3 Coretan Rabu

Sedang Baca

Minggu ini sempat membaca bab pertama buku David McCullough The Greater Journey: Americans in Paris. Buku ini dibeli di jualan Big Bad Wolf.

Bab pertama dalam bukunya menceritakan tentang ‘watak’ pengembara utama dalam catatan sejarah ini. Mereka terdiri antaranya daripada pelukis, penulis, bekas guru, anak kepada para doktor dan anak seorang paderi. Usia mereka berbeza-beza, tetapi setiap mereka punya suatu impian: melihat Paris! Pengarang menceritakan faktor daya tarikan Paris melalui catatan yang telah dibuat oleh para pengembara ini sendiri.

Bolehlah dikatakan Paris ketika itu, iaitu pada 70 tahun terakhir kurun ke-19, seumpama Mesir bagi para pencinta ilmu. Paris dipanggil ‘Old World’ manakala Mesir memiliki sejarah yang panjang. Seperti adanya Universiti Paris di Paris, kita memiliki Universiti al-Azhar di Kaherah.

Sebagai peminat pengembaraan laut, sudah tentu terbuai dengan olahan perjalanan kapal laut ke Le Havre, Paris. Catitan orang lama sentiasa membuat pencinta sejarah berasa seolah-olah diberikan kehidupan baharu berkali-kali, dan itulah yang dirasai apabila membaca bagaimana setiap pengembara dalam kisah ini membuat persiapan perjalanan dan menghadapi laut yang adakalanya tenang, garang atau mengasyikkan.

Tidak kurang menarik, kejutan budaya apabila mereka tiba di Paris kali pertama dan kekaguman mereka melihat gereja besar Notre-Dame di Rouen. Barangkali seperti orang kita kali pertama melihat Kaabah dan Masjid al-Haram. Begitulah. Pengembara Amerika ini kebanyakannya Protestan, manakala gereja itu dimiliki oleh mazhab Katolik.

Seputar Penterjemahan

Hari ini menyelesaikan satu tugasan untuk tarikh akhir esok kerana terlupa tarikh Julai sehingga 31. Mungkin Allah memang mahu beri lebih banyak masa untuk mengasah gergaji; antaranya:

  1. Membalas beberapa e-mel yang dihantar oleh translation agency talent scouts.
  2. Merancang untuk membuat penjajaran atau penyebarisan (alignment) menggunakan SDL Trados untuk projek klien yang akan datang. Klien ini sudah memberitahu akan datang satu fail baharu untuk diterjemah tidak lama lagi. Sebaiknya, kita bersedia lebih awal untuk memberi leverage (umpilan?) kepada klien tetap berdasarkan pecahan bilangan perkataan menurut analisis SDL Trados.
  3. Melengkapkan SDL Multiterm untuk klien satu lagi supaya tidak sia-sia masa menterjemah kali ini tanpa pangkalan istilah.

Mungkin pada masa depan juga akan menulis lebih lanjut mengenai cara menggunakan SDL Trados dalam bentuk bersiri di BukuRia 3.0.

Hari ini agak teruja apabila mendapat mesej melalui Proz.com daripada seorang penterjemah lain. Gembira dapat mengenali rakan penterjemah, tetapi segan juga apabila mereka mohon tunjuk ajar sedangkan diri sendiri masih terlalu banyak perlu belajar.

Tapak Web Dilawati

  1. Asas Terjemahan dan Interpretasi – buku yang sangat menarik untuk dibaca sebagai panduan penterjemah baharu sepertiku! Apatah lagi nama pengarangnya tidak asing, dan prakatanya menjanjikan bulan dan bintang. Yipi.
  2. Trello.com – sangat disarankan untuk mengawal perjalanan projek, kerana sistem Kanban yang tersedia di Trello tidak jauh berbeza daripada konsep Get Things Done, namun lebih ringkas dan tidak perlu banyak mengklik bagi melihat keseluruhan projek dan status.
  3. Americans in Paris, 1860–1900 – untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai buku yang sedang dibaca.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com