Selaut ilmu hadis, tak terenangkan

Sedikit ilmu hadis yang sempat saya pelajari ketika sekolah menengah bukanlah apa-apa. Terlalu asas. Hanya sekadar tahu secara ringkas apa beza ilmu riwayah dan dirayah, serta tingkat kedudukan hadis seperti qudsi, sahih, hasan, mutawatir, maudu’, dha’if dan beberapa lagi.

Sewaktu di universiti pula, walaupun hadis selalu menyulami subjek-subjek berbahasa Arab yang dipelajari, itu semua jarang menggerakkan diri menjejak matan hadis di dalam mana-mana kitab hadis. Begitu jauhnya terpisah diri seorang pelajar moden (saya) dari dua peninggalan Rasulullah SAW, al-Qur’an dan al-Sunnah. Begitu jauhnya dari corak pendidikan ilmuwan Islam silam yang telah menyampaikan khazanah Islam daripada Rasulullah SAW kepada orang Islam sehingga hari ini.

Selepas mendengar siaran radio IKIM bersama-sama Sheikh Yusuf Hamza tempoh hari, Allah SWT menggerakkan hati untuk menjejak salah satu matan hadis yang disebutkan oleh beliau. Untuk kali pertama selepas puluhan tahun hidup. Kebetulan keberadaan diri bekerja di perpustakaan sangat membantu – kerana di sini terdapat kitab-kitab hadis yang terkenal mahupun jarang didengar oleh orang biasa seperti saya.

Hadis yang saya cari tempoh hari adalah hadis mengenai golongan pembawa panji hitam, disebut oleh Syeikh Yusuf Hamza dalam siarannya di IKIM. Selepas merujuk Internet untuk mendapatkan matan penuh, saya menemui nama kitab yang mengandungi hadis tersebut di sebuah forum berbahasa Arab, iaitu Kanz al-‘Ummal fi Sunan al-Aqwal wa al-Af’al karangan ‘Ali ibn ‘Abd al-Malik a’-Muttaqi al-Hindi (meninggal 1567).

photo 2Alhamdulillah kitab ini ada di rak perpustakaan. Terbitan Mu’assasat al-Risalah Beirut ini ada 18 jilid semuanya, dua buah daripadanya indeks. Indeks disusun dalam urutan abjad Arab dari alif hingga ya. Ini bermakna kalau ingin mencari hadis, harus diingat perkataan pertama dalam matan hadis itu. Di sini pentingnya daya hafalan yang kuat di kalangan para penuntut hadis.

photo 1Dalam pencarian ini, saya tersedar betapa besarnya jumlah hadis yang terdapat dalam sesebuah kitab hadis. Kitab Kanz al-‘Ummal misalnya, menghimpun puluhan ribu hadis. Hadis yang saya cari itu bernombor 31530, dalam jilid yang sebelas (urutan ke-11 dari atas dalam foto).

Akhirnya dalam jilid kesebelas, saya menemui hadis yang dicari. Tetapi saya lupa mengambil nota, ia berada dalam bab apa (mungkin bab jihad atau bab fitnah/fitan – fitan jama’  kepada perkataan fitnah). Foto di bawah menunjukkan matan hadis berkenaan.

photo 3Impresi yang melekat dalam fikiran saya selepas berjaya mencari satu matan ini, menguasai ilmu hadis adalah kerja besar dan rumit. Ini baru sahaja merujuk matan sebuah hadis, belum lagi mencari matan yang lebih kurang sama dan membandingkannya, belum lagi menyemak sanad perawinya yang sudah tentu panjang, serta masih belum menyemak kredibiliti setiap seorang dari perawinya pula dalam kitab-kitab yang lain. Kemudian, ada pula syarah hadis oleh para ulama’ untuk diamati.

Inilah secarik kisah saya merujuk hadis, yang membuatkan diri berasa sangat kerdil berbanding seorang ulama’ yang telah menghabiskan masa muda untuk menghafal al-Qur’an dan kitab-kitab Hadis. Pengajian itu pula, harus dari guru-guru berwibawa yang terdiri dari para ulama’ juga, yang sambung-menyambung dari zaman ini kembali ke zaman Rasulullah SAW.

Keluasan lautan hadis ini, belum dicampur dengan bentang horizon ilmu tafsir al-Qur’an, sudah cukup untuk mengunci waktu orang Islam menghabiskan masa berpuluh-puluh tahun bergelumang dalam ilmu dan mencari kefahaman tuntas pengamalannya.

Terkenang karya biografi ulama’ Islam oleh Dato’ Paduka Prof. Dr. Mahmood Zuhdi, berjudul 5 Tokoh Penggugat Zaman, tidak kira ulama’ itu setelah dewasa cenderung Muktazilah, Zahiriah atau apa-apa aliran sekalipun, pada dasarnya mereka telah melalui pendidikan al-Qur’an dan Hadis yang mendalam sewaktu mereka kecil.

Sangat benarlah kata Syeikh Yusuf Hamza baru-baru ini, kalau terlepas belajar waktu muda dari usia 7-18 tahun, sangat susah untuk mencapai taraf keilmuan Islam yang sebenar.

Tiba-tiba saya teringat sya’ir Imam Shafi’i yang terdapat pada kulit kitab Diwan Imam Syafi’i yang akan saya dapatkan pada hari ini dari Raudhah al-Miqyas di Bangi Insha-Allah:

Siapa yang ketinggalan
belajar di waktu muda
bertakbirlah kepadanya 4 kali
karena dia telah ‘tutup usia’.

Diwan Imam Syafi'i

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com