Sketsa Pembacaan 2013

Saya tidak pasti bagaimana pembaca lain merancang bacaan tahunan masing-masing.

Mungkin ada yang menunggu buku terbaru dari pengarang kegemaran saban tahun.

Ada yang membaca mengikut genre misalnya politik, sejarah, sains fiksyen, thriller, puisi dan lain-lain.

Ada yang membaca menyusur arus best-seller.

Ada juga yang menukar azam setiap tahun sesuai dengan proses yang berlangsung dalam hidupnya.

Pendek kata, pilihan membaca santai seperti makan juga, tepuk dada tanya selera.

Saya sendiri pada tahun 2013 yang bakal berlalu, seperti tahun-tahun sudah, merancang untuk membaca lima puluh buah buku. Kira-kira sebuah seminggu.

Selain itu termasuk dalam rancangan 2013 adalah membaca buku klasik Islam. Sebenarnya rancangan membaca buku klasik Islam ini rancangan tahun 2012. Tetapi kerana tidak cukup keras berusaha telah gagal.

Jadi apakah hasil tahun ini? Masih gagalkah?

Alhamdulillah tidak!

Saya akhirnya berjaya mengkhatam lima puluh buah buku seperti impian yang ditanam sejak… 2008! Ya, lima tahun berlalu baharu berjaya.

Sebenarnya ada lapan buah antaranya buku kanak-kanak (termasuk dua buku puisi), tetapi saya tidak segan memasukkan buku kanak-kanak berlapan ini.

Ini disebabkan bacaan itu untuk rujukan dan ambil feel. Alhamdulillah tahun 2013 saya cuba-cuba memaksa diri menulis dua naskhah manuskrip buku kanak-kanak.

Kedua-duanya masih dalam proses hendak diusung ke pertemuan dengan seseorang yang berpengalaman untuk dibedah dan dinilai (mohon doa dari pembaca!).

Berkenaan membaca buku klasik Islam, alhamdulillah sekali lagi, tahun ini berjaya berjinak-jinak dengan sebuah buku klasik Islam terjemahan, Instruction of the Student: The Method of Learning yang ditulis sekitar kurun kedua belas kalendar masihi oleh Imam Burhan al-Din al-Zarnuji.

Membaca buku klasik Islam memberi saya pengalaman yang sangat berbekas. Saya percaya untuk kembali membina tamadun Islam yang kuat seperti dulu, kita mesti bermula dengan mencari hikmah orang lama yang sudah hilang daripada amalan kita sekarang.

Tahun 2013 juga saya berjaya mengurangkan dengan drastik jumlah fiksyen yang dibaca. Jika selalunya hampir separuh daripada bacaan adalah fiksyen, tahun ini buku fiksyen moden dewasa hanya dua buah sahaja, manakala satu lagi himpunan sastera klasik. Dua buah fiksyen itu adalah Baldatun Thoyyibatun dan The Reluctant Fundamentalist.

Bukanlah ingin mendabik dada atau memandang lekeh kepada buku-buku fiksyen, jauh sekali terhadap pembaca fiksyen. Saya memang sejak kecil membesar dengan fiksyen dan fiksyen dan fiksyen.

Tetapi selepas agak berusia ini tiba-tiba berasa tersentuh dengan saranan bacaan seperti dalam buku Aku, Buku dan Cinta karya Dr. ‘Aidh al-Qarni yang dibaca tahun 2011 dulu, serta buku Kuasa Iqra’ karangan Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri. Jadi tahun 2013 saya cuba mengubah sedikit tabiat membaca.

Maka bacaan saya yang lain rata-ratanya biografi/memoir (9 buah), buku mengenai buku dan membaca (7 buah), buku keibubapaan (5 buah), buku puisi (3 buah) dan buku panduan ringkas (3 buah).

Kalau ada yang bertanya apa judul-judul yang paling menggugah saya tahun ini, lima buah yang terbaik dan akan sentiasa dirujuk ulang adalah seperti di bawah:

  1. Instruction of the Student : the Method of Learning
  2. Budaya Ilmu: Satu Penjelasan
  3. Saat Berharga untuk Anak Kita
  4. Kuasa Iqra’
  5. Penerbitan dan Percetakan Buku Melayu: 1807-1960.

Lalu, seiring dengan tercapainya azam membaca 2013, apa pula azam 2014? Sejujurnya, belum ada. Mungkin saya akan mulakan azam baru berkaitan membaca apabila sampai Awal Muharram 2014 pada 24 Oktober 2014 nanti.

Buat masa ini saya mahu kekalkan momentum membaca mengikut prioriti yang telah saya gariskan baru-baru ini. Mungkin baca yang berkaitan fardu ain 60%, fardu kifayah 20% dan bacaan penghibur hati 20%.

Kalau diterjemahkan kepada bilangan buku yang sama seperti tahun ini, 30 buah buku fardu ain, 10 buah buku berkaitan buku dan kepustakawanan dan 10 buah buku lain yang intinya dapat dicerna untuk melahirkan manfaat untuk diri, keluarga dan masyarakat.

Kalau tak mampu lima puluh, hanya sekadarnya. Mungkin juga lebih jika keadaan memerlukan. Kerana membaca bukanlah matlamat, tetapi alat.

Najibah Abu Bakar

Pemilik BukuRia, berlatar belakang bidang perpustakaan dan sains maklumat serta mempunyai sedikit pengalaman menulis di beberapa akhbar dan majalah tempatan.

You may also like...

WP Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com