Belajar tentang seni di Artsy.net

Artsy.netKita mencintai apa yang indah-indah. Seni adalah sebahagian daripada fitrah manusiawi.

Bagi yang ingin mendalami seni sebagai satu bidang, satu laman web interaktif yang baik adalah Artsy.net.

Meskipun laman ini lebih cenderung kepada seni dari pandangan peradaban Barat, yang ada antaranya tidak sesuai dengan pandangan Islam, ambil saja yang jernih dan buanglah yang keruh.

Dalam meneliti hasil-hasil seni Barat dalam laman ini, kita boleh belajar bersikap hormat-kritis.

Apa yang istimewa di Artsy.net, para penggiat seni di belakangnya cuba menghubungkan antara setiap objek seni melalui apa yang mereka namakan Projek Genom Seni.

Melalui projek ini, mereka mengenal pasti ciri yang dimiliki oleh setiap objek seni, yang mereka panggil gen-gen seni.

Gen-gen ini dikelaskan mengikut aliran dan gaya, subjek, teknik/medium dan banyak lagi konsep lain yang menarik.

Gen baru sentiasa ditambah dari semasa ke semasa. Yang terbaru pada 2013 adalah “eye-contact”; menonjolkan potret-potret yang merenung tepat ke arah penikmat seni.

Artsy.net juga menjadi ‘orang tengah’ antara galeri dan pengumpul / pembeli hasil seni. Kehadiran mereka sebagai pemain industri seni kian terbukti.

Kegiatan pihak Artsy sentiasa menekankan acara pada peringkat antarabangsa. Salah satu acara penting pada tahun lepas adalah lelongan hasil seni melalui Internet yang disertai oleh pengumpul seni dari pelbagai benua pada waktu sebenar (real-time).

Namun begitu pendedahan galeri seni nasional belum kelihatan dalam laman web ini. Segmen seni untuk Asia Tenggara belum menonjolkan artis-artis Malaysia.

Begitu juga segmen kesenian Islam, satu cabang yang sangat besar sebenarnya, belum mendapat liputan sewajarnya.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

2 Responses

  1. azlanvai says:

    Benar.. ada yang jernih kita boleh ambil.. yang keruh jangan lah kita pedulikan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com