“Novel ni untuk 18 tahun ke atas saja.”

bookstore-1488357-1280x960

“Ummi, boleh tak kita ke MPH? Fatimah nak beli buku untuk Kak Syira.”

Sudah seminggu anak perempuan saya Fatimah beria-ia mahu menghadiahi kakak sepupunya sebuah buku sempena hari lahir.

Akhirnya Ahad lepas kami singgah di sebuah kedai buku di Seksyen 7 Shah Alam. Tentulah selepas ibunya sudah singgah ke syurga para wanita di sekitar itu (klu: wanita dan busana tak dapat dipisahkan).

“Fatimah nak beli buku apa?” Tanya saya.

“Buku **** yang paling seram.”

Oh! Hati saya terdetik. Saya berkira-kira untuk membeli buku penerbit itu untuk gadis yang baru menginjak remaja, melainkan saya menyemak isi kandungannya lebih dulu. Ini kerana saya percaya, pembacaan mempengaruhi pemikiran kita dengan mendalam. Dan buku-buku dari penerbit itu mengandungi kisah-kisah berunsur seksual yang melampau bagi anak remaja yang sedang bertarung dengan hormon sakti. Siapapun pernah muda sebelum jadi ibu bapa, bukan begitu? 🙂

Tetapi menolak membeli hadiah buku semata-mata tanpa berusaha memperkenalkan anak kepada pengalaman memilih buku, tentulah sesuatu yang merugikan si anak. Lalu saya bawa juga Fatimah ke bahagian novel-novel penerbit itu.

Selepas membelek beberapa judul yang masih memakai bungkusan plastik, saya membawa sebuah buku pilihan Fatimah ke kaunter supaya pembalutnya dapat dibuka oleh petugas kedai buku. Tujuan saya, tentulah mahu semak isinya lebih dulu!

Saya lihat petugasnya masih agak muda, lalu terlintas untuk bertanya, “Boleh cadangkan saya buku seram penerbit ini yang tak ada unsur lucah, sebab anak saya nak hadiahkan buku ini untuk sepupunya.” Mungkin sekali orang muda seperti dia juga peminat novel penerbit ini, sebab penerbit ini memang terkenal di kalangan remaja lima tahun belakangan.

“Berapa usia sepupu adik?” Tanyanya pada Fatimah tiba-tiba.

“13 tahun.”

“Ooo, kalau macam tu, novel ni tak boleh, adik. Novel ni sesuai untuk 18 tahun ke atas saja. Sebab ada bahasa yang tak elok untuk budak-budak kat dalam ni. Mari abang tunjuk buku lain yang adik boleh pilih.”

Wah! Tiba-tiba saya jadi teruja. Ini pengalaman pertama saya di kedai buku di mana pekerjanya begitu “well-versed” tentang buku jualannya. Dan dia begitu bersemangat walaupun hanya melayan seorang kanak-kanak sahaja.

Dia membawa Fatimah ke bahagian rak buku yang lain, dan dari situlah akhirnya Fatimah memilih buku genre seram dari penerbit lain untuk kakak sepupunya.

Ketika membayar harga buku, saya sempat bertanya, sudah berapa lama petugas itu bekerja. “Lapan bulan,” katanya. Saya perhatikan pada kad yang tergantung pada bajunya, dia masih lagi seorang petugas pelatih.

Saya pulang dengan terkenang-kenang petugas pelatih itu; seorang penjual buku yang luar biasa dalam masyarakat kita saya kira; ia layak diabadikan dalam sebuah coretan.

Seorang petugas kedai buku yang sedar dengan tanggungjawab sosial seperti inilah bagi saya perlu lebih ramai di tempat kita. Menjual buku bukan urusan biasa-biasa. Menjual buku bermakna menjual sekeping bekalan masa depan bagi kanak-kanak. Menjual buku, sebenarnya menjual sebuah pengalaman yang akan dikunyah dan disimpan secara internal oleh seorang anak sehingga dia dewasa, lalu membentuk dirinya. Kalau tidak, sudah tentu tidak ada para pemimpin berasa terancam oleh buku, sehingga sanggup mengharamkan mahupun membakar buku ketika sedang merangkul kuasa.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com