Ulasan buku: Kenapa Umat Islam Tertinggal?

mengapa_umat_Islam_tertinggal-500x500

Judul: Kenapa Umat Islam Tertinggal?

Pengarang: Syeikh Syakib Arslan

Penerbit: Al-Kauthar (Indonesia)

Tahun: 2013

Halaman: 216

Beli daripada: Raudhah al-Miqyas / MyBukuOnline

——————————————————————————————

Syeikh Syakib Arslan, asal Syria, menulis buku ini pada tahun 1929 lagi – menjawab soalan seorang Syeikh berasal dari Sambas Indonesia, mengapa umat Islam tertinggal di belakang bangsa lain pada waktu itu?

Kedua-dua mereka dihubungkan oleh majalah al-Manar yang diredaksikan oleh Syeikh Rashid Ridha. Ini berlaku hampir 100 tahun yang lalu. Ketika Khilafah Uthmaniyah di Turki telah lima tahun berakhir. Buku ini menunjukkan keprihatinan para ulama’ terhadap mundurnya umat.

Pada waktu itu kesatuan negara-negara Arab telah punah, dan setiap inci tanah air dirobek-robek dan dibahagikan oleh para penjajah. Satu tamparan hebat kepada peradaban Islam yang sedang melalui zaman suram.

Apa yang menginsafkan diri saya sebagai pembaca kecil, sebab-sebab yang dinyatakan oleh Syeikh Syakib Arslan itu sebenarnya masih lagi mencengkam kita pada hari ini – walaupun kian ramai orang Islam mula menyedari punca permasalahan dan bertindak mengatasinya. Antaranya adalah sikap enggan berkorban jiwa dan harta, sikap putus asa, serta sikap pesimis dan berasa hina diri.

Dalam buku ini juga dibincangkan secara ringkas mengenai peradaban Islam dan sejarah peradaban lain dalam hal maju mundur sesebuah peradaban, juga mengenai saling meminjam ilmu pengetahuan antaranya. Sejauh manakah boleh dikatakan sesebuah peradaban itu menjadi maju ataupun mundur disebabkan agama? Buku ini memberikan pandangan yang menarik berdasar fakta-fakta sejarah.

Buku ini telah berjaya mencerahkan saya mengenai peri pentingnya memahami konsep qada dan qadar yang tepat, serta membangkitkan semula ‘ghirah’ sebagai seorang Muslim dalam menghadapi kelesuan jiwa menghadapi ketertinggalan kita hari ini.

Selain itu, saya kian yakin dengan aliran pendidikan yang mementingkan ilmu mengenai ketamadunan, sejarahnya dan perbandingannya, supaya kita dapat benar-benar kenal setiap tusukan jarum-jarum halus beracun yang masih ada dalam badan peradaban Islam yang masih sedang sakit ini. Hanya dengan mengenali jarum-jarum halus beracun (yang berbeza dengan jarum-jarum akupunktur yang dapat menyembuhkan) maka kita dapat mengeluarkannya dan membersihkan semula racun yang sedang menyakiti sekujur badan peradaban ini.

Buku terbitan Al-Kauthar ini sangat baik kerana turut menyertakan nota kaki yang diberikan oleh Syeikh Syakib dan Syeikh Rashid Ridha. Tidak ketinggalan nota kaki dari penerbit terdahulu serta masukan dari penerbit Al-Kauthar sendiri.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com