Kenapakah memilih bidang penterjemahan?

Lama betul tidak bercerita di sini. Terlalu lama, sehingga saya kembali menulis kali ini bukan lagi sebagai seorang pustakawan, tetapi seorang penterjemah. Rasa kelakar pun ada. Masih ingat ikrar hidup saya mahu berbakti sebagai seorang pustakawan. Sungguhlah rencana kita terlalu naif. Allah sahajalah sebaik-baik Perencana.

Kenapakah tiba-tiba memilih untuk bertukar bidang?

Kalau dikatakan 100% kehendak hati, tentulah berdusta namanya. Namun banyak hal yang terjadi, beransur-ansur mengajak diri membuat keputusan berani mati ini. Antaranya:

Januari 2017: Dipindahkan bertugas dari ISTAC Jalan Duta ke Pusat Matrikulasi Petaling Jaya selama setahun, sehingga akhirnya pusat matrikulasi dipindahkan ke Kuantan. Pilihan yang ada akhirnya, tentulah kembali bertugas di Gombak. Atau Kuantan, kalau sanggup!

Jun 2017: Selepas pemantauan dan pemeriksaan, anak lelaki saya satu-satunya disahkan mengalami cabaran belajar yang memerlukan sokongan emosi dan strategi pembelajaran berbeza. Tidak sesuai untuk commute antara tiga hingga empat jam dua hala setiap hari dalam keadaan mahu menguruskan anak ini.

Pilihan terakhir selepas menimbang dan menimbang, tinggalkan kerjaya pustakawan dan buka buku baharu sebagai penterjemah.

Apakah persediaan yang dibuat sebelum terjun ke bidang terjemahan?

Persediaan pertama sebelum terjun ke dalam apa-apa bidang sekalipun tentulah minat. Syukur sekali minat untuk menterjemah memang ada. Pengalaman kali pertama menterjemah adalah pada tahun 2004, iaitu sebuah artikel undang-undang untuk pensyarah. Itupun dibahagi dua dengan seorang kawan. Kira-kira 10 helai seorang. Terjemahannya daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Berbekalkan minat ini, Allah melorongkan diri jadi pelajar kepada Puan Fatimah Rodhiah pada 2014, diikuti berguru dengan Sifu Translate Rozmi Tamin pada 2017.

Memanfaatkan petua yang diberi Sifu Translate, sepanjang Oktober 2017 saya beranikan diri menghantar CV kepada beberapa agensi penterjemahan di Malaysia dan antarabangsa. Kata Sifu, daripada ratusan agensi yang ada insyaAllah rezeki kita tersangkut di mana-mana. Sifu juga memperkenalkan pelajar kepada platform penterjemahan antarabangsa di mana kita dapat mengirim e-mel kepada agensi-agensi seluruh dunia untuk bekerja dalam kapasiti rakan kongsi bahasa mereka. Sementara kelas Puan Fatimah banyak membantu dalam teknik asas menterjemah dan aliran penterjemahan, kelas Sifu Translate memberi keyakinan untuk memulakan langkah pertama itu.

Bagaimanakah pengalaman profesional terawal dalam penterjemahan?

Alhamdulillah, ada agensi yang sanggup mencuba nasib dengan kita. Tugasan pertama, perjanjian penepian (waiver agreement) untuk sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti lasak. Tugasan seterusnya menyusul dari agensi sama, tetapi tiba-tiba dapat amaran daripada kawan penterjemah lain. Agensi *** selalu tidak bayar penterjemah baharu. Sebelum lebih banyak tugasan tak dibayar, apa lagi. Saya cabut lebih dulu :D. Sambil menunggu balasan e-mel daripada agensi lain, saya memperkemaskan CV dan cuba mencari klien melalui platform karyawan bebas seperti Upwork pula. Hendak dikatakan menggilap CV sampai 100 kali suntingan, memang tidak malu mengaku. Malah dalam tempoh itu sampai terlanggan khidmat tapak web pembuat CV kerana terlupa mansuhkan akaun percubaan. Dalam tempoh ini, Sifu Translate dan seorang lagi rakan penterjemah, Norziati M. Rosman sangat banyak membantu.

Debut yang betul-betul?

Syukur sebanyaknya, Allah jadikan realiti dengan kehadiran seorang kakak pembimbing yang saya anggap mentor, bernama Kak Naziah. Saya kenal beliau di kelas Sifu Translate. Beliaulah yang memberi harapan dan keyakinan untuk mara. Diberinya saya tugas menterjemah berita antara 400 hingga 800 perkataan sehari. Sesekali sampai 1300. Itu paling banyak. Waktu baru-baru menterjemah, santak sampai ke malam saya menghadap. Tetapi puas. Sayangnya selepas daftar sambung belajar, turn around time yang singkat membuat saya terpaksa berhenti menterjemah untuk beliau. Beliau pun waktu itu sambung belajar lagi dalam bidang perniagaan. Kak Naziah seorang yang hebat dan tak pernah mengalah. Itulah orangnya yang saya kenal sepanjang Oktober 2017 hingga April 2018 ketika bekerja di bawah beliau.

Jadi, kenapakah dalam banyak perkara bidang, akhirnya memilih bidang penterjemahan?

Berbanding menjadi penulis sepenuh masa, menjadi penterjemah separuh masa jauh lebih stabil untuk orang yang masih cuba-cuba mahu menulis seperti saya. Berbanding menjadi konsultan dalam bidang sains informasi pula, pengalaman kepustakawanan saya tidak memadai. Sekadar tujuh tahun sebagai pustakawan biasa. Profil diri pun tidak menunjukkan dunia perniagaan kekuatan saya.

Saya suka menjadi penterjemah kerana saya dapat mengetuk papan kekunci dan melihat huruf berhasil membentuk perkataan, ayat, perenggan, dan akhirnya… sebuah ‘kejadian’ baharu pun muncul di hadapan. Sebuah dokumen atau teks atau buku atau apa sahaja, yang baharu sama sekali. Saya percaya, orang yang menghasilkan perkara baharu sentiasa akan bahagia. An inventor can feel such surge of happiness during that moment of creation. Tidak kiralah ia seorang pensyarah atau penulis yang menulis artikel atau buku, seorang ustaz yang berjaya mengislamkan seorang mualaf, seorang saintis yang berjaya mencipta teori baharu, seorang arkitek yang melakar bangunan baharu. Mereka akan merasakan kebahagiaan ketika detik istimewa itu.

Untuk menjadi penterjemah, stamina untuk bertahan di hadapan skrin dan menaip berterusan selama beberapa jam perlu ada. Pada saya, kerjaya ini lebih sesuai untuk orang introvert berbanding ekstrovert.

Selain itu, mencari makna yang setepatnya bagi setiap perkataan adalah suatu perkara yang paling menyenangkan. Elemen dan kemahiran penyelidikan yang diperlukan ketika hendak menentukan makna, menambah unsur dramatik dan kedetektifan. I am my own Sherlock Holmes in the world of words and meaning. Saya boleh melakukannya untuk berjam-jam lamanya tanpa jemu.

Menjadi penterjemah juga membuka mata kepada kebudayaan bangsa lain di dunia, serta memperteguh kefahaman mengenai kebudayaan kita sendiri. Untuk memahami teks yang ingin diterjemahkan, kita tidak boleh sekadar memahami secara luaran tetapi masuk ke dalam dan bergelumang sehingga benar-benar mengerti. Kita juga perlu menguasai bahasa sendiri dan ungkapannya dengan mantap. Kalau tidak, terjemahan boleh menjadi tidak tepat, asing, malah salah sama sekali. Kesannya besar dan kita tidak boleh lari daripada tanggungjawab profesionalisme ini. Ia sesuatu yang sukar, dan saya pun masih belajar. Tetapi sisi yang ini tentang penterjemahan adalah sangat menarik bagi saya. Cabaran yang menyeronokkan.

Inilah beberapa sebab saya berasakan kerjaya sebagai penterjemah sesuai dengan jiwa. Mungkin tidak sama dengan kecintaan orang lain, tetapi yang paling penting kita mesti mencintai kerjaya yang kita ceburi.

Secara asasnya, masih banyak lagi tentang dunia penterjemahan belum saya kuasai, terutamanya tentang pengetahuan linguistik dan perisian penterjemahan bantuan komputer (CAT). Misi saya seterusnya adalah untuk menguasai kedua-duanya, dengan cara mengaktifkan diri menyertai kursus lanjutan dan menyelami dunia penterjemahan sehingga ke akar umbinya.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com