Ibrahim Muteferrika: Pelopor Percetakan Moden di Turki Uthmaniyah

Map_of_the_Indian_Ocean_and_the_China_Sea_was_engraved_in_1728_by_Ibrahim_Müteferrika

Oleh Ibrahim Müteferrika – salah satu daripada ilustrasi dalam karya Kâtib Çelebi, Cihannuma (Universal Geography) (http://cimes.csusb.edu/newsEvents/map5.htm, Public Domain, https://commons.wikimedia.org/w/index.php?curid=16462134)

Ibrahim Muteferrika (lahir awal 1670-an) adalah seorang tokoh yang terkenal pada zaman kerajaan Uthmaniyah. Beliau seorang pakar dalam pelbagai bidang termasuk astronomi, matematik, falsafah, geografi dan diplomasi.

Satu perkara lain yang membuatkan beliau lebih terkenal adalah kerana beliau orang pertama yang melibatkan diri dalam percetakan dan penerbitan buku Arab secara moden berasaskan teknik Gutenberg. Beliau menguruskan bisnes percetakan dan penerbitannya dari tahun 1729 sehingga 1742. Sebelum itu semua kitab dihasilkan dalam bentuk manuskrip dan bertulisan tangan.

Walaupun menetap di Istanbul dan beragama Islam, Muteferrika bukan berketurunan Turki tetapi Hungary. Muteferrika pada akhir namanya tidak merujuk kepada nama keluarga beliau, tetapi gelaran bagi petugas khas Sultan daripada Kor Muteferrika. Kor Muteferrika biasanya terdiri daripada anak-anak raja daripada kerajaan kecil yang tunduk dan berlindung di bawah payung pemerintahan Uthmaniyah. Mereka ditempatkan di bawah naungan Sultan supaya mendapat latihan selain pada masa yang sama menjadi cagaran atau jaminan bagi kepatuhan bapa mereka kepada empayar Uthmaniyah. Selain menyertai kor itu, beliau juga berkhidmat sebagai diplomat kerajaan.

Ibrahim Muteferrika adalah seorang pelopor pembaharuan di empayar Uthmaniyah. Beliau percaya orang Islam perlu mengambil peluang daripada perkembangan penerbitan yang pesat di Eropah. Oleh sebab itu, beliau membuka sebuah bisnes percetakan. Beliau mengimport alat cetak daripada Perancis, taip cerai daripada Belanda dan pekerja-pekerja kedai percetakannya terdiri daripada orang-orang Austria.

Pada masa beliau memulakan bisnes percetakan, penghormatan terhadap manuskrip masih begitu tinggi di kalangan masyarakat Uthmaniyah. Buku bercetak dianggap mengancam keutuhan nilai dan budaya manuskrip yang lebih mementingkan sisi hubungan antara pengarang-penyalin dan guru-murid. Oleh sebab itu Sultan Ahmad III (1703-1730) sendiri pada awalnya tidak mengizinkan buku-buku agama dihasilkan secara bercetak. Percetakan hanya terhad untuk buku-buku melibatkan pengetahuan umum.

Sepanjang 13 tahun sejarah penerbitannya, Muteferrika sempat menerbitkan 17 judul buku dalam 22 jilid. Jumlah keseluruhan  naskhah adalah antara 12,200 hingga 13,700. Buku karya al-Jawhari berjudul Vankulu Lugati (Kamus Vankulu – Istanbul 1729) adalah buku yang mula-mula sekali diterbitkan dengan huruf Arab oleh seorang Muslim.

Jihan-nüma (Cermin Dunia/Geografi Sejagat – Istanbul, 1732) karangan Katib Celebi (Katip Jilibi) pula adalah buku yang mula-mula memuatkan peta dan ilustrasi bercetak di dunia Islam. Buku ini turut diberikan suplemen oleh Muteferrika sendiri disokong kepakarannya dalam bidang astronomi. Beliau mensyarahkan mengenai teori heliosentrik Copernicus dengan hujah-hujah yang menyokong mahupun menentang pendapat itu.

Muteferrika juga memanfaatkan pengetahuannya dalam bidang geografi. Beliau telah menterjemah dan menerbitkan karya Andreas Cellarius (meninggal pada 1665) berjudul Atlas coelestis (1708) daripada bahasa Latin kepada bahasa Arab dengan judul Majmua’tul Haiy’a- Kadim wal-Jadid (1733).

Selain itu, buku lain yang diterbitkan oleh penerbitannya adalah Grammaire Turque (Tatabahasa Turki – Istanbul, 1730) karya J.B. Holderman. Ia menjadi buku pertama dari Turki yang dicetak dengan huruf Latin.

Sebuah lagi buku yang tidak kurang penting, Tarih-i Hind-i garbi (Sejarah Penemuan Amerika – Istanbul, 1732) memberikan laporan mengenai penemuan benua Amerika. Ia adalah buku yang mula-mula ditulis oleh Muslim mengenai Amerika. Terdapat 13 ilustrasi yang dihasilkan melalui teknik toreh kayu (woodcut) dalam buku ini.

Keupayaan Muteferrika menerbitkan buku bercetak ini sebahagiannya adalah berkat sokongan kerajaan Uthmaniyah sendiri. Selepas mendapat keizinan daripada Sultan Ahmad III, Sultan Mahmud turut menampung kegiatan percetakan Muteferrika dengan memberikan subsidi.

Buku-buku yang dihasilkan oleh percetakan beliau kini menjadi koleksi berharga di Perpustakaan Lilly di Amerika Utara. Sebahagian koleksi beliau juga boleh didapati di Perpustakaan Syed Muhammad Naquib al-Attas di Jalan Duta.

Ibrahim Muteferrika meninggal dunia pada tahun 1745. Selepas beliau meninggal dunia, anak lelakinya meneruskan perusahaan percetakan beliau. Harta peninggalannya sebagai seorang pedagang buku telah diwarisi oleh anak-anaknya.

Beliau boleh dikatakan pedagang buku yang berjaya berbanding pedagang buku yang lain di Uthmaniyah pada ketika itu. Nilai buku yang ditinggalkan pada saat kematiannya, adalah sebanyak 20,422 qurush.

Rujukan

  1. Boogert, Maurits van den. Early Ottoman printing: the Muteferrika Press. <http://www.brill.com/early-ottoman-printing-mueteferrika-press>
  2. Indiana University. From pen to printing presses: ten centuries of Islamic book arts. <http://www.iub.edu/~iuam/online_modules/islamic_book_arts/exhibit/early_printed_books/index.html>
  3. Mutafarrika. Encyclopedia of Islam, Vol. 7, 1986.
  4. Sabev, Orlin. “Rich Men, Poor Men: Ottoman Printers and Booksellers Making Fortune or Seeking Survival (Eighteenth-nineteenth Centuries).” Oriens 37 (2009): 177-190.
  5. Shaw, Stanford J. History of the Ottoman Empire and Modern Turkey: Volume 1, Empire of the Gazis: The Rise and Decline of the Ottoman Empire 1280-1808. Vol. 1. Cambridge University Press, 1976. pp. 117, 242
  6. Virk, Zakaria. Science and technology in Ottoman Sultanate. <http://alislam.org/e/333> Retrieved: 26 April 2016.
  7. Wikipedia. https://en.wikipedia.org/wiki/Ibrahim_Muteferrika.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com