Catatan Temu Santai 3 (TS3)

18 Oktober, Perpustakaan Raja Tun Uda, Temu Santai 3 anjuran Goodreads Malaysia

19 Oktober, Perpustakaan Raja Tun Uda, Temu Santai 3 anjuran Goodreads Malaysia

Pada hari Ahad 19 Oktober yang lepas, Goodreads Malaysia telah menganjurkan Temu Santai 3 di Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam. Turut sudi menyerikan sesi kami, adalah YM Raja Ahmad Aminullah, penggiat seni dan budaya yang tidak perlu diperkenalkan lagi di Malaysia.

Di bawah adalah sedikit catatan ringkas mengenai isi pertemuan dua jam tempoh hari.

Mengenai Maraton Membaca Malaysia

Maraton Membaca Malaysia adalah usaha tahunan Goodreads Malaysia merekod jumlah tahunan buku yang dibaca oleh ahli-ahlinya sejak 2009. Ketika isu mengenai kuantiti membaca ini timbul dalam TS3, ada yang menyentuh mengenai kualiti buku yang dibaca. Diakui, kalau diperhatikan jenis buku yang dibaca oleh juara baca Goodreads Malaysia yang mencecah dua ratusan hingga tiga ratusan setahun, kebanyakannya buku popular dan bukan buku bercorak pemikiran.

Namun, YM Raja Ahmad Aminullah kelihatan diam mendengar, kemudian berkata bahawa cukup bagus kalau ada usaha ke arah perlumbaan membaca seperti itu, tidak kira apa jenis bahan bacaan sekalipun. Mudah-mudahan nanti akan ada peningkatan kualiti bahan yang dibaca.

Mengenai mengulas buku-buku yang baik

Puan Nor Azzah, Timbalan Ketua Pustakawan Perpustakaan USIM, menyentuh pengalamannya menyarankan buku-buku yang baik kepada siswa-siswi. Ujarnya, dalam banyak keadaan buku-buku yang baik ini tidak dibaca kerana tidak diketahui kewujudannya. Apabila judul-judul buku yang baik ini disebut secara tidak langsung dalam program-program anjuran perpustakaan, kadar pinjaman judul-judul itu meningkat naik. Ini menunjukkan para pencinta buku perlu menarik pembaca baru ke arah buku-buku yang bagus dengan cara menyebarkan kewujudannya kepada orang lain.

Mengenai sikap elitis kumpulan pembaca

YM Raja Ahmad Aminullah ada berpesan supaya mengelakkan sikap elitis dalam kumpulan pembaca. Beliau menyarankan supaya ahli Goodreads Malaysia turut turun menjenguk aktiviti pihak lain berkaitan budaya buku misalnya Kolumpo Kita Punya (Kuala Lumpur Writers and Readers Festival). Katanya, beliau sendiri turut menghadiri acara mereka dan membeli beberapa buah buku yang dijual.

Secara peribadi, saya sebenarnya memerhati dari jauh dan mengekori kewujudan mereka melalui laman-laman sosial kerana budaya buku memang di bawah radar minat, tetapi sampai sekarang belum berasa ada desakan dan alasan kuat untuk hadir ke acara mereka. Tetapi saya percaya ada ahli Goodreads Malaysia yang sememangnya mengikuti perkembangan mereka secara dekat.

Mengenai cara kumpulan pembaca lain beraktiviti buku

Saudara Wasif Wan, salah seorang yang hadir, pernah menjalankan program kem buku di bawah anjuran Jaringan Anak Muda. Sesuatu yang menarik bagi saya, kerana mereka bermalam bersama-sama untuk membaca buku-buku berkualiti dan kemudian saling mengupas isi buku sesama mereka.

Saudara Tofan pula, dari Bandung Indonesia, memilih bergabung dengan kumpulan diskusi buku dan filem di tempatnya. Menurutnya di Bandung, yang terkenal sebagai kota pengajian dan ilmu, malah lebih padat penduduknya, sukar untuk diketemukan anak-anak muda yang benar-benar gigih membaca dan cinta buku. Maka ini fenomena sama di mana-mana kota.

 Mengenai kadar membaca rakyat Malaysia

YM Raja Ahmad Aminullah bertanya kepada kami, bolehkah dipercayai data kadar membaca rakyat Malaysia yang begitu rendah? Ini kerana sepanjang pengalamannya,  beliau menemui ramai anak muda yang membaca banyak buku.

Bagi Juliana Es, statistik yang rendah itu tidak perlu pun terlalu diungkit. Malah menurut Saniah, ahli Goodreads Malaysia, data ini termomok sampai ke Indonesia apabila ada ahli Goodreads dari Indonesia pernah bertanya kepadanya benarkah rakyat Malaysia hanya membaca sekian banyak buku setahun?

Goodreads Malaysia ingin menyebarkan statistik yang lebih optimistik – purata membaca kami sehingga bulan Oktober 2014 berada pada kadar 40 buah setahun 🙂

Mengenai buku terbitan jabatan kerajaan

Penerbitan kerajaan masih belum menjalankan pemasaran dengan berkesan, menurut YM Raja Ahmad Aminullah. Buku-buku terbitan jabatan kerajaan yang bagus dan bermutu, tersadai dalam stor dan pejabat kerajaan tanpa sampai kepada pembaca. Ini benar, kerana PNM sendiri menerbitkan banyak buku yang bagus, tetapi tidak diketahui kewujudannya oleh orang luar. Saya pernah merasai betapa sukarnya untuk mendapatkan terbitan PNM, padahal buku itu sangat bermutu dan dikarang oleh pensyarah yang mendalami sejarah perbukuan negara.

***************

Catatan ini terutamanya untuk renungan diri sendiri, mudah-mudahan juga bermanfaat kepada pembaca lain.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com