Saya sangat teruja hari ini, kerana impian saya untuk mewujudkan kumpulan pembaca yang berorientasikan diskusi buku, telah mula nampak bayang-bayangnya. Rasa teruja ini lebih-lebih lagi kerana tidak sabar mahu lihat kumpulan ini berfungsi Mac nanti.
Sebenarnya kumpulan seperti ini tidak asing, tetapi saya lihat tidak wujud di kalangan pembaca Melayu. Oleh itu saya ingin cuba mengangkat kelab buku dengan konsep ini, untuk mendiskusikan buku-buku yang dibaca secara bergandingan.
Selanjutnya jemput berziarah ke GandingBaca.
Selalu kita dengar, membaca adalah hobi yang sunyi. Selalu dilakukan sendiri-sendiri. Malah ada persepsi serong yang mengatakan para pencinta buku adalah kera sumbang yang tidak gemar berkawan.
Padahal itu tidak benar. Ulat buku hanyalah orang biasa seperti sesiapa juga, cuma kecintaan terhadap aktiviti membaca sahaja yang lebih tinggi daripada rata-rata orang lain.
Ulat-ulat buku juga menikmati dan menghargai keseronokan berkumpul dengan rakan-rakan, terutamanya para penikmat buku yang dapat bertukar cerita tentang buku-buku yang telah dibaca. Demi mencipta ruang ini, mereka akan menyertai kelab buku atau kumpulan pembaca tertentu.
Menurut sebuah buku berjudul Reading Groups yang mengkaji fenomena kewujudan kelab-kelab buku di negara Barat, kelab buku adalah tidak asing sama sekali, malah wujudnya seiring dengan kewujudan buku.
Seawal penghijrahan dengan jalan laut, telah ada kelompok pembaca di antara oleng gelombang yang saling berbincang isi buku untuk mengisi masa membelah samudera. Atau sewaktu buku masih lagi belum mampu dicetak dalam jumlah besar, ada seorang wanita yang sanggup menyalin karya kegemarannya dengan tangan demi berkongsi cerita dengan jiran yang juga tahu membaca.
Hanya di Malaysia sahaja aktiviti kelab buku boleh dikatakan relatif baru, mungkin kerana tiada pendedahan, ataupun tidak diberi sorotan rasmi. Walau bagaimanapun, pengaruh fenomena ini tetap merebak seiring minat membaca yang kian tinggi, terutama dengan kemunculan beberapa kelab-kelab terbaru dalam talian, termasuk di Facebook.
Di bawah ini adalah senarai beberapa kelab buku dalam talian yang aktif di Malaysia, dinaungi oleh beberapa pihak berbeza:
Bookster Hub – Dinaungi MPH, boleh diakses melalui laman web MPH.
Baca@LRT – Dinaungi PTS, menggunakan Facebook sebagai medium kumpulan. Aktiviti bertumpu di LRT dan stesennya, dengan tujuan menggalakkan rakyat membaca dalam kenderaan awam tersebut.
Goodreads Malaysia – Bebas, tetapi tertakluk kepada syarat pengguna-pengguna Goodreads. Aktiviti menjurus perbincangan mengenai buku-buku dan dikendalikan oleh para peminat buku. Sekali sekala ada ahli akan memberikan buku percuma ataupun mengadakan pertukaran buku/bookswap. Cabaran-cabaran membaca turut diadakan seperti menghabiskan sasaran 50 buku setahun.
BookCrossing Malaysia – Bebas, tetapi tertakluk kepada syarat pengguna-pengguna BookCrossing. Aktiviti melibatkan pembebasan buku-buku untuk dimiliki oleh para peminat secara rawak ataupun secara tangan-ke-tangan. Antara kumpulan yang paling lama bertapak di Malaysia.
Kelab Buku Malaysia – Bebas, menggunakan Facebook sebagai medium. Konsep santai dan tidak fokus kepada apa-apa aktiviti khusus.
Kelab Tidur Dengan Buku – Bebas, baru ditubuhkan pada tahun ini tetapi giat merancang aktiviti-aktiviti yang pelbagai. Menggunakan Facebook sebagai medium. Turut serta dalam aktiviti Kelab Baca@LRT dan lain-lain.
Kewujudan kelab-kelab buku di atas nyata telah memeriahkan lagi dunia buku tanah air. Menjadi ulat buku kini tidak lagi bererti menjadi insan terasing dalam dunia sendiri, tetapi menambah luas lagi pengalaman hidup dan persahabatan, merentas minat, kerjaya dan budaya/agama.
Entri kali ini adalah seruan kepada rakan-rakan yang selama ini mengunjungi BukuRia, tentang sebuah kelompok pembaca Malaysia di Goodreads.
Kelompok yang menggelar diri “Malaysians” itu, sedang berusaha membina tapak untuk bergiat dengan aktif sebagai kelompok pembaca buku Melayu. Mereka sedang merancang aktiviti-aktiviti buku yang sesuai dengan kemampuan awal seperti Bacaan Bulanan dan lain-lain.
Kelompok ini sama sekali tidak berniat menyaingi BukuOnline misalnya atau kelompok-kelompok lain, tetapi berasa bahawa ada ruang yang masih boleh diisi, pada sudut-sudut yang berbeza. Sekiranya BukuOnline lebih bertumpu kepada perbincangan yang ilmiah dan akademik, Malaysians lebih rencam dan mahu menjadi lebih santai. Mungkin suatu masa depan ada usaha bersama yang boleh digandingkan.
Saya secara khusus, mahu mengajak rakan-rakan memeriahkannya – kerana bagi saya kita perlukan kelompok buku yang membumi yang boleh dinikmati oleh segolongan besar pembaca. Ayuh, cuba dulu baru tahu! Kita sama-sama belajar jadi pengghairah buku sejati yang aktif dan mencintai aktiviti buku. Idea anda semua sangat-sangat diperlukan.
Sila jenguk di www.goodreads.com, dan cari kumpulan Malaysians@Goodreads. Kami menunggu!
Kalau anda mempunyai beberapa buah buku lama yang sudah tidak mahu dibaca dan sedang mencari buku-buku tertentu yang anda ketinggalan membacanya, anda boleh cuba berurusan dalam talian di Bookmooch.
Daftarkan nama anda percuma. Kemudian senaraikan tajuk buku anda ke dalam inventori untuk dikesan oleh orang lain seluruh dunia. Untuk setiap buku anda yang diminta oleh orang lain dan anda menghantarnya, anda mendapat 3 mata. Mata tersebut boleh digunakan pula untuk meminta buku daripada orang lain. Tetapi yang menarik, bagi setiap buku orang yang anda minta hanya 2 mata akan ditolak dari akaun anda.
Sayangnya bagi peminat buku berbahasa Melayu, buku-buku Melayu masih berkurangan di dalam inventori-inventori di sana.
Selamat meneroka Bookmooch!
[Terima kasih kepada Katak Licik di Goodreads yang memperkenalkannya kepada saya]



Komentar Terkini