Perpustakaan Islam Zaman Fatimiyah

Perpustakaan Universiti al-Azhar

Perpustakaan Universiti al-Azhar pada hari ini (Imej: LibraryThing)

Kerajaan Fatimiyah mula berkembang di utara Afrika, kemudian meluas pengaruhnya ke Mesir antara tahun 967-1171 Masihi. Kerajaan ini diambil namanya sempena nama Sayidatina Fatimah al-Zahra’, puteri Rasulullah s.a.w. Mereka bermazhab Shi’ah aliran Isma’iliyah.

Di Mesir, kerajaan ini masyhur kerana kehebatan perpustakaannya. Oleh sebab itu, kedatangan mereka ke Mesir telah meninggalkan kesan kebudayaan yang besar.

Kaherah baru telah dibuka berdekatan bandar Kaherah yang asal. Kerajaan Fatimiyah turut membina istana dan Masjid al-Azhar yang sejak hari itu menjadi pusat pengajian Islam yang tersohor. Perpustakaan khalifah terletak berhampiran istana dan masjid ini.

Ketika pemerintahan Khalifah Fatimiyah yang kedua bernama al-‘Aziz (975-990), perpustakaan itu telah berkembang pesat koleksinya. Pernah suatu waktu apabila khalifah memohon pustakawan membawakan untuknya Kitab al-‘Ayn karangan al-Khalil, sebanyak 31 naskhah manuskrip boleh didapati dalam koleksinya. Salah satunya adalah yang berautograf. Kitab al-‘Ayn adalah sebuah kamus bahasa Arab yang penting dikarang oleh ahli filologi Arab.

Khalifah juga tetap membeli sebuah kitab sejarah al-Tabari dengan harga 100 dinar, meskipun dalam koleksi perpustakaan itu sudah terdapat lebih daripada 20 buah kitab yang sama termasuk yang berautograf.

Sebuah kitab lain pula mempunyai lebih daripada ratusan naskhah, iaitu kitab karangan Ibn Durayd berjudul Jamhara. Kitab ini juga sebuah kitab leksikografi.

Keseluruhannya terdapat lebih daripada 40 koleksi buku dalam istana khalifah yang berkaitan dengan sains purba. Pada zaman itu, koleksi buku bererti terdapat 40 buah bilik yang khusus untuk kitab-kitab itu. Dalam bidang sains dan falsafah Helenistik sahaja, dipercayai terdapat kira-kira 18,000 buah buku.

Pustakawan perpustakaan Khalifah al-‘Aziz bernama ‘Ali bin Muhammad al-Shabusti. Selain seorang pustakawan, beliau juga  pengarang sebuah kitab mengenai rumah-rumah ibadat di empayar Islam. Beliau bertugas mengurus dan mengkatalog buku, selain membacakan Khalifah buku-buku mengikut permintaan baginda. Beliau juga mampu berdiskusi dengan Khalifah berkenaan hal-hal kesusasteraan.

Kecenderungan Khalifah untuk terlibat dalam hal-hal mengenai buku dengan minat yang tinggi bukanlah sekadar untuk memberi galakan kepada para pembesar istana mahupun rakyat jelata terhadap ilmu, tetapi ia minat yang tulen dalam dirinya.

Kewujudan bilangan naskhah yang besar di perpustakaan Khalifah bagaimanapun menunjukkan bahawa perpustakaan ini kemungkinan besar turut dibuka untuk khalayak yang lebih luas, bukan sekadar di kalangan istana.

Namun begitu, perlu juga disebutkan, senario pada zaman itu berbeza daripada zaman kita; setiap salinan manuskrip dianggap edisi berlainan yang mempunyai nilai tersendiri. Pada setiap manuskrip mungkin ada nota penyalin yang berbeza, bahkan mungkin sebuah kitab kecil lain turut mengiringi di marginnya. Itulah istimewanya dunia manuskrip berbanding buku bercetak pada hari ini.

Rujukan

Pedersen, Johannes. “The Arabic book, translated by Geoffrey French.” Princeton: Princeton University (1984).

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com