Plat buku Max Weisweiler

Weisweiler's book plate

Plat buku Weisweiler mengungkap serangkap puisi Arab

Profesor Max Weisweiler merupakan seorang orientalis masyhur, pengkaji, pengarang dan penterjemah sejumlah buku-buku hebat dalam kebudayaan Islam, antaranya Arabische Märchen (Arab Tales), Märchen des Orients (Tales of the Orient), Verzeichnis der Arabischen Handschriften (Directory of Arabic Manuscripts), Von Kalifen (Of Caliphs) serta Halsband der Taube (Tawq al-Hamama atau The Dove’s Necklace oleh Ibn Hazm).

Menelusuri sejarah hidupnya, beliau juga pernah berkhidmat sebagai seorang pustakawan di Staatsbibliothek zu Berlin, atau Perpustakaan Berlin. Ketika Perang Dunia Kedua berlangsung, tindakan beliau mengirim koleksi manuskrip Timur menghala ke kawasan barat telah berhasil menyelamatkan koleksi itu, walaupun terpaksa menafikan arahan yang meminta beliau menghantarnya ke Silesia yang terletak arah ke timur.

Merenung kembali hasil-hasil karyanya, tidaklah menghairankan jika seorang malim sarjana seperti beliau memiliki koleksi peribadi yang mengkagumkan. Buku-buku beliau kini telah menjadi salah satu koleksi khas di Perpustakaan ISTAC yang terletak di Persiaran Duta. Terdapat banyak kitab-kitab ulung dalam bahasa Arab menjadi rujukannya, termasuk Alf Laila wa Laila (dalam 4 jilid), Mu’jam al-Buldan oleh Yaqut (2 jilid), Raudat al-Muhibbin oleh Ibn Qayyim al-Jawziyyah, al-Durar al-Kaminah oleh Ibn Hajar dan banyak lagi.

Pada sebelah dalam kulit buku – atau juga dikenali sebagai pastedown dalam istilah perbukuan dan penjilidan – beliau melekatkan plat buku (book plate) yang unik dan ditempah khas. Pada plat buku itu tertera serangkap puisi Arab yang mengangkat ketinggian buku:

puisi di plat buku weisweiler

Begitulah kecintaan seorang orientalis malim sarjana Barat terhadap bahasa Arab, sehingga plat bukunya pun mengungkapkan sebuah puisi Arab. Adakah anda juga peminat buku yang suka melekatkan plat buku? Apa plat buku yang sedang anda gunakan, dan plat buku bagaimanakah menjadi impian anda?

Cinta baru

alf lailah wa lailah

Alf Lailah wa Lailah (Koleksi Max Weisweiler)

Ini antara cinta baru saya, yang sedang menunggu di atas troli di luar pintu – menunggu masa untuk dikatalog (dalam bahasa Arab!).

Koleksi Weisweiler, yang belum pun saya gali siapa tokohnya.

Cinta baru, menuntut hati dikosongkan dan doa dilontarkan.

Sudah 9 tahun saya tinggalkan bahasa syurga, kini baru bersua semula.

Barangkali Allah mahu saya ‘kembali’ ke asal diri.

Apa yang dibaca bekas sang hakim?

ISTAC_fountain

Institut majestik di Taman Duta (ihsan blog Aynarazaly)

Hari-hari saya di Gombak semakin singkat. 1 Februari nanti saya akan jadi orang Taman Duta. Institut yang bertenggek di pinggir bukit sana seperti sedang memanggil-manggil. Sesekali berasa tak sabar menjadi sebahagian daripada institut itu, yang telah menerima sentuhan seorang ilmuan besar dari sebesar-besar lakaran bangunan sehingga sekecil-kecil ukiran di tempat melabuh duduk.

Namun ada kewajipan yang perlu dipenuhi dalam proses transisi, iaitu pemindahan tugas kepada pengganti. Jadi baru-baru ini saya menyinggah ke pejabat teman yang bakal menggantikan tempat saya, di bahagian urusan pengendalian hadiah, Gift and Exchange.

Ketika duduk menunggu beliau menyudahkan urusannya dengan seorang penderma dari Sudan, saya sempat ‘mengorek’ buku dalam sebuah kotak. Tak sangka banyak sekali buku bacaan santai yang kena dengan selera saya. Mulanya saya temui Dan Brown: Angels and Demons (2 naskhah) dan beberapa judul lagi.

Lebih jauh saya menggali, saya temui buku-buku travelog dan kisah kewartawanan. Saya temui juga buku mitologi, dan buku sejarah. Kebanyakannya dari MPH dan Kinokuniya. Tetapi ada juga yang dibeli ketika kembara, misalnya di Bandung dan di Bangkok.

Ketika membelek ke halaman tajuk (title page), saya temui cop nama pemiliknya, tetapi pengetahuan cetek saya hanya mampu mengaitkan beliau dengan bekas Rektor UIA, Prof. Syed Arabi Idid.

Tiba-tiba teman sekerja bersuara, memberi cahaya baru kepada kedangkalan ilmu diri.

Dato' Syed Ahmad, bekas hakim negara
Dato’ Syed Ahmad, bekas hakim negara (ihsan Wikipedia)

“Itu buku Dato’ Syed Ahmad Idid, bekas hakim negara yang Mahathir pecat dulu, sebab dedah isu rasuah di mahkamah kehakiman. Dia memang selalu derma buku untuk library kita.”

Sungguh, kembang dada saya sebentar, berpeluang memegang bahan-bahan bacaan yang pernah menggauli minda seorang bekas hakim negara, yang sanggup pula melepaskan jawatan demi kebersihan jentera demokrasi nasional.

Semakin laju tangan saya meneroka buku-buku lain miliknya sehingga ke dasar kotak, lalu akhirnya meninggalkan meja si teman dengan rasa bertuah dan teruja.

Saya siap menggendong ke partition saya (dengan niat meminjam) beberapa buah sebelum buku-buku itu diproses (dan sebelum saya habis menjalani dua minggu terakhir di kampus Gombak tercinta).

 

365hagakuremythology

 

 

 

 

 

 

Antara judul-judul yang saya gendong pergi adalah The Little Big Book of Classical Mythology, Hagakure: Book of the Samurai, 365 Great Stories from History for Everyday of the Year, dan Wartawan? Hehehe….

Dua buah antaranya dibeli di Bangkok dan Bandung – ada catatan tangan dengan pen yang saya percaya dibuat oleh Dato’ Syed Ahmad Idid sendiri. Di dalamnya juga terdapat efemera (ephemera) yang menjadikan sejarah buku, pemilik asal dan pembaca seterusnya berasa lebih akrab dan dekat.

Buku-buku yang ‘dipusakai’ begini, sentiasa membuat saya berasa ‘mereka’ memiliki roh yang tidak dimiliki oleh buku-buku lain yang dipesan terus dari pembekal, atau dibeli secara seleksi oleh wakil-wakil perpustakaan atau staf perpustakaan. ‘Mereka’ berada dalam kelas tersendiri, boleh tersenyum megah dari rak-rak, kerana pernah dimiliki oleh tokoh-tokoh besar.

Ini membuat saya lebih tidak sabar untuk ke Taman Duta, kerana di sana nanti lebih banyak koleksi khusus yang didermakan mahupun diperolehi oleh perpustakaan sedang menunggu, termasuk manuskrip dan artifak yang nadir dan tunggal. Antara yang tidak sabar untuk saya kenali, adalah koleksi seorang sarjana seni bina Islam yang begitu ulung sekali, sehingga tidak ada duanya di seluruh dunia. Saya belum mengenalinya, tetapi saya akan. Dan saya tahu, pasti jatuh hati!

Ini yang dikatakan sarjana tulen

Artikel yang dihadiahkan seorang profesor undang-undang kepada perpustakaan Dar al-Hikmah

Saya kagum dengan sikap bersungguh-sungguh yang ditunjukkan seorang profesor ini. Bekas pensyarah di Stanford Law School, sebuah universiti ternama, beliau tidak menunggu sahaja para penyelidik tersandung artikelnya antara ribuan artikel lain, malah berusaha mengirimkan artikelnya kepada perpustakaan-perpustakaan.

Saya tidak tahu sebanyak mana pustakawan yang diutusnya dengan artikel terkininya, tetapi saya yakin bukan saya seorang. Saya yakin beliau memegang prinsip ilmu untuk dikongsi, bukan disembunyikan kerana ingin menjadi lebih pandai dari orang lain.

Sayang sekali senario di Malaysia masih jauh dari tahap itu. Begitu yang seorang rakan saya kongsikan sewaktu wakil EBSCO Discovery Service berkunjung ke tempat kerja kami untuk menawarkan gerbang penyelidikan terbaru syarikatnya.

Saya kagum kerana pihak EBSCO dan beberapa penyedia pangkalan data ilmiah (database provider) terkenal yang sebenarnya para pesaing, dapat berkongsi metadata masing-masing walaupun keuntungan paling besar seolah-olah akan dikaut hanya satu pihak.

Tidak begitu di Malaysia, kata teman saya, membuat saya terkenang surat dari Prof. UTM di Malaysiakini tempoh hari. Betapa untuk saling menggunakan khidmat malim sarjana sahaja institusi kita sudah bagai hilang arah dan enggan saling membina.

Saya jadi tertanya-tanya, kenapa orang kita, dalam memburu sesuatu yang sebenarnya bagus, boleh jadi nanar hingga terabai pula prinsip-prinsip yang paling asas. Mungkinkah dari sudut budaya, kita belum bersedia? Barangkali orang kita masih dalam peringkat penapisan, menuju ketulenan.

Macam-macam ada

Inilah nombor panggilan di perpustakaan, bukan nombor panggilan telefon.

I

Di meja informasi, seorang pelajar baru mahu mencari sebuah buku dengan judul tertentu. Seperti biasa, pustakawan sedia menunjukkan cara menggunakan OPAC, atau Katalog Awam Dalam Talian.

Akhirnya, buku yang dikehendaki ditemui. Pustakawan menghulurkan kertas dan pen kepada pelajar.

Please jot down the call number.” (Tolong salin nombor panggilan) Ujar si pustakawan.

I’m sorry, you want my phone number?” (Minta maaf, awak mahu nombor telefon saya?), sambil tangan sudah menggagau dalam kocek seluar, mungkin mahu bertukar-tukar nombor?

No, no,” (Bukan, bukan), pustakawan memasang senyum di bibir, cuba menutup ketawa.

This is the call number of the book, so you can locate it on the shelf.” (Ini nombor panggilan buku, supaya mudah kamu cari di rak).

* * * * * * *

Grrrr, macam ini pun ada...

II

Perpustakaan baru sahaja mengendalikan Client Day atau Hari Pelanggan. Salah satu kuiz yang dianjurkan pembekal, menyediakan kamera sebagai hadiah utama.

Ada beberapa pelajar tak sempat menuntut hadiah pada petang penutup, lalu tugas penyerahan hadiah diamanahkan kepada pustakawan. Ada sebuah tetikus dan dua pouch belum terserah.

Pagi keesokannya, seorang pelajar datang menunjukkan mesej kemenangan yang diterimanya daripada pembekal, dan dinyatakan hadiahnya adalah sebuah kamera.

Pening, pening, kamera sudah pun dituntut jauh lebih awal. Ditilik-tilik muka pelajar pula, tiada tanda-tanda menipu – sebegitu lurusnya dia tanpa dolak-dalih dan gelisah. Pustakawan pula yang gelisah kerana risau perpustakaan dituduh menipu!

Siasatan dimulakan. SMS pembekal dijejak. Berbeza sama sekali dengan SMS yang diterima pelajar. Nombor telefon penghantar SMS kepada pelajar cuba dihubungi. Tiada jawapan, mungkin ditutup.

Ada perasaan mahu ‘menyerang’ sahaja pelajar itu, tetapi dia tetap tidak berganjak daripada cerita dan dakwaannya, dengan penuh rendah hati dan percaya diri.

Akhirnya, dia datang bersama temannya, ketawa-ketawa.

Sorry my friend is joking.” (Baca: Maaf, saya didajalkan kawan saya).

Let me punch him for you.” (Baca: Geram)

Aduhai! Yang begini pun ada juga…

ISTAC & pembekal yang pemurah

Suatu hari Puan bertanya, “Awak tak bosan ke buat kerja yang sama sahaja?”

Saya segera berjujur, bermain dengan data jurnal & bahan bersiri sepanjang hari adakalanya membuat diri hampir tersengguk di depan komputer pada waktu jam biologi cuba merampas kuasa (biasanya sekitar jam tiga).

Komputer

Seronok menganalisa data, tetapi ruang meneroka dunia tetap perlu

Walaupun saya bukan dalam kategori yang mencintai kerja tepu komunikasi interpersonal, kerana personaliti saya menjurus INFP, tetapi peluang melawat ISTAC dan HQ pembekal memang peluang yang jarang dapat dirasai.

Lagi pula semuanya masih berkait buku dan buku!

ISTAC yang kini sebahagian daripada UIAM adalah institusi unik hasil pelaksanaan idea pendeta Syed Naquib al-Attas. Keistimewaan ISTAC bukan sahaja pada binaan yang beliau zahirkan daripada lakaran tangannya sendiri, tetapi berisi simbolisme yang tinggi.

Lakaran Syed Naquib

Syed Naquib Al-Attas melakar sendiri setiap seni bina yang akhirnya dizahirkan di ISTAC

Perpustakaannya juga sangat istimewa kerana memiliki koleksi artifak, manuskrip & peta lama dunia Islam, koleksi nadir dan koleksi sarjana Barat pengkaji Islam yang tidak akan didapati di mana-mana tempat lain. Salah satu koleksi buku nadirnya adalah buku Thomas Frognall Dibdin mengenai bibliofil. Terdapat juga peta Arab tua yang menunjukkan Semenanjung Malaysia dan kewujudan Melaka.

Lebih menarik lagi, sebuah buku berjudul ISTAC Illuminated telah ditulis untuk memberi gambaran jelas satu persatu mengenai makna di sebalik setiap ukiran dan seni bina bangunan itu. Buku itu telah saya buru selepas waktu makan di bankuet yang disifatkan oleh pustakawan dan staf ISTAC sebagai Dewan Harry Potter (memang ada suasananya, kalau dipindahkan lokasi filem Harry Potter ke ISTAC, nescaya filem itu tidak lari temanya!).

Istac Illuminated & Risalah Untuk Kaum Muslimin

Dua buku yang menyebabkan diri hampir ditinggal bas rombongan!

Sambil menunggu resit buku pertama dicetak, saya terlihat buku-buku lain Syed Naquib di rak. Saya terdorong membeli sebuah lagi buku yang semakin sukar dicari iaitu Risalah untuk Kaum Muslimin. Maka bermulalah sesi pujuk-memujuk. Rakan sekerja itu tidak dapat menjual naskhah yang satu-satunya masih berbalut dan dalam keadaan baik, kerana itulah satu-satunya yang ada untuk simpanan ISTAC. Saya reda memilih naskhah yang terkena air pada belikat buku itu di sebelah bawahnya, apatah lagi dengan harga modal sahaja.

Keesokannya, Puan meminta saya menemankan rakan kerja senior ke pejabat pembekal; atas jemputan mereka, supaya kami dapat meninjau sendiri bagaimana proses pengimpotan jurnal dan bahan bersiri lain di buat, sehingga sampai ke pihak perpustakaan.

Memang pengalaman saya julung kali, terutamanya untuk tahu bagaimana sebuah syarikat sebegituberoperasi. Selepas 40 tahun berkecimpung, mereka sudah mampu membeli satu aras bangunan di PJ dan mempunyai unit penerbitan dan penjualan, selain mengimpot dan mengedar buku dan jurnal antarabangsa.

Pengalaman itu bertambah manis lagi bila Tuan M yang sangat pemurah itu telah membawa kami ke stor buku.  Kata pekerjanya, pilih sahaja mana yang mahu. Wah, segan sekali rasanya – apatah lagi tangan saya memang tak dapat menahan daripada menyambar 4 buah buku! Kalau boleh mahu satu kotak, tapi aduh! mana mahu letak muka selepas itu? Saya tawarkan diri untuk membayar, memikirkan tidak manis nafsu saya dibiar bermaharajalela di situ sebebasnya. Tetapi mereka menolak.

Akhirnya saya pulang dengan sekelumit rasa bersalah dan segunung rasa bahagia! Hanya Allah dapat membalas kebaikannya, seorang lelaki lebih separuh abad yang mempunyai wajah yang bersih dan gerak tangan yang hemat & berhalus.

MBRAS books

Buku-buku MBRAS yang sudah lama dicita-citakan.

Hati bibliofil mana yang tidak berbulan bintang apabila melalui dua hari pengalaman dengan buku, buku dan buku, begini? Saya berasa seperti berada di syurga mini!

Alhamdulillahi ‘ala ni’mah.

Program Bright Sparks Universiti Malaya

Percik ilmu, terangi gelap

Universiti Malaya membuka program baru untuk merekrut para penyelidik kelas pertama, dikenali sebagai Bright Sparks Program (BSP). Ini seiring dengan rancangan kerajaan untuk menjadikan UM sebagai universiti penyelidikan ulung negara ini.

UM telah lama menyediakan kursus sains maklumat dan perpustakaan pada peringkat sarjana dan PhD. Bagi para pustakawan yang ingin beralih ke bidang akademik, mungkin program ini adalah lebuhraya ke arah cita-cita itu.

Bagi yang telah memiliki sarjana, antara syarat yang perlu dipenuhi adalah memiliki sekurang-kurangnya dua artikel yang telah terbit dalam mana-mana jurnal yang diindeks oleh ISI.

Berikut adalah antara jurnal-jurnal yang diindeks ISI itu:

  1. Library Journal (Academic Source Premier & ProQuest)
  2. Library Collections, Acquistions & Technical Services
  3. Library Quarterly
  4. Library Trends (Proquest, embargo 1 year)
  5. Library & Information Science Research (Science Direct)
  6. Library Resources & Technical Services (Expanded Academic ASAP & Academic Source Premier)
  7. Library Hi-Tech (Emerald Insight)
  8. Library & Information Science
  9. Information Research (open-access)
  10. Information Development
  11. Information Society (Business Source Complete, embargo 1 year)
  12. Book Collector

Selamat menyelidik, menulis dan memburu impian!

Maklumat lebih lanjut mengenai BSP boleh dirujuk di sini.

Kerjaya di perpustakaan

toronto reference library

Pemandangan Aras 2 hingga 5 Perpustakaan Rujukan Toronto

Seorang teman maya di Goodreads Malaysia bertanya:

By the way, what do you do in the library? Do you just sit behind a computer and catalog books or do you actively help students (you deal mostly with students right?) find the books that they need?

Mulanya saya mahu menjawab mesejnya secara personal, tetapi oleh sebab seringkali mendengar pelbagai pertanyaan senada mengenai kerja di perpustakaan, saya fikir elok juga saya menulis entri khusus untuk sesiapa yang berminat untuk tahu.

Saya mungkin belum lagi  berjaya meraih gelar pustakawan penuh sejak mendapat tauliah kepakaran tersebut dari tempat pengajian, namun sekadar pemerhatian saya sebagai ‘orang dalam’ bolehlah dikongsi.

Bagi bahagian pertama pertanyaan itu;  jawapannya adalah tidak. Seorang yang bekerja di perpustakaan tidak hanya duduk di komputer dan mengkatalog buku walaupun dia seorang pustakawan bahagian katalog di sesebuah perpustakaan akademik. Begitu juga pustakawan khidmat pembaca. Mereka tidak bergelumang dengan pertanyaan pelajar, pensyarah dan pengunjung luar sepanjang masa.

Antara tugas lain yang dipikul pustakawan atau petugas perpustakaan pada zaman kini adalah:

  1. Menjadi pengajar kelas celik maklumat untuk pelajar prasiswazah dan siswazah;
  2. Menjadi pemudah cara lawatan perpustakaan bagi prasiswazah dan siswazah baru serta pelawat luar;
  3. Menguruskan sistem repositori institusi secara usaha sama dengan pihak pentadbir dan fakulti;
  4. Mengagih belanjawan yang diperuntukkan oleh pihak pentadbir untuk perpustakaan;
  5. Merancang perkembangan perpustakaan berdasarkan belanjawan;
  6. Menghadiri seminar mengenai teknologi dan tahap profesionalisme mutakhir dalam bidang mereka;
  7. Melakukan kaji selidik untuk mengetahui tahap perkhidmatan perpustakaan;
  8. Menulis untuk jurnal-jurnal profesional bidang mereka;
  9. Mengadakan pameran berkenaan koleksi dan isu-isu tertentu yang penting;
  10. Menyelaras aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan bahan;
  11. Menghadiri kursus-kursus bina diri dan kemahiran;
  12. Bertemu dengan pihak fakulti atau pentadbiran universiti untuk menyelaraskan keperluan institusi dengan khidmat perpustakaan;
  13. Memastikan kemudahan perpustakaan terutama kemudahan IT berada pada tahap terbaik untuk kegunaan pengunjung;
  14. Ikut serta dalam audit dalaman dan audit luaran perpustakaan dan universiti;
  15. Dihantar oleh pentadbir perpustakaan untuk membuat pemilihan bahan perpustakaan di luar negara mengikut giliran – biasanya di pesta-pesta buku antarabangsa;
  16. Melaksanakan aktiviti promosi perpustakaan; dan
  17. Terlibat dalam proses rundingan pemerolehan manuskrip atau bahan nadir untuk perpustakaan.

Kesemua tugasan tersebut bagaimana pun bergantung kepada jenis institusi atau organisasi tempat berkhidmat.

Hidup dalam dunia ledakan maklumat telah menambah cabang-cabang perkhidmatan yang boleh digeluti oleh mereka yang berpendidikan sains maklumat dan perpustakaan.

Mereka boleh jadi juga bertugas di bahagian rekod hospital, menjadi dokumentalis (document controller) di syarikat-syarikat nasional mahupun multinasional, menjadi pegawai pengurus maklumat di syarikat korporat dan lain-lain.

Bagi  pertanyaan bahagian kedua, hakikatnya bukan hanya buku yang biasanya diperlukan oleh pencari maklumat zaman kini.

Secara ekstensif, petugas perpustakaan biasanya mencari bahan berdasarkan keperluan para penyelidik – misalnya ‘saya mencari bahan mengenai etika kerja’, ‘kami mencari bahan mengenai konfrontasi Malaysia-Indonesia’, ‘saya mencari bahan mengenai pilihan raya Malaysia ke-12′, dan seumpamanya.

Keperluan maklumat mereka paling kurang akan merangkumi bahan-bahan dalam katalog utama dan pangkalan data elektronik, termasuk akhbar, majalah, jurnal, mikrofilem, mikrofiche, multimedia dan lain-lain.

Namun begitu, kepakaran seseorang pustakawan atau mereka yang bekerja di perpustakaan banyak bergantung kepada minat dan tumpuan masing-masing terhadap bidang yang istimewa ini.

Sama seperti seorang pereka laman web yang mencintai bidangnya dapat menghasilkan laman yang tinggi nilai artistik, mudah dilayari serta bagus SEOnya, berbanding pereka laman biasa yang mencedok dari pereka lain untuk memudahkan tugasnya.

Sama seperti seorang pekerja akaun yang tidak kisah menjadi eksekutif akaun sepanjang hayatnya, tanpa perasaan ingin menjadi akauntan bertauliah dengan memiliki ACCA atau CIMA.

Sama seperti seorang doktor yang berasa memadai dengan membuka cawangan demi cawangan klinik tanpa cita-cita menjadi doktor pakar.

Menjadi pustakawan sejati memerlukan kecintaan luar biasa kepada bidang ini; dan hanya dengan itu sahaja mereka dapat menjadi tokoh zaman seperti Magliabechi dan Martin Lings atau melangkaui bidang kepustakawanannya seperti Prof. Ding Choo Ming dan Prof. Shaharom TM Sulaiman.

Artikel Kerjaya Pustakawan: Antara Persepsi Stereotaip dan Realiti oleh Harith Faruqi Sidek, bekas ketua bahagian Koleksi Arkib, Galeri dan Khas, PTSL UKM mungkin boleh menambah jelas lagi mengenai stigma kerjaya pustakawan.

Pustakawan sejati

perpustakaan tua

Pustakawan - perlu kaya ilmu!

Sekadar renungan, kerana saya dalam pencarian syarat-syarat yang wajar dipenuhi, untuk seorang pustakawan bergelar pustakawan sejati.

  1. Penuh sedar bahawa tanggungjawab utamanya adalah sebagai pemudah cara, pemandu orang ramai meneroka ‘hutan’ maklumat, ‘memimpin’ agar manusia tidak tersesat di dalam ‘hutan’ itu, yang akibatnya adalah kehilangan masa yang sangat berharga, atau mencapai keputusan yang tidak tepat.
  2. Atas kesedarannya itu, seorang pustakawan harus sentiasa peka, sentiasa berusaha, demi  memahami jutaan ‘kerenah’ setiap ‘pohon’ di hutan maklumat. Setiap hari dia wajib mendekatkan diri dengan khazanah ilmu, memperhatikan keperluan maklumat bangsa yang paling terkini dan mendesak mengikut zaman yang sedang dilalui.
  3. Atas kewajipannya mendekatkan diri dengan ilmu, dia bukan hanya harus menjadi pengumpul, tetapi menjadi pembaca dan penilai maklumat, agar apabila seorang pencari ilmu datang kepadanya mencari bahan, dia mampu memberi saranan penyelesaian sekiranya bahan yang dicari tidak ada dalam koleksi jagaannya. Dia juga harus menjadi pemerhati zaman, bukan iseng-iseng melalui waktu tanpa peduli.
  4. Atas keperluannya menjadi pembaca, penilai maklumat dan pemerhati zaman, dia tidak boleh menjadi orang yang hidup terpisah daripada masyarakat. Dia perlu menjadi pembina persahabatan yang mesra dengan kelompok ilmuwan, supaya dia lebih faham dan berpengetahuan mengenai ‘hutan’ ilmu yang diuruskannya, serta zaman  yang sedang dihadapinya.
  5. Hanya apabila dia dapat membantu menjernihkan kekalutan pencari ilmu di ‘hutan’ yang sudah berusia ribuan tahun itu (atau jutaan?), barulah dia berasa wajar meraikan kegembiraan paling besar, melebihi kegembiraan para pencari itu sendiri!

Tak berani lagi, santai-santai memelukciummu

Buku berselubung plastik

Manuskrip & buku; terasa seperti menyerahkan 'mereka' ke kebuk gas Hitler

Untuk selama-lamanya, selepas Jumaat 2 April 2010, saya tak berani lagi santai-santai memeluk dan mencium buku-buku di rak belakang seperti dulu.

Sebelum ini saya tidak pernah tahu. ‘Mereka’ semua  wajib menerima antibodi – demi preservasi.

Setahun, sekali. Secara fumigasi.

_____________________________________________________________

Caution - Poisonous Gas

Etelene oksida - boleh menyebabkan barah.

Over the past several decades, ethylene oxide gained such wide acceptance in the library and archival preservation world, that in spite of the risks its usage presents, it has not been easy to replace with another fumigant….Chronic exposure to ethylene oxide can increase the risk of leukemia, brain tumors and other cancers; it can cause chromosome damage and may also affect the reproductive system….It is now generally accepted that several natural, as well as synthetic polymeric materials tend to retain significant amounts of residual ethylene oxide subsequent to a fumigation treatment. The residual ethylene oxide is then gradually released into the environment over an extended period of time….In the case of fumigated library materials, this risk can be extended to unsuspecting and unprepared curators and other personnel who routinely service the fumigated materials. (daripada “Desorption of Residual Ethylene Oxide from Fumigated Library Materials“, Library of Congress).