Seni membuat buku dengan tangan

BonefolderKali pertama manusia mencipta buku, belum ada mesin yang mampu mencetak, menjilid serta menyusun helaian dan kulit buku secara pukal seperti sekarang.

Pelbagai teknik pernah digunakan untuk menghasilkan buku, termasuk mencetak dengan acuan ukiran kayu atau porselin di Eropah dan China. Selain itu, buku dihasilkan secara penuh seni dengan menggunakan tulisan tangan dan pelbagai hiasan yang menjadikannya unik.

Al-Qur’an, kitab suci agama Islam juga telah dihasilkan dengan tulisan tangan dan dihias indah sebelum zaman percetakan, contohnya Al-Qur’an Sultan Baybar daripada dinasti Mamluk yang ditulis dengan dakwat emas dan kini disimpan di Perpustakaan British.

Continue reading

Jangkakan kenaikan harga buku dan bahan bacaan tradisional

Masih ingat kira-kira sepuluh tahun lepas apabila ekonomi Asia bergoncang, harga kertas telah meningkat naik dan seterusnya harga buku. Kali ini perkara yang sama berulang lagi.

Para pembaca harus menjangkakan kenaikan harga buku dan juga bahan bacaan lain, termasuk akhbar harian berdasarkan kenaikan 50% yang berlaku kepada harga kertas.

Continue reading

Ubah gaya hidup: sumber bahan bacaan ketika gawat

Sebelum ini, Bukuria telah menyarankan membaca sebagai satu bentuk hiburan alternatif pada waktu ekonomi gawat. Saranan ini dibuat berdasarkan beberapa sebab. Salah satunya adalah kerana berhibur dengan buku ini walaupun masih memerlukan kita mengeluarkan kos tetapi ia berbaloi dan masih boleh diselarikan dengan saranan kerajaan supaya mengubah gaya hidup.

Dalam keadaan separa rela untuk menyahut seruan kerajaan tersebut (kerana kerajaan belum menunjukkan kesungguhan pihaknya untuk mengubah gaya hidup), pengendali Bukuria berasa terpanggil untuk menyenaraikan beberapa sumber bahan bacaan yang boleh kita jadikan gantian sementara kegawatan ekonomi masih bermaharajalela.

Continue reading

Hiburan terpilih ketika ekonomi gawat

Ketika ekonomi dunia dan negara berada dalam keadaan sihat, kita mempunyai banyak pilihan hiburan. Nilai wang yang tinggi menjamin peluang kita untuk berhibur dengan pelbagai cara: melancong / mengembara, membeli-belah, berekreasi di pusat rekreasi berbayar, melawat teman-teman dan saudara-mara yang jauh, menonton konsert, menonton wayang dan lain-lain lagi.

Tetapi apabila keadaan ekonomi sedang gawat, kita harus bijak menyusun semula perbelanjaan supaya dapat menjalani hidup tanpa berasa lebih perit. Ini termasuk menyusun dan memilih semula cara dan bentuk hiburan yang dapat meringankan bebanan fizikal dan emosi.

Continue reading

1000 buku untuk 1000 manusia dan 1000 keadaan

Kata S.R. Ranganathan bapa sains perpustakaan India, setiap buku ada pembacanya dan setiap pembaca ada bukunya. Betapa benarnya kata-kata beliau. Malah bukan itu sahaja, saya percaya setiap buku juga ada keadaan yang bersesuaian dengannya untuk ditelaah.

Biar saya kongsikan kisah saya dengan buku sekali lagi untuk menunjukkan kebenaran kata-kata ini.

Pertama sekali jangan ketawa. Semasa kecil saya penakut sekali orangnya. Kalau terjaga di tengah malam dan mahu menggunakan bilik air saya pasti akan mengejutkan ibu atau ayah. Sehinggalah saya menjejak sekolah menengah.

Continue reading

Terima kasih 1515

1515

Hayati perjuangan Nyemah Mulya, watak yang menggugah sejarah

Sebelum saya memperpanjangkan kisah terima kasih ini, saya ingin menyatakan di sini sebagai satu pelepasan tanggungjawab sebagai seorang Muslim dan pada masa sama, kalau-kalau ada orang mempersoal di mana telah kaucampak kitab sucimu – kau kelihatannya ribut-ribut benar soal buku-buku cerita dan novel sahaja? Ya, pernah ada yang bertanya senada.

Jadi ingin saya ujarkan di sini seawal permulaan, terima kasih saya kepada buku ini (dan sudah tentu penulisnya) tidak mengurangkan langsung terima kasih dan syukur saya kepada Al-Qur’an, kitab agung yang dikirimkan Tuhan melalui Rasulullah s.a.w. kepada saya. Bahkan ada waktu-waktunya novel-novel ini mendekatkan dan mengembalikan saya kepada Al-Qur’an.

Sekarang inilah cerita saya, kenapa berterima kasih kepada 1515? Lebih sepuluh tahun lalu, saya diterima belajar di sebuah institusi yang bahasa pengantarnya bahasa Inggeris. Bermulalah satu era baru dalam hidup yang sebelum ini bercakap bahasa Inggeris pun sering tergagap dan malu. Dunia saya sebelum ini dipenuhi dengan orang-orang Melayu yang bercakap Melayu dan buku-buku bacaan pun buku-buku Melayu atau terjemahan ke bahasa Melayu.

Memandangkan pelajar lain yang lahir di bandar lebih cekap bahasa Inggerisnya, saya mula resah gelisah dengan tahap kebolehan sendiri. Malah semasa English Placement Test, saya gagal berinteraksi dengan baik dalam bahasa Inggeris dan berasa sangat tercabar kerana gagal lulus sempurna.

Demi memperbaiki penguasaan bahasa, saya pun membina azam baru, beralih angin ke buku-buku Inggeris termasuk novel-novel yang berlambak di perpustakaan. Mujurlah saya boleh dikira kaki buku juga, jadi diri tidak perlu dipujuk-pujuk untuk membaca.

Sejak hari itu, dunia sastera Melayu pun saya abaikan dan saya tak lagi membaca Dewan Siswa atau majalah Dewan lain yang dulu selalu dimesrai. Surat khabar Melayu pun tidak dihadam lagi. Sampai begitu sekali!

Sedar tak sedar, dunia sastera Melayu cepat saja meninggalkan saya – betapa kelahiran penulis-penulis baru setelah tahun 1997 telah menjadi satu berita yang sayup-sayup sahaja di telinga. Saya tidak lagi tahu apakah judul buku Melayu terbaru dan terhangat di pasaran atau siapa penulis muda yang sedang mendaki populariti.

Akhirnya saya lulus pengajian walaupun bukan pada tahap paling membanggakan. Alhamdulillah, saya beroleh sekeping perakuan akademik pada bulan Ogos 2003. Kampung pun menyambut saya yang baru mengakhiri dunia pelajar.

Tidak lama kemudian, adik lelaki saya yang sedang belajar di Mesir pulang seketika untuk bercuti di tanah air. Dia pembaca yang agak tekun juga, dan dia memborong banyak buku semasa cuti semester tahun tersebut.

Tambahan lagi waktu itu dia sedang berteman dengan seorang pelajar Malaysia di Indonesia, yang kami kenali sebagai Nida. Nida sebagai mantan Minggu Penulis Remaja banyak berkongsi cerita-cerita buku dengan adik. Dalam beberapa banyak buku yang dibeli adik, salah satunya adalah 1515.

Buku itu melekat kepada saya seperti kuasa arus elektrik yang kuat, menyentap akal tak terduga dan membakar kealpaan saya sehingga hangus. Sudah terlalu lama saya tidak membaca buku novel Melayu sebaik itu.

1515, dengan bahasa Melayu yang indah tersusun dan peribahasa serta tamsilan Melayu lama yang kaya, membuatkan saya tersentak dari sebuah mimpi panjang. Inilah gaya penulisan buku Melayu yang berbeza dan mencabar untuk diteroka. Sayembara novel Melayu menjadi sesuatu yang mempunyai nilai baru di mata saya.

Sejak hari itu, saya menyorot ke belakang semula – ke arah tahun-tahun ketika sastera Melayu saya tempatkan di belakang. Saya mula mencari novel-novel bermutu Melayu yang terbit sepanjang 1998-2003 dan berusaha membacanya.

Sejak hari itu hinggalah sekarang, apabila 1515 telah menjadi bahan bacaan mahasiswa pengajian Melayu di Universitat zu Koln, Jerman, saya tidak pernah mengkesampingkan karya-karya berbahasa Melayu lagi.

Saya masih menganggap 1515 novel yang paling unik dalam rangkaian novel-novel Faisal Tehrani, dan paling berjasa.

Paling unik kerana sejak 1515lah Faisal Tehrani terus-terusan meneroka tentang peradaban Melayu Melaka dan dunia pelayaran Melayu yang agung dalam karya-karyanya yang lain. Paling berjasa kerana sejak membaca 1515lah saya kembali kepada sastera Melayu dengan lebih gigih dan semangat yang lebih padu.

Malah yang lebih utama 1515 tidak menempatkan Al-Qur’an di belakang, tetapi menyelitkan unsur agama yang tipikal dalam karya-karya Faisal Tehrani.

Terima Kasih 1515….

Novel ‘telefon bimbit’ laris di Jepun

[Diterjemahkan daripada sebuah artikel berbahasa Inggeris oleh Yukari Iwatani Kane dalam Dispatches from Japan: Spotlight on 2007 Economic and Corporate Coverage, terbitan Wall Street Journal Asia]

TOKYO – Apabila Satomi Nakamura menggunakan telefon bimbitnya, dia harus lebih berhati-hati dengan mengambil jeda yang kerap. Ini kerana dia tidak semata-mata berbual biasa. Tetapi wanita berusia 22 tahun itu baru saja selesai menulis novelnya yang berjumlah 200 muka surat bertajuk ”Mencintaimu Kembali” hanya melalui skrin kecil telefon bimbitnya, menggunakan ibu jari tangan kanan untuk menekan kekunci dan jari kelingking untuk memegang telefon. Dia terlalu terbawa-bawa menulis bulan lepas hingga salah satu daripada salur darah jari kelingkingnya pecah.

Continue reading

Penggemar buku… jom tinjau Las Ramblas

Seminggu yang lalu tanggal 23 April 2008, perayaan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia telah berlangsung dengan pelbagai acara sambutan di seluruh dunia.

Bukuria meninjau suasana di Las Ramblas, tempat asal perayaan buku yang memberi inspirasi kepada UNESCO untuk mengumumkan 23 April sebagai Hari Buku Sedunia; melalui foto-foto yang berselerak di dunia maya.

Continue reading