Buku apa yang bakal diburu….

Banner Pesta Buku Antarabangsa KL 2009Pesta datang lagi. Sudah nampak kelibatnya di pertengahan bulan April. Suara-suara promosi berkumandang. Acara-acara buku pun sudah mula diisi.

TIdak sabar hati rasanya. Kepala sudah sibuk mencongak berapa banyak aliran wang tunai keluar April nanti, mana yang boleh dijimatkan pada awal bulan supaya ada duit tambahan untuk buku tambahan.

Namun, saya tidak bercadang membeli banyak tahun ini – yang wajib atau yang pasti, saya akan ke gerai ITNM (sebab ada peluang dapat hadiah besar?) dan penerbit-penerbit universiti. Kalau mahu kira senarai buku yang mahu diburu, memang sudah menjangkau ratusan buah, tetapi nafsu buku perlu kawalan juga.

Continue reading

Cuti-cuti bersama buku

Membaca Dengan Auntie Long

Membaca Dengan Auntie Long

Plaza Mayang

Plaza Mayang

Sekadar berkongsi kisah cuti-cuti saya bersama buku, di atas adalah foto-foto puteri saya dengan buku sewaktu membaca di rumah bersama dengan ibu saudara kesayangannya dan menikmati buku di lantai simen Tingkat 1 Plaza Mayang.

Lama sungguh rasanya tidak menyuakan cerita baru di blog tentang buku atau perpustakaan. Roh bercuti telah menguasai saya selama dua minggu. Pertama kerana ibu mertua saya melawat kami sekeluarga, dan kedua kerana saya pulang ke kampung halaman, kali ini menjemput emak pula datang bertandang.

Namun dalam waktu roh bercuti sedang menghantui jasad dan jiwa dengan sungguh-sungguh, sudah semestinya saya tidak melepaskan peluang untuk membeli buku, malah keinginan membeli buku membuak-buak sampai hampir meranapkan belanjawan bulanan saya.

Sebelum tahu tentang adanya Jualan Gudang MPH, saya baru membeli beberapa buah buku seperti Zikir Rindu (Azizi Abdullah), Slumdog Millionaire (Vikas Swarup), The Power of Creative Intelligence (Tony Buzan) dan Tips Menjadi Penulis Bestseller (Zamri Mohamad).

Continue reading

Buku antik paling mahal

Pernah anda bayangkan untuk melihat buku atau manuskrip yang bernilai sehingga 30.8 juta dolar? Buku-buku semahal ini biasanya dilelong oleh pelelong profesional seperti Sotheby’s dan dibeli oleh pihak institusi tertentu atau peminat persendirian yang terdiri daripada ahli perniagaan kaya dan terkenal.

Antara buku dan manuskrip dari kebudayaan Barat yang pernah dilelong dengan harga tinggi adalah:

1. $781,000 – Gerardus Mercator’s “Atlas”
2. $1.9 million – The 13th Amendment
3. $3.9 million – Ptolemy’s “Geographia” (aka “Cosmographia”)
4. $4.7 million – Henri Louis Duhamel du Monceau’s “Traité des arbres fruitiers” (“Treatise on Fruit Trees”)
5. $5 million – William Shakespeare’s “Comedies, Histories & Tragedies” or “First Folio”
6. $8.8 million – John James Audubon’s “Birds of America”
7. $20.1 million/$11.6 million – Gospels of Henry the Lion
8. $30.8 million – Leonardo da Vinci’s “Codex Leicester”

Nikmati foto buku dan manuskrip termahal ini di laman Know Your Money.

Syarahan Umum Prof Emeritus Dr Osman Bakar*: Pengelasan Ilmu Menurut Islam

Prof Emeritus Dr Osman Bakar

Prof Dr. Osman Bakar

Entah sudah berapa kali saya terdengar nama sarjana besar yang seorang ini, tetapi saya tidak ambil peduli. Terasa betapa kerdilnya diri. Jika tidak digerakkan Allah ke majlis ceramah umum di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) semalam, sudah tentu saya akan lebih terlewat lagi mengenalinya.

Sewaktu sampai di Balai Ilmu, para pendengar telah memenuhi ruang dewan. Beberapa gerai jualan buku juga turut dibuka, memantapkan suasana keilmuan yang sedia terasa. Saya mengangkat kerusi kosong masuk ke dewan. Syukur sempat juga mengikuti syarahannya walaupun dari belakang sahaja.

Dalam syarahan singkatnya bertajuk Classification of Knowledge in Islam yang bermula pada jam 3.30 dan berakhir kira-kira jam 5.00 petang, Profesor Emeritus memperkatakan tentang inti bukunya yang bertajuk sama. Sambutan hangat terhadap buku ini begitu nyata kerana ia telah diterjemahkan di peringkat antarabangsa ke dalam bahasa Parsi, Turki, Indonesia, Arab dan sebahagiannya ke dalam bahasa Urdu.

Balai Ilmu APIUM

Khusyuk menadah ilmu daripada malim sarjana

Menurut beliau, dalam bahasa Arab istilah taqsim al-ulum telah lama dipakai sejak zaman Al-Farabi sebagai merujuk kepada pengelasan ilmu. Ini menunjukkan pengelasan ilmu adalah suatu ‘landmark‘ penting dalam dunia keilmuan Islam. Malah Ibnu Nadim seorang peniaga buku yang terkenal juga melakukan pengkatalogan dan pengelasan terhadap buku-buku yang dimilikinya.

Keistimewaan pengelasan ilmu Islam berbanding pengelasan ilmu Barat adalah wujudnya hirarki ilmu. Dalam pandangan Islam, tidak sama hirarki ilmu ketuhanan dengan ilmu kemanusiaan, sepertimana tidak sama hirarki ilmu kemanusiaan dengan ilmu tentang haiwan atau batu-batan.

Satu petunjuk menarik daripada Al-Qur’an tentang ilmu menurut beliau boleh dibaca seawal Surah Al-Fatihah. Jika ilmu menurut kajian Frank Rosenthal adalah sesuatu yang tidak mampu didefinisikan melainkan hanya mampu diterangkan sifat istimewanya, maka salah satu sifat istimewa ilmu adalah untuk membawa manusia kepada cahaya dan kebenaran. Surah Al-Fatihah memuatkan pencarian manusia menuju jalan yang lurus, yakni jalan kebenaran.

Beliau turut menyentuh kecenderungan orang Melayu untuk menjauhi diri daripada persoalan falsafah, mungkin kerana golongan penyampai Islam di Tanah Melayu adalah daripada kalangan pengikut fahaman Imam Al-Ghazali yang banyak memberi amaran tentang bahaya dan kesesatan ilmu falsafah.

Kemerosotan bidang pengelasan ilmu menurut Islam akhirnya mula terasa pada abad ke-10 Hijrah (abad ke-16 Masihi) dan seterusnya mengalami kebekuan pada abad ke-12 Hijrah (abad ke-18 Masihi). Seruan beliau adalah supaya generasi muda Islam bangkit untuk menguraikan teka-teki tentang kemerosotan dan kebekuan yang telah menimpa bidang pengelasan ilmu menurut Islam ini dengan kajian-kajian akademik yang lebih mendalam.

Tauhid dan Sains Classification of Knowledge in Islam

Sayangnya saya terpaksa bangkit sebaik sahaja ucapannya tamat tanpa sempat menunggu sesi soal jawab. Ada urusan keluarga yang menanti saya di rumah. Apapun, saya sempat membeli dua buah buku beliau bertajuk Classification of Knowledge in Islam dan Tauhid dan Sains.

Sewaktu baru selesai membeli buku, saya menoleh kepada seorang lagi pendengar ceramah yang rasanya keluar awal sedikit daripada saya. Sekali tengok, lelaki itu ada rupa Faisal Tehrani. Tetapi saya tidak berani membuat telahan membabi-buta kerana sempat memerhatikan sekilas sahaja. Kalau betullah itu beliau, ruginya saya kerana tidak sempat menjadikan syarahan umum di APIUM sebagai serampang dua mata.

* * * * * * *

*Profesor Emeritus Dr Osman Bakar kini merupakan Profesor di Institut Kefahaman dan Tamadun Islam (ISTAC). Sebelum ini beliau adalah Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya dan bersara dengan menyandang gelaran Profesor Emeritus Falsafah. Mendapat pendidikan di Universiti London dan Universiti Temple Amerika Syarikat dalam bidang Matematik dan bidang Falsafah Islam, beliau telah menghasilkan 13 buah buku dan lebih 150 artikel dalam bidang pemikiran dan ketamadunan Islam.

Buku yang terlarang

Vamos a CubaTidak lama lagi Pesta Kesusasteraan Antarabangsa Dubai akan berlangsung daripada 26 Februari – 1 Mac 2009. Pesta ini sememangnya dinanti-nantikan oleh Geraldine Bedell. Ini kerana novel terbarunya berjudul Gulf Between Us akan menjadi satu-satunya buku berbahasa Inggeris yang akan dilancarkan di pesta tersebut.

Tetapi pada saat-saat akhir, buku itu telah disenarai hitam oleh pihak penganjur kerana intinya didapati boleh menimbulkan kontroversi. Antara kontroversi yang dimaksudkan adalah wujudnya watak seorang lelaki Arab homoseksual yang mempunyai teman lelaki Barat, cara buku tersebut membicarakan tentang Islam serta termuatnya tragedi perang Iraq.

Oleh sebab pengharaman ini, nampaknya Pesta Kesusasteraan Dubai telah menerima padah kerana kehilangan ramai peserta (penulis) terutamanya dari Barat yang menarik diri demi menyatakan penentangan terhadap apa yang disifatkan sekatan terhadap kebebasan menulis.

Di Miami, Amerika Syarikat pula gara-gara seorang bapa, Juan Amador membuat bantahan kepada sekolah anaknya tentang sebuah buku berjudul A Visit to Cuba (Vamos a Cuba), pihak sekolah telah menyenarai hitam buku terbabit daripada menjadi bahan bacaan. Naskhah yang berada di perpustakaan sekolah telah ditarik balik daripada rak.

Fidel CastroBuku itu dikatakan menggula-gulakan suasana kehidupan di bawah pemerintahan komunis Fidel Castro. Ini bertentangan dengan dasar Amerika yang bermusuhan dengan Cuba. Akhirnya mahkamah menyebelahi keputusan pihak sekolah dan memutuskan bahawa pengharaman buku itu di sekolah rendah tersebut tidak menyalahi Perlembagaan.

Sebenarnya, perdebatan mengenai isu penapisan buku seperti yang berlaku di Emiriyah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat tidak asing di mana-mana negara sekalipun. Di Malaysia sendiri, terdapat banyak buku-buku yang telah diharamkan oleh KDN ataupun JAKIM.

Continue reading

Buku bagaimana yang anda tidak suka?

Buku dan kerusi

Banyak buku perkara buku, buku bagaimana anda tak suka?

Meskipun buku sentiasa dipandang tinggi oleh ramai bijak pandai, sarjana dan pencintanya dari dahulu hingga sekarang kerana helaiannya mencatat dan menyimpan pelbagai ilmu, namun ada jenis-jenis buku atau sifat-sifatnya yang tidak kena pada pandangan mata yang menilainya.

Jika dia menemui buku yang sedemikian, perasaan untuk memilikinya akan hilang serta-merta walaupun inti buku itu sedikit-sebanyak menarik minatnya sebelum itu.

Misalnya ada orang yang tidak menyukai buku yang bertulisan terlalu kecil atau terlalu besar. Ada pula yang tidak mahu memiliki buku yang kertas-kertasnya berwarna kuning kerana kelihatan tidak bermutu dan tidak lalu dibaca.

Sesetengah orang tidak sanggup memiliki buku yang tulang belakangnya telah patah walaupun sedikit, kerana itu suatu kecacatan di sisinya. Maka buku-bukunya akan kerap tersimpan rapi di rak, tidak dipinjamkan kepada sesiapa untuk mengelakkan sebarang kecacatan.

Selain itu ada yang anti dengan sikap melipat hujung halaman buku, atau ‘dog-earring’ dalam bahasa Inggeris. Sifat menanda buku dengan cara ini bagi sebahagian kita cukup untuk menghilangkan selera baca.

Continue reading

Ole-ole buku ketika kenduri kahwin

Sudah jadi kebiasaan, pada setiap kenduri kahwin Melayu pasti ada disediakan sedikit ole-ole kepada tetamu yang hadir untuk dibawa pulang.

Gula-gula, bunga telur, sapu tangan, potpourri atau coklat adalah antara yang popular dalam senarai ole-ole kenduri kahwin tersebut.

Antara pelbagai pilihan, ole-ole kenduri kahwin yang paling saya senangi adalah ole-ole buku. Salah seorang senior di universiti dahulu membalut cantik buku Ma’thurat iaitu himpunan doa-doa Imam Hasan Al-Banna dengan reben yang comel. Buku Ma’thurat itulah yang menjadi ole-ole perkahwinannya.

Continue reading

Buku-buku di rumah emak, tanpa ‘pustakawan’

Rumah tempat saya membesar adalah sebuah rumah kayu campur simen di sebuah kampung di pinggir sebuah bandar ‘koboi’. Di halamannya ada pohon rambutan, nangka, jambu air dan pohon bunga kenanga.

Di rumah inilah koleksi buku kakak, saya dan adik berkembang dan seterusnya bersatu dengan koleksi arwah ayah dan emak, membentuk sebuah perpustakaan mini peribadi.

Mulanya rak-rak buku diletakkan di beberapa ruang rumah. Ada satu di bilik saya dan dua tiga lagi di ruang solat. Tetapi setelah keluarga semakin membesar dengan kehadiran suami saya dan isteri adik, emak menambah sebuah bilik baru yang sejak dari awal diniatkan untuk menyimpan buku-buku.

Continue reading

Yayasan Karyawan dan karya-karya agung

Sehalaman daripada manuskrip Hikayat Hang Tuah

Sehalaman daripada manuskrip Hikayat Hang Tuah (Think Quest Library)

Tidak lama dahulu, saya menulis tentang repositori manuskrip Melayu lama yang dihoskan oleh Universiti Malaya. Manuskrip-manuskrip tersebut ditulis dalam bahasa Jawi lama.

Di hujung tulisan itu, saya ada bertanya jika ada mana-mana pihak yang telah mengusahakan penerbitan manuskrip-manuskrip tersebut dalam bahasa Rumi supaya dapat menjadi bahan rujukan generasi kini.

Ini kerana bahasa Jawi lama memerlukan kemahiran dan kepakaran tertentu untuk mempelajarinya yang pasti mengambil masa.

Rupa-rupanya usaha ini telah lebih 10 tahun digembleng sejak 1996 oleh Yayasan Karyawan, sebuah syarikat yang ditubuhkan dengan tujuan mengkaji dan menerbitkan karya agung Melayu, karya agung dunia Melayu dan karya agung dunia di dalam bahasa Melayu.

Menurut laman web yayasan tersebut, karya Agung Melayu yang dipilih untuk diterbitkan merupakan karya-karya agung kesusasteraan tradisional Melayu dan juga “Dunia Melayu” yang tertulis dalam bahasa-bahasa serumpun, misalnya karya agung Jawa, Bugis, Makasar, Aceh, Minangkabau dan lain-lain.

Selain itu, Yayasan Karyawan juga berusaha menerbitkan Karya Agung Dunia yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Sehingga kini, telah 15 buah manuskrip diterbitkan, dan yang ke 16 bakal terbit tidak lama lagi. Usaha ini adalah sesuatu yang sangat bertepatan untuk memastikan susur-galur budaya Melayu dan bangsa lain dapat dikenali dengan lebih baik.

Lima belas karya agung yang telah diterbitkan berserta dengan penerangan ringkasnya telah saya petik daripada laman web Yayasan Karyawan untuk kemudahan rujukan kita semua.

Continue reading