Beli buku dalam talian: data bibliografi penting

kedai-bukuSaya pembeli buku tegar, hatta dalam talian – tidak kira yang dijual kedai buku maya mahupun orang perseorangan (peniaga sambilan). Saya rasa kebanyakan pembaca serius pasti pernah membeli buku dalam talian juga.

Adakalanya apabila memilih buku dalam talian, saya mengalami masalah membuat penilaian tepat mengenai sesebuah buku yang hendak dibeli. Ini kerana ramai pekedai buku dalam talian tidak menyediakan data bibliografi yang lengkap di laman kedai maya masing-masing. Imej kulit tidak memadai. Bukan semua maklumat penting mengenai sesebuah buku terdapat pada kulitnya!

Beberapa data yang saya fikir penting dalam menilai sesebuah buku adalah seperti berikut:

Nama penerbit

Penerbit membawa bersama-samanya kredibiliti dari segi kandungan dan kualiti fizikal buku. Sesetengah penerbit ilmiah sesuai dengan keperluan ilmiah, manakala penerbit buku umum ada sasarannya tersendiri. Penerbit fiksyen pun ada genre masing-masing, misalnya besar beza antara penerbit buku mainstream dengan buku indie. Dari segi fizikal, ada buku yang diterbitkan penerbit tertentu, mudah koyak belikatnya, atau tercabut helaian kerana teknik penjilidan yang tidak mementingkan mutu.

Nama editor dan penterjemah

Sekiranya tidak ada nama pengarang, alangkah baiknya jika nama editor  disertakan. Ini kerana editor juga memiliki wibawa masing-masing berdasarkan kelulusan, pengalaman dan kepakaran ilmunya. Malah sekiranya buku itu diselenggarakan oleh entiti korporat tertentu, itupun perlu dinyatakan supaya dapat memberi gambaran mengenai kecenderungan pendapat dalam buku itu. Apabila sesebuah entiti korporat menerbitkan buku, tentu sekali isinya menyokong visi dan misi yang selari dengan tujuan penubuhannya. Begitu juga nama penterjemah, patut disertakan. Penterjemah juga mempunyai peranan besar dalam menentukan kejayaan sesebuah buku.

Tahun terbit

Tahun terbit berbeza dengan tahun ulang terbit. Sesetengah buku telah terbit lama dahulu, tetapi dalam laman web kedai buku, dituliskan tahun ulang terbit terkini. Jika pembeli tidak sedar itu tahun ulang terbit, dia mungkin tertipu. Bahan dalam buku yang diulang terbit mungkin sudah tidak lagi relevan, atau kajian tertentu telah ketinggalan zaman. Novel juga demikian. Jika itu bukan novel sejarah, latar kisah mungkin juga sudah tidak selari dengan zaman.

Jumlah halaman

Jumlah halaman penting untuk menentukan sejauh mana topik yang diperkatakan buku itu telah dibincangkan oleh pengarang dalam bukunya. Jika topik yang dibawa buku itu luas, tetapi halamannya sedikit, mungkin pengarang belum membicarakannya secara mendalam atau buku itu hanya sebuah buku umum atau pengenalan sahaja. Jika topik yang diperkatakan buku itu merupakan satu nic yang kecil dan halamannya banyak, kita boleh mengagak kepakaran pengarang dalam bidangnya.

Isi kandungan

Ini dapat memberi gambaran kepada pembaca, apa subtopik yang akan dibincangkan oleh pengarang dalam bukunya. Pembahagian bab ini penting, terutama dalam buku-buku ilmiah supaya dapat melihat skop perbahasan sesebuah buku. Ada sesetengah buku pula menghimpunkan makalah/artikel dari pelbagai pihak, jadi setiap bab dikarang oleh pengarang berbeza. Maklumat isi kandungan dapat memenuhi keperluan ini.

Sinopsis/Blurb

Jika tak dapat memaparkan isi kandungan pun, paparan sinopsis/blurb sudah cukup bermakna bagi pembeli. Ini dapat memberi maklumat sepintas lalu ketika pembeli ingin menimbangkan kesesuaian buku dengan tujuan mereka mencari buku.

Buku berkaitan dalam genre sama & buku lain oleh pengarang sama

Ini tidak termasuk dalam data bibliografi, tetapi sesuatu yang boleh dilaksanakan oleh laman web kedai buku. Mohon sarankan buku berkaitan dalam genre sama, serta buku lain oleh pengarang yang sama. Pada banyak waktu, pembeli tegar seperti saya suka meneroka prospek pembelian mereka pada masa hadapan, serta suka menyelidik pengarang dan genre diminati habis-habisan.

——————————————————————————————————————-

Bagaimana dengan pembaca lain, apakah data bibliografi yang anda anggap penting apabila menilai buku di sesebuah kedai maya?

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com