Mengunjungi Tokoh Buku: Shaharom TM Sulaiman

Foto pertemuan pertama dengan tokoh buku Shaharom TM Sulaiman di UiTM Puncak Perdana.

Pada pagi Jumaat jam 10:30 pagi saya selamat sampai ke UiTM Puncak Perdana untuk bertemu dengan Prof. Shaharom TM Sulaiman seperti dijanjikan.

Prof. Shaharom terlibat menulis kata pengantar untuk buku Kertas-kertas yang Merubah Fikir terbitan Jejak Tarbiah. Buku ini dilancarkan pada bulan April lepas di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018.

Sejak beberapa lama saya telah tertangguh mengunjunginya selepas kunjungan pertama pada akhir Mac 2018 lepas kerana beberapa sebab. Tujuan mengunjunginya kali ini adalah untuk menyampaikan naskhah penerbit dan beberapa naskhah hadiah penyumbang, serta cenderamata kenang-kenangan atas kesudian beliau memberi sokongan kepada buku pertama yang diusahakan kumpulan pembaca Goodreads Malaysia.

Prof. Shaharom pernah berkhidmat selama 10 tahun di Perolehan PNM, termasuk menguruskan perolehan buku nadir sebelum beliau bertukar kerjaya menjadi ahli akademik UiTM di Jabatan Pengurusan Maklumat.

Banyak yang sempat beliau ceritakan semasa pertemuan kali ini, termasuk kebiasaannya mengunjungi ISTAC dan perpustakaannya sejak 1989 serta menghadiri Saturday Night Lectures. Beliau juga ikut hadir acara-acara anjuran ISTAC termasuk ketika seorang orientalis terkenal dari Amerika Syarikat dijemput ke Malaysia (kini orientalis tersebut telah meninggal dunia).

Kertas-kertas yang Merubah Fikir boleh didapati terus daripada penerbit, Jejak Tarbiah. Juga melalui Iman Shoppe.

Apabila diceritakan tentang adanya kemungkinan buku Kertas-kertas yang Merubah Fikir akan diulang cetak oleh Jejak Tarbiah,  beliau memberitahu sekiranya ada tambahan sekurang-kurangnya 30-40% isi baharu dalam sesebuah buku yang pernah terbit sebelum ini, maka dapat diberi label edisi baharu dan bukan lagi cetakan ke-2.

Menurutnya, jumlah jualan Kertas-kertas yang Merubah Fikir sangat baik, kerana 70% jualan dalam masa setahun menggambarkan kejayaan besar dalam pasaran Malaysia. Inikan pula baru beberapa bulan sahaja daripada April sehingga September 2018.

Apabila mengetahui saya tidak lagi bekerja di tempat lama sebagai pustakawan, tetapi telah berhijrah ke dunia penterjemahan (dan tetap menjadikan buku sebagai keterujaan utama), beliau menceritakan kisah seorang editor yang dikenalinya. Ujarnya, bekerja sebagai editor bebas menjanjikan pulangan yang boleh dikatakan terjamin apabila telah mendapat kepercayaan penerbit. Begitu juga dengan penterjemah. Malah, setelah memahami pernik-pernik dunia penerbitan, apa salahnya cuba pula menjadi penerbit.

Selain membawa naskhah penerbit yang diamanahkan, para penyumbang kisah-kisah dalam Kertas-kertas yang Merubah Fikir turut menghadiahi sebuah ‘bookrest’ yang ditukangi sendiri oleh salah seorang daripada kami kepada Prof. Shaharom. ‘Bookrest’ hasil karya Mohd Faizal Aziz itu, kata Prof. Shaharom, juga sesuai dijadikan alas hantaran. Sambungnya, bagi orang buku dihadiahi buku itu sudah perkara biasa, tetapi apabila dihadiahi selain buku, ia menjadi sesuatu yang unik.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com