Amanat terpenting Balai Maqamat Affandi Hassan

photo[Artikel ini telah tersiar di Selangorkini 11-18 September 2015; teks yang disertakan di sini adalah naskhah asal sebelum disunting oleh pihak editor Selangorkini]

USAHA Affandi Hassan mengadaptasikan bentuk maqamah daripada kesusasteraan Arab-Islam Andalusia sebagai alat untuk membawa ke hadapan Gagasan Persuratan Baru, boleh dianggap sebagai satu percubaan yang tulen dan idea yang segar. Meskipun maqamah sememangnya dianggap antara fenomena kesusasteraan Arab klasik yang paling popular di luar tanah Arab, namun inilah kali pertama bentuk ini dibawa ke dalam kesusasteraan tanah air.

Balai Maqamat mengisahkan seorang editor yang menerima manuskrip yang disifatkan luar biasa daripada seorang pengarang, kerana ia dihidangkan dalam bentuk kesusasteraan yang belum pernah diaplikasikan dalam mana-mana karya tempatan, iaitu maqamah. Melalui sudut pandang si editor, kita sama-sama diajak membaca manuskrip itu sebagai penilai kritis. Inti utama manuskrip adalah komentar mengenai budaya intelektual, politik dan kehidupan sosial yang kian parah di negara kita.

Tujuan esei ini bagaimanapun bukanlah untuk memperkatakan mengenai komentar kemasyarakatan yang dilontarkan dalam buku itu mahupun menilai sejauh mana keberkesanan komentar yang disampaikan hasil mengambil bentuk maqamah. Tetapi ada pertanyaan yang lebih mendasar dan meluas daripada itu, iaitu apakah niat utama pengarang memperkenalkan bentuk maqamah kepada khalayak pembaca Malaysia? Adakah pengarang memperkenalkan maqamah semata-mata kerana beliau menganggap bentuk kesusasteraan yang sedia ada telah gagal menyampaikan mesej terpenting sesebuah karya? Jika jawapannya ya, maka bentuk maqamah terhenti sekadar suatu bekas baru yang lebih sesuai untuk mengisi hidangan yang selama ini dihidangkan dengan cara kurang berkesan. Jika sebaliknya, apakah pula matlamat pengarang yang lebih penting daripada itu? Boleh jadi bekas hidangan yang dipilih oleh pengarang bukan sekadar untuk mengujakan atau mencari kesesuaian, tetapi membawa simbolik budaya yang jauh lebih bermakna.

Pada persimpangan ini, mari kita teliti sejarah maqamah seperti yang dijelaskan dalam The Literature of al-Andalus (2000) yang disusun oleh Menocal. Maqamah adalah perkataan bahasa Arab (jamaknya maqamat), yang dalam bentuk kata akarnya bermakna ‘dia berdiri’. Berdiri di sini dari segi istilah dihuraikan sebagai berdiri dalam sebuah diskusi atau perbincangan ilmiah, untuk menyampaikan atau berkongsi ilmu atau pendapat. Bentuk maqamah ini dikatakan muncul bertitik-tolak daripada budaya diskusi atau perbincangan ilmiah secara lisan di kalangan ilmuan Arab, yang biasa berlangsung dalam balai-balai istana, rumah-rumah pembesar dan tempat-tempat awam kunjungan mereka.

Sejarah perbincangan ilmiah ini tertanam kukuh dalam budaya ilmu yang dibawa oleh agama Islam. Dr. Ahmad Shalaby dalam bukunya berjudul History of Muslim Education (1979) menerangkan bahawa telah menjadi kebiasaan bagi empat Khalifah terawal Islam untuk ditanya oleh rakyat mengenai hal-hal bersangkutan agama dan pemerintahan dalam majlis-majlis terbuka dan tertutup yang turut dihadiri oleh para sahabat. Dalam majlis-majlis ini, apabila Khalifah tidak dapat memberikan jawapan berdasarkan ilmu yang mereka miliki, maka nasihat para sahabat akan ditanya untuk dijadikan sandaran.

Berasaskan model inilah, budaya perbincangan ilmiah kian subur dalam budaya Arab-Islam dan mencapai kemuncaknya ketika zaman dinasti Abbasiyah. Para sultan berlumba-lumba menjemput kelompok ilmuan untuk membincangkan pelbagai polemik ilmiah semasa di istana. Jejak ini segera dituruti para pembesar di rumah mereka, sehingga ke peringkat rakyat jelata budaya ini menjalar ke pasar-pasar. Malah perbincangan ilmiah seumpama ini pernah dibukukan dalam kitab al-Imta’ wa-al-Mu’anasah oleh Abu Hayyan al-Tawhidi (meninggal pada 1009M), bersumberkan diskusi yang berlangsung di rumah Ibn Sa’dan, seorang menteri di bawah pemerintahan Samsan al-Daulah.

Apa yang membezakan bentuk maqamah dengan bentuk kesusasteraan lain sebelum ini, adalah kerana ia memperkenalkan watak-watak fiksyen, sesuatu yang asing dalam budaya Arab-Islam sebelumnya. Sejak kali pertama dihasilkan secara improvisasi oleh Badi’ al-Zaman al-Hamazani (967-1008M) dalam majlis perbincangan ilmiahnya, ia terus dikembangkan oleh ramai pengarang lain dengan kemuncaknya adalah karya dihasilkan al-Hariri (1054-1122M).

Jelaslah sekarang daripada singkapan sejarah kesusasteraan bentuk maqamah ini, usaha pengarang Affandi Hassan membawanya ke dalam kesusasteraan tanah air bukanlah semata-mata kerana ingin mencipta hidangan bentuk baru untuk mengujakan khalayak, mahupun mencari kesesuaian bentuk untuk menghidangkan komentarnya dengan lebih berkesan.

Tujuan utama Balai Maqamat adalah untuk membuka mata masyarakat mengenai budaya maqamah dan perbincangan ilmiah secara lisan yang begitu asing di negara kita, terutama dalam keadaan ilmuan dan rakyat terpaksa bersuara di hadapan pemimpin negara dan para pembesar. Inilah amanat terpenting yang ingin disampaikan oleh Affandi Hassan melalui Balai Maqamatnya.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com