10 yang membentuk diri

Isolated Old BucketSelepas meneliti beberapa senarai 10 buku dalam Bucket List pembaca tegar lain, saya bertanya diri, “Bagiku buku-buku yang mana, dan kenapa buku-buku itu? Apa yang membuat 10 itu begitu membekas hingga perlu diabadikan dalam sebuah entri blog?”

Pertanyaan itu datang diam-diam kepada diri berulangkali. Mendesak saya mencoret untuk ingatan peribadi, mudah-mudahan perkongsian ini memberi manfaat kepada orang lain pula.

Memang awalnya saya berasa tak sampai akal memikirkan judul-judul itu. 10 dari beberapa ratus. Belakangan ini, yang berjaya dihabiskan pun, lebih kepada buku main-main. Membaca semberono tanpa menimbang nilai sesebuah karya. Usia yang sia-sia.

Hanya tengahari ini, saya diilhami sisi yang lain mengenai 10 buah yang wajar saya senaraikan.

Buku-buku itu tidak semestinya saya berjaya habiskan, kerana walaupun membacanya sebahagian kecil benar, pedomannya terus menyuluh hidup begitu terang sampai sekarang.

Buku yang 10 itu juga, telah saya hadam isinya sebelum usia mencecah 25 tahun. Bermakna sampai sekarang sudah lebih 10 tahun saya menumpang suluh cahayanya.

Maka inilah senarai yang 10 itu, begitu dekat dengan pembentukan diri saya, saya perturunkan mengikut urutan usia membacanya, dari sekolah rendah sehingga menjejak universiti:

Ensiklopedia kesihatan 2 Jilid (1980-an), terbitan Indonesia (tak pernah khatam)

Buku ini sebahagian koleksi arwah ayah, yang sempat mencatat pada buku itu tiga nama anak-anaknya sebagai ingat kenang. Sejak sekolah rendah buku ini sudah ada di rumah. Dalam buku ini banyak sekali kisah tokoh-tokoh perubatan, lengkap dengan ilustrasi satu halaman menunjukkan mereka sedang berkhidmat. Ada gambar Alexander Flemings yang sedang mencacar pesakit dan Louis Pasteur dengan penemuannya. Buku ini membekalkan saya asas dunia kesihatan yang luas manfaatnya.

B0940Warkah Eropah (1991, DBP) oleh A. Samad Said (khatam)

Buku ini dibeli dengan wang hadiah UPSR selepas darjah enam. Meninggalkan kesan besar mengenai dunia yang dinamakan sastera, serta makna memiliki buku mewah (kalau tak salah harganya RM60 waktu itu). Banyak nama-nama besar sastera dunia saya mesrai setelah berkenalan dengan buku ini, hingga akhirnya menjejak Orang Terasing Albert Camus, Si Bodoh Dostoyevsky dan Penghujung Senja Kazuo Ishiguro.

Sains, Falsafah dan Islam (1992, UKM) oleh Sulaiman Noordin (khatam)

Buku ini dipinjamkan seorang teman kaki buku, Nik Nurul ‘Arfah yang sempat sekelas sehingga tingkatan dua. Anak kepada dua orang doktor, denda yang dikenakan kepadanya kalau melakukan kesalahan di rumah, adalah membaca Ihya’ Ulum al-Din yang perlu diterangkan pula kepada ibu atau ayah. Buku ini membuka ruang fikir bahawa agama bukan semata-mata aqidah, akhlaq dan fiqh, tetapi sebahagiannya terzahir melalui sains. Juga memperkenalkan saya untuk kali pertama, kepada falsafah.

Tafsir al-Azhar (1980-an) oleh Prof. Dr. Hamka (tak pernah khatam)

Set tafsir ini arwah ayah beli secara ansuran dari sebuah kedai buku di Pasir Puteh, Kelantan. Begitu mengikut cerita ibu. Tafsir terbitan lama ini cantik. Setiap satu kulitnya berbeza warna, semua ala pastel. Oren lembut. Biru lembut. Hijau lembut. Manakan tidak menarik minat, hatta anak remaja. Lagi kelebihannya, adalah mudahnya bahasa yang digunakan serta kisah-kisah menarik yang diperturun Prof. Dr. Hamka untuk menggambarkan firman-firman yang beliau tafsirkan. Memang ralit mengulitnya. Setiap menemui kisah yang indah, saya salin ke dalam buku nota.

Ihya Ulum al-Din (1980-an) oleh Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali (tak pernah khatam)

Lagi buku dari koleksi arwah ayah. Juga dibeli beransur-ansur. Bayar sampai penuh, baru ambil di kedai buku. Saya hanya sempat (dan sanggup) membaca sebahagian kecil, bagaikan mencelup berus ke dalam tasik, tetapi airnya yang sedikit itu melukiskan banyak perkara dalam hidup. Dua topik kecil yang saya baca itu, hanya dari bab mengenai ilmu, dan mengenal hakikat dunia. Mengubah seluruh persepsi yang saya pegang mengenai kedua-duanya.

2085000Perjuangan Wanita Ikhwan al-Muslimin (1987, Gema Insani) oleh Zainab al-Ghazali (khatam)

Buku ini meninggalkan kesan bukan sedikit, kerana ketokohan wanita di belakangnya yang begitu dekat dengan zaman moden tetapi sangat kukuh keimanan dan keberaniannya dalam mempertahankan Islam. Beliau memenuhi angan-angan zaman remaja, meminjamkan keberanian dan keteguhan hati ketika dilanda masalah dan duka. Sayangnya saya sudah lupa bagaimana buku ini boleh ada dalam simpanan saya. Mungkin dari pameran dan jualan buku ketika di Maahad Muhamamadi (P).

Detik-detik Hidupku (1989, Pustaka Salam) oleh Ustaz Hasan al-Banna (khatam)

Buku ini saya baca ketika belajar sebentar di Syamsul Maarif (P), Pulai Chondong, Kelantan. Termasuk dalam koleksi perpustakaan sekolah yang hanya ditempatkan di belakang surau waktu itu. Ustaz Hasan al-Banna memperkenalkan saya kepada harakah Islamiyah, makna ikhlas dalam perjuangan, persaudaraan Islam, dan erti kehilangan sebuah Khilafah untuk melindungi ummah. Beliau juga mengajarkan seorang remaja yang sedang mencari makna cinta, bahawa ‘cinta yang halal itu halal, dan cinta yang haram itu haram’.

Minhaj al-‘Abidin (1980-an) oleh Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (khatam)

Kitab ini memberi saya sebentuk gambaran mengenai taqwa dan kerendahan diri sang ulama’, apabila banyak sekali beliau berlindung diri kepada Allah dari sebarang keburukan amalan, setiap kali beliau menasihatkan mengenai sesuatu perkara kepada para pembaca kitab. Juga membuat saya sedar taubat nasuha bukanlah sekadar tersebut di bibir semata, tetapi mesti mengubah amalan diri. Ini juga buku milik arwah ayah.

orientalismekesanpemikirannyaterhadappemikiranislamOrientalisme: Kesan Pemikirannya Terhadap Tamadun Islam (1989, DBP) oleh Mahmud Hamdi Zaqzuq (khatam)

Buku ini pembuka dalang kejahatan puak orientalis terhadap Islam, membentuk pemikiran bahawa musuh Islam sanggup berbuat apa saja demi untuk menghalang tersebarnya cahaya kebenaran. Mungkin buku inilah yang akhirnya menghalang saya daripada terpesona dengan pelbagai teori baru yang ingin memberi tafsiran terkini kepada agama Islam, menyalahi tradisinya. Ia juga menjadi titik sambung dengan buku-buku berkaitan kesan kolonialisme atas ummat Islam. Beli di Muda Osman pada zaman kegemilangan buku-buku DBP.

1150303Allah’s Mountain: The Battle for Chechnya (2001) oleh Sebastian Smith (khatam)

Antara buku yang saya pinjam dari Perpustakaan UIAM Gombak ketika belajar di sana, membuka tabir mengenai sejarah Islam di Eropah, serta memberi gambaran mengenai kehidupan di bawah payungan jihad.

—————————————————————————————————-

Itulah 10 buku yang rasa saya, telah berperanan besar mengubah cara saya memandang hidup, membentuk pemikiran, membina peribadi dan menjadi penyuluh mengharungi zaman.

Alhamdulillah, wa syukru Lillah, semoga Allah terus membuka jalan kepada saya mengenali buku-buku yang dapat memberi pedoman hidup. Bukanlah saya berkata bahawa buku-buku inilah guru saya, tetapi bermula dari pencerahan buku-buku inilah, saya mengerti bahawa pencarian ilmu perlu dilanjutkan dengan terus menuntut dari pakar-pakar yang sahih. Selepas membaca bagi saya, sebelum mengamalkan sesuatu, perlulah bertanya untuk mendapatkan kefahaman sebenarnya.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com