Ulasan: Balai Maqamat (Mohd. Affandi Hassan)

balaimaqamatJUDUL: Balai Maqamat
PENGARANG: Mohd. Affandi Hassan
PENERBIT: ITBM
TAHUN: 2014

Sukar mengulas sebuah buku yang berada di luar jangkauan pemikiran dan intelek kita. Buku ini adalah salah satu daripada buku-buku seperti itu, mencabar pembaca kerdil dan kekurangan ilmu seperti saya. Apatah lagi pada akhir sekali, pengarang sempat ‘mengusik’ pembacanya, bagi mereka yang ingin menilai buku ini, harus sanggup lebih dulu menilai dan menyelami Gagasan Persuratan Baru, buku yang sudah lebih lima tahun berada dalam simpanan tetapi hanya sempat dibelek main-main.

Kekuatan pertama buku ini adalah bentuknya sendiri sebagai sebuah maqamat, percubaan tulen dari pengarang Melayu mengamalkan salah satu bentuk kesusasteraan Islam yang muncul pada zaman klasik Islam dahulu. Maqamat adalah jamak bagi perkataan Arab ‘maqama’ bermakna berdirinya seseorang dalam satu diskusi kesusasteraan/persuratan untuk menyampaikan sesuatu. Kali pertama dihasilkan oleh Badi’ al-Zaman al-Hamazani pada zaman Andalus, ia terus dikembangkan oleh ramai pengarang lain dengan kemuncaknya adalah karya dihasilkan al-Hariri.

Tradisi inilah yang cuba dihidangkan oleh buku ini, dalam bentuk maqamat Melayu yang pertama. Ia lebih merupakan suatu kritikan dan sindiran sosial terhadap masyarakat, berbeza dengan naratif biasa dalam novel berasaskan teknik Barat.

Mungkin kerana ia lahir dari teori yang berbeza, maka hasilnya juga merupakan sesuatu yang mampu memberi gugatan kepada pembaca dalam bentuk yang tidak kita temui dalam novel-novel biasa yang lebih menekankan keupayaan cerita dalam merangsang imaginasi dan emosi pembaca.

Kebanyakan maqamat yang ada bernada agak keras dalam teguran, namun dibangunkan dengan unsur satira yang menjentik intelek dan sifat humor kita sekaligus.

Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada maqamat ini, dan dalam bentuknya sebagai maqamat, mampu menonjolkan dengan jelas pemikiran pengarang dalam pelbagai hal semasa. Ini membuatkan kita terfikir, sejauh manakah bentuk pinggan yang kita pilih untuk menghidangkan sesuatu santapan, dapat mempengaruhi keseluruhan makna makan itu sendiri.

Boleh dikatakan semua cerita dikisahkan dengan begitu meyakinkan dan jujur, seperti Polan Cupan keturunan Pak Pandir, kisah mengenai peranan media dalam Wajah Warna, cerita Kampung Bahasa Inggeris dan banyak lagi.

Karya ini bagi saya sangat berjaya dan layak mendapat lima bintang, kerana ia bukan sahaja percubaan menampilkan Gagasan Persuratan Baru, tetapi berusaha memecahkan tembok kepercayaan kita terhadap kesusasteraan berteknikkan Barat. Ia membuat kita bertanyakan kembali mengenai banyak perkara yang selama ini kita pegang kejap dan terima bulat-bulat, sama ada mengenai ‘pinggan’, ‘makanan yang dihidangkan’, mahupun ‘hikmah makan’ itu sendiri.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

2 Responses

  1. Nampaknya puan mendahului saya dalam mengulas karya ini. 🙂

    Saya ikuti tulisan-tulisan beliau di blog, dan beberapa buku mengenai Gagasan Persuratan Baru. Cumanya saya kurang arif tentang apa itu maqamat, itulah yang menangguh hasrat saya untuk mengulas.

    • Najibah says:

      Tuan Muhammad Fakhruddin,

      Di sini banyak bahan berkenaan maqamat. Kalau berminat, saya boleh kongsikan beberapa rujukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com