100 Pengulas Terbaik Malaysia di Goodreads

bestreviewersMenurut Profesor Ajmal, bekas dekan ISTAC/ISLAH, tujuan utama ulasan buku ditulis adalah untuk menarik minat pembaca kepada buku-buku yang diulas itu.

Seorang pengulas buku ada peranan penting dalam rantaian penjualan buku dan penyampaian idea dalam masyarakat. Ia bertindak sebagai orang tengah untuk memperkenalkan buku-buku yang mengandungi isi dan idea yang baik kepada pembaca.

Setiap pengulas mempunyai potensi mempengaruhi orang lain supaya berkenalan dengan buku, pengarang, genre, siri dan aspek-aspek tertentu dalam sesebuah buku.

Pada zaman media sosial, para pengulas mempunyai seluas-luas ruang untuk dimanfaatkan. Berapa ramai pengulas profesional yang bermula dari ulasan di blog atau Amazon? Akhirnya mereka dicari oleh penerbit atau pengarang untuk mengulas buku-buku terkini.

Rangkaian sosial pembaca Goodreads tidak ketinggalan, memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk mengulas bacaan mereka. Pembaca boleh memuat naik data buku mereka di Goodreads, dan memberi pandangan mengenai buku-buku yang telah dibaca sama ada baik atau sebaliknya.

Apa yang lebih istimewa, ulasan-ulasan itu boleh dikomentar oleh rakan-rakan pembaca kita yang lain dan diberi ‘likes’. ‘Likes’ inilah yang kemudian dikira oleh sistem, untuk menentukan pembaca-pengulas terbaik. Goodreads menyenaraikan 100 pengulas terbaik mengikut negara, berdasarkan jumlah undian yang dikumpulkan.

Pengulas terbaik ini dibahagikan pula kepada empat tahap masa iaitu:

  • pengulas terbaik mingguan,
  • pengulas terbaik bulanan,
  • pengulas terbaik tahunan, dan
  • pengulas terbaik keseluruhan.

Apabila kita perhatikan senarai 100 pengulas terbaik dari Malaysia, kebanyakan mereka yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengulas, terdiri daripada pembaca buku-buku ringan dan hiburan. Mereka golongan yang selalu diusik kerana cenderung membaca genre cinta dan indie.

Manakala pengulas yang membaca buku-buku serius, yang sering mempersoalkan golongan pembaca ringan, terdiri daripada beberapa kerat sahaja dalam senarai 100 pengulas teratas negara kita.

Bagi penulis artikel ini, senario yang terpapar di laman sosial pembaca Goodreads itu ironik dan ada lucunya.

Bukankah pembaca buku-buku serius dan berbobot yang lebih patut ke hadapan dan memujuk orang lain supaya menyertai golongan mereka?

Bukankah apabila lebih ramai pembaca dapat mereka pengaruhi, maka pembaca buku cinta dan indie perlahan-lahan akan beralih arah membaca buku-buku yang lebih serius, sepertimana mereka harapkan?

Ditinjau dari segi motivasi dalaman pula, pembaca buku-buku serius dan berbobot inilah yang seharusnya lebih bangga menuju ke depan dengan bahan bacaan mereka yang terpilih dan bermutu. Bukan sebaliknya.

Merekalah yang sepatutnya lebih galak mengulas, kerana buku-buku yang terpilih dan bermutu itu memang wajar sampai ke pengetahuan pembaca lain pula.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com