Ketinggian nilai perpustakaan dalam tamadun Islam

istaclibDalam buku Ahmad Shalaby berjudul History of Muslim Education, beliau turut membincangkan peranan penting perpustakaan. Pada masa itu, perpustakaan bukan sekadar gedung menyimpan buku, tetapi juga memegang kendali sebagai pusat pengajian dalam kapasitinya yang tersendiri.

Akademi Islam yang pertama iaitu Bayt al-Hikmah, diasaskan beserta dengan koleksi buku yang dimiliki oleh Harun al-Rashid. Sehingga hari ini, para sarjana pendidikan Islam saling berbeza pendapat sama ada ia patut dikelaskan sebagai perpustakaan atau sebuah pusat pengajian.

Pada masa dahulu, perpustakaan turut mengadakan kelas-kelas pengajian dan aktiviti penterjemahan, kerana di situ selalu bertumpu para sarjana dan ilmuwan untuk membuat rujukan, sehingga disediakan tempat tinggal dan makan minum oleh para pemilik perpustakaan. Salah satu perpustakaan sebegini ialah Khizanat al-Hikmah di istana ‘Ali bin Yahya al-Munajjim.

Ketinggian nilai perpustakaan ini tercapai dalam tamadun Islam kerana apresiasi umat yang tinggi terhadap buku. Menurut Ahmad Shalaby, al-Jahiz adalah sarjana yang pertama kali mengangkat kedudukan buku ke tempat yang begitu tinggi dan mulia melalui hasil karya dan pepatah-pepatahnya. Sebelum karya-karya al-Jahiz, orang ramai lebih mengangkat puisi dari prosa.

Hasil kecintaan terhadap buku inilah, perhatian yang begitu besar diberikan terhadap perpustakaan, seperti yang digambarkan oleh kisah-kisah berikut.

Rumah seorang pembesar, Ibn al-‘Amid telah diselongkar oleh askar-askar Khurasan sehingga semua gelas cawannya pecah. Ibn al-‘Amid tidak sedikit pun risau mengenai kerosakan itu, tetapi beliau risau mengenai perpustakaannya yang belum beliau dengar sebarang khabar mengenainya. Tidak lama selepas itu beliau bertemu dengan pustakawannya yang membawa berita bahawa buku-bukunya selamat dan tidak ada sebuah pun yang hilang. Ibn al-‘Amid berasa sangat gembira dan berkata kepada pustakawannya: “Kamu lelaki yang membawa petanda baik, benda-benda lain semuanya boleh dicari ganti kecuali perpustakaan.”

Apabila Nuh bin Mansur menawarkan jawatan kepada al-Sahib bin ‘Abbad, beliau menolaknya dan salah satu sebab yang diberikan adalah betapa sukarnya untuk memindahkan buku-bukunya yang perlu diangkut oleh 400 ekor unta. Jadi beliau lebih rela untuk kekal bersama-sama bukunya daripada menerima jawatan yang menarik itu.

Banu ‘Ammar di Tripoli pula sanggup menggaji pakar-pakar dan para peniaga supaya mendapatkan buku-buku dari negeri asing untuk perpustakaan-perpustakaan milik mereka.

Suatu hari anak remaja al-Qadhi al-Fadhil memerlukan sebuah naskhah al-Hamasah untuk dibaca. Dia meminta Ibn Surah al-Kutbi supaya mendapatkan buku itu untuknya. Lalu al-Kutbi pergi bertemu al-Qadhi al-Fadhil untuk mendapatkan keizinan mengambil buku itu dari perpustakaannya. al-Qadhi al-Fadhil mengarahkan agar kesemua salinan yang ada di perpustakaannya dibawa kepadanya supaya beliau boleh memilih yang paling tidak penting untuk diberikan kepada anaknya. 35 salinan telah dibawa kepadanya untuk diteliti, namun beliau memutuskan setiap salinan itu mempunyai nilai istimewa buat dirinya. Dia menegaskan bahawa kesemua salinan itu terlalu tinggi tarafnya untuk seorang pelajar dan mengarahkan Ibn Surah untuk membeli salinan lain yang sesuai untuk pelajar.

Sekiranya kita menyusuri dunia Islam dari Mesir sehingga Andalusia, kita akan dapati tenaga yang luar biasa dalam usaha pemerolehan buku.

Al-Hakam di Kordoba menghantar utusannya ke segenap pelusuk negeri Timur untuk memperoleh buku. Apabila Abu al-Faraj al-Isfahani telah selesai menulis al-Aghani al-Hakam menghantar seorang utusan istimewa untuk mendapatkan sesalinan buku itu sebelum ia dibeli oleh orang lain. Raja yang pemurah itu telah menghadiahkan pengarang itu dengan 1000 dinar emas sebagai ganjaran.

Malah orang awam sekalipun tinggi hasratnya untuk memiliki perpustakaan di  rumah masing-masing meskipun mereka tidak dapat menggunakannya, kerana memiliki perpustakaan di rumah mengangkat darjat mereka dalam masyarakat. Ada sebuah kisah yang terkenal dari al-Maqarri yang dipetik oleh Ahmad Shalaby dalam bukunya ini: Seorang pencinta buku bernama al-Hadhrami selalu mengunjungi acara lelongan buku untuk mendapatkan buku-buku yang dia sukai. Suatu hari dia menemui sebuah naskhah yang indah dengan komentar yang sangat baik. Dia membida buku itu tetapi ada orang lain menawarkan harga yang lebih tinggi. Dia tetap menambah bidaan sehinggalah tidak mampu lagi berbuat demikian. Harga buku itu sudah melampaui harga asalnya begitu jauh. Lalu al-Hadhrami menunggu di situ untuk melihat siapakah pembida yang menewaskan bidaannya. Beliau berasa berang kerana mendapat tahu bahawa pembeli itu bukanlah seorang sarjana dan tidak tahu apapun mengenai buku itu. Dia hanya tertarik kepada buku itu kerana penjilidannya cantik dan saiz buku itu muat-muat dengan ruang yang masih ada di rak bukunya.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com