Ulasan: Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang (ZF Zamir)

17667433

Sejak 2013 memerhatikan dari jauh mengenai gerakan TFTN serta pengasasnya Zul Fikri Zamir, banyak pertanyaan yang muncul di benak fikiran mengenai sumber kebangkitan dan semangatnya. Siapakah tokoh di sebalik aktivisme pendidikan ini? Dan ke manakah matlamat akhir aktivisme ini? Akhirnya melalui buku ini serba-sedikit mendapat jawapan mengenai idea dan pemikiran yang diusung oleh beliau.

Anak kepada seorang guru perpustakaan, beliau terdedah kepada pelbagai bahan bacaan sejak usia muda. Kemudian beliau mendapat pendidikan menengah di SM Sains Selangor di mana pendedahan terhadap teater pastinya telah meninggalkan kesan mendalam sehingga akhirnya ia menjadi satu elemen dalam TFTN. Seterusnya beliau masuk ke matrikulasi, diikuti IPG dan menyambung pengajian di universiti dalam bidang pendidikan.

Isu-isu yang dibawakan oleh beliau melalui buku ini (juga esei-esei lain) adalah jelas, mengenai kebebasan akademik, pendidikan, politik dan sosial, serta teater (seni) sebagai agen pencorak pemikiran masyarakat.

Memerhatikan beliau membawa isu-isu yang kebanyakan orang muda anggap berat ini, tertonjol dengan kemas keluasan pembacaan dan keberanian beliau berfikir, merentas pelbagai bidang termasuk falsafah dan ekonomi.

Gaya beliau menulis pula mengingatkan saya kepada Wan Ahmad Fayhsal dan Anas Alam Faizli dan esei-esei mereka yang memetik falsafah dan fakta dengan begitu bersahaja – seperti makan popcorn sambil menonton filem sahaja. Ini membuat saya tertanya-tanya pula, kalau 3 orang ini adalah antara insan yang berjaya dilahirkan oleh sistem pendidikan kebangsaan dan pendidikan kebangsaan sering dikatakan gagal, maka dari akar mana satu mereka menjadi buah? Saya membuat kesimpulan, sistem pendidikan ini bukanlah gagal sepenuhnya, cuma masih banyak ruang untuk diperbaiki.

Walaupun menyetujui pandangan beliau mengenai matlamat sistem pendidikan perlu diubah kerana memerangkap manusia dalam kancah super-materialistik dan menjadikan mereka hamba kapitalisme, tetapi saya sedikit berasa ragu dengan arah baru yang beliau sarankan – kerana ada kalanya kelihatan beliau agak bersimpang-siur memetik ahli-ahli falsafah tanpa kesimpulan yang jelas. Benar, kembali ‘memanusiakan manusia’ tetapi konsep manusia yang mana yang beliau mahukan? Sama ada beliau menyembunyikan matlamat akhir itu kerana sesuatu sebab, atau memang beliau sendiri masih belum meyakini pilihannya – itu hanya boleh dijawab oleh pengarang.

Saya percaya matlamat akhir pendidikan ialah untuk membuat manusia mengenal dirinya vis-a-vis Rabb Yang Agung, dan hasil pendidikan itu ialah seorang insan, yang berdasarkan ilmu yang diperolehinya, menjadi tidak zalim terhadap diri sendiri kerana mampu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Ini dapat dicapai apabila mereka benar2 memahami Pandangan Alam Islam, yang mana saya sendiri masih lagi bergelut mengutip ilmunya.

Saya juga agak kurang bersetuju dengan petikan yang beliau bawakan oleh Iqbal, yang saya rasa sudah berada agak di luar daripada konteks dunia hari ini. Sejak teguran Iqbal dibuat sehingga masa kini, saya berasakan bahawa sikap yang diberitahu Iqbal dalam Javid Namah, iaitu ‘cendekiawan Muslim… sebahagian besarnya tidak acuh terhadap pembinaan peribadi dan pendidikan umat – sehingga menyebabkan pemerintahan jatuh ke tangan orang tidak mempunyai ahli dalam bidangnya…. (dan seterusnya)’ sudah banyak perhatian yang diberikan cendekiawan Muslim dalam hal pembinaan peribadi dan pendidikan umat.

Sebagai salah seorang hasil didikan sistem pendidikan agama naungan ulama’ Kelantan, kami ditanamkan dengan tujuan belajar bukanlah untuk mengejar matlamat keduniaan tetapi lebih jauh daripada itu. Asas yang ditanamkan sejak awal ini, saya yakin mampu menjadi ubat kepada pelbagai cabaran lain yang mendatang.

Sistem pendidikan Islam seperti ini yang diperkenalkan daripada bawah dan menyeluruh (merangkumi semua aspek agama Islam), sudah menjadi semacam trend dalam dunia hari ini, tetapi perhatikan juga bagaimana di Turki, usaha Recep Tayyip Erdogan untuk menukar status lebih banyak sekolah kepada sekolah agama, pernah ditentang oleh rakyatnya sendiri. Begitu juga sistem pendidikan di negara kita, sudah banyak suara menyarankan kepada kerajaan supaya menukar sistem pendidikan sekular kepada sistem pendidikan Islam, tetapi belum sepenuhnya dapat dilakukan walaupun usaha ke arah itu nampak lebih giat. Usaha pendidikan inilah juga yang dilakukan oleh Hizmet, pertubuhan naungan Fethullah Gulen. Pengalaman saya sebagai pustakawan, mengerjakan dokumen2 Fazlur Rahman seorang sarjana besar, menunjukkan perhatian beliau yang besar dalam bidang pendidikan Islam meskipun beliau sendiri mempunyai sejarah kontroversi yang tersendiri dalam sesetengah bidang Islam yang lain.

Begitu juga apabila pengarang memetik dari Rumi, “Jika ilmu pengetahuan dan logika membuat orang semakin pandai dan cerdik, mengapa pada saat sama menimbulkan permusuhan.” Saya lebih suka mentafsir, bahawa apa yang diisyaratkan Rumi dalam ungkapannya yang ini, adalah hanya keimanan kepada tauhid dapat menyatukan hati-hati manusia, bukannya ilmu pengetahuan dan logika. Keimanan kepada tauhid tidak dapat dicapai melainkan melalui pendidikan agama yang tulen dan digembleng oleh pengajar yang mursyid. Keimanan kepada tauhid inilah juga yang akan membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia, kepada kehambaan kepada Allah Yang Maha Esa. Keimanan kepada tauhid juga akan menghalang lahirnya produk mahasiswa yang ‘robotik’, dan diprogramkan untuk menjadi hamba kapitalisme.

Apapun kelebihan pengarang yang utama, adalah keupayaan beliau mengesan isu yang begitu mengganjal dalam masyarakat hari ini, dan roh perjuangan beliau yang segera menggembleng tenaga golongan muda untuk turun menghidupkan TFTN.

Namun, saya lebih suka mengambil sikap menjadi pelengkap tanpa perlu menggunjing usaha-usaha yang telah dijalankan oleh orang terdahulu, yang telah memulakan usaha mereka sendiri mengikut kemampuan, daya usaha dan ruang lingkup mereka. Ramai antara mereka yang berjasa ini tidak lagi muda, dan zaman mereka telah berlalu atau mereka telah ditinggalkan oleh zaman – dan mungkin mereka gagal bereaksi terhadap zaman kini setangkas orang muda hari ini (diwakili oleh pengarang sendiri misalnya), sepertimana mereka mampu bereaksi terhadap zaman mereka dulu. Itulah yang saya lihat ada pada DBP (yang sudah dimakan usia, bukan DuBook Press), yang telah berusaha menghadirkan buku2 ilmiah sebelum ini ke dalam masyarakat – pada zaman kegemilangannya dari buku2 mereka saya belajar menggunakan bahasa, mencerna persoalan orientalisme, mengenal karya Imam al-Ghazzali dan Syed Ameer Ali.

Ini hanya secebis daripada pandangan saya yang baru belajar berkritis (maklum sudah tua, tak sekritis orang muda). Semoga ada manfaat.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com