3 Coretan Isnin

Sedang Baca

Sudah lama beli buku Mantik dan Etnomantik karya Prof Dr Mat Rofa Ismail ini, tetapi masih di bab pertama. Siapa sangka buku yang selama ini diam di rak tidak sukar pun untuk dibaca, malah mudah dimesrai seperti Tafsir Al-Azhar walaupun membawa inti yang berat.

Sempat membuat diri tertawa. Kenapa perlu belajar mantik yang benar? Supaya tidak tersalah mantik seperti syaitan yang menyangka dirinya lebih hebat daripada Adam a.s. kerana dia daripada api, manakala Adam a.s. daripada tanah. Ini mantik yang terpesong.

Masih lagi mengulit kisah asal-usul manusia, bagaimana anak-cucu Nabi Adam a.s. bertebaran ke serata alam selepas baginda diturunkan ke dunia dari syurga. Selepas banjir pada zaman Nabi Nuh a.s. pula, keturunan manusia dikatakan hanya tersebar daripada tiga orang anak baginda sejak hari itu.

Banyak perbandingan meluas dan sejarah dunia yang menghiburkan tentang peradaban Yunani dan Rom serta kisah ahli falsafah.

Namun, agak sukar mahu membaca dengan Hajar, kerana dia masih suka menggigit buku. Sudah lebih 15 buah buku yang dia ‘rasa’.

Projek Sekarang

  1. Projek transcreation kesusasteraan kanak-kanak. Kami berada dalam satu pasukan penterjemah Malaysia, tiga antaranya sangat kawakan dan dua daripada mereka mentor penterjemahan saya. Apa lagi nikmat yang ingin diminta, alhamdulillah! Ini ialah peluang untuk belajar sebanyak-banyaknya. Projek ini menggunakan perisian CAT MemoQ, satu pengalaman baharu yang menarik.
  2. Projek penterjemahan tapak web jurufoto perkahwinan sedunia. Banyak belajar terma dan istilah fotografi dan perkahwinan Barat. Projek ini diperoleh melalui tapak web yang menyediakan platform untuk para karyawan bebas.
  3. Penulisan upahan atau ghostwriting. Pelanggan Singapura yang sudah lama menjalin hubungan niaga. Nilai kontrak yang beliau berikan sejak kembali menulis lagi, alhamdulillah sudah hampir menyamai nilai kontrak setahun lalu. Bersyukur atas kepercayaan yang diberikan mereka.
  4. Terus berusaha membantu pihak yang ingin mendaftarkan servis e-hailing mereka, sebagai orang tengah.

Tapak Web Dilawati

  1. 40 brilliant idioms that simply can’t be translated literally – ada seorang rakan penterjemah menghantar kumpulan peribahasa yang beliau kumpul, lalu ketika membelek bahan internet, terjumpa artikel menarik ini.
  2. Transcreation: Somewhere Between Literary Translation and Copywriting – sedang merujuk untuk lebih memahami kemahiran transcreation. Artikel ini banyak membantu meluruskan pandangan awal.
  3. Asas Linguistik oleh Suraiya Chapakia – mahu memperkemas diri dengan ilmu linguistik supaya dapat menjadi penterjemah yang benar-benar mahir. Bertemu buku ini sewaktu mencari di Google Books. Suatu hari nanti pasti akan dapatkan, kalau tidak yang bercetak, yang elektronik.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com