Ulasan buku: Bagaimana menulis dan menterjemah buku agama?

photo

Judul: Bagaimana menulis dan menterjemah buku-buku keIslaman bermutu?
Pengarang: ‘Abdullah al-Qari b. Hj Salleh (AQHAS)
Penerbit: Al-Hidayah
Tahun: 2006
Harga: RM25.00

‘Abdullah al-Qari b. Hj. Salleh bukanlah nama yang asing dalam dunia kepengarangan Islam tanah air. Beliau yang berasal daripada Kelantan, sempat berkelana menadah ilmu daripada kalangan orang alim di Kelantan termasuk anak-anak murid Tok Kenali.

Beliau pernah mendapat anugerah tokoh Ma’ al-Hijrah Kebangsaan serta dinobatkan sebagai tokoh buku dan tokoh guru negeri Kelantan.

Buku beliau ini merupakan salah satu daripada ratusan karyanya dalam bidang aqidah, fiqh al-sunnah, tasawwuf, ulum al-Qur’an dan ‘ulum al-Hadith, dakwah, sejarah dan sirah, politik, pendidikan, ekonomi, sastera dan perkamusan.

Oleh sebab buku ini khusus untuk kepengarangan Islam, maka penekanan utama yang ditonjolkan buku ini, bukanlah daripada sudut teknik seperti kebanyakan buku panduan menulis yang lain.

Seawal bahagian pertama, penjelasan yang tuntas diberikan mengenai sejarah, dorongan dan galakan menulis dalam Islam. Ini diikuti dengan sifat dan syarat untuk menjadi pengarang Muslim yang berwibawa.

Selain itu sifat-sifat sampingan seorang pengarang turut dibincangkan, seperti menghafal al-Qur’an, berakhlaq mulia, beramal dengan ilmu dan sentiasa berhubungan dengan Allah SWT, selain memiliki kepandaian menggunakan teknologi.

Penulis buku ini banyak mengutip hasil pengalamannya yang panjang dan luas sebagai pengarang apabila menghuraikan mengenai teknik menulis dan mencari rujukan, teknik membaca, pemilihan kata dan fakta, serta membentuk suasana kondusif untuk menulis.

Salah satu topik menarik yang diketengahkan Ustaz ‘Abdullah al-Qari dalam buku ini adalah bagaimana pengarang boleh mengenal ilham, memperolehnya dan persoalan mengenai adakah ilham boleh digunakan sebagai hukum.

Bahagian yang tidak kurang penting juga, adalah mengenai teknik penterjemahan dalam Bahasa Arab yang sukar ditemui dalam mana-mana buku panduan mengarang lain yang berbahasa Melayu.

Ustaz ‘Abdullah turut menyentuh hal kesilapan seorang penulis dalam berkarya, sesuatu yang sudah tentu mana-mana pengarang pun tidak akan dapat melepaskan diri. Beliau merujuk kepada sikap mulia Imam Shafi’i sebagai contoh yang patut diteladani.

Satu bonus lagi dalam buku ini, adalah beberapa pandangan pengarang dalam hal-hal berkaitan dunia kepengarangan seperti isu royalti, pengorbanan, perpustakaan, penjagaan kesihatan (terutama mata, aset penting seorang pengarang), penjagaan masa, hubungan dengan pembaca dan penerbitan buku sendiri.

Selain daripada dunia kepengarangan secara am, buku ini turut memuatkan bibliografi pengarang (senarai buku yang dikarangnya) yang mencapai ratusan buah. Bahagian akhir sekali merakamkan sebahagian kisah peribadi Ustaz ‘Abdullah al-Qari melalui surat-suratnya ketika berutusan dengan pengarang Islam lain serta daripada pelbagai pihak yang memerlukan khidmatnya.

Namun tidak dapat dinafikan, buku ini memiliki kekurangan yang agak besar daripada segi susun atur penerbitan, apabila bahagian isi kandungan tidak menyertakan halaman buku untuk memudahkan rujukan. Mungkin bagi penerbit, tidak penting manikam digilap sehingga bersinar dan sedap dipandang mata, selagi boleh dicam oleh sang jauhari yang memburunya. Apatah lagi buku-buku oleh pengarang besar seperti Ustaz ‘Abdullah al-Qari, pasti ada penggemar tegar tersendiri.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com