Sumbangan abadi kolektor buku

koleksi buku lamaCuba kita bayangkan, menurut Gabriel Zaid dalam bukunya So Many Books, secara kumulatif dari kurun ke-15 sehingga kini, dunia sudah menghasilkan 52 juta judul buku! Ini adalah judul yang direkodkan, bagaimana dengan yang diterbitkan secara kecil-kecilan, bebas, tidak terakam dalam sejarah?

Siapa yang punya kesanggupan untuk mengumpul keseluruhannya, walaupun dia seorang yang menyukai genre apapun, asal berbentuk buku? Apatah lagi dengan segala kesibukan dunia hari ini; terlalu berbeza dengan waktu Socrates dan Phaedrus boleh berjalan santai di belahan dunia Greek, dan berdiskusi mengenai falsafah cinta. Masa sudah tidak simpati dengan minat pertama kebanyakan pengumpul buku, iaitu membaca; apatah lagi menjadi pemburu buku yang ekstensif mengumpul puluhan ribu buku! Dan kita juga harus melihat realiti kewangan dan ruang, selain masa.

Oleh sebab terhadnya kemampuan kita untuk mengumpul segala-galanya, mengumpul buku dengan menetapkan fokus berdasar minat peribadi menjadi sesuatu yang terpuji. Mengumpul dengan cara ini dapat memberi nilai tambah kepada koleksi. Katakan saja, koleksi kita berfokus kepada buku-buku mengenai laut dalam. Buku-buku berkaitan laut adalah antara buku yang relatif mahal, sudah tentu pertama kerana permintaannya tidak setinggi fiksyen biasa, ditambah kesukaran menghampiri dunia laut itu sendiri, yang bukan calang-calang peneroka mahu dan mampu menggelutinya. Lalu jarang jugalah terhasil karya-karya bersangkutan.

Katakan di Malaysia, kita sahajalah yang punya koleksi buku laut dalam yang menyeluruh itu; yang kita kumpul bertahun-tahun, berdikit-dikit. Dari dalam negara, kita mencuba segala macam cara untuk mengumpulnya dengan membeli dari beberapa kedai buku dan pembekal. Kemudian kita berusaha pula membeli dari luar negara demi mendapatkan buku-buku nadir yang sukar didapati.

Dengan pengumpulan berfokus ini, kita sebenarnya telah berjaya membina khazanah yang bukan semua orang sanggup melakukannya; apatah lagi berkorban masa dan wang paling utama. Koleksi ini kian lama akan mempunyai nilai makin besar, malah mungkin suatu waktu, dapat dibuka kepada orang awam, untuk membantu mereka dalam penyelidikan dan mencerahkan pengetahuan mereka.

Begitu juga jika kita mempunyai kesanggupan mengumpul buku dalam bidang-bidang yang lain. Bagi Muslim terutamanya, terlalu banyak cabang ilmu Islam untuk diteroka sebagai sumbangan keilmuan. Petikan daripada buku Rihlah Ilmiah: dari Neomodernisme ke Islamisasi Ilmu Kontemporer karya Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud mengingatkan kita kepentingan ini:

Keadaan universiti-universiti di negara-negara Islam yang mengajar agama dan tamadun Islam telah menjadi amat lemah kerana ketiadaan koleksi perpustakaan yang lengkap….

Menurut buku Library: An Illustrated History, karya Murray dan Davis, salah satu sebab perpustakaan-perpustakaan Islam berkembang pesat dalam lipatan sejarah adalah kerana tradisi wakaf dalam agama Islam. Menjadi tradisi para ilmuwan dan orang berharta mewakafkan buku mereka untuk kegunaan awam di masjid-masjid dan pusat pengajian supaya manfaatnya lebih meluas. Setelah kemampuan ekonomi kita semakin teguh, alangkah baiknya jika tradisi ini dapat kita sambung pula.

Dengan wujudnya pengumpul yang memiliki koleksi-koleksi yang berfokus ini, tidak mustahil kemudiannya pusat-pusat pengajian akan membeli dan menguruskan koleksi itu pada masa hadapan. Terlalu banyak koleksi dapat dibangunkan; misalnya koleksi karya mengenai Rasulullah SAW, koleksi mengenai institusi pondok di Nusantara, koleksi karya tabaqat (biografikal Islam), koleksi sejarah Mekah dan Madinah, serta banyak lagi cabang ilmu Islam yang lain.

Budaya mengumpul buku secara berfokus ini telah menjadi sebahagian budaya ilmu dan budaya buku dalam peradaban Barat. Malah perpustakaan universiti-universiti terawal di sana, dibangunkan dengan sumbangan koleksi dari para bangsawan dan ilmuan yang budiman. Dalam bukunya Editions and Impressions, Nicholas Basbanes bercerita mengenai bagaimana pengumpul-pengumpul buku membangunkan koleksi mereka, sehingga akhirnya disumbangkan ke pusat-pusat pengajian.

Pengumpul buku yang menginspirasikan antaranya adalah Matthew Bruccoli, peminat F. Scott Fitzgerald yang telah mengumpul kira-kira 3000 buku dan 11,000 dokumen lain mengenai pengarang The Great Gatsby itu. Koleksi yang dihimpunnya sejak masih bergelar pelajar Yale itu kini dimiliki oleh Universiti South Carolina yang membelinya pada separuh harga pasaran iaitu hampir dua juta dolar. Kesungguhan sikapnya sebagai pengumpul terbukti apabila beliau sanggup menulis surat kepada semua pelajar Princeton sezaman dengan Fitzgerald yang masih hidup untuk menjejak bahan-bahan produksinya sewaktu di sana. Skop koleksi ini kini penting bagi penyelidik dalam bidang kesusasteraan Amerika.

Seorang lagi pengumpul buku yang berwibawa adalah seorang pakar masakan bernama Louis Szathmary kelahiran Hungary yang kemudiannya mencipta nama di Amerika Syarikat. Sebanyak 16 treler-traktor buku berkaitan dunia kulinari telah beliau hadiahkan kepada Universiti Johnson & Wales, institusi pengajian terbesar dalam bidang pemakanan dan industri perkhidmatan. Koleksi itu kini dikenali sebagai Koleksi Seni Kulinari Szathmary. Beliau juga telah menghadiahkan sebanyak 22,000 buku masakan nadir kepada Universiti Iowa. Antara yang telah disunting dan diterbit semula oleh Penerbit Universiti Iowa, The Khwan Niamut, atau Nawab’s Domestic Cookery, memuatkan resipi Parsi berasal dari kediaman Qasim Uli Khan yang pertama kali terbit di Kalkuta pada 1839.

Manakala seorang pengarah perpustakaan dan penterjemah di Perpustakaan Lilly, Universiti Indiana pula mengumpul kamus terbitan pertama bagi setiap bahasa minoriti bukan Eropah yang masih lagi digunakan atau hidup. Broen Mitchell bercadang untuk menerbitkan sebuah bibliografi untuk koleksinya yang kini berjumlah sekitar 2,000 buah. Beberapa kamus bahasa eksotik yang menarik dalam koleksi beliau adalah kamus bahasa Zulu yang terbit pada tahun 1861 dan kamus bahasa Inuit (bahasa orang Eskimo) terbitan 1804.

Jika pengumpul seorang yang kreatif, bahan buruan sebenarnya tidak terhad kepada buku tetapi boleh jadi nota muzik antik seperti yang dilakukan Minor Myers Jr. yang mengumpul bahan-bahan seperti itu dari era kurun ke-18. Ada juga pengumpul seperti Michael Zinman yang menjadikan risalah, lembar naskah balada, almanak, jurnal, writ, kontrak dan efemera lain dari kurun ke-17 dan ke-18 sebagai bahan koleksi. Bahan-bahan ini akhirnya dibeli melalui pakej belian hadiah oleh Library Company of Philadelphia pada tahun 2000 dengan nilai harga lapan juta dolar.

Semakin lama kita terlibat dengan buku, kita semakin tahu, bidang mana yang paling menggamit kita membaca dan membeli buku. Bidang mana yang paling kita senangi dan tidak terlepas dari perhatian setiap waktu. Setelah kita benar-benar yakin itulah makan dan minum jiwa, mungkin kita patut memulakan koleksi khusus mengenainya. Kalau kita tidak dapat menyumbang kepada dunia keilmuan dengan menjadi ulama’, ilmuan mahupun pengarang, inilah satu bentuk sumbangan abadi yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat secara berpanjangan. Inilah salah satu ranah amal jariah yang didambakan.

Seperti kata Henry E. Huntington (1850-1927) seorang taikun kereta api Amerika, “Manusia hidup dan mati silih berganti, tetapi buku tetap wujud selama-lamanya. Memiliki sebuah perpustakaan yang baik adalah satu cara paling tepat dan mudah untuk beroleh keabadian”.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

1 Response

  1. L says:

    “Dan kita juga harus melihat realiti kewangan dan ruang, selain masa”

    Ini sesuatu yang harus di akui oleh saya sendiri. Sewaktu belajar di universiti dulu, hampir separuh belanja yang di beri bapa akan saya habiskan dengan membeli buku. Sekarang, oleh kerana saya berdegil untuk menjadi petani (yang kini habis anak benih di sapu bersih banjir), kewangan menjadi betul-betul terikat.

    Hujan tidak henti-henti tidak memungkinkan hasil yang baik dapat diperoleh. Harga getah sekilo hanya RM 1.20. Walaupun saya tidak menanggung sesiapa, duit poket yang ada hanya cukup untuk makan pakai yang berdikit-dikit. Namun saya tetap setia membeli buku (tanpa mengganti kasut & baju yang teramat lusuh hingga kadang-kadang saya sendiri malu memakainya).

    Tapi saya rasa buku lebih penting dari baju dan kasut. Tinggal di kawasan pendalaman langsung tak ada kedai buku. Hendak ke bandar sekurang-kurangnya memerlukan RM 100 pergi-balik perjalanan. Di tempat saya, buku-buku berbahasa Inggeris memang tidak akan kelihatan. Saya akan beli secara online. Perpustakaan tak ada buku. Tak pernah berganti buku baru.

    Sungguhpun saya tidak begitu mewah (pendapatan hanya RM 300 sebulan) saya tetap berasa gembira setiap kali dapat beli buku baru. Bila tengok orang lain beli banyak buku, saya cemburu dan berazam akan bekerja lebih kuat lagi untuk dapatkan lebih banyak duit untuk beli buku. Pendek kata saya bekerja untuk beli buku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com