by najibah | July 12th, 2009

Mengapa Saya Bekerja?
Sabtu dan Ahad ini antara hujung minggu terindah dalam hidup saya sejak berkahwin. Perasaan saya segar. Allah telah memberi rezeki kerja kepada saya. Allah telah memakbulkan doa saya. Walaupun bukan kerjaya tetap, saya berjaya mendapat kerja yang bukan lagi separuh masa. Satu bukti keseriusan saya untuk terus berkerjaya pada masa depan. Bagi wanita lain yang sebaya, mungkin ini perkara enteng. Mereka sudah lama terjun berkecimpung dalam dunia kerjaya. Tetapi tidak bagi saya yang telah beberapa kali bekerja dan berhenti kerana pelbagai sebab.
Pagi Sabtu saya bangun dengan semangat secerah matahari. Saya lihat dua jambak bunga kering hadiah adik dan suami pada hari konvekesyen sarjana tahun lalu. Segala susah sukar waktu berusaha mendapatkan segulung sarjana itu berasa lebih bermakna sekarang. Saya harap saya dapat mewarnai hati emak dengan warna-warna bahagia.
Dengan pekerjaan ini, saya tidak perlu lagi terkejar-kejar menggadai keselamatan dan ketenangan psikologi anak dan suami untuk mengajar tuisyen pada sebelah malam. Suami sudah boleh ke masjid seperti biasa kalau dia pulang kerja awal. Saya juga tidak perlu rasa tertekan menulis demi mencari sedikit wang tambahan untuk membuktikan pada emak saya mampu mendapatkan sesuatu dari ilmu saya. Kerjaya bukanlah sasaran saya selepas menuntut ilmu – tidak pernah saya sematkan begitu sejak zaman belajar dahulu, dari sekolah rendah sampai habis universiti. Tetapi harapan emak membuat saya memutuskan jalan sekarang – saya harap ini jejak langkah penuh barakah yang akan memberi saya peluang pekerjaan tetap.
Tambahan lagi, sebuah buku yang sangat bermanfaat telah berupaya menjana hari-hari saya semasa seminggu bekerja dan membuat saya bersedia untuk bertukar menjadi suri rumah sepenuh masa pada hujung minggu. Judulnya adalah “Mengapa Saya Bekerja?” hasil susunan Ir Endok Sempo Mohd Tahir. Jadi dua hariĀ suntuk saya habiskan masa mengurus rumah sebaiknya, berbahagia menjadi suri rumah dengan hati dipenuhi bunga-bunga. Beginilah saya akan habiskan tenaga dalam keceriaan untuk sementara waktu. Tambahan lagi kali ini, sokongan suami benar-benar padu, tidak seperti keadaan sewaktu saya berkerjaya lain sebelumnya.
Semasa di alam pelajar dan siswa dahulu, saya sentiasa berimpian mahu jadi penulis sepenuh masa, tetapi dorongan emak menghapuskan cita-cita penulis sepenuh masa itu. Namun akan saya cuba gapai juga cita-cita terawal saya, walaupun jalannya merentas masa panjang. Menjadi pustakawan adalah satu tangga yang saya rasa penting, kerana di sana saya akan berpeluang membaca sebanyak-banyaknya dan mengenal segala cabang ilmu yang terjangkaukan minda manusia. Sekurang-kurangnya, wang untuk buku dapat saya alihkan untuk kursus-kursus penulisan yang saya rancang mahu ikuti apabila masa mengizinkan nanti.




Salam,
Dapat jadi pustakawan, tahniah. Dulu saya pernah bercita-cita berkerja di kedai buku besar.
Saudara Isma, belum lagi. Belum dapat menggapai mimpi pustakawan. Baru separuh jalan.