Ulasan: Etika Belajar & Mengajar al-Qur’an (Imam al-Nawawi)
Judul: Etika Belajar & Mengajar al-Qur’an
Pengarang: Yahya bin Sharif al-Nawawi
Penerbit: Yamani Angle
Tahun terbit: 2010
Halaman: 148
———————————————
Buku ini penting sebagai alat muhasabah diri dan juga menetapkan kayu ukur yang harus kita pegang apabila berhubung dengan Al-Qur’an.
Imam al-Nawawi yang juga telah mengarang Arba’in al-Nawawiyah (Hadith 40: Terjemahan dan Sharahnya), mengarang buku ini untuk menyampaikan kepada kita adab-adab dengan Al-Qur’an – tidak kira sebagai pembaca, pelajar mahupun guru Al-Qur’an.
Bonus tambahan yang sangat bernilai, adalah sisipan artikel yang dihimpunkan oleh penyusun buku, Ahmad Asri Lubis mengenai kedudukan Al-Qur’an dalam hidup seorang Muslim.
Antara yang sangat menusuk dan mengesankan, adalah pesanan dan seruan yang diberikan oleh al-Syahid Syeikh Sa’id Ramadan al-Buti (insyaAllah Allah kurniakan kepada beliau syahid), ulama’ Syria yang telah meninggal dunia ketika sedang mengajarkan Islam di masjid kerana masjid itu dibom oleh pihak yang tidak dikenali.
Pilihan yang diberi oleh Rasulullah s.a.w. sebagai tempoh yang wajar untuk seseorang Muslim mengkhatam Al-Qur’an adalah 40 hari, paling maksimum. Pilihan lain adalah 30 hari, 20 hari, 15 hari, 10 hari atau 5 hari. Inilah amalan para salafussoleh.
Malah ada antara para salafussoleh yang meninggal dunia dahulu, pernah mengkhatam Al-Qur’an 18,000 kali dalam rumahnya. Apabila ditangisi oleh saudara/anak mereka di ambang maut, justeru mereka yang berusaha memberi ketenangan kepada yang bakal ditinggalkan dengan berkata bahawa mereka sudah mengkhatam sebanyak ini dan sebanyak itu.
Tangisan yang tercurah ketika membaca al-Qur’an, serta cara mereka mentadabbur makna al-Qur’an supaya menjadi penyembuh bagi hati, begitu asing kedengaran di kalangan penganut Islam pada zaman fitnah ini.
Jauhnya jarak Muslim dari Al-Qur’an, itulah yang sebenarnya menjadi punca kita tidak mendapat barakah yang dilimpahkan kepada orang-orang terdahulu. Sedangkan kita tertanya-tanya di manakah jalan keluar daripada kezaliman yang sedang mencengkam umat.
Buku ini benar-benar menginsafkan dan sangat sesuai dihadam menjelang Ramadhan 2015 yang tinggal lebih kurang dua bulan lebih sahaja lagi.
Mudah-mudahan Allah menautkan hati kita lebih erat dengan Al-Qur’an dan memberi kita kekuatan untuk mentadabbur ayat-ayatnya, seterusnya mencari guru yang mursyid yang dapat membimbing kita supaya lebih dapat memaknai hidup kita berlandaskan Al-Qur’an.
amin ya Rabb.. tulisan yang sangat informatif sekali, semoga bermanfaat bagi semua muslim.
Ria, terima kasih atas kunjungan dan doa harapan.
Assalam. Berapa harga buku ini?