Kenapa mereka masih enggan membaca?

budakbaca

Seorang guru darjah tiga di Amerika Syarikat, Kathryn Bullock berkongsi pengalamannya dalam sebuah jurnal The Reading Teacher (Mei 2013) mengenai cara beliau mengatasi masalah anak-anak didiknya yang enggan membaca, meskipun kelengkapan telah tersedia.

Menurutnya, beliau telah mengusahakan supaya kelasnya memiliki sebuah perpustakaan mini yang sesuai. Bekas-bekas buku telah disusun elok menurut nama pengarang dan juga genre. Begitu juga dengan sudut bacaan, lengkap dengan ‘kerusi direktor’ yang selesa.

Namun begitu, beliau sedar ada sesuatu yang tidak kena. Murid-muridnya belum ketagihan buku. Mereka belum menjadi pembaca yang berdikari dan menikmati buku dengan sungguh-sungguh, lantas meneroka dunia buku tanpa perlu dipinta.

Akhirnya beliau memutuskan untuk cuba melakukan perubahan. Kali ini, sewaktu program DEAR (Drop Everything and Read – satu program di sekolah-sekolah rendah Amerika Syarikat di mana para murid memberhentikan sebarang aktiviti untuk membaca dalam kelas), beliau tidak lagi membuat kerja beliau seperti menanda kertas pelajar atau membaca emel.

Beliau mula duduk bersama-sama para murid di atas permaidani, lalu membaca buku bersama-sama mereka. Buku kanak-kanak yang beliau rasakan menarik, beliau tempatkan di atas sebuah rak yang baru dibeli khusus untuk itu. Rak itu ditempatkan di ruang yang menjadi tumpuan dalam kelas. Murid-muridnya mula memberi perhatian kepada buku-buku yang beliau kongsikan.

Akhirnya perubahan yang diharapkan menjelma jua. Murid-muridnya telah saling menyarankan bahan bacaan sesama mereka. Malah beliau kini mengorbankan 15 minit setiap minggu untuk satu sesi saran buku antara murid-murid. Bullock merasakan pengorbanan masa itu tidak sia-sia.

Satu perubahan lain yang menarik, kanak-kanak itu mula tertumpu minat kepada pengarang dan ilustrator buku. Ini juga atas bimbingan guru itu yang selalu menyebutkan nama pengarang dan ilustrator kepada murid. Ada antara murid yang mula menyelidik di Internet, sama ada pengarang dan ilustrator yang pernah mereka baca, telah mengarang atau melukis buku-buku lain juga. Jika sebelum ini pengarang itu mengarang buku yang mereka suka, tentu buku-bukunya yang lain menarik juga!

Guru ini kian menikmati ‘aktiviti sosial’ dengan murid-muridnya. Beliau malah mengorbankan separuh waktu rehat tengaharinya dua kali seminggu untuk sesi membaca secara lantang dengan mereka. Walaupun beliau mengakui mengorbankan masa peribadi begini sukar dilakukan, tetapi hasratnya adalah untuk melihat kesan jangka panjang pengorbanannya demi pembentukan masyarakat pembaca. Beliau mahu kanak-kanak melihat membaca sebagai satu aktiviti sosial yang menyeronokkan.

Sejak hari itu, apabila beliau masuk ke kelas, beliau tidak lagi melihat perpustakaan mini di belakang kelas sepi terbiar. Anak-anak didiknya mula teruja dengan buku dan dunia membaca.

Sumber: Bullock, Kathryn. (2013). Building a community of readers, The Reading Teacher, May, v. 66(8), p631-631.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

3 Responses

  1. Pishaposh says:

    Salam Najibah.

    Bagusnya cikgu ini yang berjaya membuatkan pelajarnya membaca. Semalam, di kelas saya (pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda), saya tanyakan kepada mereka, sepanjang pengajian anda semua sedari sekolah rendah hingga kini, hampir tamat universiti, apakah buku yang meninggalkan impak untuk pemikiran anda?

    Tiada tangan yang diangkat, hanya ketawa kecil di antara mereka.

    Saya mengeluh panjang. Kalaulah saya boleh menjadi seperti cikgu tersebut. T_T

    • Najibah says:

      T_T

      Tumpang kecewa juga – apatah lagi di universiti kejadian ni berlaku.

      Mungkin boleh buat Book Circle Cik Fiza, ajak beberapa orang pelajar yang minat buku, buat diskusi bulanan. Erk, tapi hal korban masa peribadi tu…. saya pun susah nak buat ­čśŤ

  2. Amir says:

    Assalamualaikum..
    Bagus cikgu ini yang sangat positif. Cikgu yang berfikiran negatif gagal melihat setiap peluang yang ada. Bahkan lebih cenderung melihat sesuatu perkara sebagai masalah. Cikgu yang positif ini mahu membuktikan potensi serta menambah nilai kepada pelajar. Oleh itu motivasi diri amat penting kepada setiap cikgu. Kaedah yang paling mudah untuk mendapatkannya ialah dengan sentiasa menghampiri orang yang positif serta menampakkan kemahuan yang jelas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com