Quran.com & Sunnah.com: menilai kredibiliti sumber

Untitled Untitled2Di atas adalah dua aplikasi web iaitu Quran.com dan Sunnah.com yang sangat membantu apabila kita ingin mengadakan rujukan sepintas lalu dalam talian mengenai ayat-ayat al-Qur’an dan Hadith Rasululullah s.a.w.

Namun sikap berhati-hati sentiasa perlu kita amalkan ketika mencari maklumat, sama ada ketika merujuk bahan bercetak atau dalam talian, mahupun apabila mendapat apa-apa maklumat melalui seseorang individu.

Menjadi tanggungjawab pelajar / pengguna maklumat untuk menyemak terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa maklumat di mana jua.

Ini adalah kayu ukur biasa dalam dunia keilmuan dan kesarjanaan yang seharusnya menjadi kemahiran peribadi sepanjang hayat.

Ini juga sebahagian daripada kemahiran maklumat yang perlu dikuasai seperti termaktub dalam standard pusat-pusat pengajian antarabangsa yang terkenal.

Dalam kes pemalsuan maklumat tragedi pembunuhan duta Amerika Syarikat di Benghazi oleh Dylan Davies, pengarang buku The Embassy House, Simon and Schuster sebagai penerbit sanggup menarik balik buku itu dari pasaran.

Malah Slate International, sebuah majalah dalam talian yang sempat memuatkan petikan buku itu dalam lamannya, turut membuat kenyataan khusus mengenai khilaf pihaknya atas penyiaran itu.

Dylan Davies didapati telah memberi fakta berbeza kepada FBI dan majikannya mengenai insiden itu, tidak sama dengan apa yang dimuatkan dalam buku karangannya serta temuramah media.

(Sampul buku itu menunjukkan Dylan Davies menulis dengan nama samaran Morgan Jones).

Embassy-HouseAutoriti dan kredibiliti pihak yang menjadi sumber maklumat sangat penting kerana kesan sesuatu maklumat yang tidak tepat adalah sangat besar dan memalukan.

Autoriti dan kredibiliti bahan lebih tinggi sekiranya disediakan oleh organisasi atau individu yang bertanggungjawab dan bersikap jujur (termasuk profesional, neutral, tidak berat sebelah, mengambil pandangan dua pihak dan seumpamanya) dalam menghasilkan bahan.

Ini menunjukkan kaedah Islam yang sangat menitikberatkan syarat-syarat perawi dalam penyampaian hadith bertepatan dengan kaedah ilmu yang kini diguna pakai di seluruh dunia.

Malah kaedah kepengarangan Islam melalui pemberian ijazah (satu bentuk autoriti) kepada penyalin manuskrip juga unik. Inilah cara Islam menjaga hak cipta pengarang dan sekaligus memelihara kredibiliti sumber dan bahan.

Seseorang penyalin yang selesai menyalin sesebuah kitab akan mendapatkan tandatangan pengarang asal sebagai bukti bahawa kitabnya itu berautoriti untuk dirujuk. Tandatangan hanya akan diberikan setelah isi kitab itu dibacakan kepada pengarang asal sebagai satu bentuk semakan.

Dalam kes menggunakan aplikasi web di atas, bertambah elok sekiranya kita turut merujuk silang kepada kitab-kitab asal apabila ingin menjadikan bahan daripada Quran.com dan Sunnah.com sebagai hujah dan penulisan. Ini adalah jalan paling selamat dan terhormat.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com