Oldest Malay manuscript identified in Sumatra

Manuskrip Melayu 700 tahun ditemui di SumateraScholars from around the world gathered in Jakarta in December to attempt translation of a 700-year-old Malay manuscript rediscovered by a Minoa archaeologist and philologist.

Assistant Professor of Indonesian Uli Kozok found the 34-page legal code in a Sumatran village in 2002, where it had been seen but not pursued by a Dutch scholar 61 years earlier.

Recorded in Malay with a few sentences of Sanskrit on bark paper from the paper mulberry tree, the Tanjung Tanah document was radiocarbon dated to the 14th century, making it the oldest known Malay manuscript.

Continue reading

Aku suka buku, kau suka kereta….

Ada sebuah lagu humor yang selalu membuat saya tersenyum sendiri apabila terkenangkan kisah saya dengan suami dan buku. Walaupun tidak seratus peratus sama dengan apa yang didendangkan oleh lagu, tetapi lagu itu bolehlah diubah suai untuk menggambarkan keadaan kami.

Bagi peminat buku, rasanya tidak keterlaluan kalau mereka mahu mencari pasangan yang juga sukakan buku, atau paling tidak sekalipun, tidak membantah hubungan istimewa mereka dengan buku – kerana cinta terhadap buku adalah cinta yang bertaut lebih awal lagi. Sebelum mereka menautkan hati dengan pasangan. Dan cinta terhadap buku ini bukan cinta calang-calang yang boleh padam begitu sahaja. Boleh diredam duka juga kalau tiba-tiba ada orang menitahkan untuk berpisah dengan buku.

Tetapi tiada pasangan yang datang sebagai satu pakej sempurna, sedangkan empunya diri pun terlalu banyak kekurangan. Jadi sedikit sebanyak kekurangan itu sangat harus dimaafkan, dan ditimbal balik dengan segala kelebihan yang ada pada diri pasangan.

Hendak dijadikan cerita, saya ditemukan jodoh dengan lelaki yang mengaku dia sukakan buku kerana sukakan saya, padahal dia sebenarnya tidaklah sebegitu mesra dan ketagih buku seperti candu. Setelah kami berkahwin barulah dia memberitahu, satu-satunya buku yang pernah dia miliki sewaktu zaman remaja, adalah buku hadiah daripada sekolah. Sebuah buku Shahnon Ahmad berjudul Ibu Adalah Pentafsir dan Sungai.

Buku keduanya pula adalah buku Azizi Abdullah, Lahirnya Seorang Jutawan. Dia berminat dengan pengurusan kewangan dan itulah satu-satunya buku yang pernah dibelinya dengan duit sendiri. Buku itu sekarang telah saya katalogkan sebagai koleksi kami berdua. Selain daripada itu apa yang dia baca adalah majalah dan akhbar sahaja.

Bayangkan perasaan saya apabila mengetahui tembelangnya tentang minat terhadap buku. Berpinar sekejap mata dibuatnya. Lebih terasa lagi apabila mahu mengajaknya berbicara tentang buku, dia terus kehilangan kata-kata. Apa yang menyangkut minatnya hanyalah membaca tentang kereta dan model-modelnya…. Tak dapat dipersoal lagi.

Semakin lama hidup berdua, semakin dia tahu ketagihan buku saya agak parah juga. Awalnya, dia tidak terlalu kisah apabila saya mengajak ke kedai buku. Tetapi sejak menyedari kegiatan beli buku saya agak melampau hingga sanggup berhabisan sehingga ke sen terakhir untuk buku, dahinya akan mula berkerut jika saya mengajak ke sana.

Iyalah, dahulu semasa masih single dan belum bekerja, sanggup makan ikan kering sahaja pada hujung bulan kalau terjumpa buku yang terlalu mengganggu tumpuan minda. Terpaksa dibeli juga walau terpaksa meminta sedikit diskaun.

Perasaan sedikit kecil hati dengan kerutan dahinya muncul juga, apalagi bila teringatkan temberangnya. Tetapi nasihatnya berjaya menyentuh hati dan menyurutkan perasaan, kerana salah satu sifat isteri dan ibu yang baik adalah pandai menguruskan kewangan rumahtangga – dengan kehadiran seorang bayi perempuan, tabungan masa depan untuk pendidikan dan lain-lain menjadi tidak kurang pentingnya.

Namun di sebalik perselisihan minat ini, sebenarnya ada hikmah besar yang tak terhingga, kerana hasilnya adalah keazaman saya yang berlipat ganda untuk tidak hilang semangat membaca walaupun ditakdirkan teman sehati sejiwa bukan pencinta buku.

Atas perselisihan minat ini jugalah, akhirnya lahir BukuRia sebagai wadah bercerita tentang buku. Oleh sebab saya tidak mempunyai teman untuk bertukar khabar tentang buku, saya mula meneroka dunia maya secara serius untuk dijadikan pemangkin pertukaran pendapat tentang buku dan dunianya.

BukuRia juga saya jadikan satu daya gerak untuk membaca, kerana saya memerlukan momentum baru setiap masa supaya tidak hanyut dalam kehidupan berkeluarga semata-mata.

Sementara itu, lama kelamaan minat saya terhadap buku itu rasanya singgah juga kepada suami. Pada awal dulu, saya banyak memberi semangat dengan kata-kata. Namun kurang berhasil. Saya pun menukar taktik dengan membeli majalah-majalah DBP yang dia gemari. Memang dia akan menghadap majalah-majalah itu dengan sungguh-sungguh tanpa tangguh.

Kemudian saya pinjamkan pula buku-buku dari perpustakaan untuknya. Setelah tidak lagi bertugas di perpustakaan, saya unjukkan pula buku-buku yang saya beli. Minat nombor duanya selepas kereta adalah politik, dan sesekali apabila saya balik dengan beberapa buah buku politik yang menarik saya suakan kepadanya. Alhamdulillah, antara buku yang pernah dia belek dengan penuh minat adalah buku Hishamudin Rais, Hegemoni Media Daulah Pecah dan buku Allahyarham Rustam A Sani, A Failed Nation.

Selain itu, dia juga dengan rasa gembira pernah bercerita kepada ibunya yang anak kami Fatimah sudah mula suka membaca seperti Ummi. Kembang semangkuk saya sekejap. Apabila ke kedai buku, dia tidak kekok lagi mahu memilih buku untuk Fatimah dan tidak lagi menyerahkan sepenuhnya kepada saya.

Namun kemuncak kegembiraan saya adalah beberapa bulan lalu, apabila dia bersuara ketika sedang membaca akhbar kegemarannya,” Macam nak beli buku ni lah, Belajar Dari Dua Umar, macam best ceritanya.” Boleh dibayangkan perasaan saya ketika itu, sudah tentu berbintang dan berpurnama, terang benderang alam semesta rasanya. Suami tercinta sudah mula ada perasaan mahu membeli buku untuk diri sendiri! Bolehlah saya tumpang baca juga :) .

Sekarang dia akan sesekali bertandang ke blog BukuRia sebagai pembaca senyap (barangkali sebab dia boleh berkomentar di rumah secara terus dengan saya) dan memberi pandangan itu ini tentang tulisan-tulisan di sini. Jika lama saya tidak melihat statistik pengunjung, dia pula yang akan mengambil alih memeriksa jumlah pelawat yang singgah di blog pada hari itu.

Aduhai! Terasa seperti jatuh cinta kali pertama dengan suami sekali lagi!

[Kisah ini telah diluluskan oleh lembaga penapisan suami sebelum dimuatkan di sini :) ]

Menjelang 2009 / 1430H: analisa senarai baca 2008

Pada setiap penghujung tahun, para pembaca yang serius akan meneliti semula senarai bacaan mereka pada tahun tersebut. Berapa buah buku yang berjaya mereka hadam tahun ini? Terlaksanakah impian pada awal tahun dahulu untuk membaca sekian banyak buku atau sekian judul tertentu?

Setelah meneliti senarai tamat baca tahun 2008 yang bakal meninggalkan kita ini, sudah tentu ramai yang berazam untuk terus membaca lebih banyak pada tahun baru nanti, tidak kira tahun baru hijrah atau tahun baru masihi.

Di 43Things, sebuah rangkaian sosial di mana setiap ahli menyenaraikan ‘Life List’ mereka dan bertukar cerita tentang memburu impian masing-masing, kira-kira seramai 9,947 orang menulis bahawa salah satu impian mereka adalah untuk membaca lebih banyak buku atau ‘Read more books’.

Itu tidak termasuk dengan cara lain impian membaca itu dinyatakan, misalnya, mahu membaca 50 buku dalam tahun 2009 atau ‘Read 50 books in 2009′ yang melibatkan 71 orang.

Mari kita sama-sama meneliti senarai baca kita tahun lalu dan berkongsi cerita. Senarai baca saya hujung tahun ini hanya mampu mencecah 20 buah dengan mungkin hanya sebuah lagi yang mampu ditamatkan menjelang 2009 nanti.

Sedangkan pada awal tahun dahulu, saya menetapkan sasaran sehingga 30 buah. Terlalu optimistik? Tidak juga, lebih tepat terlalu banyak membuang masa untuk perkara lain. Perkara pertama yang perlu diperbaiki tahun 2009 yang akan menjelang.

Daripada jumlah 20 buah tersebut, kebanyakannya adalah buku-buku terbitan tahun 2007 atau lebih lama, yang tidak sempat saya habiskan beberapa tahun dahulu.

Sudah menjadi tabiat baca saya, tidak terburu-buru walaupun ketinggalan buku-buku terbaik tahun tersebut, asalkan sahaja saya dapat menghayatinya juga suatu hari nanti.

Disebabkan tabiat ini, saya banyak membekukan diri di perbincangan buku terbaru yang menarik, walaupun air liur meleleh kerana dua perkara: mahukan buku terbaru itu dan mahu turut bersuara.

Perkara kedua yang saya rasa sangat patut ditinggalkan pada tahun 2009 nanti – dengan membeli judul-judul terbaru semasa masih panas dan baru keluar dari ‘ketuhar’.

Untuk perkara kedua, saya telah bersedia untuk 2009 dengan membeli The White Tiger, sebuah buku yang telah memenangi Booker Prize 2008 dan sedang hangat diperkatakan selepas meneliti senarai buku laris di LibraryThing yang dikemaskini setiap bulan secara automatik.

Selain itu, senarai tamat baca saya untuk 2008 kurang seimbang. Saya lebih membaca fiksyen. Sedangkan dalam ‘wish list’ dan di rak buku peribadi terdapat banyak buku-buku bukan fiksyen yang memang sangat perlu dibeli dan dihabiskan agar tidak ketinggalan dengan isu, persoalan dan pemikiran mutakhir.

Nah, inilah perkara ketiga yang perlu diubah tahun 2009 nanti, supaya apa yang dibincangkan di kalangan para ilmuwan akan dapat dicecah oleh pemikiran saya juga tanpa kebingungan.

Tiga perkara di ataslah yang saya rasa paling memerlukan perubahan dengan tekad yang kuat pada tahun 2009 yang akan datang. Bagaimana dengan anda? Apa kesimpulan yang dapat anda buat daripada jumlah buku yang anda baca tahun ini? Dan apa cerita di sebaliknya?

Apapun, mungkin ada yang akan berhujah, kuantiti bacaan bukanlah segala-galanya. Tetapi salah satu cara paling mudah untuk menilai tahap pencapaian dan membandingkannya, tidak dapat tidak harus melalui satu bentuk penilaian kuantiti. Kalaupun tidak untuk dibandingkan dengan orang lain, cukup untuk meraikan peningkatan diri sendiri tahun demi tahun.

Jadi, selamat membina azam baru tentang buku dan membaca pada tahun 2009!

Nilai buku bagi seorang pencinta

Entah berapa ramai pembaca di luar sana mempunyai minat terhadap buku secara serius. Seserius perhubungan antara lelaki dan perempuan. Namun, mana mungkin ada persamaan antara keduanya. Ia tetap berbeza dan mempunyai nilai yang tersendiri. Sesetengah individu akan berbeza pandangan tentang hal ini. Apakah buku punya perasaan?

Pengalaman bersama buku, merupakan pengalaman yang tidak langsung menyamai dengan manusia. Segi kepuasannya, manafaatnya, keresahannya, kepintarannya, magisnya dan sebagainya. Keketaraan ini terlalu jelas bagi mereka selalu yang dipanggil dengan gelaran ulat buku. Tetapi ada yang lebih parah tahap keghairahannya iaitu boleh dipanggil dengan pencandu buku. Kerana sifatnya yang ketagihan menghampiri manusia yang mempunyai ketagihan kepada dadah misalnya. Ketagihan ini mungkin kepada masyarakat kita terlalu mitos bunyinya tetapi bagi masyarakat Barat, hal ini bukan suatu yang asing lagi.





Terdapat pecinta-pecintanya yang taasub. Ini barangkali agak asing juga bagi masyarakat kita tetapi dalam sejarah hal ini bukanlah perkara luar biasa lagi terpinggir. Bagaimana keghairahan Jahiz kepada buku, begitu memberi kesan kepada kita yang sekadar martabatnya ¡ulat buku¢. Jahiz, seorang ilmuwan klasik di zaman Abbasiyah yang terkenal dengan kewujudan dirinya yang sangat asyik dengan dunia buku. Kerana taasub yang positif ini, dikatakan beliau tidak pernah ke mana-mana tanpa bersama buku; buku sentiasa di tangannya.

Kita tentu biasa mendengar perkataan warraq iaitu penyalin dan penjilid buku di zaman kegemilangan klasik Islam. Mereka inilah yang menyamai perananya dengan penerbit-penerbit buku di era moden ini. Dan kisah Jahiz yang dikatakan meninggal dunia kerana dihempap dengan buku bukanlah satu cerita fabel dan ¡luar biasa¢ ini, kerana di luar sana terdapat jutaan pecinta yang buku taasub sehingga sesuatu yang tidak terjangka berlaku di luar fikiran waras kita.

Begitu jelas, selagi mana adanya pencandu buku, adalah orang yang mengusahakan penerbitannya zaman berzaman. Buku sifatnya yang bukan hidup, kaku dan objek yang tidak mempunyai indera, boleh sahaja mempengaruhi si pembacanya. Tidak hairanlah sesetengahnya menganggap buku bukan sekadar teman untuk mengisi masa lapang, tetapi mengatasi daripada peranannya yang sebenar. Inilah terjadi antara Laila dan Majnun atau Romeo dan Juliet tetapi secara maknawi dan jauh daripada perasangka manusiawi.

Hubungan yang bukan berdasarkan keperluan atau keinginan jasmiah, tetapi lebih kepada keperluan kerohanian dan intektutual, yang membawa kepada kewujudan sebuah hubungan akrab yang tersendiri antara dunia buku dan pembaca. Pembaca jenis ini selalu mengharapkan bukan keseronokan dan kebanggaan daripada pembacaan pelbagai karya, tetapi sesuatu yang sukar digambarkan dengan kalimat.

Sentuhan cinta antara buku dan pembacanya diperlahankan dengan kecintaan kepada ilmu pada asasnya tetapi lama kelamaan, ia membentuk seorang individu yang boleh berbicara dengan buku, tanpa buku ia tidak mungkin mampu menyatakan, apa yang harus dilakukannya pada hari ini misalnya?. Dan mungkin sahaja peribadi seperti ini akan sentiasa mengingati kekasihnya iaitu buku dalam semua keadaan sekalipun dalam tidur.

Selalu juga kedengaran bagaimana buku begitu mendominasi perasaan, yang lebih melimpah-ruah daripada keghairahan materi yang lain seperti perbelanjaan yang agak banyak adalah untuk membeli buku atau terlalu menyukainya, seseorang tidak pernah jemu walau setiap hari mendatangi kedai buku, jika tiada budjet sekalipun sekadar melihatnya dan membacanya sahaja.

Pengalaman-pengalaman ini unik untuk diperihalkan. Entah bagaimana buku terlalu mengakrabkan fikiran dan sekaligus hati menjadi satu cinta yang padu lagi bernilai tinggi. Membaca bagi pecinta buku bukan suatu aktiviti untuk memenuhi keperluan pelajaran dan pekerjaan misalnya, tetapi lebih kepada penerokaan dunia yang lebih jauh daripada persekitaran yang didiaminya. Mengembara dari satu lokasi geografi yang jauh tetapi hanya dengan mengambil beberapa jam atau hari untuk menikamti sebuah buku di atas sebauh kerusi sofa misalnya.

Realitinya ini yang banyak berlaku kepada ramai karyawan dan pengarang di dalam negara dan yang lebih ketara lagi di luar negara. Pembacaanlah yang mendorong mereka menghasilkan sesuatu untuk menambah kekayaan yang terdedah tetapi kelihatan tersembunyi di sisi waktu dan ruang. Pembacaan mengikat mereka untuk bersandiwara dengan fikiran yang waras dan rasional, berhujah dengan angka dan aksara yang bertindihan, bercerita tentang kemanusiaan yang saling rencam, berdialog dengan pengarang zaman yang lampau tetapi tetap terasa kehadirannya di zaman ini. Pembacaanlah yang membetulkan beberapa pandangan dan mengisi pandangan-pandangan lama dengan yang baharu. Maka, pengarang jika tidak bergelutan dengan dunai buku bukanlah pengarang namanya, seperti yang pernah penulis dengar daripada Sasterawan Negara Prof. Muhammad Hj Salleh.

Malah keperluan masyarakat hari ini amat perlu kepada nilai ini; nilai membaca yang memperkayakan minda. Tetapi ia seharus lebih daripada itu, kerana negara maju rata-ratanya memutlakkan pembudayaan membaca dalam masyarakat. Kerana masyarakat yang membaca adalah warganegara yang menghargai ilmu dan perkembangannya selain menghormati golongan yang mengusahakannya saban waktu lewat penulisan seperti pengarang. Kerana hanya jauhari yang mengenal manikam. Merekala jualah yang menemui nilai dan cintanya pada sesebuah buku.

Perkembangan menarik di Shelfari

Sesiapa yang belum pernah membaca tentang Shelfari di ruangan BukuRia sebelum ini, Shelfari merupakan satu rangkaian sosial para peminat buku di mana mereka boleh merekodkan buku-buku yang telah mereka baca, miliki atau rancangan bacaan mereka serta berhubung dengan rakan-rakan buku.

Sejak artikel perbandingan tentang Shelfari, Goodreads dan LibraryThing tersebut ditulis, telah terdapat banyak perkembangan baru di ketiga-tiga perkhidmatan rangkaian sosial buku tersebut.



Beberapa perkembangan terkini di Shelfari sangat menarik untuk diperkatakan, antaranya ciri baru menambah buku-buku secara manual. Ini bermakna buku-buku bukan berbahasa Inggeris termasuk bahasa Melayu boleh dipopularkan dan dipromosi melalui Shelfari. Senarai buku juga boleh diimport dalam format .txt untuk memudahkan pemindahan data buku daripada mana-mana program lain.

Shelfari juga boleh dipersonalisasikan dengan pelbagai pilihan menarik antaranya jenis kayu rak di mana buku-buku kita  boleh dipaparkan seperti rosewood, walnut, black cherry serta mahogany.

Kita juga boleh memberi sumbangan tersendiri dengan mengisi maklumat mengenai pengarang-pengarang yang kita kenali, terutama pengarang Melayu. Dengan langkah ini para pengarang kita akan lebih dikenali dan diraikan.

Walaupun segala trivia Shelfari masih ketinggalan untuk dibandingkan dengan gergasi rangkaian sosial buku LibraryThing, tetapi ia mempunyai kelebihan tersendiri yang boleh ditingkatkan dan diperbaiki untuk menarik lebih ramai pengguna.

Sumber buku elektronik dalam talian

Terdapat dua lagi sumber buku elektronik yang menarik dalam talian, mungkin tidak sepopular Project Gutenberg tetapi lebih mudah dibaca serta dengan himpunan koleksi yang sedikit berbeza:

  1. Gutenberg<e>, satu projek akademik yang sekarang dibuka untuk orang ramai, diusahakan oleh American Historical Association and Columbia University Press. Ia memuatkan disertasi dan tesis yang telah terpilih untuk diubah suai ke dalam bentuk buku elektronik dengan paparan dan gaya bahasa popular dan tidak terlalu akademik.
  2. Questia, dengan paparan teratur dan menarik untuk pengalaman membaca dalam talian yang lebih baik. Walaupun hanya segelintir buku sahaja percuma, tetapi pilihan yang ada agak memberangsangkan.

Selamat membaca!

Pembudayaan cinta buku dan membaca di sekolah

Rata-rata di negara yang lebih maju, pembudayaan cinta buku dan membaca santai akan ditanam secara serius sejak di peringkat sekolah rendah.

Ini dapat diperhatikan melalui seberapa banyak program berkaitan buku, penulis, perpustakaan dan pelbagai kegiatan membaca yang dianjurkan di peringkat sekolah rendah. Laporan mengenainya dapat diikuti di dalam majalah, akhbar mahupun jurnal akademik.

Kepentingannya terbukti melalui satu kajian yang dijalankan oleh British Library dan Joint Information Systems Committee (JISC) yang menunjukkan tahap kunjungan pelajar peringkat ijazah ke perpustakaan juga bergantung kepada kebiasaan mereka mengunjungi perpustakaan semasa kanak-kanak.

Continue reading

Wariskan ‘tongkat sakti’ dengan sepotong ‘mantera’

Saya percaya buku mempunyai kuasa yang misteri. Manakala mereka yang mewariskan buku dengan penuh sedar adalah pemilik mantera yang mampu mengatur kuasa misteri itu, agar mencapai tujuan yang murni.

Kedengarannya seperti kisah pari-pari dengan tongkat sakti, cuma dalam dongeng saya ini, si pari-pari adalah penggemar buku manakala tongkat saktinya adalah buku itu sendiri, yang diwariskan dan dihidupkan dengan mantera-mantera istimewa.

Continue reading

Aweks KL ‘diculik’

Aweks KL

Tolong! Saya diculik

Dia sibuk menyelongkar bahagian belakang kereta. Dia pasti, dia belum membawa masuk Aweks KL ke dalam rumah.

“Abang, ada nampak Aweks KL saya?”

“Oh, tak ada ke? Abang ingat awak dah bawa masuk dalam rumah.”

“Belum.”

Suaminya termenung seketika.

“Ada orang ambil kot,” ujar suaminya, selamba.

Dia terkejut. Suara suaminya kedengaran begitu yakin. Orang ambil? Bagaimana?

“Sebab… ada sekali pintu kereta tak kunci,” sambung suaminya lagi.

Darahnya terasa sampai ke kepala. Marah. Kecewa. Dia belum lagi habis menelaahnya.

Memang kecuaiannya tidak mengunci pintu kereta dan pintu pagar rumah, tetapi tidak terfikir pula buku Aweks KL itu boleh menjadi pilihan pencuri.

Mungkinkah tarikan terhadap Aweks KL terletak pada rupa kulitnya yang mempunyai elemen seksualiti gaya muda-mudi sekarang? Dengan cahaya suram dan imej wanita seksi, seolah-olah ada pujukan supaya orang ‘menculiknya’.

Namun hakikatnya buku dengan kulit yang biasa-biasa; seperti buku himpunan doa, karya sastera Di Bawah Alunan Ombak (edisi lama berkulit merah) dan karya kembara Mendaki Kalapattar yang tertinggal di bilik darjah juga boleh ‘diculik’ tanpa jejak.

Kecurian buku juga serius di perpustakaan, termasuk perpustakaan akademik (universiti dan kolej). Malah pelbagai cara digunakan untuk mengelakkan perbuatan salah ini daripada dikesan.

Ada yang mengoyak helaian tertentu yang diperlukan sahaja supaya alat penggera yang akan berfungsi berasaskan kod bar tidak akan berbunyi. Ada pula yang menyusup dengan buku ke dalam tandas dan membuangnya keluar melalui sisip angin untuk mengutipnya dari luar.

Kes gagal memulangkan buku-buku perpustakaan dengan sengaja juga menjadi salah satu cara untuk mengambil hak milik perpustakaan (baca: hak milik awam) tanpa hak.

Antara kes menarik yang pernah berlaku di peringkat antarabangsa adalah kes pada tahun 1988 yang melibatkan Jerry Gustav Hasford, seorang pengarang kelahiran Alabama yang pernah dicalonkan untuk anugerah Oscar melalui skrip Full Metal Jacket.

Kira-kira 10,000 buah buku perpustakaan yang telah melewati tarikh pemulangan termasuk daripada perpustakaan England dan Australia telah dijumpai di dalam beberapa loker di bawah namanya.

Itulah keistimewaan dan tarikan buku, dalam keringkasan bentuknya tetap menjadi benda yang diidamkan oleh mereka yang panjang tangan kerana intinya.

Pencuri jenis ini tentu bukan calang-calang pencuri, kerana apa yang dicurinya adalah ilmu. Adakah mereka turut mencuri benda-benda berharga yang lain tentu boleh dijadikan suatu topik menarik untuk diterokai.

Pernahkah perkara sebegini berlaku kepada anda? Buku kesayangan anda hilang lesap apabila tertinggal atau diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya. Atau mungkin sesekali kita pernah gagal memulangkan buku perpustakaan dan masih menyimpannya sebagai kenang-kenangan hingga sekarang?

Sebaik-baik teman sejati adalah buku – Dr. ‘Aidh Al-Qarni

Jangan bersedih - A'idh al-Qarni

Karya ulung A'idh al-Qarni yang menempa namanya seantero dunia

Di antara sebab kebahagiaan adalah meluangkan waktu untuk mengkaji, memberi perhatian kepada pembacaan dan mengembangkan kekuatan otak dengan beberapa hikmah.

Al-Jahizh menasihatkan supaya sentiasa membaca dan mengkaji agar dapat mengusir kesedihan daripada anda. Katanya: “Buku adalah teman sejati yang tidak akan memujimu dengan berlebihan, sahabat yang tidak akan menipumu, dan teman yang tidak membuatmu bosan. Dia adalah teman yang sangat toleran yang tidak akan mengusirmu, dia adalah tetangga yang tidak akan menyakitimu, dan dia adalah teman yang tidak akan memaksamu mengeluarkan apa yang anda miliki. Dia tidak akan memperlakukanmu dengan tipu daya, tidak akan menipumu dengan kemunafiqan, dan tidak akan membuat kebohongan.”

Buku adalah sesuatu yang jika anda lihat, maka akan memberikan kenikmatan yang panjang, dia akan menajamkan kemampuan intelektual, melancarkan lisan, dan membaguskan gerakan tangan.

Dia akan memperindahkan lafaz anda, akan menenangkan jiwa, dan akan melapangkan dada, memberikan penghormatan kepada orang-orang awam dan membuka jalan persahabatan dengan raja-raja, kepada anda.

Dengannya anda akan mengetahui bahawa sebulan anda bergaul dengan buku akan lebih baik daripada anda bergaul dengan orang seumur hidup.

Dengannya anda dapat menghindarkan hutang dan kesusahan mencari rezeki. Dengan buku anda tidak harus bersusah-payah menghadap seorang pengajar yang mencari makan dari usaha mengajar, tidak harus belajar dari orang yang secara akhlaq lebih rendah dari anda, dan tidak harus duduk bersama orang-orang yang hatinya penuh kedengkian dan dengan orang-orang yang kaya.

Buku adalah sesuatu yang akan sentiasa taat kepada anda baik di siang hari mahupun di malam hari. Dia akan setia baik dalam perjalanan mahupun ketika berada di rumah. Dia tidak menyakiti anda ketika anda sedang tertidur dan tidak akan menyakiti anda ketika anda sedang tertidur.

Dia adalah guru yang jika anda memerlukannya, maka ia tidak akan berasa malu untuk membantu, dan jika anda meninggalkannya kerana kebendaan, maka dia tidak akan memutuskan faedahnya.

Walaupun anda meninggalkannya, dia akan selalu taat. Walaupun orang sekitar memusuhi anda, maka dia tidak akan berpaling. Bila anda bersama buku atau menjadikannya sebagai pegangan, anda pasti lebih unggul daripada orang lain.

Buku tidak membahayakan anda dengan menenggelamkan anda dalam kemurungan dan berteman dengan keburukan, meskipun buku tidak dapat berbuat apa-apa terhadap anda. Akan tetapi, dengan membacanya anda akan terhindar dari perbuatan sia-sia, seperti duduk termenung di hadapan pintu atau memandangi cermin sambil bergaya di hadapannya sebagaimana biasa terjadi.

Buku dapat mencegah anda dari pandangan yang menyesatkan yang tidak penting, bergaul dengan manusia rendah, ikut serta dengan pembicaraan yang tidak berguna, perkataan yang merosak, akhlak yang buruk dan kebodohan yang tercela.

Dengan membaca buku, anda memperolehi keselamatan, untuk selanjutnya mendapatkan harta. Di samping itu anda juga terhindar dari mensia-siakan waktu. Jika anda tidak menyibukkan diri dengan membaca, tentu anda akan terjebak dalam perbuatan yang melalaikan dan tidak berguna. Ringkasnya, buku akan memberikan kenikmatan dan kebaikan yang besar.

Dan sesungguhnya telah kita ketahui bahawa sebaik-baik cara untuk mengisi waktu terluang pada siang hari dan menghindari terbuangnya waktu percuma pada malam hari adalah dengan membaca buku.

Orang yang suka menganggur tidak akan dapat memanfaatkan waktu terluangnya untuk kegiatan yang dapat menambah pengalaman, fikiran dan harga diri.

Membiarkan waktu terluang tanpa membaca buku sama sahaja dengan tidak dapat menjaga kehormatan diri, tidak dapat memperbaiki agama, tidak dapat mengembangkan harta, tidak dapat menjaga kreativiti (daya cipta – editor) dan tidak dapat merasakan ni’mat.

*  *  *  *  *  *  *

Peringatan indah ini dicedok daripada buku “Jangan Bersedih” (terjemahan La Tahzan) karya Dr. ‘Aidh bin Abdullah Al-Qarni, seorang sarjana Islam kelahiran Arab Saudi yang prolifik menghasilkan karya pelbagai genre dalam media cetak dan media bunyi, termasuk syair dan biografi ulama. Cergas dalam pertemuan dan persidangan antarabangsa dalam pelbagai bidang ilmu termasuk sastera dan matematik.

Untuk membaca lebih lanjut tentang ‘Keutamaan Buku’ dan ‘Faedah Membaca dan Mentelaah’, bolehlah memburu buku ini di perpustakaan, kedai buku atau daripada rakan-rakan yang memilikinya. Selamat membaca!