Ulasan: Anugerah Cinta Paling Glamor (Raihan Abu Bakar)

anugerahcintaJUDUL: Anugerah Cinta Paling Glamour
PENGARANG: Raihan Abu Bakar
TAHUN: 2014
PENERBIT: 2 On Seven Management

Ketika meneliti judul novel ini kali pertama, anggapan yang bermain di fikiran adalah ‘satu lagi buku novel cinta pop’ sudah muncul di pasaran, memenuhi kehendak pembaca tanah air. Ternyata setelah membaca blurb dan bab-bab awal, anggapan ini meleset sama sekali. Malah buku ini sangat mengingatkan saya kepada buku Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur karya Pelita di dalam Kaca, kerana dikotomi yang dihidangkan. Negara Islam vs Negara Sekular. Komunikasi Media Islam vs Komunikasi Media seperti yang terhidang kepada kita sekarang.

Novel ini membawa kisah yang belum disentuh oleh mana-mana pengarang, menghidangkan pertembungan dua kelompok yang dominan di kampus-kampus seluruh negara – kelompok masjid/jemaah, dengan kelompok bukan masjid/bukan jemaah. Suatu hidangan penting yang sudah lama patut dinovelkan, akhirnya muncul hasil buah karya seorang ahli akademik dalam bidang Komunikasi Massa.

Bagi sesiapa yang pernah menjadi pelajar IPTA yang aktif dalam apa-apa persatuan dan aktiviti kampus, isu pertembungan ini adalah ‘real’ dan pada banyak ketikanya, mendera kedua-dua pihak dengan ego dan emosi masing-masing. Benar-benar seperti yang berlaku kepada Fazura dan rakan-rakan, serta geng masjid yang diwakili Ammar, Muaz, Iman Zahra dan lain-lain.

Kisah ini tidak asing ketika pilihan raya kampus misalnya apabila wakil pelajar dari kedua-dua golongan berusaha mendapatkan pengaruh, malahan ketika mengadakan program kecil-kecilan di kolej apabila beberapa orang kepimpinan pelajar perlu seia sekata menjayakan acara.

Dalam novel ini, pertembungan watak-watak utamanya dalam usaha menjayakan MAKSIS menyebabkan masing-masing menyoal diri mengenai fikrah dan pegangan, serta konsep dan amalan. Konflik dalaman yang tercetus dalam diri Fazura, Muaz dan Ammar ditonjolkan dengan begitu bersahaja, tetapi mengesankan. Peranan Puan Nesa pula menjadi penggerak atau orang tengah antara kedua-dua pihak ini.

Fazura sebagai anak seorang wakil media yang penting, mempunyai kaliber sebagai pemimpin dan pelajar senarai dekan yang penuh keyakinan, buat kali pertama merasakan dirinya tercabar oleh kumpulan masjid yang tidak popular seperti Muaz dan Ammar. Banyak persoalan baru yang timbul dalam benaknya apabila terpaksa menghadapi golongan ini.

Titipan dan petikan ilmu dan hikmah daripada beberapa pendakwah memberi masukan penting dalam hal-hal yang dipersoalkan oleh Fazura. Manakala kritikan terhadap pemahaman dan konsep amalan Islam seperti yang dilaksanakan oleh beberapa watak utama mahupun sampingan, sangat wajar menjadi renungan bagi para pendakwah atau mereka yang mendakwa diri mewakili masjid dan golongan berilmu.

Antara sela setiap cabaran yang dihadapi, setiap watak yang disuguhkan tetap memiliki titik-titik keraguan dan kelemahan di samping kelebihan yang ada. Ini adalah sebahagian daripada kekuatan novel ini, selain penggunaan bahasa yang lancar dan tidak meleret-leret sesuai untuk golongan pembaca remaja yang pastinya tidak akan dihampakan oleh novel ini.

Manakala dari segi tema yang diangkat mengenai Komunikasi Media dalam acuan Islam, menyerlahkan lagi konflik antara dua golongan pelajar ini dengan begitu baik. Ini kerana kepentingan bidang komunikasi itu sendiri dalam aspek dakwah dan juga kehidupan, serta luas kesan pengaruhnya. Di sebalik kepentingan ini, teori-teori komunikasi Islam masih belum dibincangkan secara meluas dan serius. Kita masih banyak bergantung kepada teori, konsep dan teknik komunikasi Barat. Buku ini berjaya membangkitkan isu yang sangat besar dan mencengkam dunia Islam sehingga hari ini.

Pendek kata, novel ini dengan konflik yang jarang diperkatakan, dan tema yang belum pernah diangkat, berjaya menghidangkan kisah yang mantap, menyentuh hati dan mengajak minda berfikir.

Watak utamanya Fazura, berjaya mengharungi sebuah pencarian diri menuju ketenangan yang lebih sempurna. Begitu juga Muaz dan Ammar, mencapai suatu bentuk pemahaman baru mengenai cabaran yang perlu dihadapi oleh pendakwah, hasil daripada konflik yang telah berlaku.

Mereka yang pernah turun ke lapangan serta biasa melalui keadaan bertemu buku dan ruas, akan berasa puas membaca buku ini – kerana mereka pasti menemui sesuatu. Sama ada ia sebuah perenungan terhadap pengalaman masa lalu, atau relevan dengan apa yang sedang dilalui oleh pembaca, novel ini pasti akan meninggalkan kesan yang bukan sedikit dalam arena pembacaan peribadi.

Para pembaca pasti akan bertanya diri sendiri, adakah ‘Anugerah Cinta Paling Glamor’ menjadi penting bagi kita, sepertimana yang ingin diraih oleh Fazura.

Mereka yang berminat untuk dapatkan buku ini boleh hubungi/Whatsapp Puan Raihan Abu Bakar di talian 03-2490425.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

1 Response

  1. raihan says:

    Assalamualaikum. Mereka yang berminat untuk dapatkan buku ini boleh hubungi/whatsaap Raihan Abu Bakar di talian 032490425.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com