Membaca dan penyuburan akal budi

shiny brainMembaca itu modalnya usia, kerana ia satu aktiviti yang menguras masa. Membaca itu juga menggunakan tenaga tiga kali ganda lebih besar dari keseluruhan tenaga yang digunakan oleh badan. Otak memainkan peranan penting ketika kita membaca dan inilah tenaga minimum yang diperlukan otak untuk berfungsi. Aktiviti membaca mempunyai nilai yang tinggi kerana modalnya juga tinggi.

Dengan tingginya nilai aktiviti membaca itu sendiri, pendekatan terbaik mengenai tujuan membaca bagi saya adalah saranan yang dikemukakan oleh Mortimer J. Adler, penyunting Ensiklopedia Britannica dalam bukunya How to Read a Book. Sebuah buku klasik yang menjadi silibus tutorial kelas tuisyen sekitar bandar ilmu Oxford, buku ini juga sangat dipandang tinggi oleh Sheikh Hamza Yusuf, seorang tokoh sarjana Islam Amerika Syarikat yang membincangkan isinya dalam kuliah yang boleh diakses di YouTube.

Menurut Adler, tujuan membaca adalah sama ada untuk menambah maklumat ataupun menyuburkan akal budi. Apakah itu akal dan apa pula budi? Akal memberi kita upaya untuk mentafsir maklumat dengan bijaksana dan hikmah agar beroleh pemahaman dan pencerahan mengenai hakikat sesuatu, manakala budi mempunyai makna yang halus dan mendalam dalam psikologi Melayu, malah dikaitkan juga dengan peranan hati dan akhlaq. Menurut Prof. Dr. Kamal Hasan ketika kuliah eksekutifnya di ISTAC, dalam pandangan dunia Islam akal dan hati mempunyai ikatan yang tidak boleh dipisahkan dan saling mempengaruhi, bukan semata-mata dua organ yang berada di kepala dan di dalam dada.

Memang tidak menghairankan bagi pembaca yang baru mula membaca (biasanya di peringkat kanak-kanak dan awal remaja), untuk melakukan aktiviti membaca kerana berasa terhibur atau menambah maklumat yang berguna. Tetapi jika berterusan dalam keadaan ini tanpa berganjak, kita seumpama mundur ke belakang daripada ketinggian nilai aktiviti membaca itu sendiri. Malah menurut Adler, ada kalanya limpahan maklumat itu boleh menghalang kita memahami sesuatu dengan jelas. Kita selalu menyangka mempunyai banyak maklumat itu penting untuk menyuburkan akal budi, tetapi kata Adler memiliki maklumat bukanlah syarat utama. Kita tidak perlu mengetahui semua perkara sebelum kita dapat memahami sesuatu.

Saya percaya setiap pembaca wajar mengalami peningkatan dalam tujuan membaca sesuai dengan kematangan usia. Jika kita mula membaca sejak umur lima tahun, adakah sehingga usia 30 atau 40 tahun, kita masih membaca semata-mata untuk hiburan dan maklumat, lalu enggan mencabar diri untuk meninggikan akal budi? Sudah sepatutnya pemilihan buku sedikit mencabar pengetahuan dan pemahaman supaya diri tidak berada di takuk sama dan beku dari sudut pemikiran.

Oleh itu, pemilihan bahan bacaan perlu dinilai daripada sudut pencerahan atau pemahaman baru mengenai hal-hal yang mempengaruhi hidup kita. Kita harus mencari buku-buku yang mampu menyodorkan kebijaksanaan dalam mentafsir hakikat kehidupan. Ada banyak buku yang didakwa membawa pembaharuan, tetapi apa yang baharu hanyalah dari segi bentuk penyampaian atau persembahan gaya baru, sedangkan hal yang diangkat tetap berkisar persoalan sama tanpa memberi sebarang jalan penyelesaian.

Sesuai dengan ketinggian nilai aktiviti membaca itu sendiri, kita perlu berusaha agar usia dan tenaga kita dimanfaatkan untuk menghadam buku-buku terpilih yang diakui dapat menyuburkan akal budi. Sesekali membaca untuk hiburan tidak ada salahnya, tetapi andai terperangkap dalam lohong berhibur itu tanpa batasan, dikhuatiri kita sedang ‘menikmati’ kerugian tanpa kita sedari.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com