by najibah | May 18th, 2009
Saya berada di sebuah bengkel penulisan pada hari Sabtu lepas.
Kata puan penyampai bengkel semasa sesi baru bermula, beliau akan membasuh pemikiran kami secukupnya. Saya tertanya-tanya aspek apakah yang beliau akan basuhkan, kerana inilah kali pertama saya hadir ke bengkel penulisan Bahasa Melayu Tinggi PTS.
Sudah tentulah anda dapat meneka siapakah puan penyampai bengkel yang saya sebutkan di atas apabila saya menyebut nama PTS. Beliau tidak lain dan tidak bukan adalah Puan Ainon, sifu PTS yang sangat berkaliber itu.
Hampir empat jam menyertai bengkel tersebut, masa berasa bagaikan tidak mencukupi. Inilah penangan nikmat ilmu yang Puan Ainon sampaikan. Cara penyampaiannya yang bertenaga dan berselang dengan humor bersahaja begitu mencuit hati dan menjauhkan kebosanan.
Saya yang memang tidak pernah mendengar tentang teori bahasa apapun terpegun dengan kajian Basil Bernstein tentang prejudis bahasa. Setiap patah kata yang Puan Ainon sampaikan seperti membuka hijab yang selama ini telah menutupi pandangan saya tentang apa yang membezakan golongan kelas menengah dan juga golongan kelas bawahan. Rupa-rupanya salah satu faktor yang menjadi penyekat ataupun penghalang mobiliti sosial mereka adalah prejudis bahasa itu! Ini juga mencelikkan mata saya seluas-luasnya tentang hakikat yang sedang saya perhatikan sebagai seorang guru bahasa kepada beberapa orang pelajar.
Menurut Basil Bernstein, anak-anak golongan kelas bawahan akan menghadapi prejudis bahasa daripada guru-guru mereka. Guru-guru menganggap mereka orang-orang yang tidak mempunyai kecerdasan tinggi kerana keupayaan berbahasa mereka terhad. Antaranya, anak-anak golongan kelas bawahan:
- Tidak mempunyai banyak kosa kata untuk digunakan dalam percakapan
- Tidak menggunakan banyak kata sendi
- Tidak mengetahui banyak imbuhan
- Tidak dapat membina ayat yang strukturnya kompleks
Ahli psikologi lain mengembangkan teori Bernstein ini dengan mengaitkan kekurangan dari sudut berbahasa ini, dengan tingkah laku berbahasa. Berdasarkan kelemahan berbahasa dan berkembar pula dengan tingkah laku bahasa yang tidak sofistikated inilah, mereka gagal berinteraksi dengan baik. Akibatnya, mereka bukan sahaja gagal di sekolah, malah juga di tempat kerja.
Sudah tentu terdapat kes-kes yang terkeluar daripada teori Bernstein di atas, tetapi sebahagian besar kes biasanya akan menurut corak sebegini.
Selain daripada itu, saya juga mulai menilai kembali apakah tujuan sastera dalam hidup manusia Muslim dan peranan penulis Muslim terhadap masyarakatnya. Meskipun kehidupan itu bobrok, tidak sewajibnya seorang penulis menghidangkan perkara yang bobrok-bobrok itu sebagai santapan rohani dan minda generasi muda. Itu bukan tujuan seorang penulis Muslim menulis. Mereka menulis bukan sebagai perakam dunia semata-mata, tetapi mereka menulis demi tujuan yang lebih murni, iaitu memandaikan bangsa.
Selepas keluar daripada sekolah swasta di hadapan Pasar Raya Giant Taman Permata itu, saya dapat merasakan bahawa pemikiran baru yang cuba ditanamkan Puan Ainon perlahan-lahan mengambil alih sebahagian pemikiran saya yang lama. Bukanlah saya ini orang yang mudah dipengaruhi atau terpengaruh, tetapi lojik di sebalik apa yang telah Puan Ainon sampaikan itu terasa kena dengan perkara yang selama ini saya cari jawapannya.
Saya akan cuba menulis, berfikir dan berinteraksi dalam kerangka yang baru ini, walaupun mungkin tidak senekad salah seorang peserta lain yang membuat ujikaji bahasa sewaktu membeli keropok lekor.




Salam,
Oh rupa2nya ‘berhibernasi’ dari Goodreads sebab berseminar, ya?
‘Selain daripada itu, saya juga mulai menilai kembali apakah tujuan sastera dalam hidup manusia Muslim dan peranan penulis Muslim terhadap masyarakatnya. Meskipun kehidupan itu bobrok, tidak sewajibnya seorang penulis menghidangkan perkara yang bobrok-bobrok itu sebagai santapan rohani dan minda generasi muda. Itu bukan tujuan seorang penulis Muslim menulis. Mereka menulis bukan sebagai perakam dunia semata-mata, tetapi mereka menulis demi tujuan yang lebih murni, iaitu memandaikan bangsa.’
Saya suka.
Salam.
Salam,
Oh, banyaknya mimpi kakak.
Saya pernah menghadiri kursus PTS itu, memang sangat menarik dan mengisi pada tahun lepas.Mulanya saya pun bercadang untuk hadir sekali lagi hari itu tapi sibuk sangat.Pada saya teori Bersntein itu ada benarnya.Saya sendiri pun pernah menghadapinya–bahasa Melayu yang kekurangan kosa kata dan malu-malu bercakap Thai halus.Dan rasa cukup terpinggir masa itu.Sebab itulah mengapa ulama Patani sekarang tidak lagi menulis kitab, antaranya kerana penguasaan bahasa Melayu mereka yang rendah.
Puan Ainon juga mempengaruhi saya.Tapi projek bukunya belum mampu saya siap.
Faizah,
Ya, saya patut kembali secepat mungkin ke GR – selain hibernasi di bengkel dan rumah baru ini, saya juga berhibernasi di kampung hujung minggu lepas. Ini baru hendak mula aktif kembali.
Isma,
Salam kembali.
Ya, banyak sekali sehingga kelihatan agak mustahil untuk dipenuhi. Tetapi sebenarnya ia banyak berkait antara satu sama lain. Satu berjaya dipenuhi, yang lain akan berentetan sendiri
Projek buku belum siap pun, Isma banyak projek penulisan lain untuk ditekuni. Mudah-mudahan bukunya akan siap juga suatu hari nanti.