Apabila tak sempat membaca
October 16th, 2009 | 2 Comments
Kalau tak sempat membaca, perasaan memang bergalau. Fikiran seperti air bertakung, mula-mula diliputi habuk, kemudian jadi sarang bakteria dan jentik-jentik. Akhirnya berlumpur dan tinggal bekas lopak yang tidak menyenangkan.
Sejak Syawal ingin beransur pulang, waktu membaca jadi singkat. Hujung minggu menjadi tetamu dan menyambut tamu – akhirnya batin pun terpalit tempias ‘kotor’ dari lumpur fikiran.
Baru seminggu ini kembali memadu kasih dengan buku setiap hari. Mujur saja buku bukan seperti kekasih yang bersifat manusiawi, kalau tidak sudah tentu buku memutuskan hubungan denganku, yang tidak berapa setia mengingatnya pada musim perayaan.
Sekarang buku yang sedang bermanja dan dimanjai setiap hari adalah Angela’s Ashes. Pembacaan yang tertangguh sekian lama. Antara intinya: kemiskinan, Katolik, Ireland, patriotisme, alkoholisme dan kejatuhan ekonomi. Bukankah kemiskinan itu antara kutukan sosial yang paling sering mendapat tempat dalam karya seni dan susastera? Ramai pahlawan besar kata-kata menunggang kuda kemiskinan hingga akhirnya berjaya menjulang nilai karya mereka ke mata dunia.
Sebuah buku lain yang kudakap sejenak sebelum Angela’s Ashes adalah buku Fatima Mernissi, yang jauh hari dulu, waktu remajaku, tidak berani kusentuh kerana obor feminismenya. Itu dulu, sewaktu masih takut-takut dengan segala apa yang merentang arus agamaku. Akan kuluahkan juga kecamuk tentang buku itu nanti yang masih belum mahu keluar dari dada hari ini.
Ada janji-janji juga yang perlu dilangsaikan dengan Bonda, dan dengan 3 orang lagi penyumbang ke laman BukuRia dahulu – yang makin kerap mengganggu fikiran apabila tidak sempat membaca. Itu panggilan Tuhan barangkali, supaya lebih berhati-hati lain kali dalam berjanji, dan supaya segera bersih dari segala macam hutang!



