Ulasan: The Storied Life of A.J. Fikry

18293427

Judul: The Storied Life of AJ Fikry | Pengarang: Gabrielle Zevin | Tahun: 2014 |  Penerbit: Algonquin Books

Novel ini menceritakan hubungan pelbagai golongan manusia dengan buku, dari seorang wakil penerbit, pekedai buku, ulat buku, pengarang, pengkaji kesusasteraan, kanak-kanak, pembaca, guru teater, peserta kelab buku, peminat pengarang mahupun isteri pengarang.

Ia bermula dengan kisah Amelia seorang wakil penerbit, yang keluar bertemu pekedai buku Island Books, A.J. Fikry. Sudah menjadi tugasnya membujuk para pekedai memesan judul-judul terbaru.

Namun A.J. Fikry adalah seorang ulat buku eksentrik yang tidak mudah mesra, begitu memilih apabila memesan buku:

Inventory emphasizes the literary, which is good for us, but Fikry’s tastes is very specific… he can’t be counted on to hand-sell.

Sebelum ini dia banyak bergantung kepada isterinya Nic yang lebih ekstrovert, namun kini isterinya sudah pergi dengan tragis. Tiada sebab untuknya memberi muka kepada Amelia apabila hidupnya begitu berantakan.

Harapan yang masih dia simpan adalah Tamerlene, buku nadir Edgar Allan Poe yang bernilai puluhan ribu dolar. Tapi satu insiden kecuaian telah membunuh harapan yang dia gantungkan. Tamerlene dirompak seseorang!

Kerana insiden itu, dia kian putus harapan. Mujurlah harapan itu pulang kepadanya selepas kehadiran seorang anak kecil bernama Maya yang ditinggalkan oleh seorang ibu yang terdesak. Si cilik itu menjadi pelembut hati AJ. Dia mula mempelbagaikan genre pilihan di kedainya, dari novel popular kepada buku bergambar kanak-kanak yang selama ini ditolak.

Hidup AJ mengalir baik sejak itu. Melalui interaksi Maya dengan buku, maka bermulalah ekspolarasi pengarangnya Zevin terhadap hubungan kanak-kanak dengan buku, diikuti dengan citarasa seorang manusia dewasa terhadap buku yang boleh berubah-ubah.

Hubungan AJ dengan Amelia perlahan-lahan pulih, masing-masing meneroka mengenai makna buku dari perspektif masing-masing sebagai pencinta buku, pekedai dan wakil penjual. Berisi humor, Zevin melakar bibit cinta AJ dan Amelia bersulam perbualan tentang buku di restoran Pequod yang bertemakan Moby-Dick:

“In what restaurant based on a novel would you like to dine?” AJ asks her.

“Oh, that’s tough. This won’t make any sense, but when I was in college I used to get really hungry when I was reading The Gulag Archipelago. All that description of Soviet prison bread and soup,” Amelia says.

“You’re weird,” AJ says.

Perlahan-lahan, AJ mula membuka pintu kepada kelab-kelab buku, memberi peluang kepada Zevin bercerita mengenai pengalaman sosial manusia apabila mereka saling berhubung kerana buku. Lambiase, seorang polis mengambil peranan aktif menubuhkan kelab buku yang berdasarkan minatnya yang maskulin. AJ turut merancang sesi bersama pengarang dalam sebuah parti buku yang penuh kelam-kabut, sesuatu yang hanya isterinya mampu lakukan sebelum ini.

Kakak Nic bernama Ismay, seorang guru teater yang selalu mengadaptasi kisah-kisah klasik ke dalam persembahan, turut memberi sisi penting kepada novel ini. Sudut lain hubungannya dengan dunia buku, adalah wataknya sebagai isteri seorang pengarang bernama Daniel Parrish. Apakah yang dicari oleh seorang wanita yang rela menghabiskan hidupnya dengan seorang pengarang? Zevin meneliti hubungan ini dengan mendalam melalui seorang lagi peminat buku yang menjalin hubungan dengan Daniel.

Tidak ketinggalan, isu kedai buku dan buku digital serta e-reader juga turut disorot dengan begitu bersahaja oleh Zevin melalui interaksi watak-watak ciptaannya. Apakah kedai buku itu semata-mata nilai sentimental, atau ada nilai intelektual yang tidak dapat dicari ganti melalui logaritma rekomendasi Amazon semata-mata?

Bagaimana Zevin mengakhiri novel ini dengan jalinan kisah AJ-Amelia yang bertaut erat dengan sejarah hidup Maya dan ibunya, serta Ismay, Daniel dan Lambiase, membuktikan kemahiran pengarang ini menjalin kisahnya. Hubungan setiap orang dengan buku adalah hubungan yang istimewa dan penuh cerita, menautkan hidup dan membentuknya. Walaupun penutup novel ini nyata sebuah tragedi, tetapi di sebalik tragedi itu Zevin berjaya menghantar pesan paling tajam mengenai makna kata-kata dalam hidup manusia.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com