Tujuh Mu’allaqat

oasis-1372670-640x480

Sebelum kedatangan Islam pada zaman Jahiliyah, masyarakat Arab sangat menyukai syair. Para penyair mendapat tempat yang tinggi dan terpandang di kalangan mereka.

Pasar Ukaz menjadi tempat syair dikumandangkan dan sayembara syair berlangsung di situ. Penyair yang memenangi pertandingan mendapat ucapan tahniah dari kabilah-kabilah lain.

Sekitar kurun ke-6 Masihi, dipercayai beberapa orang penyair terkenal telah dikurniakan penghormatan dengan digantungnya syair-syair mereka di Ka’bah. Oleh sebab itu syair-syair itu dipanggil sebagai Mu’allaqat atau Yang Digantung.

Ada pendapat yang mengatakan, syair yang digantung ini ditulis dengan air emas atas fabrik Koptik. Maka ia turut digelar sebagai Muzahhibat. Inilah antara bentuk terawal aktiviti penulisan di dunia Arab sebelum bermulanya penulisan al-Qur’an.

Perkara yang diangkat ke dalam syair-syair ini terdiri daripada lima sahaja, sama ada puji-pujian, cinta berahi, kemarahan, perkabungan atau cerita mengenai kecantikan wanita, haiwan, atau alam semulajadi.

Walaupun para sejarawan Arab tidak sepakat mengenai jumlah sebenar para penyair ini mahupun nama mereka, namun ada tujuh orang yang paling terkenal dan disepakati. Malah syair mereka masih boleh dibaca sehingga ke hari ini, selepas lebih seribu tiga ratus tahun berlalu.

Imru al-Qais atau Amrulkais adalah salah seorang daripada para penyair yang paling dikenang. Ia merupakan anak seorang ketua kabilah atau sheikh Arab. Nasibnya tidak begitu baik kerana telah dibuang kabilah oleh bapanya sendiri. Pada tahun 530 M dia dipercayai telah sampai ke Konstantinopel yang ketika itu berada di bawah pemerintahan Raja Greek-Rom, Justinian dan diberi penghormatan yang tinggi.

Seorang lagi penyair yang terkenal adalah Antar atau Antarah. Dia juga penyair yang menjadikan cinta yang romantis sebagai tema, sama seperti Imru al-Qais. Syair-syair mereka melahirkan kekaguman terhadap kecantikan tiga wanita iaitu Unaizah, Fatimah dan Ablah.

Manakala penyair Labid membicarakan mengenai haiwan seperti unta dan kuda, sama seperti Tarafa yang mengangkat haiwan sebagai tema, namun lebih bertumpu mengenai kuda. Amru pula mengangkat pertempuran-pertempuran yang memangnya sering terjadi antara kabilah pada zaman itu ke dalam syairnya.

Seorang lagi penyair bernama Harath, memilih untuk memperkatakan mengenai senjata dan memuji Raja Hira’. Manakala penyair ketujuh dikenali sebagai Zuhayr, menghasilkan syair-syair yang berisi kata-kata hikmah.

Pengarang pertama yang menghimpunkan Mu’allaqat ini dalam bentuknya yang tersusun, adalah Hammad al-Rawiya. Beliau adalah perawi terakhir syair Arab purba yang hidup sekitar kurun ke-8, mampu mengalunkannya seperti yang didengar daripada orang-orang Badwi kepada penduduk Arab di Kota Damaskus dan Baghdad.

Rujukan

Arbuthnot, F.F. (1890). Arabic Authors. London: Darf Publisher.

Imru’ al-Qais. Wikipedia. <https://en.wikipedia.org/wiki/Imru%27_al-Qais>

Johnson, F.E. (Trans.). (1917). The Hanged Poems. <http://www.sacred-texts.com/isl/hanged/hanged0.htm>

Levin, Gabriel. On the Hanging Odes of Arabia. <http://parnassusreview.com/archives/408>

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com