Hotel yang berperpustakaan

Di hotel mana yang pernah para peminat buku singgahi, dan ada perpustakaannya? Mungkin perkara biasa di luar negara, tetapi bagaimana dengan di negara kita?

Salah satu hotel yang menyediakan kemudahan perpustakaan di negara kita adalah Hotel Heritage di Cameron Highland. Klik atas foto untuk mengetahui lebih lanjut mengenai hotel ini.

Photos of Heritage Hotel Cameron Highlands, Tanah Rata
Foto adalah Heritage Hotel Cameron Highlands ihsan TripAdvisor, hasil ketikan pelancong KathyTam.

Hatta seorang pekedai kain…

Pun sanggup menjadikan kedainya gedung ilmu!

Lalu dari suasana itulah, terdidiknya Malik Ram [1906–1993], seorang sarjana Urdu, Parsi dan Arab di Punjab.

Sebuah kisah kecintaan terhadap ilmu yang menebarkan bibit hikmah, bagai sungai jernih yang mengalirkan buah fikir:

The cloth stores of Mohammad Yusuf Simabi in Gujrat* was the focal point for the city’s poets and litterateurs. He used to subscribe to famous literary and political journals of the time like Nigar, Paimana, Riyasat and Narang-i-Khayal and local lovers of literature used the place as a library and a debating society. Though still a student, Malik Ram was admitted into the circle. His regular study of the literary journals and participation in the discussions as an interested observer kindled in him a real love for literature.

Malik Ram: Felicitation Volume, 1972
[Urdu Collection, Perpustakaan ISTAC]

Masih terlalu ‘sakit’ kita barangkali untuk bangkit semula, melahirkan kedai-kedai kain seperti itu – kedai kain seorang Muslim, yang melahirkan sarjana Sikh? Mungkinkah ini sebahagian sisa-sisa peradaban Islam yang pernah gemilang suatu ketika dahulu di benua India?

*Bukan Gujerat India, tetapi Gujrat Punjab.

Utopia

“Sayang, kautahu, kau di sini bukan sekadar melahirkan zuriatku, atau menguruskan rumahku. Kau di sini untuk menghirup madu, dari buku-buku.”

“Aku masih boleh mencuri waktu membaca di celah kewajipanku.”

“Lupakan itu untuk kali ini. Malam ini, tak perlu kaubuka gamismu, tetapi bukalah buku-buku. Zuriat kita, biar aku susukannya. Rumah ini, ‘kan kucarikan pembantu.”

“Kalau sesekali kurindu memasak dan mengurus rumah?”

“Waktu-waktu begitu, ketika kausibuk memotong daging, atau menyidai baju, seperti Manguel membacakan buku-buku untuk Borges, aku akan membacakan untukmu.”

Antara kualiti & kuantiti

coins_in_hand

Mahu duit banyak atau sedikit?

Kalau duit, kita mahu BANYAK sangat! Biar berjuta-juta dalam bank, kerana kita mahu jadi millionaire, jadi jutawan. Kita tidak mahu sedikit. Kita mahu ada lebih dari sebuah kereta, lebih dari sebuah rumah, kita mahu bonus. Dan kita mahu rumah yang besar, berlokasi strategik, jiran-jiran yang baik. Kita mahu melabur dalam pelaburan yang menguntungkan, yang diyakini pulangannya. Kita mahu kuantiti dan kualiti sekaligus. Kita sanggup bekerja siang malam demi mencapainya.

Tetapi sampai kepada membaca, menggali ilmu dari buku-buku? Kita akan lebih mudah, malah terlalu mudah berkata, “Ah, banyak-banyak baca buat apa, yang penting kualiti buku yang dibaca, bukan kuantitinya.”

Kita ada dua standard. Satu untuk ilmu, satu lagi untuk harta.

Masyarakat Islam masyarakat membaca, jadi perlukah kita “elak jadi ulat buku”?

Kali ini saya tidak mahu menulis panjang, sekadar menghidang dua kenyataan bertentangan tentang membaca menurut pandangan agama kita dan bagaimana Utusan Malaysia menggembar-gemburkan tentang amalan membaca. Sangat aneh!

Perang Kebudayaan - Ali Khameini

Ali Khameini:

Masyarakat Islami adalah masyarakat yang mampu mencabut buta huruf dan kebodohan sampai ke akar-akarnya, dan mampu melipatgandakan jumlah sekolah agar dapat menampung semua anak untuk menikmati pendidikan dan mereguk pengetahuan dari sekolah-sekolah agama dan universiti-universiti dengan penuh ghairah belajar; demikian pula berbagai kegiatan penyelidikan dan penelitian dapat berjalan lancar. Selain itu minat membaca menempati posisi yang istimewa sehingga gemar membaca dapat dijumpai di semua tempat dan lapisan masyarakat.

Percetakan dan penerbitan buku di tengah masyarakat islami harus memuat bahan yang kaya dan menumbuhkan kesedaran masyarakat luas, meningkatkan ghairah para guru dan ulama dalam melaksanakan tugas dengan giat dan bertenaga, dan menggerakkan semangat para pencipta, seniman, dan penulis agar dinamik dan penuh semangat.

[Diceduk dari Perang Kebudayaan (2006). Pustaka Cahaya, Indonesia. Halaman 73 & 74]

*  *  *  *  *  *  *

Elak jadi ulat buku

WANGSA MAJU 1 Mac– Para pelajar diingatkan supaya tidak hanya menjadi ‘ulat buku’ kerana ia tidak menjamin mereka mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik pada masa hadapan.

Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Dr. Mohd. Shafie Abdullah berkata, terlalu menumpu perhatian kepada akademik akan menyebabkan seseorang pelajar itu tidak cemerlang dari segi sahsiah diri dan pergaulan.

Katanya, tanpa penampilan yang baik, keyakinan tinggi dan mampu memotivasikan diri, pelajar berkenaan tidak akan mampu berdikari dan menghadapi pelbagai cabaran luar hanya dengan berbekalkan kecemerlangan akademik.

“Pelajar-pelajar masa kini perlu melengkapkan diri mereka dengan pelbagai kemahiran seperti kemahiran berkomunikasi pelbagai bahasa terutamanya bahasa Inggeris dan bijak berhadapan dengan masyarakat serta tidak lupa jati diri dan asal-usul.

“Apabila kesemua sifat-sifat ini bergabung, ia bakal melahirkan pelajar-pelajar yang hebat sekali gus menjadikan mereka aset yang penting kepada negara,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Kawasan Wangsa Maju di Sekolah Menengah Wangsa Melawati di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 320 pelajar dari 21 sekolah sekitar Wangsa Maju yang cemerlang di dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu menerima hadiah kecemerlangan sumbangan Biro Pendidikan UMNO Wangsa Maju.

Selain itu, pada majlis berkenaan, setiap sekolah turut dihadiahkan dengan satu perisian komputer produktif MYOffice 2007 yang disumbangkan oleh syarikat Open Application System Sdn. Bhd (OASYS).

Mohd. Shafie menambah, pihaknya akan menjadikan majlis anugerah kecemerlangan tersebut sebagai acara tahunan.

Jelasnya, program berkenaan perlu dilaksanakan bagi menghargai mereka yang berusaha keras dalam mencapai kejayaan.

Ujarnya, kejayaan bagi seseorang pelajar bukan hanya terletak kepada kebijaksanaan pelajar tersebut sahaja namun ia melibatkan kerjasama dan pengorbanan banyak pihak yang lain.

“Kejayaan seseorang pelajar adalah bergantung kepada keupayaan guru-guru untuk mendidik selain pemantauan ibu bapa terhadap anak-anak mereka serta persekitaran yang sihat.

“Justeru itu, asas pendidikan yang betul amat penting untuk melahirkan pelajar-pelajar yang hebat di dunia,” jelasnya.

Masa untuk beralih ke e-Pembaca?

Tahun ini sahaja, ada tiga e-Pembaca (e-Reader) yang telah dan akan muncul di pasaran: Amazon dengan bergaya telah melancarkan Kindle 2 miliknya Februari ini, Foxit bakal menyusul pada bulan April dengan eSlick Reader dan sebuah syarikat Jerman pula akan menampilkan txtr Reader.

Kindle 2

Meskipun ketiga-tiganya setakat ini terhad jualannya dalam pasaran tempatan, namun teknologi peranti membaca dan telekomunikasi digital sudah tentu akan semakin maju sehingga akhirnya seluruh dunia akan dapat menikmati peranti yang sama.

Sudah ramai yang beralih arah menggunakan e-Pembaca. Ada yang menyatakan halangan sekarang hanyalah teknologi yang belum benar mantap dan penyesuaian manusia dengan budaya membaca cara baru. Apabila semua orang sudah biasa dengan e-Pembaca, sudah tentu mereka hanya akan membeli buku untuk keperluan tertentu sahaja.

Continue reading

Tips mempertingkat kecekapan membaca

Saya mahu berkongsi beberapa tips untuk mempertingkat kecekapan membaca atau kadar kelajuan membaca yang saya temui di sebuah laman web:

1. Kalau kita amati cara kita membaca, kita dapati mata sebenarnya bergerak menatap beberapa perkataan serentak sebelum berpindah ke beberapa patah yang seterusnya. Ini dinamakan blok perkataan yang mampu ditangkap oleh mata dalam proses membaca. Untuk mempercepat kadar kelajuan membaca, kita harus melatih mata untuk menatap lebih banyak patah perkataan dalam satu blok. Tekniknya adalah menjarakkan mata daripada buku lebih jauh (malahan ini lebih sihat untuk mata!).

2. Waktu minima untuk kita menghadam satu blok perkataan adalah satu perempat saat. Kalau kita terlalu lama pada satu blok perkataan tanpa alasan munasabah seperti masalah memahami konteks atau lain-lain masalah kefahaman, cuba singkatkan waktu kita menghadam satu-satu blok tersebut. Dengan sendirinya kita dapat membaca lebih cepat.

3. Latih mata supaya tidak melihat semula ke arah blok perkataan yang telah ditinggalkan sekejap tadi. Bagaimana caranya? Gunakan telunjuk semasa latihan ini, tidak kira menggunakan jari, lidi, pen atau lain-lain. Setelah anda biasa untuk tidak melompat atau menoleh ke blok yang telah selesai dihadam, telunjuk tidak lagi diperlukan.

Mudah bukan? Mari kita sama-sama mencuba teknik-teknik ini. Kata pengamal teknik bacaan cepat, orang yang membaca laju biasanya dapat berfikir lebih pantas dan lebih bijak menguruskan informasi. Kefahaman mereka juga lebih tinggi daripada pembaca biasa.

[Diubahsuai daripada laman sesawang MindTools]

Uji kadar kecepatan membaca lagi!

Stop WatchKalau baru-baru ini saya menemui satu aplikasi ringkas untuk menguji kadar kecepatan membaca, kali ini saya menjumpai satu aplikasi yang jauh lebih lengkap.

Aplikasi ini dibina oleh Ace Reader sebagai peneman kepada iklan perisian Speed Reading yang dihasilkan oleh syarikat tersebut.

Beberapa peringkat ujian disediakan; iaitu untuk kanak-kanak, orang dewasa dan pembaca berkecekapan tinggi. Menurut catatan ringkas pada laman aplikasi tersebut, kebanyakan orang dewasa boleh membaca antara 200 – 400 perkataan seminit. Orang yang menjadikan membaca sebagai hobi pula biasanya boleh menghabiskan lebih 400 perkataan seminit. Dakwa laman itu juga, ramai orang yang boleh membaca sehingga 800 perkataan seminit tetapi masih berjaya mengekalkan kadar kefahaman.

Pada penghujung setiap bahan bacaan pendek, suatu ujian ringkas kefahaman disediakan untuk memastikan apa yang kita baca secara sambil lalu itu benar-benar telah dicerna oleh minda atau tidak.

Continue reading