Tip membaca buku sukar

How to Read a Book[Terjemahan dan adaptasi daripada buku How to Read a Book oleh Mortimer J. Adler]

Semua orang pasti pernah melalui pengalaman bertemu dengan bahan bacaan yang sukar, sehingga merangkak-rangkak membacanya, sedangkan apa yang diharapkan adalah sebuah pembacaan yang memberi pencerahan.

Ramai yang menghadapi keadaan seperti ini membuat telahan bahawa mereka telah tersilap memilih buku. Sebenarnya bukan demikian.

Puncanya, kita terlalu mengharap sesuatu yang mustahil dicapai ketika kali pertama membaca buku-buku yang sukar. Sekiranya kena caranya, tiada buku yang disasarkan kepada pembaca umum, tidak kira sebagaimana sukar pun patut menjadi penyebab kepada terhentinya membaca.

Lalu, bagaimanakah cara atau pendekatan yang sepatutnya? Ada satu peraturan umum mengenai membaca yang ramai tidak tahu. Asasnya sangat mudah: Ketika membaca buku yang sukar untuk kali pertama, baca terus tanpa berhenti untuk meneliti atau mencari penyelesaian kepada perkara yang kita tidak tahu dalam buku itu. Ini dinamakan oleh Mortimer J. Adler dalam bukunya How to Read a Book sebagai salah satu daripada teknik inspectional reading (terbahagi kepada dua, skimming dan superficial reading).

Tinggalkan dulu nota kaki, komentar dan rujukan yang tidak difahami atau tidak pernah didengari. Kalau kita benarkan diri kita terganggu oleh perkara-perkara ini, kita akan terperangkap dan gagal menamatkan pembacaan.

Tumpukan sahaja pada perkara-perkara yang kita rasa jelas dan faham. Ini boleh memberi momentum kepada kita untuk meneruskan pembacaan hingga ke baris terakhir.

Dalam kebanyakan kes, kita tidak akan dapat mencari jawapan kepada perkara yang kita tidak tahu ketika membaca, dengan tersekat di tempat sama. Kita akan mempunyai peluang untuk faham dengan lebih jelas ketika membaca ulang. Ini bermakna kita perlu menghabiskan bacaan untuk kali pertama.

Kalau kita faham separuh sahaja daripada apa yang kita baca kali pertama, itupun sudah cukup bagus. Ini dapat membantu sewaktu kita membaca sekali lagi pada tempat yang sukar dan kita tidak faham. Kalaupun kita tidak pernah berkesempatan untuk membacanya pada kali kedua, bukankah memahami 50% daripada buku itu lebih baik daripada tidak memahaminya langsung kerana kita telah berhenti membaca seawal perenggan pertama lagi?

Kebanyakan kita diajar untuk menumpukan perhatian kepada perkara yang kita tidak faham. Kita diajar untuk merujuk kamus apabila bertemu perkataan yang kita tidak tahu makna. Kita diajar untuk merujuk ensiklopedia. Kita disuruh merujuk nota kaki, komentar sarjana, dan sumber-sumber tambahan lain. Tetapi sekiranya kita melakukan ini tidak kena pada masanya, ini hanya membantutkan pembacaan, bukannya membantu.

Keseronokan membaca Shakespeare misalnya, telah hilang dari satu generasi ke satu generasi kerana para pelajar telah dipaksa untuk memahami satu demi satu babak dalam drama Julius Caesar, As You Like It atau Hamlet. Mereka diajar untuk melihat glosari dan segala nota kaki akademik. Oleh sebab itu, mereka gagal menikmati Shakespeare. Sebaik sahaja sampai ke hujung kisah, mereka sudah lupa babak awalnya, dan tidak berjaya melihat keindahan drama itu secara keseluruhan. Cara yang betul, para pelajar sepatutnya disuruh membaca seluruh kisah itu secara cepat dalam sekali harung, kemudian berbincang mengenai apa yang dapat mereka faham. Hanya selepas itulah mereka wajar disuruh membedah drama itu babak demi babak, kerana mereka telah pun memahami kisah itu secara asas.

Begitu juga dalam hal membaca karya-karya yang melibatkan teori-teori, membincangkan bukti-bukti dan informasi. Contohnya kalau kita ingin membaca buku Adam Smith, The Wealth of Nations. Jika kita menumpukan hal-hal kecil yang disebutkan Adam Smith dalam bukunya, kita mungkin akan terabai perkara-perkara dasar yang mudah difahami seperti faktor gaji, kos sewa, keuntungan dan bunga yang perlu dikira sebagai kos; peranan pasaran dalam penentuan harga, keburukan monopoli dan sebab-sebab pasaran bebas perlu diamalkan.

Pendek kata, jika kita gagal membaca secara inspectional, kita akan terlepas pandang hutan yang luas di depan mata, kerana terhalang oleh sikap suka meninjau sekadar dua tiga batang pokok sahaja.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com