by najibah | August 22nd, 2009
Sekarang saban hari saya bergelumang buku, jurnal, manuskrip, akhbar dan segala jenis bahan bacaan. Anehnya saya berasa kian dahagakan waktu membaca, sama seperti sedang bekerja di perpustakaan dahulu. Barangkali inilah sumpahan yang terpaksa dihadapi seorang pekerja perpustakaan yang gila membaca. Saban minggu, saya akan merindui Jumaat, khususnya waktu rehat solatnya yang panjang demi menguliti jujukan ilmu yang disusun rapi di rak. Jumaat akan membuat perasaan saya berpelangi.
Antara bahan yang kini benar-benar jadi kegilaan saya adalah bahan-bahan berkait dunia Melayu yang berlaksa-laksa di tempat bekerja. Segala hal yang selama ini mahu saya lahapi, terhidang di depan mata dengan cukup sempurna. Sayang masanya pula tidak mengizinkan, dan saya cuma ada waktu enam bulan di sini. Saya bakal bergundah-gulana dengan nasib sendiri selepas itu, terutamanya menanggung rindu terhadap koleksi-koleksi nadir yang telah menjadi taman jiwa.
Saya akan lebih berdiam diri dalam dunia sendiri selepas ini. Benar-benar mahu karam dalam lautan buku yang penuh kenikmatan dan gelora tersendiri. Sesungguhnya terlalu banyak yang ingin dikongsi, tetapi lebur dalam keasyikan dan kekerdilan – ya, berada di gedung ilmu mengangkat kekerdilan peribadi lebih nyata ke hadapan mata, mengundang rasa tidak layak untuk bicara banyak, sehingga benar-benar ada lafaz bererti untuk tatapan orang.
Selamat karam di ombak buku dan ilmu, Najibah. Semoga Ramadhan ini membuka segala tabir yang selama ini melindungi jiwamu dari mengecap kemanisan sejati yang kau cari-cari.




Wah, lenggok bahasa Najibah sudah berubah 180 darjah nampaknya… ;-p
Nana, sekali air bah sekali pasir berubah