Sheikh Hamza Yusuf di IKIM.fm

"Hamza Yusuf 2010 Doha" by Omar Chatriwala from Doha, Qatar - Sheikh Hamza Yusuf. Licensed under Creative Commons Attribution 2.0 via Wikimedia Commons - http://commons.wikimedia.org/wiki/File:Hamza_Yusuf_2010_Doha.jpg#mediaviewer/File:Hamza_Yusuf_2010_Doha.jpg

Hamza Yusuf 2010 Doha” by Omar Chatriwala from Doha, Qatar – Sheikh Hamza Yusuf. Licensed under CC BY 2.0 via Wikimedia Commons.

Sebuah buku yang sangat saya suka ditulis pengantarnya oleh Sheikh Hamza Yusuf. Manakala video Sheikh Hamza yang mula-mula sekali saya tonton adalah videonya yang mengupas mengenai How to Read a Book (tonton di YouTube). Beliau banyak mengambil ilmu Islam daripada ulama’ tanah Arab selepas menganut Islam pada usia 18 tahun. Pengasas Kolej Zaytuna ini merupakan salah seorang sarjana Islam yang berpengaruh di Amerika Syarikat.

Sayang sungguh, semalam saya cuma berpeluang mendengar beliau di radio walaupun tahu beliau singgah di Putrajaya, UiTM dan CASIS. Pagi ini beliau sudah berlepas pulang ke tanah airnya.

Catatan ini sekadar mengutip sisa-sisa ingatan saya semalam, mengenai pesanan beliau ketika sesi soal-jawab dengan DJ IKIM. Saya harap ada kesinambungannya di Berita Harian kolum IKIM. Sekiranya ada kesilapan atau salah faham saya, mohon dibetulkan kerana catatan di bawah hanya dari memori ketika memandu.

  1. Ketika ditanya bagaimana untuk mencapai tahap ilmu seperti beliau, beliau menjawab dirinya sendiri masih seorang pelajar, bukan sarjana. Katanya kalau benar-benar ingin mencapai taraf keilmuan yang tinggi, pendidikan Islam yang melibatkan hafalan itu harus bermula dari zaman kanak-kanak hingga remaja (beliau menyebut usia 7-18 tahun). Apabila terlepas waktu yang penting itu, sudah sukar sekali untuk menyamai kemampuan kanak-kanak dalam mengingat. Salah satu tabiatnya yang dia sebutkan adalah suka membaca kamus. Itu juga pesanan beliau kepada penuntut Zaytuna.
  2. DJ menyampaikan satu soalan pendengar kepadanya mengenai cara dan tip mendidik anak. Jawab beliau salah satu yang perlu diambil perhatian adalah televisyen (TV). TV boleh dianggap pintu kemasukan iblis ke dalam rumah tangga Muslim. Elakkan broadcasting TV, katanya. Beliau sangat menitikberatkan kawalan ke atas tontonan anak-anak. Anak-anaknya homeschooled, malah di rumahnya satu ketika dulu tiada TV. Cuma apabila beliau lihat anak-anaknya pernah ke rumah jiran untuk menonton TV, beliau sediakan TV di rumah dengan mengawal apa yang patut dan tidak patut ditonton. Usahakan mencari program-program TV yang Islami untuk tontonan mereka. Beliau menceritakan, banyak kelompok di Barat sudah menolak budaya ada TV di rumah. Golongan Amish contohnya mengambil sikap menolak. Jadi Muslim tidak harus berasa sendirian dalam hal ini.
  3. Beliau menceritakan juga mengenai hadis di bawah:

    Rujukan hadis di http://sunnah.com

    Menurut beliau, soalan yang ditanyakan kepada beliau mengenai cara pendidikan anak-anak itu soalan yang sangat baik, kerana ada manfaat dalam sudut praktikalnya. Beliau menceritakan salah seorang gurunya ada bercerita satu kisah. Ketika seorang guru mengajarkan mengenai aqidah, guru dan murid-murid itu dapat faham (saya: kerana guru dan murid sama-sama perlu beramal dengannya). Ketika guru itu mengajarkan mengenai ilmu kekeluargaan,  hanya guru itu yang faham manakala murid-muridnya tidak (saya: kerana hanya guru sahaja yang sudah berkahwin, murid-muridnya belum). Kemudian guru itu mengajar mengenai mu’amalah atau fiqh mengenai perniagaan, guru dan murid sama-sama tidak faham (saya: kerana guru dan murid-murid tidak terlibat secara langsung dalam perniagaan).

  4. Beliau memberi peringatan mengenai zaman fitnah, dengan menyebut sebuah hadis (yang saya belum berjaya cari matannya) bahawa zaman fitnah itu tiba apabila wujud tiga golongan manusia: pembawa berita, pencari berita dan penyebar berita. Inilah zaman itu, kata beliau. Lihatlah Internet sekarang, kebanyakannya digunakan untuk fungsi-fungsi menyampaikan berita, mencari berita dan menyebarkannya.
  5. Mengenai pembaharuan dalam agama, beliau mengatakan dalam mazhab Maliki berpegang dengan peraturan ini; sekiranya di sesebuah tempat sudah terdapat sekelompok Muslim mengamalkan sesuatu amalan Islam yang baik, tetapi berdasarkan dalil yang lemah, kemudian datang satu orang atau kumpulan ingin menekankan amalan Islam dalam hal yang sama dengan dalilnya yang didakwa lebih tepat dan kuat, ini adalah sikap yang tidak betul, kerana Islam lebih mementingkan menjaga kesatuan dan tidak menimbulkan pecah-belah serta kekeliruan di kalangan orang ramai (saya: kerana beramal sama ada dengan dalil lemah atau kuat kedua-duanya beramal dengan amalan agama juga – berbeza jika kelompok/kaum itu belum tahu mengenai sesuatu atau melakukan perkara sesat/syirik).
  6. Beliau juga menyebut bahawa kali pertama beliau membaca mengenai Shi’ah selepas menganut Islam, beliau tidak mampu menerima logik di sebalik dakwaan bahawa seorang Sahabat yang besar seperti Abu Bakar, adalah seorang yang tidak seperti yang dianggap Rasulullah s.a.w. Mana mungkin seorang Nabi tidak mengetahui bahawa sahabat baginda yang paling dekat demikian perilakunya? Begitu juga dengan ISIS, mana mungkin itu Daulah Islamiyah apabila mereka melakukan kekejaman termasuk terhadap kanak-kanak. Di sini beliau juga menyebut sebuah hadis (yang belum saya berjaya cari matan), mengenai akan muncul pembawa panji-panji hitam, namanya dikun-yahkan menggunakan Abu itu dan Abu ini kepada nama tempat, mereka adalah orang-orang yang membuat kerosakan.
  7. Ketika menyampaikan pesan khusus kepada orang Malaysia, beliau meminta orang Malaysia mempertahankan apa kurniaan yang Allah SWT berikan kepada penduduk negara ini. Selagi pemerintah mampu menjaga keselamatan sosial rakyat, menyediakan keperluan asas rakyat seperti jalan raya, air, kemudahan awam dan pasukan polis untuk menjaga keamanan, maka itu sebenarnya sesuatu yang patut disyukuri. Beliau berpesan, tanyakan kepada mana-mana penduduk Syria hari ini, sekiranya mereka boleh melakukan sesuatu dengan cara yang berbeza, mereka pasti mahu melakukannya demi mengelakkan tragedi atas masyarakat mereka seperti hari ini. Begitu juga orang Libya, tanyakan mereka adakah mereka rela hidup di bawah Gadaffi kembali, atau orang Iraq, bagaimana mereka lebih baik hidup di bawah Saddam daripada dalam keadaan mereka hari ini. Ini kerana pada zaman ini, ada banyak pihak memang menanti ruang untuk mengambil untung daripada kejatuhan mana-mana negara Muslim.
  8. Orang-orang Malaysia juga mempunyai sikap merendah diri, satu ciri istimewa yang menonjol. Anak-anak di Malaysia sejak kecil kelihatan sudah dilatih untuk mentaati ibu bapa dan menghormati orang lain. Beliau meminta kita berpegang kuat kepada budaya ini, pada zaman di mana budaya bercakap baik-baik sesama manusia pun sudah sukar dilaksanakan. Tetapi beliau juga berpesan, jangan pula sampai anak-anak ini terbentuk menjadi orang yang hilang keberanian diri, yakni menjadi pak turut dan tidak sanggup untuk melawan arus apabila berdepan dengan sesuatu kemungkaran. Jangan sampai mereka menjadi yes-man sahaja dan mempunyai herd mentality.

Saya percaya ada antara kita yang menolak sesetengah perkara yang disampaikan oleh Sheikh Hamza Yusuf. Namun dengan rendah diri, setakat ilmu yang ada pada saya, saya berasa tidak layak untuk membahas pendapat beliau. Sebab itu saya cuma menyalin kembali apa yang beliau katakan sahaja untuk peringatan diri sendiri terutamanya.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

2 Responses

  1. Jusni says:

    Saya harap akan ada siaran ulangan di radio IKIM, saya sangat tertarik dengan cara dakwah dan ketokohan beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com