Ulasan: Cherita Jenaka iaitu Pa’ Kadok, Pa’ Pandir, Lebai Malang, Pa’ Belalang, Si-Lunchai

25173313

Saya memilih buku ini untuk dibaca kerana sebelum ini menghadam The Tales of Nasrettin Hoca, jenaka klasik yang dikatakan berasal dari Asia Barat dan kemudian tersebar ke banyak pelusuk lain dunia.

Kisah2 Hoca/Hodja yang mempunyai sisi pengajaran sosial yang bermanfaat, membuat saya tertanya-tanya sejauh mana pula jenaka klasik Melayu memiliki kedalaman pengajaran sosialnya. Terdetik di fikiran kisah Pak Kadok yang menggadai kampung halaman.

Mencari di Google berdasarkan kata kunci Pak Kadok, sukar sekali menjejak buku moden yang masih memuatkan kisah2 jenaka seperti ini. Alhamdulillah rezeki kurniaan Allah, bertugas di perpustakaan khas memberi peluang bersua dengan sebuah buku nadir seumpamanya.

Ada 5 buah cerita jenaka Melayu dalam buku ini, yang dihimpunkan daripada tradisi lisan. Dengan watak-watak yang digambarkan dengan sikap kebodoh-bodohan (juga seperti Hoca/Hodja), bagi saya banyak pengajaran yang cuba dihantar oleh para penyampai, yang membuktikan ketinggian akal budi mereka.

Seawal kisah Pak Kadok, klunya bagi saya adalah ayat ini yang menegur kepincangan negeri itu:

Maka baginda itu chukup lengkap seperti ‘adat isti’adat kerajaan yang lain-lain juga, akan tetapi ada pun tabi’at baginda itu terlalu-lah suka menyabong dan berjudi, sa-hingga menjadi suatu ‘amalan pada baginda itu. Dengan hal yang demikian habislah sekalian ra’ayat seisi negeri itu menjadi ‘ashik leka dengan berjudi juga pada sa-tiap masa; tiada sekali-kali mengambil bena kepada mendirikan shari’at Nabi sall’Allahu ‘alaihi wa-sallam….

Jadi apabila kezaliman itu bermula daripada atas, apalah lagi harapan orang bawah melainkan ikut terpalit sehingga menyorak kehilangan ayam dan kampung sendiri. Sewaktu Pak Kadok menghadapi saat yang paling malang itu dalam hidupnya, Raja dan para penonton diraja masih mampu mengetawakan Pak Kadok tanpa menyedari asal-muasal kebodohan Pak Kadok.

Melalui kisah Pak Pandir, saya mendapat pengajaran, sekiranya sesuatu perkara itu diletakkan tidak pada tempat sepatutnya (seperti Pak Pandir yang tidak mampu memikul tanggung jawab dan menjalani kehidupan sebagai suami – tidak tahu mencari nafkah, tidak kenal anak dan masyarakat sendiri tetapi masih dipilih oleh Mak Andeh sebagai suami), maka akhirnya akan berlaku bencana besar (hingga rumah dimasuki gergasi pun terpaksalah dihadapi) dan berakhir dengan kematian yang hina. Manakala Mak Andeh sendiri, apabila bersedia menerima Pak Pandir dengan segala kelemahannya maka terpaksa juga menerima akibat terburuk dalam dukacita.

Lebai Malang menghantar teguran dan isyarat kepada ahli agama yang tidak ikhlas dalam menunaikan amanah mereka. Sikap lebih mengejar materi (seperti Lebai Malang yang lebih tergiur dengan ‘kain puteh dan tikar’, ‘perut yang kenyang’, ‘daging kerbau’, ‘kelapa sa-tali’ dan ‘kampit beras’) akan mengakibatkan kehinaan, yang tergambar dengan Pak Kadok yang terpaksa melucut segala kain-baju ketika mengejar anjing yang melarikan sedikit rezeki daging kerbaunya.

Manakala Pak Belalang adalah seorang pembohong tegar yang sanggup berbuat apa sahaja demi sesuap nasi, tetapi akhirnya terpaksa membakar rumah sendiri demi menyelamatkan diri daripada kemurkaan Raja. Walaupun berakhir dengan baik kerana Raja sanggup memeliharanya, tetapi orang yang berbohong ini bergantung hanya kepada nasib baik yang ditentukan Allah sahaja, bukan kerana kepandaian mahupun kehebatan berdusta.

Si Lunchai pula mengisahkan kesombongan dan kezaliman penguasa yang enggan merendah diri untuk rakyat, serta tidak menjalankan hukuman dengan adil dan bijaksana. Pemimpin seperti ini akan menjadi mangsa dendam rakyat yang akan menggunakan pelbagai tipu muslihat untuk menjatuhkan raja, tetapi pada masa yang sama rakyat sendiri akan kehilangan pemimpin dan menerima akibat yang tidak kurang pahitnya. Perseteruan akan berterusan antara dua pihak yang sebenarnya sama-sama memerlukan, iaitu rakyat dan pemimpin. Pembesar2 di sekeliling raja pula, adalah pembesar yang rela menyembunyikan kebenaran daripada Raja, asalkan dapat mengekalkan kemuliaan diri masing-masing. Akhirnya semua binasa dan menyesal.

Sungguh banyak saya dapat belajar daripada pembacaan karya klasik dari dua dunia yang terpisah ini (Asia Barat dan alam Melayu), mengukuhkan kecintaan saya kepada karya klasik yang berasal daripada peradaban Islam. Mudah-mudahan karya2 begini kembali segar dan diperluas melalui penerbitan terkini supaya dapat sampai kepada lebih ramai pembaca.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

1 Response

  1. Mas says:

    Ada lagi x buku nie…saya nak beli

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com