pustakawan adalah untuk mengenali perpustakaan di bawah jagaannya; apa yang ada dan apa yang tiada dalam koleksinya, apa kelemahan dan apa kekuatannya, serta sentiasa bersiap siaga untuk memenuhi sebarang kekurangan yang telah diperakui.

Secara sepintas lalu, dia harus tahu koleksi perpustakaan yang perlu dan tidak perlu diperolehinya, sama ada dalam bidang sains atau kesusasteraan, supaya apabila peluang terbuka untuk mendapatkan sesuatu yang berharga, dia telah pun bersedia.

Secara tidak langsung, pengetahuannya tentang perpustakaan di bawah jagaannya juga menuntutnya untuk tahu tentang perpustakaan-perpustakaan lain serta semua jenis bahan ilmu – purba, moden atau semasa.

Sudah tentu kepakaran ini hampir-hampir mustahil di kalangan insan biasa tetapi pustakawan ulung harus sekurang-kurangnya berusaha untuk mencapai tahap yang luar biasa ini.

Seorang tokoh dengan kualiti sebegitu rupa pada zamannya adalah Magliabechi, ketua pustakawan di Perpustakaan Medicean di Florence, Itali pada kurun ke-17.

Magliabechi tinggal di perpustakaan di bawah jagaannya; makan dan berehat di sisi buku-buku. Beliau tidak pernah meninggalkan Florence lebih jauh daripada ke Prato untuk meneliti manuskrip, tetapi dikatakan fasih tentang koleksi yang ada di perpustakaan-perpustakaan agung Eropah.

Seorang sarjana sezaman pernah mengutus surat kepadanya untuk bertanyakan tentang sebuah manuskrip yang nadir. Kata Magliabechi, buku itu tiada di perpustakaannya dan juga perpustakaan-perpustakaan lain kecuali di perpustakaan Grand Signior Konstantinopel; yang boleh ditemui di sekian rak di sekian almari, berhampiran pintu masuk.

Meskipun Magliabechi tidak boleh dikalahkan dalam pengetahuannya tentang buku dan kegunaannya, tetapi jua ada kelemahan yang perlu dielakkan. Minatnya terhadap membaca – satu dosa yang tak terampun bagi seorang pustakawan – hanya tertebus melalui kekuatan ingatan yang membolehkannya menyebut tepat inti buku kepada sesiapa yang meminta nasihat; bukan setakat teks, tetapi edisi, muka surat dan hampir-hampir juga nombor barisnya. Namun, kekurangannya dalam hal penyusunan dan sistem telah menyebabkan perpustakaannya tunggang-langgang.

Ini jauh berbeza dengan seorang pustakawan pada zaman kita hari ini yang juga berasal dari tanah tumpah darah yang sama dengan Magliabechi; meskipun akhirnya Englandlah yang tumpang berbangga dengan anak angkatnya dari Itali, pengasas Perpustakaan Muzium British (Antonio Panizzi).

Satu perbandingan yang berlawanan dengan pustakawan Florence yang muram, cemburu dan suka bertengkar adalah pustakawan Bodley (Sir Thomas Bodley, pustakawan Perpustakaan Oxford), yang santun dan berperangai elok, tidak pernah kehilangan kawan mahupun mencipta musuh.

Sememangnya kualiti moral seorang pustakawan tidak kurang penting daripada pencapaian intelektualnya. Dia harus mengenali manusia lebih daripada dia mengenal buku-buku atau koleksi. Dia harus pantas mengecam orang yang tidak jujur dan penipu.

Dia harus bersedia menerima gangguan para sarjana yang cerewet dan orang-orang awam serta pengunjung atau pelancong yang bertanyakan hal remeh-temeh.

Ilmunya haruslah merata sampai ke semua golongan; dia perlu bertindak sebagai jurupandu, ahli falsafah dan teman kepada semua orang yang menziarahi perpustakaannya.

Dia harus bermurah hati atau kedekut pada masa yang sama dengan bahan-bahan yang ada dalam jagaannya – bagi mereka yang benar-benar memerlukan atau yang sekadar suka-suka mahu melihat.

Ini bermakna dia harus mencipta seberapa banyak penampilan untuk menyesuaikan keadaan dengan seberapa banyak orang; melayani ilmu dengan rasa hormat, keinginan terhadap ilmu dengan penuh galakan dan rasa simpati serta menemui mereka yang kurang berilmu dengan sabar dan sifat kelakar yang berlapik.

* * * * * * *

Artikel yang diterjemahkan di atas pernah diterbitkan oleh London Times pada 31 Julai 1881 dan boleh dicapai dalam talian di pangkalan data New York Times di sini. Sedikit perubahan telah dibuat sebaik mungkin tanpa niat mengubah makna akhir yang dimaksudkan oleh penulis asal.

Kemahiran mencari maklumat

Maklumat yang tepat menjamin ketepatan keputusan dan keberkesanan tindakan. Tanpa maklumat tertentu sesetengah keputusan tidak dapat dibuat atau sekiranya dibuat, boleh membawa akibat yang buruk dan mengaibkan.

Dalam dunia yang semakin berasaskan maklumat dan mengalami kebanjiran maklumat, kita harus bijak mencari jalan bagi mendapat maklumat yang tepat dan menggunakannya dengan berkesan.

Kemahiran mencari maklumat adalah sesuatu yang boleh dipelajari. Tetapi kemahiran mencari maklumat juga bergantung kepada kedudukan ekonomi dan tempat di mana kita berada.

Continue reading

Mencari yang indah rupa dari khabar

Sistem pesanan ringkas saya berbunyi.

Ada pesanan ringkas terbaru dari teman sekuliah dahulu. Sekolah perundangan yang telah 5 tahun ditinggalkan.

Salam. Kak ji, nak tanye
jawatan librarian ni byk
ke dlm pasaran? Atau
susah nak dpt kerja ya?
Maaflah tanya terfikir
nak tukar bidang.

Sebentar kemudian dia menelefon. Kenapa, tanya saya? Katanya dunia kerjayanya sekarang indah khabar dari rupa.

Continue reading

Simbiosis penulis, penerbit dan perpustakaan

satu pasukan

Kerja berpasukan untuk dunia buku! (imej oleh clix di http://sxc.hu)

Mendengar perkataan simbiosis, ia mungkin mengingatkan penonton tentang drama bersiri dibintangi Nanu dan Fahrin yang saling bertukar pasangan demi maslahat masing-masing.

Bagi para peminat drama tersebut, maaf kerana Simbiosis yang itu tidak menjadi inti artikel kali ini.

Simbiosis dalam artikel ini hanya mengutarakan maksud umumnya, iaitu bentuk hubungan yang saling bergantungan dan memberi manfaat kepada pihak-pihak yang terlibat.

Dan simbiosis adalah perkataan paling tepat yang dapat menggambarkan hubungan penulis, penerbit dan perpustakaan. Ini kerana ketiga-tiganya saling mendokong dan melengkapi.

Dalam dunia penulis, hubungan yang simbiotik ini pernah memberi momentum yang besar kepada penulis Radzi Sapiee.

Buku bersirinya, Berpetualang ke Acheh telah dibeli oleh Perpustakaan Negara Malaysia melalui skim pembelian terus buku daripada penulis.

Beliau telah mengutus sepucuk surat kepada bekas Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Datuk Siti Zakiah Aman agar buku-bukunya diberi layanan yang wajar.

Hasil daripada pembelian tersebut, beliau telah mendapat keuntungan yang dapat membiayai kerjaya penulisannya.

Skim sebegini sangat penting terutama kepada para penulis yang belum mencipta nama. Pada masa yang sama ia membuktikan kepentingan peranan perpustakaan dalam melindungi dan menyokong penulis.

Tidak dapat dinafikan, di sebuah negara dengan khalayak pembaca yang tidak sebesar mana dan harga buku yang relatif mahal berbanding negara jiran, salah satu laluan penting bagi mendapatkan keuntungan daripada setiap buku adalah melalui pembelian oleh perpustakaan.

Pada tahun 2003, negara kita mempunyai kira-kira 900 buah perpustakaan awam di seluruh negara termasuk perpustakaan cawangan, desa, komuniti dan perpustakaan bergerak. Ini belum mengambil kira perpustakaan akademik, perpustakaan majlis perbandaran dan perpustakaan jenis lain.

Bagi perpustakaan negara dan perpustakaan di bawah naungannya, setiap judul biasanya akan dibeli sekurang-sekurangnya dua buah untuk setiap perpustakaan dan secara keseluruhan jumlah jualan buku tentulah agak besar bagi setiap judul.

Maka kewujudan rangkaian perpustakaan yang banyak dan teratur sudah tentu dapat membantu para penulis dan penerbit dari segi jualan. Orang ramai pula berpeluang membaca buku-buku bermutu termasuk golongan yang kurang berkemampuan.

Namun hakikat bahawa masih banyak kawasan petempatan tidak mempunyai perpustakaan kurang dipedulikan oleh orang ramai. Jarang kedengaran tuntutan suara ramai supaya perpustakaan baru didirikan di tempat mereka.

Di sinilah ruang bagi penulis dan penerbit membantu menggerakkan masyarakat supaya lebih prihatin tentang kewujudan perpustakaan di petempatan mereka. Ini kerana para penulis mempunyai peminat dan pengikut mereka yang tersendiri dan mampu mengaruh perubahan.

Selain itu para penulis harus turut bergiat cergas mencari ruang untuk acara tertentu di perpustakaan tanpa menunggu pihak perpustakaan menganjurkannya.

Dengan cara memanfaatkan kewujudan perpustakaan, kepentingan perpustakaan akan lebih dirasai oleh orang ramai dan pemerintah. Perpustakaan dengan itu dapat menjadi satu pusat kebudayaan yang sebenar, sesuai dengan simbol institusi kebudayaan yang dibawanya.

Manakala para pustakawan pula sebagai penggerak utama perpustakaan harus mendekatkan diri dengan golongan penulis dan penerbit. Seboleh-bolehnya sehingga apabila penulis dan penerbit mahu melaksanakan sesuatu, perpustakaan menjadi tempat pilihan pertama mereka.

Tidak dinafikan selama ini telah banyak acara yang dijalankan secara kerjasama antara ketiga-tiga pihak, tetapi satu pelan pelaksanaan yang lebih tersusun perlu dirangka untuk mencapai keuntungan maksimum bagi semua.

Saranan para penulis dan penggiat industri buku di blog Celik Huruf untuk mewujudkan Kelab Pencinta Buku tidak harus mengetepikan aspek ini. Penulis, penerbit dan perpustakaan; ketiga-tiganya perlu seiring demi menyuburkan industri perbukuan negara.

Perpustakaan dan pustakawan harus bersedia untuk terlibat sama dan menonjolkan diri supaya kehadiran perpustakaan dalam masyarakat menjadi lebih bermakna.

Lalu hubungan penulis-penerbit-perpustakaan dapat diangkat sebagai satu hubungan simbiosis yang sebenarnya.

Bagaimana kalau di perpustakaan ada disko….

disco

Menari sambil membaca, boleh?

Dalam sebuah sesi pembentangan di sebuah persidangan mengenai perpustakaan, seorang peserta memberi cadangan:

“Bagaimana kalau kita buka disko dalam perpustakaan…”, ujarnya.

Antara sebanyak-banyak cadangan tentang bagaimana hendak meningkatkan kadar kunjungan ke perpustakaan, inilah antara satu cadangan yang agak di luar norma.

Namun, di sebalik cadangan yang berbaur gurauan itu ada satu isu besar yang mendapat perhatian pengurusan perpustakaan. Kadar kunjungan ke perpustakaan adalah satu isu yang serius, terutama untuk menguji sejauh mana kejayaan sesebuah perpustakaan dan sambutan terhadap perkhidmatannya.

Walaupun pada hari ini bahan perpustakaan ada yang boleh dicapai di dalam talian dan telah ada khidmat pustakawan rujukan ala chatting, tetapi masih banyak bahan perpustakaan terdiri daripada bahan bercetak, boleh pegang dan memerlukan ruang fizikal. Pendek kata, jika inginkan sepenuh manfaat daripada perpustakaan, orang ramai masih perlu mengunjunginya.

Salah satu masalah yang dihadapi oleh perpustakaan seluruh dunia pada hari ini adalah penurunan kadar kunjungan pengguna. Memang benar ada sesetengah perpustakaan yang tidak mengalami penurunan ini, tetapi ia hanyalah sebahagian kecil sahaja.

Kadar penurunan ini berkait rapat dengan lanskap dunia maklumat yang telah banyak berubah. Dalam kehidupan yang sibuk hari ini, lebih ramai orang memilih untuk mencari maklumat dalam talian daripada terpaksa berhempas pulas dengan lalu-lintas untuk menuju ke perpustakaan yang belum pasti dapat memenuhi keperluan maklumat masing-masing.

Pelbagai langkah telah diambil oleh pihak perpustakaan. Antara contoh perubahan yang telah dilakukan adalah mengubah suai bangunan perpustakaan kepada bentuk fizikal yang lebih menarik (contohnya dengan dinding kaca yang bergaya), membina cafe dan ruang untuk francais makanan segera di bangunan perpustakaan itu sendiri, menyediakan jimnasium, khidmat Internet percuma dan tempat pendaftaran perkahwinan tidak ketinggalan.

Ada pula perpustakaan akademik yang menggunakan pendekatan psikologi seperti menggunakan artis dalam pengiklanan perpustakaan, membenarkan para pelajar tidur di dalam perpustakaan asalkan tidak mengganggu orang lain, membenarkan membawa masuk bekas minuman yang dijamin sukar tumpah isinya, dan mengizinkan membawa masuk dan mengecas peralatan elektronik di dalam perpustakaan termasuk mesin pengimbas, telefon selular dan lain-lain (dengan bayaran tambahan untuk caj elektrik).

Pendekatan psikologi itu telah berjaya menarik ramai pelajar berkunjung sehinggakan pihak perpustakaan terpaksa membuka ruangan baru untuk kemudahan pengunjung.

Namun yang lebih utama daripada itu adalah peningkatan kecekapan perkhidmatan perpustakaan itu sendiri dengan layanan pustakawan yang lebih mesra dan profesional, bahan-bahan terkini dan kemudahan mencari bahan yang semudah Google atau Yahoo! tetapi tepat dan bermutu.

Ia adalah cabaran yang sangat besar bagi perpustakaan hari ini dan belum ada satu penyelesaian menyeluruh yang boleh diberikan mana-mana pihak.

Sudah tentu menjadi tanggungjawab pihak perpustakaan untuk berfikir dengan kreatif bagi meningkatkan kadar kunjungan, tetapi pastinya kita tidak perlu pergi sejauh membina disko di dalamnya. Bukan sahaja ia tidak mencerminkan budaya Islam dan Timur (meskipun bagi sesetengah kita disko telah mendarah daging dalam diri), bahkan ia mungkin mengundang penyalahgunaan dan kerosakan kemudahan perpustakaan itu sendiri.

Apabila perpustakaan mendapat kadar kunjungan yang sepatutnya, barulah dunia kepustakawanan dapat mengembalikan kegemilangan era perpustakaan seperti yang telah dipelopori oleh Andrew Carnegie pada abad ke-19 dan menjelmakan manfaat yang sebenar wang hasil percukaian ke dalam masyarakat.

* * * * * * *

Apa pendapat anda tentang masalah ini? Perpustakaan bagaimana yang menjadi impian anda?

Kalau anda seorang pustakawan, apa idea anda untuk menambah bilangan pengunjung?

Mari kita kongsikan di ruangan komentar ini.

Tehran Times: Iran mewujudkan perpustakaan pos percuma sebagai galakan membaca

TEHRAN — Sebuah institut yang sedang mengusahakan satu kajian tentang Al-Qur’an telah mewujudkan satu bahagian penghantaran buku secara percuma melalui pos kepada para pembaca.

Pembaca boleh memilih daripada lebih 5000 judul yang dipaparkan di laman web institut tersebut, www.tafsirejavan.com. Permohonan harus dikirim melalui faks.

Pengarah institut itu, Mohammad Bisotuni memberitahu Agensi Berita Mehr, ia adalah sebahagian program Institut Terjemahan Al-Qur’an Javan yang bertujuan untuk membudayakan membaca di kalangan kanak-kanak dan remaja.

Continue reading