by najibah | May 27th, 2009
Saya terkenang filem Kiamat Sudah Dekat (2003) pagi ini sewaktu membuat persediaan untuk suatu ujian.
Dalam filem itu, saat paling genting adalah ketika Fandy mahu memenuhi syarat ketiga yang disuakan oleh Pak Romly, ayah kepada Sarah. Dia wajib menguasai ilmu ikhlas dalam waktu dua minggu, atau gadis impiannya bakal menikah dengan mahasiswa lulusan Mesir.
Betapa saya tersentuh dengan cara Fandy menemui makna ikhlas yang dicari-carinya, serta lafazan doanya yang tepu pengharapan. “Mohon dengan sangat”, ulangnya berkali-kali dalam kepasrahan dan ketundukan. Pada kemuncak pengabdian, keikhlasan dan keredaan itulah inti dalam perjuangan mengingini sesuatu. Fandy reda tidak memiliki Sarah, andai itulah yang terbaik bagi gadis impiannya.
Filem ini tidak pernah mewarnai hidup saya dalam ertinya yang sedalam hari ini. Dahulu saya menonton lebih untuk menikmati hiburan dan bersantai. Namun kali ini, ia telah memaknai doa yang saya lafazkan di dada sejadah.
Andainya saya layak untuk melepasi ujian ini, saya memohon agar Allah menempatkan saya di sana untukĀ memikul segala amanah itu. Sekiranya tidak, maka biarlah Allah menempatkan orang yang lebih layak di sana, supaya manfaat akan lebih tersebar untuk semua.
Mulai hari ini saya akan bekerja, belajar dan berusaha demi melayakkan diri, bukan lagi untuk mendapatkan sesuatu yang tidak sepatutnya saya minta!
Semoga semangat istikhlas yang baru saya temui tidak meninggalkan saya.




Benar, inti doa itu keikhlasan.
”Mulai hari ini saya akan bekerja, belajar dan berusaha demi melayakkan diri, bukan lagi untuk mendapatkan sesuatu yang tidak sepatutnya saya minta!”
Ayat ini jatuh ke muka saya, rasa malu pula, nampaknya saya perlu banyak belajar lagi dan terus menulis, menulis, menulis–jika hendak layak jadi Dr Bedah Buku.
P/s: Kakak baca semua buku Haruki Murakami?Saya hanya hendak dapat pandangan orang Asia untuk artikel tentang kembara menulis beliau.
Eh Isma, tentang bedah buku itu tiada masalah bagi saya. Di situ memang ruang yang disediakan untuk belajar supaya kita menjadi lebih layak di dunia luar. Begitu visi yang saya mahu angkat untuk KBABKB.
Tentang buku Murakami, sampai sekarang masih lagi belum sempat membaca bukunya – tetapi sangat mahu bina koleksi si penulis Jepun ini. Saya tidak tahu pula beliau ada buat kembara menulis. Menarik. Apa pula pendapat Isma tentang kesudiannya menerima hadiah penulisan atau pengiktirafan penulis daripada kerajaan Zionis?
Bukan KBABKB yang saya maksudkan.
Murakami, sebenarnya beliau selalu diperkatakan di Thailand. Oh, sbenarnya saya sedang menulis artikel tentang buku-buku yang dia tulis, jadi saya namakan kembara menulis Murakami. Soal Zionis itu, saya tidak kisah sangat sebab dia mentafsir tindakan Zionis bukan seperti kita.
Bukan KBABKB rupanya, tetapi sekarang saya rasa saya dapat menjejak cita-cita Isma jadi Dr Bedah Buku tu
Oh, Thai dan Jepun memang ada hubungan yang agak erat juga berdasar sejarah kalau tak salah. Teruskan usaha, saya turut menanti hasilnya.
Dr Bedah Buku — sekarang ini saya giat menulis resensi untuk beberapa media, saya anggap ia latihan praktikal.:)Biasa Dr Bedah.